Blog Sabree Hussin

Bisnes bakeri memang menguntungkan bagi mereka yang bijak mengambil peluang

Adakah anda setuju jika saya katakan yang bisnes bakeri adalah bisnes jenis bermusim?

 

Kebiasaannya apabila menjelang musim perayaan atau musim cuti sekolah baru lah permintaan untuk produk bakeri meningkat.

 

Mungkin ada yang masih lagi tak berapa jelas apakah dia contoh-contoh produk bakeri? Produk bakeri adalah seperti muffin, kek, brownies, cupcake, roti, kuih dan sebagainya. Ada banyak lagi contoh produk bakeri yang anda boleh ketahui di sini.

Apa kaitan antara permintaan terhadap produk bakeri dengan musim cuti sekolah?

 

Musim cuti sekolah selalu dipilih untuk diadakan majlis kenduri perkahwinan. Selain hidangan utama seperti nasi minyak, kita boleh lihat akan ada juga hidangan sampingan iaitu produk bakeri. Kadang-kadang produk bakeri ini dijadikan sebagai door gift dengan sedikit hiasan pada kotak pembungkusannya.

 

Sebenarnya saya berpendapat produk bakeri ini boleh dijual sepanjang tahun. Tak semestinya kita hanya mensasarkan untuk buat bisnes ini pada musim perayaan atau musim cuti sekolah semata-mata.

 

Permintaan terhadap produk ini sebenarnya memang ada. Cuma ia terpulang kepada kita sama ada kita nampak peluangnya ataupun tidak.

 

Contohnya produk kek.

 

Kek memang sesuai untuk dihidangkan ketika majlis sambutan hari lahir. Setiap hari pasti akan ada seseorang yang akan menyambut hari lahir. Cuba lihat pada kawan-kawan kita di Facebook. Bukankah hampir setiap hari Facebook akan memberitahu kita bahawa pada hari tersebut ada seorang daripada kawan kita yang menyambut hari lahir.

 

Ini bermakna setiap hari pasti ada orang menyambut hari ulang tahun kelahiran.

 

Budaya memberi kek kepada orang yang menyambut hari lahir tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat kita, mungkin sebab harga kek yang agak mahal.

 

Tetapi kalau kek tersebut adalah dari jenis homemade dan anda tahu bagaimana untuk mengurangkan kos pembuatannya tapi masih lagi sedap dan nampak menarik, saya percaya anda akan dipilih untuk menjadi pembekal kek tersebut.

 

Konsepnya adalah memberi kek ucapan hari lahir. Kalau harga kek tak mahal, baik bagi kek daripada bagi kad ucapan, kan?

Saya masih ingat lagi satu masa dulu pernah viral tentang cupcake yang disusun mengikut huruf yang mengeja perkataan selamat hari lahir. Idea yang sama boleh dipraktikkan, cuma kali ini gunakan kek.

 

Kek tersebut kita boleh sediakan mengikut pelbagai saiz supaya sesuai dengan bajet individu tersebut. Baiklah, itu tentang produk bakeri untuk sambutan majlis hari jadi.

 

Produk bakeri bersempena dengan Majlis Rasmi

Majlis-majlis rasmi selalunya diadakan oleh syarikat besar dan juga badan Kerajaan.

 

Adakalanya pihak sekolah juga akan mengadakan majlis tertentu, seperti majlis sambutan hari lahir, majlis perpisahan ataupun mesyuarat PIBG. Ketika majlis seumpama ini diadakan, hidangan seperti kek dan muffin memang sesuai untuk dijadikan santapan.

 

Bagi mereka yang tak biasa dengan bisnes ini, mungkin mereka hanya nampak peluang untuk buat duit dalam produk-produk seumpama ini ketika musim perayaan sahaja.

 

Ketika menjelang hari puasa barulah mereka kongsikan gambar-gambar produk yang mereka jual. Tujuannya adalah supaya mereka akan dapat terima tempahan untuk hari raya.

 

Kalau dekat negara kita memang kebiasaannya pada hari raya rumah-rumah akan hidangkan pelbagai jenis kuih dan biskut raya kepada tetamu.

 

Tapi sebenarnya kita tidak perlu menunggu saat-saat akhir baru kita ingin mencari prospek untuk beli produk bakeri dari kita. Kita sebenarnya boleh iklankan bisnes kita sepanjang tahun.

 

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, produk bakeri sesuai dihidangkan ketika majlis sambutan hari lahir, semasa Majlis Rasmi ataupun sekadar untuk dimakan pada hari biasa.

Baca juga: Bisnes yang boleh dimulakan dari dapur rumah anda

 

 

Exit mobile version