Blog Sabree Hussin

Masalah pengurusan yang sering dihadapi oleh pemilik bisnes kecil dan sederhana

Bukan mudah sebenarnya untuk menjadi seorang pengurus perniagaan.

 

Tak kiralah sama ada bisnes tersebut bersaiz besar, kecil atau sederhana, pada satu peringkat pasti akan berdepan dengan masalah.

 

Namun setiap masalah itu pasti ada jalan penyelesaian. Cuma mungkin pada waktu ini, kita masih lagi tak nampak apa penyelesaian bagi masalah tersebut.

Dalam perkongsian kali ini saya akan bercerita tentang masalah. Ada orang dia tak tahu yang dia sebenarnya ada masalah. Justeru apabila bisnes yang dijalankan gagal, dia tidak tahu di mana salahnya dan apa masalahnya.

 

Jadi apabila kita bincangkan tentang masalah, mungkin sedikit sebanyak kita akan dapat mengetahui apa masalah yang mungkin akan timbul selaku pemilik bisnes kecil, dan dapat bersedia untuk menghadapinya.

 

Tanpa membuang lebih banyak masa saya kongsikan antara masalah-masalah yang biasa akan timbul dalam mana-mana perniagaan bersaiz kecil dan sederhana.

 

(1) Masalah berkaitan dengan Pengurusan Sumber Manusia

Bisnes bersaiz kecil dilihat tidak begitu menarik untuk dijadikan pilihan utama tempat pekerjaan bagi individu yang mempunyai kepakaran dan kelayakan dalam sesuatu bidang atau disiplin.

 

Ada banyak juga mahasiswa yang beranggapan jika ingin membina masa depan yang gemilang, mereka perlu membina karier dalam syarikat besar atau ternama. Lalu mereka akan menghantar resume kepada syarikat syarikat besar sahaja.

 

Mereka lebih yakin pada syarikat yang besar dan kukuh dapat menjamin masa depan mereka.

 

Selain daripada itu, syarikat besar juga selalunya menyediakan benefit yang agak baik kepada para pekerjanya. Sebagai contoh, mereka mampu menyediakan medical card, cuti tahunan yang lebih banyak, cuti sempena Hari Raya, cuti sempena hari lahir, family day, dinner dan sebagainya.

 

Perkara ini semua sudah tentu agak mustahil untuk diberikan oleh pemilik bisnes bersaiz kecil. Dari segi pendapatan syarikat, mungkin bisnes bersaiz kecil hanya mampu untuk meraih pendapatan yang cukup-cukup untuk mereka kekal beroperasi seperti biasa.

 

Maka terpaksalah pemilik bisnes bersaiz kecil dan sederhana mencari pekerja yang separa mahir atau kurang mahir. Pekerja seperti ini tidak perlu dibayar upah yang mahal. Mungkin tidak salah kalau saya katakan cukup untuk bayar upah minimum kepada mereka.

Pekerja seperti ini dapat membantu pemilik perniagaan menjalankan operasi bisnes seperti biasa tetapi untuk mengharapkan mereka menyumbangkan idea untuk mengembangkan perniagaan sedia ada kepada saiz yang lebih besar agak mustahil.

 

Mereka ini mungkin tidak mempunyai latihan yang sesuai dan tidak pernah belajar ilmu-ilmu yang berkaitan dengan perniagaan yang kita jalankan, tetapi mereka tiada masalah untuk melakukan kerja-kerja yang telah kita khususkan kepada mereka.

 

(2) Masalah berkaitan dengan Kerja Pemasaran

Siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab untuk menjalankan kerja-kerja pemasaran dan mendapatkan pelanggan baru untuk perniagaan anda?

 

Seharusnya untuk soalan ini pemilik bisnes perlu ada satu jawapan yang jelas, sama ada jawapan tersebut adalah diri sendiri yang bertanggungjawab buat pemasaran, ataupun anda telah mempunyai individu yang ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja pemasaran.

 

Saya ada beberapa kenalan pemilik bisnes yang menjalankan sendiri kerja-kerja pemasaran. Alasannya, staf selalu beri info yang salah kepada bakal pelanggan dan mereka kurang serius dalam menjalankan kerja-kerja pemasaran.

 

Situasi dia begini. Katakanlah syarikat tersebut menggunakan kaedah pemasaran berbayar untuk mengiklankan perniagaan yang mereka jalankan. Ini bermakna setiap prospek yang bertanya tentang produk adalah datangnya daripada iklan berbayar.

 

Jika prospek ini diserahkan kepada staf untuk menjawab pertanyaan dari bakal pelanggan, staf tadi mengambil tanggungjawab ini secara sambil lewa.

 

Kadang-kadang staff lambat balas atau memberi respon terhadap pertanyaan dari bakal pelanggan dan ada juga keadaan di mana staf tadi tidak pandai untuk buat closing prospek tadi.

 

Akhirnya segala bajet yang diperuntukkan bagi tujuan pengiklanan berbayar menjadi sia-sia atau memberikan pulangan yang agak mengecewakan.

 

Kalau macam tu apa kata buat je kaedah promosi secara percuma. Kita minta staff untuk buat promosi menggunakan medium percuma seperti Facebook, Twitter, Instagram dan mungkin boleh buat blog untuk memperkenalkan perniagaan yang dijalankan oleh syarikat.

 

Idea itu sebenarnya bagus dan tiada masalah.

 

Cuma kena siap sedia dengan satu kemungkinan di mana staff tersebut jadi leka bila menguruskan akaun media sosial milik syarikat.

 

Sepatutnya dia fokus untuk menghasilkan content yang baru untuk disiarkan di akaun media sosial tetapi selepas mereka baca iklan-iklan yang keluar di newsfeed, sharing dari pengguna yang lain, tonton video kelakar dan sebagainya, bagi tujuan mendapatkan ilham kononnya, kerja yang boleh dilakukan dalam masa 10 ke 15 minit jadi satu jam pula.

 

Jadi dekat sini dia ada kaitan dengan masalah yang saya sebutkan sebelum ini, iaitu masalah berkaitan dengan Pengurusan Sumber Manusia. Cukup sukar untuk dapatkan pekerja yang boleh bergerak sendiri, faham apa yang perlu dilakukan dan boleh come out dengan idea-idea yang boleh memajukan perniagaan milik syarikat.

 

(3) Masalah  yang berkaitan dengan pengurusan operasi perniagaan

Pernah tak anda berurusan dengan mana-mana perniagaan ataupun kedai tetapi dari pengalaman tersebut, anda kurang puas hati dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

 

Kalau beli barang secara online barang yang sepatutnya boleh dapat dalam masa dua hari anda terpaksa tunggu sampai satu minggu.

Ataupun kalau perlu walk in ke premis perniagaan, kerja yang boleh siap dalam masa 30 minit anda perlu tunggu sampai ambil masa selama dua jam.

 

Ataupun boleh jadi juga keadaan dimana servis yang diberikan tidak konsisten.

 

Saya nak bagi contoh kalau kita pergi ke kedai makan. Jika anda dapati rasa makanan selalu tidak konsisten dan bergantung kepada siapa yang masak, ini juga merupakan satu contoh di mana perniagaan tersebut ada isu dengan pengurusan operasi.

 

(4) Masalah yang berkaitan dengan pengurusan strategi perniagaan

Jika perniagaan anda tidak mempunyai rancangan perniagaan yang jelas ini bermakna perniagaan anda sebenarnya dalam bahaya.

 

Cuba lihat di sekeliling anda. Adakah terdapat bisnes lain yang turut memberi persaingan dalam perniagaan yang sama dengan bidang yang anda jalankan.

 

Saya ambil contoh bisnes berkaitan dengan bengkel membaik pulih kenderaan. Kalau di sesebuah kawasan pekan kita boleh lihat kadang-kadang tu ada sampai tiga atau lima bengkel membaiki kenderaan.

 

Bagaimana agaknya cara pemilik bengkel tersebut menjalankan dan menyusun perniagaan mereka supaya bengkel milik dia menjadi pilihan utama? Apakah agaknya strategi perniagaan yang digunakan, bagi membolehkan perniagaan miliknya dapat terus beroperasi?

 

(5) Masalah berkaitan dengan pengurusan kewangan syarikat

Masalah berkaitan kewangan adalah satu masalah yang kerap membantutkan operasi syarikat.

 

Syarikat nak dapatkan pekerja yang mahir dan mempunyai kelayakan yang baik tetapi syarikat tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membayar gaji.

Kos untuk menjalankan bisnes semakin hari semakin mahal tetapi syarikat tidak mempunyai alternatif untuk mengurangkan kos perniagaan

Syarikat ingin membesarkan lagi perniagaan atau membuka cawangan baru tetapi tidak mempunyai modal untuk berbuat demikian.

 

Sebenarnya apabila kita membincangkan tentang masalah, ia bukan bermaksud kita berfikiran negatif.  Sebaliknya kita mengambil langkah proaktif untuk bersiap sedia dalam menguruskan risiko yang mungkin akan berlaku dalam perniagaan yang kita jalankan.

 

Sesetengah orang berpendapat masalah dalam perniagaan adalah masalah berkaitan kewangan semata-mata. Sebenarnya itu tidak betul. Sebab itu saya letakkan masalah berkenaan dengan kewangan pada point yang akhir sekali.

 

Walaubagaimanapun saya setuju jika ada pihak yang berpendapat semua masalah ini adalah saling berkait antara satu sama lain.

 

Contohnya untuk menyelesaikan masalah sumber manusia, syarikat yang kita bina perlu mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Apabila kita berjaya mendapatkan pekerja yang berkualiti, kita memang perlu bayar gaji yang mahal, tetapi jangan risau sebabnya hasil kerja mereka itu sebenarnya boleh memberi pulangan yang berkali ganda kepada perniagaan

 

Untuk syarikat mempunyai sistem operasi yang bagus kita mungkin perlukan bantuan daripada pekerja yang mahir. Jika kita tidak mempunyai pengalaman dan latihan dalam bidang tersebut setidak-tidaknya kita boleh dapat nasihat daripada staf yang lebih berilmu.

 

Memang tak pelik, kalau staf lagi bijak dari bos. Staf seperti ini akan lagi mengkayakan bos di masa akan datang.

 

Pada satu tahap kita boleh berjimat dalam kos pemasaran apabila servis yang kita tawarkan kepada pelanggan sangat berkualiti. Pada waktu tersebut iklan perniagaan kita akan disebarkan oleh para pelanggan kita sendiri melalui kaedah word of mouth. Sebelum hari itu berlaku kita perlulah mempunyai sistem operasi perniagaan yang bagus.

 

Saya mengucapkan terima kasih kerana anda sudi membaca dan saya harapkan sedikit perkongsian saya ini dapat memberi manfaat kepada anda.

 

 

Exit mobile version