Blog Sabree Hussin

Kisah seorang wanita yang meminta sumbangan di R&R Sungai Buloh

Saya dalam perjalanan ke utara tanah air. Sebelum tu, saya singgah dulu di R&R Sungai Buloh untuk selesaikan apa-apa yang patut.

 

Biasanya, untuk ke utara, perjalanan akan ambil masa lebih kurang 4 – 5 jam, bergantung kepada keadaan lalu lintas dan mood saya. Dekat R&R Sungai Buloh ni la, saya ambik peluang untuk isi perut, topup touch n go, isi minyak, solat dan lain-lain.

 

Semasa saya sedang makan, tiba-tiba datang seorang wanita mendekati meja saya. Kalau tengok dari paras rupa, saya agak umurnya mungkin dalam belasan tahun. Boleh jadi baru nak masuk 19 tahun.

 

“Assalamualaikum bang… saya buat jualan amal untuk rumah anak-anak yatim di Kedah… ada buah apricot dan ada madu asli…” 

Dulu masa saya singgah makan di Tanjung Harapan Port Klang, pernah juga didatangi oleh orang macam ni. Katanya nak buat jualan amal, untuk rumah anak-anak yatim di belah utara sana.

 

Jauh betul cari dana. Sampai di Selangor? Apa orang utara tak ada yang nak bantu ke?

 

Mula-mula saya ingat nak tolong beli. Saya tak berapa makan madu. Lagipun, madu yang dijual tu nampak tipu semacam. Maklumlah, sekarang ni punyalah banyak orang jual madu, dan semua mengaku madu yang dijual tu madu asli.

 

Orang asli pun kata dia jual madu asli… yang mana saya rasa, bukan madu tu yang asli, tapi dia (si penjual) tu yang asli.

 

Saya pun tanya, berapa harga apricot tu? Saya ingat nak tolong beli apricot yang dia jual tu.

 

“Apricot ni RM30 je bang, kalau madu ni RM50…”

 

Automatik saya terus kata, “MAHALNYA!”

 

“Kalau tak nak beli pun tak apa, mungkin abang boleh sumbangkan berapa-berapa je untuk rumah anak-anak yatim kami…”

 

Saya pun jawab, tak apalah. Saya nak makan nasi ni dulu. Nanti kalau saya nak bagi sumbangan, saya akan cari awak.

 

Dia pun berlalu pergi.

 

Jualan Amal & Dosa dan Pahala

Ada banyak tempat orang buat jualan amal. Ada yang buat secara bazar, dan ada juga yang buat secara online. Mereka menggunakan jenama atau nama “jualan amal”.

 

Jadi, apa masalahnya? Saya bukan nak highlight masalah. Kadang-kadang saya terfikir sendiri. Kenapa perlu kata, ini adalah jualan amal?

 

Kenapa tak hanya kata ini adalah jual beli.

 

Persoalan

1. Adakah apabila saya beli sesuatu semasa jualan amal, saya akan dapat pahala atas pembelian saya tu?

2. Sekiranya pihak penjual MENIPU, adakah saya masih akan dapat pahala?

3. Sekiranya pihak penjual, tidak menyalurkan keuntungan dari hasil jualan kepada badan-badan amal yang diwakili (kononnya) sebaliknya dia gunakan keuntungan tu untuk buat maksiat, adakah saya akan dapat sedikit saham dosa kerana menyokong jualan amal tu tadi?

 

Saya termenung seketika. Jual macam biasa tak boleh ke? Macam mana cara mak cik jual nasi campur ni. Aku beli nasi ni sebab aku lapar dan aku nak makan. Apa dia nak buat dengan duit untung jual nasi tu, semuanya terpulang pada dia.

 

Biarkan kuasa penawaran dan permintaan yang menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu perniagaan tu. Boleh ke macam tu?

 

Saya tak setuju dengan harga apricot yang dijual

Saya pernah beli dan makan sebelum ni. Seingat saya, harganya tak semahal tu. Tak sepatutnya sampai RM30 untuk satu kotak kecil. Mungkin beratnya cuma sekitar 200 gram – 300 gram (mungkin).

 

Saya pun buat semakan di laman web Lazada dan ini hasilnya.

Dengan RM30, sekurang-kurangnya saya patut dapat 500 gram. Bukannya sikit je.

 

Tapi bro, ni kan jualan amal! Diorang kan nak collect dana untuk rumah anak-anak yatim diorang.

 

Jadi? Kalau atas nama jualan amal, tiba-tiba benda yang harga RM10, terus boleh jual dengan harga RM50? Adakah istilah “jualan amal” tu adalah lesen untuk jual dengan harga mahal sampai overprice?

 

Atau sebenarnya motif utama adalah nak minta sumbangan?

Step dia macam ni.

 

Mula-mula datang ke setiap meja. Tawarkan untuk jual barang yang bukan-bukan, untuk kumpul dana bagi rumah anak-anak yatim. Dalam pengalaman saya di Tanjung Harapan dulu, mak cik tu jual minyak angin. Memang saya tak nak la benda tu.

 

Kemudian bila kita kata tak nak, atau tak minat, dia akan mintak sumbangan.

 

“Tak kisahlah berapa-berapa sekalipun…”

 

Lalu akan ada yang bagi dari serendah RM1 hinggalah ke RM50 sebagai duit sumbangan. Boleh jadi niat utama dia adalah nak kumpul duit sumbangan dari orang ramai je.

 

Saya syak dia menipu

Saya tak sempat nak interview wanita yang jual apricot dengan madu tu. Tapi kalau kes di Tanjung Harapan dulu, oleh sebab makcik tu degil sangat tak nak beredar walaupun dah kata, tak minat, tak apa la, terima kasih tak nak, maka nak tak nak terpaksalah bagi sikit.

 

Dengan hati yang tak berapa ikhlas.

 

Masa tu memang dah rasa marah. Rasa tak manis nak marah orang tua, jadi saya dan isteri pada waktu tu, ubah sikit pendekatan. Bagi sumbangan dan pada masa yang sama, dia memang kena bebel dengan kami.

 

Soalan-soalan biasa je yang kami tanya dekat mak cik tu. Dalam kes mak cik tu, dia cari dana untuk sekolah tahfiz yang baru dibuka.

 

Apa nama sekolah tu? 

Sekolah tu buat dekat area mana? Apa nama tempat tu?

Mana gambar sekolah tu?

Alamat sekolah tahfiz tu dekat mana?

Dekat Kedah dah tak ada orang boleh tolong ke? Kenapa perlu datang sampai 400KM untuk cari dana?

Kenapa tak cuba minta bantuan dari Syed Mokhtar Al Bukhary? 

 

Soalan yang last tu agak kelakar, sebabnya mak cik tu tak kenal siapa dia Syed Mokhtar Al Bukhary sedangkan dia kata, dia pun datang dari Kedah. Ala… bila dia cakap dia dari Kedah, sikit pun tak bunyi loghat Kedah dia tu.

 

Kebanyakkan soalan yang ditanya, dia tak dapat jawab. Entah-entah sekolah tahfiz yang dicanang tu pun belum tentu wujud. At least kalau nak menipu sekalipun, bawaklah props. Bila orang tanya, terus buka file yang ada gambar-gambar.

 

Ha… ini sekolah tahfiz kami. Bentuk dia macam dalam gambar ni, bilangan pelajar sekian-sekian. Keperluan perbelanjaan sehari pula adalah sekian-sekian. Setakat ini sumber pendapatan sekolah ini adalah sekian-sekian.

 

Apabila duit mula bertukar tangan, ini pesanan kepada mak cik tu.

 

“Mak cik, duit ni walaupun nilainya tak seberapa, saya nak mak cik tahu, saya ni bukan orang senang. Saya nak dapat duit ni SUSAH. Itu sebabnya saya keberatan nak bagi kat mak cik sebab saya sendiri perlukan duit. Tapi mak cik ni degil sangat. Tiga kali kita cakap tak apa la, terima kasih, tak nak… tapi mak cik tetap mintak jugak.

Sekarang ni, duit ni pastikan sampai kepada anak-anak yang sekolah di sekolah tahfiz tu. Cuma mereka je yang boleh guna duit ini. Duit ini, kalau digunakan untuk belanja pengurusan la, transport sekalipun, ataupun benda-benda yang tak ada kaitan langsung dengan pelajar-pelajar tu, ia TAK HALAL. Ingat ya mak cik, jaga duit ini sebagai amanah.” 

 

Lalu mak cik tu pun, ambil duit tu dan berlalu pergi.

 

Kami perasan, ada beberapa meja yang duk jeling-jeling meja kami, sewaktu kami beri syarahan kepada mak cik tu.

 

Anti orang minta sumbangan ke?

Bukan.

 

Saya pun pernah berada dalam situasi perlu minta sumbangan. Sebelum ini, saya agak aktif sertai aktiviti kelab generasi warisan prihatin. Memang ada sedikit pengalaman minta sumbangan dari orang.

 

Tapi bila ada orang tanya, duit untuk apa, beri pada siapa, penerima ada dimana, semua tu boleh dijawab tanpa sebarang masalah, dan yang penting, selepas habis sesi serahan barangan, ada laporan yang dibuat menyatakan barang-barang amanah telahpun selamat disampaikan kepada penerima.

 

Nak minta sumbangan tu tak ada masalah. Cuma buatlah dengan cara yang betul. Benda yang jarang para peminta sumbangan ni mampu sediakan ialah, “ada ke surat kebenaran memohon sumbangan?”

 

Biasanya memang tak ada, dan boleh jadi kalau kita minta tengok surat kebenaran memohon sumbangan ni, dia sendiri akan cabut lari.

 

 

 

Exit mobile version