Blog Sabree Hussin

Jadilah Pengguna Bijak – Apa ciri-ciri pengguna bijak?

“JADILAH PENGGUNA BIJAK…”

 

Saya tak dapat kira, entah dah berapa kali saya dengar ayat ni. “Jadilah pengguna bijak…” Sampai satu tahap, saya rasakan seolah-olah semua marketer akan menggunakan ayat “jadilah pengguna bijak” ni untuk menghasut orang ramai supaya beli produk yang mereka promosikan.

 

Pernah juga saya terfikir nak gunakan ayat tersebut dalam kempen pemasaran yang saya jalankan. Tapi tak sampai hati pulak. Seolah-olah bila guna ayat tu, saya seperti sedang kata kepada orang lain yang buat keputusan untuk tidak beli produk yang saya promosikan adalah “tidak bijak”.

 

Habis tu dah korang yang kata pengguna bijak adalah pengguna yang memilih jenama sekian… sekian… Bagaimana pula dengan orang lain yang tidak mahu gunakan produk tersebut? Adakah mereka ini tidak bijak? Susahkan nak jawab soalan tersebut.

 

Jadi, saya pun buat keputusan untuk buat brainstorming. Matlamat saya adalah untuk melakukan senaraian, apa dia ciri-ciri dan karekter seorang pengguna yang layak untuk kita katakan sebagai pengguna yang bijak.

 

Mengejutkan, kerana jawapannya langsung tak ada kaitan dengan mana-mana jenama pilihan mereka atau mana-mana produk yang dipromosikan oleh mana-mana marketer. Jadi, khusus untuk pembaca blog ini, saya persembahkan kepada anda, ciri-ciri pengguna bijak.

Ciri-ciri pengguna yang bijak

Ketika menghasilkan penulisan ini, saya mengharapkan agar pembaca dapat mengambil serba sedikit manfaat daripada perkongsian ini. Saya mengharapkan agar selepas membaca perkongsian ini, pembaca dapat membuat keputusan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

 

Jika sebelum ini, ciri-ciri yang saya kongsikan disini tak pernah ada dalam diri anda, mungkin selepas ini anda dapat mendidik dan melatih diri anda untuk mempunyai ciri ini. In Shaa Allah semuanya adalah untuk kebaikkan diri anda sendiri.

 

Justeru, tanpa membuang lebih banyak masa, ini dia ciri-ciri pengguna bijak.

 

(1) Membuat senarai barangan yang hendak dibeli

Kita bermula dengan ciri yang paling asas terlebih dahulu. Ciri yang saya maksudkan adalah membuat senarai barangan yang hendak dibeli. Membuat senarai barang yang hendak dibeli adalah satu perkara yang agak remeh dan selalu ditinggalkan oleh ramai orang.

 

Namun sebenarnya, tindakan ini adalah sangat penting dan mempunyai banyak manfaat. Apabila anda membuat senarai barang,

i. Anda tahu apakah barang yang perlu dibeli

ii. Anda tahu apakah barang yang sebenarnya tak perlu beli

iii. Anda dapat mengelakkan daripada terlupa membeli sesuatu barang

iv. Anda dapat melindungi diri anda daripada tersalah membeli barang

v. Dapat menjimatkan masa dan duit anda semasa shopping

Jika sesuatu barang yang dipromosikan kepada anda tak ada dalam senarai barang yang hendak dibeli, terus tinggalkan promoter tersebut. Ucap sahaja terima kasih dan berikan jawapan tak berminat.

 

(2) Menyediakan bajet

Seterusnya adalah menyediakan bajet, berpandukan kepada senarai barang yang telah kita sediakan pada langkah yang pertama. Walaupun kita sudah menghasilkan senarai barang, tak bermaksud kita perlu beli semua barang yang kita senaraikan pada hari yang sama.

 

Lihat semula item yang terdapat pada senaraian tadi. Anda boleh labelkan daripada senarai tersebut, mana satu barang yang dikategorikan sebagai penting, perlu beli segera, barangan kehendak, barangan keperluan, barangan yang boleh ditangguh pembeliannya dan sebagainya.

 

Semasa membuat bajet ini juga, kita boleh buat perancangan, bagaimana cara untuk kita dapatkan duit untuk beli sesuatu barang. Kadang-kadang kita baru perasan, yang sebenarnya kita tak ada duit untuk beli sesuatu barang. Selama ini, kita tak pernah berfikir panjang sebelum buat pembelian. Kalau rasa duit tak cukup, boleh swipe kad kredit.

 

Tapi kalau kita betul-betul berlaku jujur dengan diri kita sendiri, kita sebenarnya perlu utamakan mana satu yang lebih penting. Mana satu kemahuan dan mana satu keperluan. Adakalanya tak perlu sampai kita berhutang, untuk beli sesuatu barangan.

 

(3) Mereka membuat perbandingan sebelum membuat sebarang pembelian

Sebelum membuat sebarang keputusan untuk membeli sesuatu produk, perkara pertama yang akan mereka lakukan ialah membuat perbandingan. Bercakap mengenai membuat perbandingan, mereka akan membuat perbandingan dari segi

 

i. Harga

Sesuatu produk boleh jadi mempunyai harga yang berbeza, bergantung kepada situasi.

 

Harga yang biasa kita lihat dipaparkan di kedai dan premis perniagaan, itu adalah harga runcit sesuatu produk. Kedai yang berbeza mungkin akan menawarkan harga yang berbeza. Kalau terdapat perbezaan harga jualan antara kedai yang berbeza, itu merupakan satu perkara yang biasa berlaku.

 

Jika kita beli sesuatu produk lebih dari satu unit, kita mungkin boleh dapatkan potongan harga dan meminta untuk bayar dengan harga borong. Biasanya untuk dapatkan harga borong, kita perlu beli dalam kuantiti yang agak besar. Jika anda ingin menjual semula produk tersebut, bolehlah memborong barangan yang anda hendak beli.

 

Sekiranya kita beli terus dari kilang, harga yang kita perlu bayar mungkin lebih murah, dengan syarat kita beli dalam satu kuantiti yang agak besar. Kita panggil ia sebagai harga kilang. Walaubagaimanapun, beli dalam kuantiti yang banyak sedangkan kita hanya perlu satu unit sahaja semata-mata sebab nak dapatkan harga murah bukanlah satu idea yang baik.

 

Kemudian, ada sesetengah penjual yang menganjurkan program dropship bagi tujuan mendapatkan lebih banyak jualan. Program ini selalunya dibuka kepada orang ramai yang minat untuk bersama-sama dengan penjual tersebut menjana pendapatan online. Menariknya, setiap ejen dropship akan ditawarkan harga yang lebih murah, mungkin 5% – 20% lebih murah berbanding harga pasaran. Kita namakan harga ini sebagai harga dropship.

 

Sebagai contoh, program dropship yang dianjurkan oleh syarikat penerbitan buku PTS Bookcafe Sdn Bhd.

Jika anda mendaftar sebagai ejen dropship disini, anda boleh beli buku-buku keluaran syarikat PTS Bookcafe Sdn Bhd dengan harga lebih murah, berbanding orang lain yang perlu bayar harga biasa atau harga runcit.

 

Selain itu, ada juga harga promosi. Harga promosi ini biasanya muncul mengikut musim-musim tertentu. Sebagai contoh sempena musim perayaan, cuti sekolah dan sebagainya. Ada juga harga promosi ditawarkan bertujuan untuk menghabiskan stok produk lama yang masih berbaki. Harga sudah tentu lebih murah berbanding harga biasa.

 

Selain itu, ada juga penjual yang menawarkan potongan harga dalam bentuk rebat. Katakanlah penjual tersebut menawarkan rebat sebanyak 1%. Justeru, setiap pembelian yang kita lakukan kita akan dapat semula duit kita sebanyak 1%. Sebagai contoh, jika harga produk ialah RM100, kita akan dapat rebat 1% bersamaan dengan RM1.

 

Untuk pengetahuan anda, setiap pembelian yang dilakukan dilaman web ini, anda akan menerima rebat (atau cash back) sehingga 3.5%!

Sebagai pembeli yang bijak, sudah tentu anda mahukan harga yang terbaik yang mampu anda perolehi. Cuma untuk dapatkan harga terbaik ini, anda perlulah melakukan perbandingan harga terlebih dahulu.

 

Pada hari ini, sangat mudah untuk buat perbandingan harga. Saya sendiri akan menggunakan laman-laman web seperti Lazada Malaysia, Zalora, Shopee, PG Mall, lelong dan sebagainya untuk buat perbandingan harga.

 

Tak perlu tergesa-gesa untuk buat tempahan, terutama sekali apabila anda melihat iklan produk tertentu di laman media sosial. Sebelum beli, buat dulu perbandingan harga. Jika harga yang ditawarkan itu berbaloi barulah beli.

 

Of course, kalau anda beli sebab nak bantu penjual, maka tak perlulah buat perbandingan harga. Terima sahaja what ever price yang penjual tu dah tetapkan. Manalah tahu, anda memang kenal secara personal penjual tersebut, dan anda memang dah pasang niat nak bantu dia berniaga dengan membeli produk jualan mereka tanpa banyak soal.

 

Bercakap soal perbandingan, sebenarnya sebagai pembeli yang bijak, mereka bukan sekadar membuat perbandingan dari segi harga semata-mata. Sebaliknya perbandingan itu perlu diluaskan lagi. Antaranya ialah mereka akan bandingkan antara produk yang dikeluarkan oleh jenama yang berbeza, model yang berbeza dan sebagainya.

 

Misalnya, kalau nak beli penyaman udara, biasanya akan timbul persoalan, sama ada nak beli yang ada inverter atau non inverter? Kalau nak beli televisyen, patutkah beli TV LED, smart tv, android tv atau apple tv?

 

ii. Jenama

Syarikat yang berbeza, juga ada mengeluarkan produk yang lebih kurang sama. Apa yang membezakannya? Adakalanya hanyalah jenama, dan mungkin beberapa ciri tambahan. Namun dari segi fungsi, ianya lebih kurang sama sahaja. Saya beri contoh smartphone. Pada hari ini terdapat banyak syarikat yang mengeluarkan jenama smartphone yang berbeza.

 

Dari segi fungsi smartphone secara umumnya, ianya lebih kurang sama sahaja. Hanya membezakannya adalah ciri tambahan. Sebagai pembeli, apakah ciri smartphone yang anda akan berikan keutamaan? Adakah anda

 

iii. Model

Kebiasaannya, untuk sesuatu jenama biasanya terdapat beberapa model yang kita boleh pilih. Lazimnya, model terkini adalah lebih baik berbanding model sebelumnya.

 

iv. Penjual

Pembeli yang bijak juga akan cari mana-mana penjual yang mampu untuk memberikan harga terendah untuk produk atau barangan yang mereka mahukan. Atau sekiranya harga yang ditawarkan semuanya sama, mereka akan cari penjual yang mampu memberikan free gift yang paling menarik.

 

Jika tiada free gift sekalipun, mereka akan cuba dapatkan penjual yang mampu memberikan perkhidmatan yang paling bagus.

 

(4) Pembeli yang bijak akan membeli dengan penjual yang dikenali

Kita membuat pembelian hanya dari penjual yang kita kenali bagi tujuan melindungi diri daripada menjadi mangsa scammer. Maklumlah zaman sekarang ini ada terlalu banyak scammer yang cuba mencari peluang untuk mencuri duit kita, dan menipu kita jika kita tak berhati-hati.

 

Kalau kita perhatikan iklan di internet mahupun di media sosial, kadang-kadang kita akan terjumpa iklan produk yang agak meragukan.

 

Iklan ubat kurus.

Iklan ubat kuat.

Iklan jualan smartphone dengan harga yang tak masuk akal.

 

Bagi mereka yang memang cukup faham dengan penipuan yang kerap kali berlaku diinternet mahupun di media sosial, mereka tak akan terus terpedaya dengan iklan sedemikian. Namun sayangnya, bukan semua orang boleh berfikir dengan waras apabila ditawarkan satu tawaran yang sangat menarik.

 

Sebagai langkah berhati-hati, apabila anda ingin melakukan sebarang urusniaga, pastikan hanya melakukan transaksi dengan individu atau syarikat yang anda boleh percayai sahaja.

 

(5) Mereka membuat pembelian ketika promosi besar-besaran dijalankan

Pada waktu catatan ini ditulis, emel saya dipenuhi dengan preview tawaran promosi besar-besaran yang akan dijalankan sempena dengan acara Black Friday. Selepas Black Friday, bakal disusuli pula dengan kempen promosi Cyber Monday.

Kebiasaannya, sempena dengan Black Friday ataupun Cyber Monday ni, memang akan ada banyak potongan harga ditawarkan. Pengguna yang bijak akan memanfaatkan waktu-waktu ini untuk buat pembelian. Selepas ini, harga yang sama mungkin dah tak akan ditawarkan lagi.

 

Kena tunggu Black Friday dan juga Cyber Monday untuk tahun akan datang. Itupun jika ada lagi.

 

Selain ketika Black Friday dan juga Cyber Monday, waktu lain adalah sempena dengan musim perayaan. Pada waktu ini, banyak juga shopping mall akan tawarkan promosi dan diskaun besar-besaran. Ataupun boleh juga tunggu promosi yang dilakukan ketika tarikh unik seperti 1hb 1, 2hb 2 dan seterusnya. Promosi seperti ini biasa dilakukan setiap bulan.

 

(6) Mereka beli dengan harga diskaun ataupun gunakan kupon diskaun

Sebelum buat pembayaran, cuba cari dulu di internet, manalah tahu kalau-kalau anda boleh jumpa kupon diskaun.

 

Bagi menggalakkan orang ramai untuk berbelanja secara online, sesetengah penjual akan menawarkan kod kupon diskaun. Contohnya adalah seperti Lazada Malaysia.

Pihak Lazada Malaysia ada menawarkan Voucher Diskaun Lazada istimewa yang boleh digunakan sempena Online Revolution 2016 ini. Dengan menggunakan kupon diskaun ni, pengguna boleh dapatkan potongan harga tambahan sebanyak 20% ataupun maksimum RM25 bagi pembelian yang dilakukan.

 

Masukkan sahaja kod diskaun 20LAPOR25 ketika membuat pembayaran.

 

(7) Untuk menjimatkan kos, mereka beli secara online

Cuba fikirkan sejenak. Apa agaknya kos yang mampu dijimatkan apabila beli secara online? Antaranya yang terlintas di fikiran saya ialah, kos pengangkutan, petrol, tol, parking, masa, dan kos untuk makan di luar.

 

Kadang-kadang bila kita berada di shopping mall, tarikan untuk kita berbelanja dan beli benda-benda yang tak perlu sangat besar. Sebaliknya kalau beli secara online, kita hanya beli apa yang kita nak sahaja.

 

Begitu juga dengan faktor masa. Bila kita beli di shopping mall, kita terpaksa bergerak dari satu rak ke satu rak untuk pilih barang-barang yang kita nak beli. Berbeza pulak dengan beli secara online. Sangat mudah untuk pilih barang.

 

Kebanyakkan laman web ecommerce mempunyai fungsi carian. Anda hanya perlu taip sahaja apa nama barang yang anda nak beli tu, dan dalam masa beberapa saat anda dah boleh jumpa barang yang anda nak beli.

 

Tahukah anda, sekarang ni barangan dari Mydin pun kita boleh beli secara online? Produk Mydin boleh dibeli melalui laman web ini. Kalau anda tak ada kesempatan nak pergi ke Mydin, boleh beli secara online sahaja.

 

(8) Pengguna yang bijak akan sentiasa memeriksa label sebelum membuat pembayaran

Pengguna yang bijak akan sentiasa periksa label. Dari label tu, pelbagai maklumat boleh diketahui, antaranya maklumat nutrisi, logo halal, negara asal produk diimport, kelulusan KKM, bila tarikh expired, bahan-bahan yang digunakan dan banyak lagi.

 

Bagi produk yang diimport dari luar negara, lazimnya ia tak mempunyai logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM. Sebaliknya, logo halal dikeluarkan oleh negara asal produk tersebut. Disini, kita perlu ambil tahu, antara senarai logo halal dari pelbagai negara berbeza yang diiktiraf oleh JAKIM.

Jadi bila satu hari nanti, kita terjumpa produk yang logo halalnya agak asing berbanding yang selalu kita lihat, bolehlah kita semak dulu sama ada perakuan halal tersebut datang dari Badan Pensijilan Halal yang diiktiraf oleh JAKIM atau tidak.

 

Saya pernah bertembung dengan individu yang hanya percaya pada logo halal keluaran JAKIM sahaja. Bagi dirinya, logo halal yang dikeluarkan oleh badan pensijilan negara luar masih ada ruang untuk kita rasa was-was. Boleh jadi dia cuma ingin berhati-hati sahaja. Tak apalah, itu hak dia. Cuma saya agak tak bersetuju apabila individu seperti ini cuba menyebarkan rasa was-was kepada orang lain, sedangkan pihak JAKIM sendiri sudah mengiktiraf badan-badan pensijilan ini.

 

Satu lagi mengenai pengguna bijak ini ialah selalunya mereka ingin tahu secara terperinci berkenaan dengan produk yang bakal dibeli. Tak salah kan untuk ambil masa bagi memahami perincian tentang produk atau barangan yang bakal dibeli.

 

Lebih-lebih lagi jika produk adalah produk makanan. Sedikit sebanyak kita perlu tahu maklumat berkenaan dengan nutrisi. Jangan pula bila dengar je jurujual tu kata makanan ni bagus sebab ia “makanan sunah” anda terus tak sabar nak beli. Anda perlu baca juga apakah kandungan produk tersebut. Jika ianya merupakan campuran antara madu, kurma dan sebagainya, produk tersebut mungkin tinggi dari segi kandungan gulanya. Ini bermakna produk itu langsung tak sesuai diambil oleh mereka yang menghidap penyakit kencing manis.

 

(9) Pembeli bijak akan mengutamakan kualiti berbanding jenama semata-mata

Ini bermaksud, jika harga sesuatu produk itu tak masuk akal, hanya kerana ianya berjenama, maka dia tak akan beli produk tu. Dia tak akan biarkan dirinya menjadi mangsa jenama.

 

Saya cakap secara umum sahaja. Kebanyakkan barangan yang ada dipasaran dijual dengan harga yang agak tinggi, kerana faktor jenama. Jenama produk yang sudah terkenal seolah-olah memberikan mereka lesen untuk mengenakan harga yang lebih tinggi berbanding produk yang dikeluarkan oleh syarikat pesaing.

 

Sedangkan apa yang kita perlukan bukan sekadar jenama atau logo yang mudah dikenali, sebaliknya kita mahukan produk yang berkualiti.

 

(10) Sesuatu barangan tersebut dibeli sebab ianya diperlukan bukan sebab ia murah ataupun sebab ada duit

Tak ada istilah show off dalam hidupnya. Sesuatu produk atau perkhidmatan itu dibeli kerana ianya diperlukan. Ini juga bermakna pengguna tersebut FAHAM dengan jelas, mengapa dia buat keputusan untuk membeli.

 

Sebarang tawaran-tawaran diskaun tak masuk akal yang hanya sah dalam tempoh 24 jam sahaja tidak mampu untuk menarik minat mereka untuk membeli. Pengguna yang bijak dapat membezakan antara keperluan dengan saja-saja nak beli tanpa sebab.

 

Just because barang tersebut murah tak bermaksud anda akan guna barang tu bila dah beli. Soalan saya, pernah tak anda beli sesuatu barang tu sebab barang tu murah? Apa jadi lepas anda dah beli? Adakah anda guna produk tersebut, atau anda simpan je produk tu dalam almari?

 

(11) Pembeli yang bijak akan kumpul mata ganjaran bagi ditukarkan dengan kupon diskaun atau hadiah percuma

Walaupun pembelian yang mereka lakukan tidak mendapat potongan harga, mahupun mendapat sebarang rebat ataupun hadiah percuma, namun dengan adanya fungsi kumpul mata ganjaran, ini juga satu tindakan yang bijak.

 

Kebiasaannya mata ganjaran ini apabila dikumpulkan dan bila ia cukup banyak, boleh ditukarkan dengan hadiah percuma (jimat dah sebab tak perlu beli sendiri) ataupun akan dapat ditukarkan dengan voucher diskaun.

 

Biasa yang saya perhatikan yang boleh kumpul mata ganjaran ialah seperti Tesco, Petrol pump, Air Asia, dan banyak lagi.

 

(12) Pembeli yang bijak juga akan dibayar apabila mengesyorkan produk yang digunakan

Ini juga bermakna pengguna tersebut tidak akan bercerita tentang sesuatu produk yang digunakan tak tentu pasal. Orang tak tanya pun apa produk yang dia gunakan, tapi dia sibuk nak advertise produk tersebut macamlah dia dapat share.

 

Benda ni biasa jadi untuk produk seperti tayangan filem. Bila ada je movie yang baru, sibuk nak bercerita kat semua orang betapa bestnya movie tersebut. Padahal buat penat je dia cerita, bukannya dapat apa pun.

 

Sudah tentu, jika produk tersebut memang benar-benar ada manfaat dan baik untuk masyarakat, tak salah untuk bercerita tentang produk tersebut.

 

Namun pada hari ini kita boleh buat duit dengan cara kita bercerita tentang sesuatu produk atau perkhidmatan yang kita sukai. Di internet, ada satu program yang dinamakan sebagai program affiliate yang kita boleh sertai yang membolehkan setiap orang menjana pendapatan tambahan dengan mempromosikan produk milik syarikat dan jenama terkenal.

 

Contohnya kita baru balik bercuti dan seronok dengan pengalaman penginapan di hotel yang kita booking. Dalam keadaan ini, kita boleh bercerita mengenai hotel tersebut dan dalam penceritaan yang sama kita berikan juga link untuk buat tempahan. Jika ada pembaca yang tertarik untuk menginap di Hotel yang sama, anda akan dibayar komisen jika individu tersebut membuat tempahan melalui link affiliate anda.

 

(13) Mereka akan berbelanja di tempat yang boleh memberikan rebat

Sebelum itu, tahukah anda apa maksud rebat?

 

Menurut lama web Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah rebat ini membawa maksud “potongan daripada sejumlah bayaran yang kena dibayar atau pemulangan sebahagian daripada amaun yang telah dibuat sebagai bayaran.” 

Atau dalam erti kata lain, rebat ni maksudnya kita akan dapat balik sejumlah wang yang telah kita belanjakan mengikut kadar peratusan tertentu yang telah dijanjikan oleh pihak penjual. Sebagai contoh, jika pihak menjual menjanjikan rebat sebanyak 1% setiap kali kita berbelanja dengan pihak mereka, bermakna jika kita berbelanja sebanyak RM100, kita akan dapat balik RM1.

 

Bukan semua perniagaan ada menawarkan rebat. Hanya perniagaan tertentu sahaja yang memberikan rebat kepada pelanggannya. Salah satu yang saya boleh syorkan adalah laman web PG Mall.

Kalau anda belum pernah ada akaun dengan PG Mall boleh ke pautan ini untuk daftar akaun secara percuma sahaja.

 

(14) Mereka mampu untuk buat duit sampingan melalui barang yang mereka sendiri gunakan

Benda ni mungkin tidak terpakai kepada semua orang. Jika ia kurang relevan dengan situasi anda, boleh abaikan sahaja.

 

Biasanya barangan yang termasuk dalam kategori ini, adalah barangan yang diedarkan menggunakan konsep Network Marketing. Disamping menjadi pengguna produk secara berkala, anda juga boleh mempromosikan produk tersebut kepada orang ramai dan jika ada yang berminat untuk jadi pengguna juga seperti anda, anda akan diberi komisen.

 

Contohnya macam produk simkad Tone Excel, simkad ONEXOX dan sebagainya. Anda boleh jadi pengguna sahaja tanpa perlu bercerita tentang kelebihan produk yang anda gunakan. Itu juga tak ada masalah. Namun kalau nak buat duit, apa salahnya bercerita. Bukan kena bayar pun. Hanya perlukan sedikit usaha untuk perkenalkan produk dan cerita apa kelebihannya.

 

Selain daripada itu, anda juga boleh mula mengubah tempat anda berbelanja kepada laman web PG Mall untuk anda dapatkan rebate bagi setiap perbelanjaan yang anda lakukan disana.

 

(15) Mereka memastikan bahawa setiap transaksi yang dilakukan ada nilainya

Jika barangan yang dibeli tu harganya RM39.90 mereka akan pastikan bahawa nilai barangan tersebut adalah setara dengan harga yang perlu dibayar.

 

Sebelum buat sebarang bayaran, ataupun setuju untuk lakukan urusniaga, tanyakan soalan kepada diri anda, adakah berbaloi untuk membayar jumlah ini untuk dapatkan barang ini?

 

Adakah harga jual yang ditawarkan ini sepadan dengan kos yang mungkin perlu dikeluarkan untuk menyiapkan barangan tersebut?

 

(16) Pengguna yang bijak tahu dan sedar akan haknya

Saya nak bagi contoh situasi. Salah satu restoran Fast Food yang saya suka pergi ialah KFC. Walaupun benda ni jarang berlaku, tapi sesekali ia akan berlaku. Mungkin sebab restoran fast food seperti ini selalu bertukar ganti staffnya, jadi nak dapatkan staf yang benar-benar mahir tu memang agak sukar.

 

Saya percaya, sebagai pelanggan, kita berhak mendapat layanan dan servis seperti mana yang kita mahukan. Lagipun kita bayar apa yang kita nak, bukannya kita minta secara percuma. Ini juga bermaksud, bila kita order set dinner plate, dan kita mahukan dua thigh dan satu drumpstick, itulah yang kita patut dapat. Manakala pihak restoran kena sediakan apa yang kita nak beli, tanpa perlu bersoal jawab.

 

Lagipun kita bukan datang nak mintak simpati, kita datang sebab nak beli. Jadi, apabila apa yang diminta oleh pelanggan tak sama dengan apa yang diberi oleh penjual, maka dari segi nilai, transaksi tersebut jadi tak ada nilai.

 

Tak guna buat jual beli seperti itu jika satu pihak tidak gembira sedangkan pihak yang satu lagi mempunyai kemampuan untuk memberikan apa yang dimahukan oleh pelanggan.

 

(17) Pembeli yang bijak juga tahu tentang polisi pemulangan wang dan penukaran barang

Pernah tak anda lalui satu pengalaman pembelian dimana anda tak berpuas hati dengan barang yang anda beli? Saya percaya semua orang pasti pernah lalui pengalaman ini sekurang-kurangnya sekali.

 

Persoalannya ialah, apa tindakan yang anda ambil seterusnya? Adakah anda hanya berdiam diri dan terpaksa terima seadanya walaupun rasa tak puas hati, atau adakah anda berbuat sesuatu seperti meminta refund atau tukar kepada produk yang baru.

 

Perkara ini memang nampak remeh, tapi hakikatnya memang ada pengguna yang tak tahu haknya dan tak tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya produk yang dibeli tak sama seperti yang diiklankan.

 

Ataupun boleh jadi juga satu keadaan dimana produk yang diterima sama seperti yang diiklankan tetapi apabila sampai ke tangan pembeli, produk tersebut terdapat kerosakkan. Dalam hal ini, siapa yang perlu bertanggungjawab?

 

Ya, memang betul kerosakkan itu mungkin berlaku semasa penghantaran.

 

Namun, adakah wajar untuk pembeli menanggung risiko kerosakkan tersebut seratus peratus? Sebagai pembeli yang bijak, anda perlu tahu apa yang patut dilakukan jika berdepan dengan situasi seumpama ini.

 

(18) Ambil tahu kemana perjalanan duit anda yang bakal dibelanjakan

Setiap kali kita membeli sesuatu barang, kita sebenarnya telah menyokong perniagaan yang dijalankan oleh individu tersebut. Matlamat setiap perniagaan adalah untuk membuat keuntungan.

 

Apa yang bakal dilakukan pada keuntungan yang diperolehi itu sememangnya seraus peratus hak pemilik perniagaan tersebut. Pernahkah anda bertemu ahli perniagaan yang mempunyai karekter yang agak diragui dan secara terang-terangan melakukan perkara yang melanggar nilai agama, norma masyarakat dan sebagainya?

 

Peniaga seperti ini, wajarkah untuk kita sokong perniagaan mereka sedangkan diluar sana masih terdapat banyak lagi alternatif. Pendapat saya secara peribadi, daripada kita sokong peniaga seperti itu, lebih baik kita sokong orang lain yang mempunyai karekter dan nilai peribadi yang lebih baik.

 

(19) Melindungi diri dari sebarang kerugian yang melampau sebelum membuat pembelian

Bagaimana cara untuk mengelakkan sebarang kerugian yang melampau, yang mungkin timbul, setelah kita membuat sesuatu pembelian? Adakah terdapat caranya?

 

Sudah tentu jawapannya ada.

 

Pertama sekali, sebelum membuat sebarang pembelian, kita perlu tanyakan dulu kepada penjual, adakah pembelian yang bakal kita lakukan nanti dilindungi oleh sebarang jaminan ataupun waranti.

 

Kita bercerita mengenai jaminan terlebih dahulu. Jaminan ini biasanya datang dalam bentuk janji daripada penjual bahawa barang yang kita beli adalah produk yang original (asli) dan bukannya produk tiruan ataupun produk terpakai yang telah diperbaharui (refurbished).

 

Selain kita perlu tahu bahawa produk tersebut dijamin original, sebagai pengguna kita juga perlu jaminan bahawa produk tersebut berkesan dan mampu berfungsi seperti yang diiklankan.

 

Bagaimana jika setelah pembelian dilakukan, terbukti bahawa barangan tersebut tak berkesan seperti yang diiklankan, ataupun kita telah terbeli produk tiruan? Dalam situasi ini kita perlu dapatkan ganti rugi dari penjual.

 

Kedua adalah mengenai waranti. Waranti ini juga merupakan satu bentuk jaminan daripada penjual kepada pembeli. Dalam konteks waranti, jaminan yang diberikan oleh penjual kepada pembeli adalah dalam bentuk janji bahawa pihak penjual akan membaiki atau menukar produk kepada yang baru tanpa sebarang kos tambahan kepada pembeli dalam tempoh jaminan jika produk yang dibeli menghadapi sebarang masalah, yang bukan berpunca daripada kecuaian pengguna itu sendiri.

 

Dalam keadaan yang berbeza, ada juga satu situasi di mana pembelian kita tak dilindungi oleh apa-apa gerenti mahupun waranti. Sebagai contoh, pembelian ticket kapal terbang.

 

Apakah risiko yang bakal dihadapi oleh kebanyakkan pemegang ticket kapal terbang? Ada beberapa risiko, Misalnya

(1) Jadual penerangan yang ditukar di minit-minit akhir

(2) Anda terlepas kapal terbang

(3) Bagasi anda hilang

(4) Anda jatuh sakit dan tak dapat menaiki penerbangan tersebut

(5) Atas sebab-sebab tertentu, anda dihalang untuk menaiki kapal

 

Dalam contoh situasi diatas, apakah caranya untuk anda melindungi diri anda daripada terpaksa menanggung kerugian yang lebih besar?

Jawapannya adalah dengan mengambil pelan perlindungan insurans atau takaful.

 

(20) Membeli ikut kemampuan

Berbelanja mengikut kemampuan, atau ukur baju dibadan sendiri. Ini merupakan nasihat yang mungkin selalu kita dengar, namun agak sukar untuk kita turuti. Lebih-lebih lagi kalau apa yang kita nak beli itu adalah sesuatu yang dah lama kita idam-idamkan.

 

Berhutang tanda tak mampu?

Betul ke orang yang berhutang untuk membeli sesuatu itu bermaksud dia belum betul-betul mampu untuk membeli barangan tersebut? Sebenarnya tiada jawapan yang dapat memuaskan hati semua pihak. Bagi persoalan ini, jawapannya boleh jadi betul, dan boleh jadi tak betul.

 

Bagi individu yang masih belum ada kemampuan, berhutang adalah satu cara untuk memudahkan dia membeli sesuatu barang. Sudah tentu dengan syarat dia mampu untuk membayar ansurannya.

 

Manakala untuk sesetengah individu, dia memilih untuk berhutang sebagai strategi kewangan. Dia ingin membeli sebuah kereta berharga RM100,000 dan dia mampu untuk beli secara tunai. Tapi dia memilih untuk berhutang sebabnya dia lebih selesa kalau dia mempunyai duit tunai dalam simpanannya.

 

(21) Pembeli yang bijak juga faham perbezaan antara aset dan liabiliti

Kalau kita mempunyai pendapatan dan sumber kewangan yang tiada had, mungkin kita tak perlu risau mengenai apa itu aset dan juga liabiliti.

 

Kita boleh beli apa sahaja tanpa perlu memikirkan kesan sampingan yang bakal kita hadapi kelak. Namun hakikatnya majoriti daripada kita mempunyai sumber kewangan yang terhad dan kita perlu berbelanja dengan berhemah.

 

Apa perbezaan antara aset dan liabiliti?

Terdapat perbincangan yang panjang apabila menyentuh topik mengenai aset dan liabiliti. Namun, dalam posting ini saya akan sentuh secara ringkas sahaja.

 

Aset

Aset adalah sesuatu yang membuatkan aliran duit masuk ke akaun atau poket kita semakin bertambah apabila dibeli.

 

Liabiliti

Perbelanjaan yang menyebabkan duit kita semakin berkurangan.

 

Sesuatu barang yang sama, boleh jadi satu aset atau liabiliti kepada pemiliknya bergantung kepada cara beliau menguruskan barangan tersebut.

 

Sebagai contoh, rumah. Adakah rumah merupakan satu liabiliti atau aset? Jawapannya adalah bergantung kepada cara kita menguruskan rumah tersebut.

 

Jika kita beli rumah tersebut untuk kegunaan sendiri, ia boleh jadi satu liabiliti kerana kita perlu bayar macam-macam perkara, misalnya cukai pintu, ansuran bank, bil dan sebagainya.

Namun, jika rumah tersebut kita beli untuk disewakan, rumah ini akan memberikan aliran tunai masuk ke akaun kita. Dalam keadaan ini, rumah tersebut adalah aset untuk kita.

 

Sudah tentu, penerangan ini adalah secara ringkas sahaja.

 

Kenapa kita susah nak bina kekayaan?

Salah satu sebabnya adalah berpunca dari tindakan kita tidak merancang perbelanjaan dan banyak menghabiskan duit kita untuk membeli liabiliti berbanding membeli aset.

 

Setiap kali keluar model smartphone terkini, kita pun akan segera buat tempahan.

Bila dapat durian runtuh, misalnya dapat bonus yang besar, kita pun mula merancang untuk membeli kereta baru sedangkan kereta yang ada sebelum ini tak ada sebarang masalah pun.

 

(22) Pembeli yang bijak tidak akan biarkan penjual mempengaruhi emosinya

Pernah tak anda merasakan seolah-olah anda terhutang budi dengan seseorang penjual sebabnya dia telah membantu menjawab semua pertanyaan anda mengenai sesuatu produk, sehinggakan anda merasakan seolah-olah anda mesti membuat pembelian hanya dari penjual itu sahaja?

 

Ataupun mungkin anda pernah terserempak dengan seorang jurujual yang memulakan bicara dengan memperkenalkan diri sebagai seorang yang susah dan mengharapkan anda dapat bantu dia dengan membeli barangan yang dijual olehnya.

 

Saya rasa anda mesti pernah bertemu individu seperti ini. Saya cukup benci penjual seperti ini. Mereka cuba untuk memanipulasi emosi kita dan mengharapkan kita bantu mereka dengan cara beli produk yang mereka jual, sedangkan produk yang mereka jual harganya tersangatlah luar biasa mahalnya.

 

Kalau jumpa penjual seperti ini, lari jauh-jauh. Jangan tunggu terlalu lama dan berikan dia lebih banyak peluang untuk mempengaruhi emosi anda dengan cerita-cerita sedih yang kita sendiri tak tau kesahihannya.

 

Baiklah, saya rasa sampai sini sahaja perkongsian kali ini.

Ada tak ciri-ciri ni semua pada diri anda ya?

 

 

Kemaskini

1. 27 May 2022

 

Exit mobile version