Blog Sabree Hussin

Antara peminta sedekah, peminta sumbangan, pencari tajaan dan pengutip derma

Apa beza antara orang yang minta sedekah, minta sumbangan, minta sponsor dengan minta derma? Ada perbezaan ke antara semua ni atau sebenarnya semua ni SAMA sahaja? Cuma nama sahaja yang membezakan antara satu sama lain.

 

Naluri saya mengatakan semua ni sebenarnya sama sahaja. Bukan sekadar naluri semata-mata sebenarnya, sebaliknya ia juga hasil daripada pembacaan yang saya buat mengenai topik ini. Salah satu bahan bacaan yang baik yang membincangkan topik ini adalah buku Ajaibnya sedekah, semakin bersedekah semakin kaya. Nantilah saya akan ceritakan dengan lebih details lagi berhubung perkara ini.

 

Peminta sedekah

Lazimnya ada dua cara bagaimana mereka akan minta sedekah dan simpati. Cara pertama, mereka akan duduk di satu tempat sahaja dan mengharapkan orang yang lalu lalang untuk beri sedikit wang kepada mereka. Dengan berbekalkan bekas dihadapan mereka, peminta sedekah ini akan meminta orang yang lalu lalang tu untuk masukkan duit ke dalam bekas yang disediakan.

 

Cara kedua, adalah peminta sedekah dalam kategori yang akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Tempat sasaran adalah di kawasan-kawasan yang ada ramai orang dan tempat tumpuan. Biasanya di kedai-kedai makan ataupun di restoran. Ada ketikanya rumah ibadat seperti masjid pun dijadikan sasaran untuk para peminta sedekah meminta simpati.

 

Itu cerita peminta sedekah. Sekarang kita lihat pula contoh seterusnya iaitu

 

Orang yang meminta sumbangan

Individu seperti ini, memohon sumbangan kerana mereka ada satu misi yang nak dicapai. Misi tersebut selalunya adalah suatu misi yang besar dan memerlukan belanja yang mahal. Sebagai contoh, mereka ingin bina masjid, surau, sekolah tahfiz dan sebagainya.

 

Disebabkan mereka tak mempunyai sumber pendapatan dan bantuan kewangan, jadi sebagai opsyen mereka meminta sumbangan daripada orang ramai.

 

Orang yang minta sponsor/ tajaan

Individu seperti ini, meminta sponsor bukanlah sebab mereka tak ada duit langsung, sebaliknya mereka ada duit TETAPI duit yang mereka ada masih belum cukup.

 

Contohnya, nak sambung belajar, tapi duit tak mencukupi. Jadi perlu dapatkan tajaan. Ataupun, nak buat program atau event yang besar, tetapi masih tak cukup dana. Untuk mencukupkan dana supaya event yang lebih gah dapat dijalankan, maka jalannya adalah dengan meminta tajaan.

 

Selalunya, sebagai timbal balik, syarikat atau orang perseorangan yang beri tajaan akan dapat balasan seperti nama mereka disebut-sebut semasa program atau event dijalankan.

 

Orang yang minta derma

Derma ikhlas untuk kegunaan rumah orang-orang tua, rumah perlindungan, rumah anak-anak yatim dan sebagainya.

 

Pengalaman saya, sejak akhir-akhir ni saya kerap jumpa orang-orang yang kutip derma mewakili rumah anak-anak yatim sekian sekian atau rumah orang-orang tua sekian sekian. Mereka akan berkumpul sama ada di shopping complex, petrol pump ataupun di restoran-restoran.

 

Setakat hari ni, tak pernah lagi jumpa orang melayu yang buat kerja-kerja minta derma macam ni. Semuanya yang saya pernah jumpa adalah budak-budak remaja bangsa cina. Jujurnya, saya tak tau sama ada apa yang mereka buat ni adalah betul-betul untuk rumah kebajikan yang mereka wakili ataupun tidak. SAYA TIDAK TAHU.

 

Jadi saya ambil pendekatan untuk tidak menyokong benda-benda macam ni. Pertama, sebab saya tak tahu, kemana duit yang bakal saya sumbangkan itu akan pergi. Kedua, sebab saya ada kelab saya sendiri, iaitu Kelab Generasi Warisan Prihatin yang memang jalankan kerja-kerja kebajikan. Daripada saya salurkan dana kepada tempat-tempat yang saya sendiri tak tau betul ataupun tidak, lebih baik saya salurkan ke tempat yang saya memang tahu untuk tujuan apa.

 

Soalan yang sama, pernah saya tanyakan kepada salah seorang Nazir Masjid yang saya kenali semasa program kelab Generasi Warisan Prihatin di Tanjung Karang.

 

“Apa beza antara sedekah, infak, derma dan sumbangan?”

 

Ini jawapan beliau kepada saya:

Sebenarnya semua ini sama sahaja. Bezanya hanyalah sebutan sahaja. Dari segi praktik, ianya adalah satu bentuk sumbangan yang dikeluarkan oleh kita untuk diserahkan kepada penerima untuk tujuan tertentu kerana Allah SWT. Kita sahaja yang suka sebutkan dengan nama yang berbeza-beza, seperti

Ini sedekah saya…

Saya hadiahkan ini untuk awak

Saya sumbangkan ini untuk awak

Saya infakkan harta ini untuk kegunaan awam

 

Memandangkan isu ini adalah salah satu daripada isu tentang pengurusan harta dan bagaimana harta tersebut dibelanjakan, maka kita perlu tahu, bagaimana sesuatu harta itu diterima dan bagaimana ianya dibelanjakan semula. Jangan tak tau, dua perkara ini akan akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan kepada kita di akhirat nanti.

 

Jika pada suatu hari, ada orang datang kepada kita nak mohon tajaan untuk adakan konsert besar-besaran dan menjemput artis hollywood untuk buat persembahan, adakah sumbangan yang kita bakal keluarkan itu wajar untuk dikatakan sebagai amal jariah dan ibadah?

 

Ataupun, jika ada seseorang yang memohon sumbangan untuk pembinaan masjid misalnya, namun projek tersebut langsung tidak jelas dan orang yang meminta sumbangan itu pun gagal untuk membuktikan bahawa projek tersebut adalah projek yang betul-betul akan dijalankan, adakah sumbangan yang kita bakal keluarkan itu nanti boleh dikira sebagai ibadah?

 

Bolehkah perkara-perkara seperti ini, kita pejamkan sahaja mata, keluarkan duit dan serahkan semuanya kepada Allah sedangkan dipihak kita, kita langsung tak memanfaatkan fungsi akal kurniaan Allah yang paling tinggi nilainya, untuk menilai sama ada ujian yang ada dihadapan kita adalah suatu yang benar atau sekadar tipu daya manusia.

 

Sedekah yang dikeluarkan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT adalah merupakan ibadah. Oleh kerana ia adalah ibadah, bermakna seperti lain-lain ibadah amnya, ada perkara yang dikategori sebagai rukun yang perlu dipenuhi dan tertib yang perlu kita penuhi.

 

Bukannya semudah main bagi sahaja. Maka jadilah ibadah sedekah yang kita namakan sedekah yang keliru.

Si miskin bersedekah kepada yang lebih kaya

Orang ramai bersedekah untuk tujuan dan jalan-jalan dosa dan maksiat

Bersedekah bukan kerana ia ibadah tetapi kerana rimas didekati oleh para peminta sedekah

 

Bila kita keliru, dan buat ibadah tanpa ilmu… masih layakkah perbuatan kita itu dikategorikan sebagai ibadah?

 

Oh saya tinggalkan penulisan ini sampai disini dulu. MUNGKIN jika ada kesempatan masa, saya akan sambung lagi di lain kali.

 

 

Exit mobile version