Blog Sabree Hussin

Kerja Part Time yang boleh dilakukan hanya dari rumah? Ini ulasan saya

Ada pelawat blog ini yang bertanya,

“Saya nak cari kerja part timer yang mana saya boleh bekerja dari rumah…”

 

Bermula tahun 2019, isteri saya yang bekerja dengan sebuah syarikat Insurans di Kuala Lumpur sudah mula bekerja dari rumah. Kalau sebelum ini, setiap hari kena datang pejabat untuk bekerja, sekarang ini tidak lagi.

 

Dari apa yang saya perhatikan, nampaknya syarikat di Malaysia mula mempertimbangkan untuk membenarkan pekerjanya bekerja hanya dari rumah.

 

Walaupun saya kira inisiatif ini sebenarnya masih diperingkat awal, namun ini merupakan satu perkembangan yang sangat baik. Tidak mustahil, satu hari nanti, laman web carian kerja seperti Jobstreet dan juga maukerja.my akan mula dipenuhi dengan iklan kerja kosong yang mencari staf yang boleh bekerja dari rumah.

Pada ketika ini, konsep bekerja dari rumah masih belum menjadi satu budaya kerja yang popular. Hanya beberapa syarikat sahaja yang sudah mula menggunakan konsep ini dalam urusan perniagaan yang mereka jalankan.

 

Saya tak nafikan, bukan semua jenis pekerjaan sesuai dilakukan dari rumah sahaja. Ada jenis-jenis kerja yang sesuai dilakukan dari rumah, dan ada banyak juga kerja-kerja yang lebih baik dilakukan dipejabat atau kilang.

 

Pada pandangan saya, kerja-kerja yang boleh diselesaikan hanya menggunakan komputer, ianya boleh dilakukan dimana-mana sahaja, tanpa perlu mengikat seseorang itu untuk berada ditempat yang spesifik.

 

Asalkan seseorang itu mempunyai komputer, mempunyai sambungan internet yang baik dan mempunyai telefon, dia sudah boleh menjalankan kerja dari rumah.

 

Cabaran bekerja dari rumah

Bekerja dari rumah tidaklah lebih mudah kalau nak bandingkan dengan bekerja dipejabat.

 

Disitu terdapat beberapa perkara yang perlu diambilkira, sebelum seseorang itu benar-benar layak untuk bekerja dari rumah.

 

Bolehkah anda bekerja tanpa pengawasan?

Kadang-kadang orang yang bekerja di pejabat ini, walaupun terdapat pengawasan dari supervisor, ada manager yang selalu memerhati, dia tetap curi tulang. Apakah jaminan seseorang itu tidak akan cuai dan mengelat jika dibiarkan bekerja tanpa sebarang pengawasan?

 

Bagaimana anda boleh memastikan produktiviti anda sentiasa tinggi?

Isu produktiviti juga adalah perkara yang perlu dipandang serius. Pihak pengurusan perlu meletakkan satu penanda aras, apakah tahap produktiviti yang perlu dihasilkan oleh para pekerjanya.

 

Dalam sehari, berapa banyak kerja yang perlu disiapkan? Bagaimana kalau pekerja tersebut tak berjaya mencapai tahap produktiviti tersebut? Adakah akan berlaku pemotongan gaji ataupun pekerja tersebut perlu ganti kerja-kerja yang tak siap pada hari berikutnya?

 

Kalau pekerja terus-terusan tidak mencapai tahap produktiviti yang diingini oleh majikan, ini akan merugikan syarikat.

 

Anda perlu bersedia dalam banyak segi termasuk kelengkapan untuk bekerja  

Andainya kita bekerja dengan majikan, kita tak perlu risau tentang peralatan dan kelengkapan untuk menyiapkan kerja.

 

Komputer, internet, meja pejabat, kerusi yang selesa, printer, telefon semua ini tersedia untuk kita. Tapi bagaimana pula halnya kalau kita nak bekerja dari rumah?

 

Sudah tentu kita yang kena bertanggungjawab terhadap pilihan kita sendiri. Semua itu terpaksa kita sediakan sendiri. Kelengkapan pejabat memang kita boleh beli secara online sama ada melalui Lazada ataupun Shopee kalau nak berjimat.

Tapi persoalannya, bersediakah dan sanggupkah anda untuk berbelanja untuk sediakan semua kelengkapan ini?

 

Bagaimana dan dari mana boleh kita memohon pekerjaan dari rumah secara part time?

Saya mula ambil serius mengenai peluang-peluang dan strategi-strategi untuk bekerja dari rumah apabila saya menyertai program Jobdirumah pada tahun 2013.

 

Saya masih simpan lagi rekod emel pendaftaran saya ke program ini.

Program ini masih lagi dibuka untuk penyertaan hingga ke saat ini. Bagi yang berminat, bolehlah mendaftar di halaman ini.

 

Sebenarnya saya tak menjangkakan yang program Jobdirumah akan bertahan hingga ke hari ini. Kebanyakkan laman web yang pernah wujud, yang menawarkan program yang lebih kurang sama dengan Jobdirumah telahpun ditamatkan perkhidmatannya.

 

Pada saya, saya dapat belajar banyak perkara dengan menyertai program ini. Saya tak tahu sama ada program yang sama akan beri kebaikkan kepada anda ataupun tidak. Jadi terpulang kepada anda, sama ada nak sertai dan buat keputusan yang sama macam yang saya pernah lakukan dulu ataupun tidak.

 

Memohon kerja part time secara online

Melalui program Jobdirumah, saya dapat kenal beberapa laman web carian kerja untuk mereka yang minat untuk jadi freelancer.

 

Salah satu ialah Upwork.com

Saya akan tunjukkan kepada anda beberapa contoh kerja part time dari rumah yang anda boleh mohon dari laman web Upwork.

 

(1) Kerja data entry

Kerja data entry adalah salah satu jenis kerja yang cukup popular. Ada banyak laman web dan blog yang membincangkan tentang peluang kerja dari rumah, pasti akan mencadangkan kerja jenis data entry ini.

 

Dekat laman web Upwork juga ada iklan kerja kosong jenis data entry.

Awal-awal dulu saya sangkakan kerja data entry ini senang.

 

Kalau nak memohon kerja ini pun mesti senang juga. Ternyata saya silap. Saya pernah cuba untuk memohon kerja data entry, dan permohonan saya juga selalu kena reject. Bila kena reject, saya jadi malas nak memohon kerja ini lagi.

 

Saya rasa lebih baik saya fokus pada kerja lain yang memang memberi hasil pada saya.

Tak apalah, mungkin saya tak berjodoh dengan kerja data entry.

 

Saya rasa lebih baik saya fokus sahaja dengan kerja-kerja menulis artikel untuk blog.

 

(2) Kerja sebagai translator atau penterjemah

Mereka yang menguasai lebih dari satu bahasa, boleh cuba untuk memohon kerja-kerja penterjemahan.

Diluar sana ada banyak dokumen yang memerlukan penterjemahan bagi dimanfaatkan oleh pembaca yang hanya memahami satu bahasa sahaja.

 

(3) Virtual Assistant

Kerja virtual asistant ini lebih kurang sama macam kerja sebagai kerani.

Job scope dia agak luas. Memandangkan saya tak ada pengalaman kerja sebagai kerani, jadi saya tak dapat nak ulas dengan lebih panjang mengenai bidang kerja kerani.

 

(4) Pengurus media sosial

Majikan yang memerlukan khidmat pengurus media sosial pun ada banyak juga.

Kadang-kadang orang yang buat bisnes ni, memang tak ada masa nak uruskan semua perkara. Mereka terpaksa outsouce hal-hal seperti update status di media sosial, balas komen, balas mesej dan sebagainya.

 

Kerja sebagai pengurus media sosial ini juga adalah antara kerja-kerja yang popular dalam kalangan pelajar yang baru sahaja habis menduduki peperiksaan SPM.

 

(5) Menulis subtitle

Kerja ini juga lebih sesuai kepada mereka yang mempunyai penguasaan yang baik dalam bahasa asing.

Buat kerja-kerja yang lebih kurang sama dengan kerja penterjemahan, cuma bezanya kali ini kita akan terjemahkan dan sediakan sari kata untuk filem.

 

(6) Menulis blog untuk klien

Kadang-kadang kalau bernasib baik, boleh jumpa iklan untuk jadi penulis dekat blog milik klien.

Walaupun saya juga adalah seorang penulis blog, tapi kadang-kadang saya rasa bukan senang nak menulis dalam blog milik orang lain. Kita akan cuba sedaya upaya untuk menyesuaikan gaya penulisan kita dengan gaya penulisan yang terdapat pada blog milik klien.

 

Secara peribadi, saya berpendapat daripada kita habiskan masa untuk menulis di blog orang lain, lebih baik menulis dalam blog sendiri.

 

Artikel yang kita telah hasilkan tu nanti akan jadi milik kita, dan jika dalam artikel tu ada link affiliate, ia akan menyumbangkan pendapatan kepada kita di masa akan datang.

 

(7) Proof reading

Kerja-kerja semakan dokumen atau proof reading ini biasanya kita akan bekerjasama dengan klien yang nak buat tesis, nak tulis novel dan macam-macam lagi.

Kita perlu baca setiap ayat dalam dokumen yang dibekalkan dan kena lihat sama ada terdapat kesalahan atau tidak. Kesalahan yang dimaksudkan adalah sama ada dalam bentuk kesalahan ejaan, tatabahasa, penggunaan perkataan dan sebagainya.

 

(8) Menghasilkan logo untuk klien

Sekiranya anda ada kemahiran dalam bab-bab design, ini adalah jenis kerja yang memang sesuai untuk anda.

Kalau saya, saya memang tak mampu nak buat kerja-kerja macam ni.

 

(9) Menulis artikel

Saya selalu juga menerima emel dari pelawat blog ini yang katanya dia minat menulis dan kalau boleh nak cari kerja yang berkaitan deagan menulis artikel.

Ya, kerja-kerja penulisan seperti itu juga boleh didapati dari laman web Upwork.com

 

Cuma anda kena pastikan sama ada apa yang diperlukan oleh klien, anda mampu berikan ataupun sebaliknya.

 

(10) Kerja berkaitan dengan pemasaran Search Engine Optimization (SEO)

Iklan kat bawah ini juga masih lagi dalam persekitaran menulis artikel, cuma klien dibawah ini meminta supaya kita sediakan artikel yang berkaitan dengan topik SEO dan juga web development.

Kesemua iklan kerja kosong diatas, saya ambil dari laman web Upwork.com

 

Untuk pengetahuan anda, iklan-iklan diatas bukanlah iklan yang terkini. Kesemua iklan diatas saya screenshot pada tahun 2016. Jika anda nak lihat iklan yang terkini, sila ke laman web upwork.com dan buat carian disitu ya.

 

Sebenarnya untuk mula bekerja dari rumah, anda tak perlu keluar duit untuk masuk program latihan seperti Jobdirumah. Anda boleh terus mohon kerja dari laman web yang saya dah kongsikan.

 

Namun kalau anda jenis yang suka belajar satu per satu, suka nak fahamkan sesuatu perkara sebelum buat sebarang keputusan, saya rasa sesuailah kalau nak dapatkan panduan terlebih dulu.

Iklan kerja kosong dari Malaysia?

Ada.

 

Memang ada, tapi tak begitu banyak. Saya ada terjumpa beberapa laman web yang ada potensi untuk dijadikan tempat untuk dapatkan kerja kosong.

 

Namun saya sendiri belum pernah ada pengalaman menerima sebarang job dari laman web tersebut.

 

(1) https://www.freelancing.my

Saya baru daftar sebagai freelancer di halaman freelancing.my. Tengoklah, kalau ada rezeki, berjaya dapat job saya akan kongsikan dalam blog ini.

 

(2) http://www.contentwriter.com.my/

Untuk para penulis, boleh cuba untuk sertai web contentwriter diatas.

 

(3) mudah.my

Laman web mudah.my juga boleh dijadikan sumber rujukan untuk mendapatkan iklan kerja kosong. Kalau tidak ada iklan kerja kosong ditawarkan disitu, anda boleh cipta iklan yang menawarkan khidmat kepakaran anda disitu.

 

Cara paling berkesan untuk dapatkan kerja part time dari rumah?

Setiap individu pasti mempunyai cara tersendiri untuk dapatkan kerja yang boleh dilakukan dari rumah.

 

Sejak saya bergiat secara aktif dalam kerja-kerja menulis blog, saya tak pernah lagi dapat sebarang job atau tawaran kerja melalui portal-portal iklan.

 

Kebiasaannya, bakal majikan sendiri yang akan hubungi saya untuk meminta saya lakukan tugasan khusus untuk mereka. Sama ada untuk menulis artikel, melakukan kerja pemasaran dan sebagainya.

 

Bagi kerja-kerja penulisan artikel advertorial, selalunya saya akan meletakkan caj bayaran bermula dari RM100 untuk satu artikel.

 

Oleh kerana bakal klien yang hubungi saya, maknanya dia lebih memerlukan saya berbanding saya perlukan mereka. Jadi saya akan demand dan letak harga sekurang-kurangnya RM100 untuk satu artikel. Kalau mereka rasa terlalu mahal, tak apa boleh dapatkan khidmat orang lain.

 

Kerja dalam bidang pemasaran dari rumah

Apa yang pasti, saya sebenarnya lebih selesa bekerja sebagai seorang ejen pemasaran melalui penulisan artikel di blog. 

 

Untuk menjadi ejen pemasaran, saya hanya perlu sertai mana-mana program affiliate yang terdapat diluar sana. Saya juga biasa menulis tentang program affiliate dalam blog ini. Boleh rujuk halaman arkib jika anda minat nak baca penulisan saya mengenai program affiliate sebelum ini.

 

Sekarang ini, kita sangat bertuah sebabnya program affiliate berkembang dengan sangat pesat di Malaysia. Pada hari ini, kita boleh bekerjasama dengan laman web seperti Lazada Malaysia dan juga laman web Shopee untuk jana pendapatan.

 

Sebagai ejen pemasar affiliate, tugas kita cukup mudah. Apa yang kita perlu lakukan hanyalah menghantar trafik untuk masuk ke halaman tersebut.

 

Sekiranya ada pembelian dilakukan dan pembelian tersebut berpunca daripada kerja pemasaran yang kita jalankan, kita akan dapat bayaran komisen.

 

Berikut ini adalah contoh pendapatan atau komisen yang dijana secara automatik apabila saya menyertai program affiliate dan membuat pemasaran menggunakan artikel dan blog.

Baca juga: Program Affiliate Shopee – Cara menyertai beserta dengan BUKTI Pendapatan

 

Kerja sebagai pemasar affiliate atau ejen affiliate ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan ikut kepada keselesaan anda. Macam saya sendiri, saya lebih suka guna blog.

 

Tapi ini tak bermakna program affiliate hanya sesuai dipromosikan melalui blog sahaja. Ada banyak lagi kaedah, contohnya seperti menggunakan media sosial, buat video youtube dan sebagainya.

 

Saya suka guna blog sebab saya dah terbiasa dengan kaedah Search Engine Optimization (SEO). Saya hanya perlu tulis artikel promosi sekali sahaja. Seterusnya apabila artikel yang saya tulis dah berjaya masuk ke halaman pertama google untuk kata kunci yang saya sasarkan, pada waktu itu artikel tersebut akan terus generate komisen tanpa perlu saya buat apa-apa.

 

Pertimbangkan untuk mulakan bisnes online sebagai kerja part time

Adakalanya memang agak sukar nak cari kerja kosong yang betul-betul sesuai dengan kita.

 

Jadi kita perlu jadi kreatif dan ambil pendekatan yang berbeza. Kita kena cipta sendiri peluang kerja untuk diri kita sendiri. Bagaimana caranya? Jawapannya adalah dengan menjalankan bisnes online.

 

Dengan menjalankan bisnes online kita sendiri, kita sebenarnya dikira bekerja dari rumah untuk diri kita sendiri. What ever amount yang kita berjaya perolehi nanti, semuanya adalah milik kita, tanpa perlu kita kongsikan dengan orang lain.

 

Ya, saya tahu buat bisnes online adalah sesuatu yang berisiko. Atas sebab itu, anda boleh pertimbangkan untuk mulakan dengan menyertai program affiliate dan juga program dropship.

 

Kedua-dua program ini, iaitu affiliate dan dropship adalah satu langkah yang baik untuk menjadikan anda mahir dalam selok belok bisnes dan pemasaran. Bila anda dah mahir dengan kaedah-kaedah pemasaran yang ada diluar sana, lepas tu barulah anda lancarkan bisnes anda sendiri.

 

Katakanlah anda seorang yang pemalu dan segan kalau ada orang tahu yang anda buat bisnes online.

Kalau macam tu, saya syorkan anda jauhkan diri anda dari menggunakan sosial media, sebaliknya fokus untuk buat jualan di laman web Shopee.

 

Dekat situ ada lebih 20 juta pelawat setiap bulan yang bersedia untuk beli barang dari anda. Itu lebih baik daripada anda berniaga di media sosial yang belum tentu ada orang nak beli.

 

Anda boleh rujuk panduan Bisnes Shopee kalau nak belajar macam mana cara nak hasilkan jualan sehingga RM100 ribu di Shopee.

Saya juga pernah tulis review ebook bisnes Shopee sebelum ini.

 

Tapi saya tak suka menjual…

Tak ada masalah.

 

Kalau anda seorang yang tak suka menjual, sebaliknya anda lebih suka menghasilkan produk yang berkualiti tinggi, anda boleh bekerjasama dengan individu yang mahir menjual.

 

Anda fokus untuk berikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan, manakala rakan kerjasama anda fokus untuk cari pelanggan.

 

Setiap orang ada kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Kerja-kerja seperti pemasaran, kerja menjual semua ini boleh di outsource jika anda rasa ianya bukan untuk anda. Ada banyak freelancer diluar sana yang bersedia untuk bekerja untuk anda, asalkan anda memberikan tugasan yang spesifik dan bersesuaian dengan kemahiran yang freelancer tersebut miliki.

 

Kesimpulan

(1) Bagi mengakhiri perkongsian kali ini, saya ingin tegaskan yang anda memang BOLEH bekerja dari rumah. Sama ada nak buat fulltime atau part time semua terserah pada anda.

 

(2) Ada macam-macam kerja yang anda boleh lakukan hanya dari rumah, seperti yang telah saya senaraikan sebelum ini, misalnya seperti kerja data entry, kerja sebagai penterjemah, virtual assistant, pengurus akaun social media, penulis, pereka grafik dan banyak lagi.

 

(3) Kesemua kerja-kerja yang saya senaraikan, memerlukan anda untuk mempunyai kemahiran yang baik dalam bidang-bidang tersebut. Kalau setakat ada keinginan, ada minat tapi anda tak ada skil, itu masih belum cukup untuk melayakkan anda dapat kerja-kerja tersebut.

 

(4) Anda juga perlu mempunyai kelengkapan yang sepatutnya untuk bekerja. Meja kerja, kerusi yang selesa, internet, laptop, dan lain-lain kelengkapan. Semua ini anda yang kena sediakan sendiri.

 

(5) Laman web carian kerja antarabangsa seperti upwork.com dan juga freelancer.com boleh dijadikan tempat untuk bermula.

 

(6) Laman web seperti Jobdirumah hanya dapat membantu anda memberi tunjuk ajar dari mula sampai habis macam mana nak dapatkan kerja. Namun web Jobdirumah tidak menyediakan kerja kosong untuk anda. Mereka hanya sediakan PROGRAM LATIHAN.

(7) Ada juga portal iklan carian kerja kosong untuk freelancer di Malaysia, seperti freelancing.my tapi nampaknya laman web tersebut agak sendu.

 

(8) Kalau anda boleh luangkan masa untuk menulis blog, dan sekali sekala anda bercerita tentang kepakaran yang anda ada dalam blog tersebut, In Shaa Allah anda tak perlu susah payah nak cari klien, sebaliknya klien sendiri yang akan hubungi anda dan mereka sendiri yang akan tawarkan job.

 

(9) Program affiliate dan program dropship adalah cara yang baik untuk bekerja dari rumah secara online. Tak perlu susah payah nak kena interview, hantar resume, dan sebagainya. Lazimnya pendaftaran adalah PERCUMA. Kita fokus pada kerja pemasaran, In Shaa Allah boleh buat duit juga. Sudah tentu anda kena pastikan yang anda telah menggunakan kaedah pemasaran yang betul.

 

(10) Belajar bab pemasaran bukanlah satu perkara yang merugikan. Kemahiran membuat pemasaran secara online boleh digunakan untuk mempromosikan produk milik klien ataupun mempromosikan produk sendiri. Semakin kita mahir dengan kerja pemasaran, semakin tinggi pendapatan yang kita bakal hasilkan melalui program dropship dan juga affiliate.

 

(11) Kalau anda tak suka menjual, carilah individu yang anda selesa untuk bekerjasama. Anda fokus dalam bahagian memberi perkhidmatan kepada pelanggan manakala partner anda fokus pada bab pemasaran dan jualan.

 

(12) Selain itu, anda juga boleh pertimbangkan untuk mengupah freelancer untuk buat kerja-kerja pemasaran yang spesifik untuk anda.

 

Baiklah, semoga perkongsian ini membantu anda. Saya harap selepas anda baca apa yang saya kongsikan disini, anda dah tak perlu pening-pening sebab tak tau macam mana nak cari kerja part time yang boleh dilakukan hanya dari rumah.

 

 

 

Exit mobile version