Blog Sabree Hussin

Cabaran buat duit dengan Affiliate Marketing

Jom ikuti saya meneroka perjalanan dalam dunia affiliate marketing.

 

Affiliate marketing adalah merupakan suatu cara yang cukup simple untuk kita buat duit di internet. Peranan kita adalah sebagai ejen pemasaran yang memperkenal dan mempromosikan produk ataupun perkhidmatan milik merchant.

 

Apabila berlaku sebarang jualan yang berpunca dari usaha pemasaran yang kita lakukan, maka kita akan menerima komisen.

 

Walaupun konsep affiliate marketing ini agak simple, namun jangan tak tahu, ia sebenarnya penuh dengan cabaran. Kali ini, kita akan bincangkan topik mengenai apakah cabaran yang bakal kita tempuh dalam bidang affiliate marketing.

Mana-mana individu yang minat nak menceburi bidang ini, perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang menuntut dirinya untuk menjadi lebih kreatif, innovatif dan bertindak pantas.

 

Tanpa membuang lebih banyak masa, mari kita lihat, apakah cabaran dalam bidang affiliate marketing ini.

 

(1) Cabaran trafik

Trafik adalah sumber nadi yang akan menggerakkan perjalanan kita dalam bidang affiliate marketing.

 

Tanpa trafik, maka mustahil untuk menghasilkan sebarang jualan.

 

Anda perlu mempunyai skil untuk menarik trafik untuk masuk ke laman web, atau media sosial anda, tempat dimana anda menyiarkan link affiliate anda.

 

Namun disebabkan diluar sana terdapat banyak laman blog dan juga akaun media sosial yang pemiliknya turut menjalankan affiliate marketing, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menarik trafik.

 

Sekiranya anda menggunakan laman web atau blog, anda perlu betul-betul mahir menggunakan kaedah search engine optimization atau SEO.

 

Bukan itu sahaja, anda juga perlu memperbaiki tahap penulisan copywriting dan persembahan konten anda.

 

Jika anda menggunakan media sosial, anda perlu beri perhatian terhadap aktiviti sosial anda diplatform tersebut. Tujuannya supaya pengguna lain boleh wujudkan interaksi yang bermakna dengan anda.

 

Apabila ada interaksi maka kebarangkalian untuk sebarang posting yang anda hasilkan dapat muncul di newsfeed mereka juga adalah lebih tinggi, berbanding pengguna media sosial yang langsung tiada interaksi dengan pengguna lain.

 

Pada asasnya, anda perlu ada sedikit pengetahuan mengenai bagaimana algorithm berfungsi, sama ada di platform media sosial mahupun search engine.

 

(2) Hasilkan konten yang boleh menjual

Sebaik sahaja anda berjaya menarik perhatian seseorang, sama ada pengguna internet atau pengguna media sosial, anda perlu memastikan individu ini rasa berminat untuk berinteraksi dengan konten yang anda hasilkan.

 

Mencipta kandungan yang berupaya untuk menarik minat orang ramai dan meyakinkan mereka untuk membeli bukanlah sesuatu yang mudah.

 

Ia ibarat kita cuba menyelesaikan suatu teka-teki yang rumit, dimana kita perlu mencari klu atau pembayang yang merangkumi aspek seperti

1. Apa yang menarik minat audiens kita

2. Apa keperluan dan kemahuan mereka

3. Bagaimana untuk yakinkan mereka

4. Apakah masalah mereka yang kita dapat bantu

 

Sepanjang kita mencipta kandungan, mungkin akan ada satu atau dua kandungan yang kita cipta itu memenuhi citarasa pengguna dan berupaya untuk menghasilkan jualan.

 

Namun kalau kita nak pastikan setiap konten mempunyai kesan yang sama, itu sebenarnya agak sukar.

Baca juga: Strategi content marketing untuk hasilkan jualan

 

(3) Niche yang sesuai

Memilih niche atau topik atau bidang yang sesuai adalah satu cabaran yang perlu kita hadapi.

 

Niche yang dipilih ini, perlu mempunyai ciri seperti berikut

1. Potensi untuk hasilkan untung

2. Anda mempunyai pengetahuan yang baik dalam bidang tersebut

3. Anda tahu dimana untuk cari bahan rujukan untuk niche tersebut

4. Anda minat dan suka niche tersebut

5. Persaingan yang tak terlalu sengit

 

Ada masanya, kita jumpa dengan niche yang sangat berpotensi untuk beri keuntungan yang besar, tapi masalahnya kita kurang minat dengan niche tersebut.

 

Ada juga niche yang sifatnya agak bermusim. Apabila tiba musim tertentu, maka jualan produk dalam niche tersebut pun mula meningkat. Kemudian pada musim lain, hampir tiada jualan langsung.

 

Kalau kita paksa diri, kita mungkin akan kurang berjaya dalam menghasilkan konten yang baik.

 

Sudah tentu, dalam situasi ini, kita sebenarnya boleh mengupah orang lain (freelancer) untuk bantu hasilkan konten bagi pihak kita.

 

(4) Pemilihan produk yang tepat

Sebagai pemain dalam affiliate marketing, kita sebenarnya mempunyai pilihan yang sangat luas dalam pemilihan produk.

 

Kalau kita ambil kira platform e-commerce seperti Lazada, Shopee dan PG Mall yang pada hari ini turut menawarkan program referral, kita boleh katakan diluar sana terdapat beratus ribu produk yang kita boleh promosikan.

 

Namun, adakah wajar untuk kita promosikan semua produk yang ada dipasaran?

Sudah tentulah jawapannya adalah tidak.

Dalam banyak-banyak produk, sudah pasti ada produk yang kita boleh katakan sebagai “low quality” yang kita patut elak untuk promosikan.

 

Apa-apa produk yang tak relevan dengan niche pilihan kita, juga perlu dielakkan.

 

Elakkan memilih produk berdasarkan kepada berapa tinggi komisen yang bakal diberikan. Sebaliknya berikan fokus kepada produk yang memang berkualiti dan bermanfaat kepada audiens yang kita bakal sasarkan.

 

(5) Tawaran yang sukar dilepaskan

Adakah bakal pelanggan akan tekan klik pada pautan affiliate anda lalu membuat pembelian, hanya disebabkan anda minta mereka untuk berbuat demikian?

 

Bergantung pada keadaan.

 

Memang ada bakal pelanggan yang begitu. Dia memberikan kerjasama yang baik, dan dengan rela hati akan menekan klik pada link affiliate yang kita siarkan.

 

Namun, bagi pelanggan yang memang langsung tak asing dengan konsep affiliate, mereka ini boleh jadi agak berkira. Sebaik sahaja mereka nampak link affiliate, seboleh-bolehnya mereka akan cuba elak untuk klik.

 

Kalau dia, atau seseorang yang dia kenal, juga merupakan ejen affiliate, besar kemungkinan dia akan klik link dia sendiri, atau kenalan dia, sebelum buat pembelian.

 

Bagi dia, “daripada bagi komisen kepada orang yang dia tak kenal (atau yang dah kaya) lebih baik bagi kat orang yang dia kenal…”

Oleh sebab itu, kita perlu jadi lebih kreatif supaya bakal pelanggan tidak begitu berkira, untuk sumbangkan komisen affiliate kepada kita.

 

Bagi memastikan komisen kita selamat, dan bakal pelanggan akan terus buat pembelian sebaik sahaja dia tekan klik pada link affiliate kita, maka kita kena belajar cara untuk menulis tawaran atau hasilkan konten yang buatkan pelanggan tak berkira-kira untuk terus buat pembelian sementara cookies affiliate kita masih aktif.

 

Ya, benda ini bukan sesuatu yang senang, tapi berita baiknya ialah, ia boleh kita pelajari.

 

Saya syorkan untuk banyakkan membaca bahan bacaan mengenai strategi content marketing dan juga copywriting.

 

(6) Bina hubungan baik dengan audiens

Apabila kita nak buat duit dengan affiliate marketing, kita perlu mempunyai strategi yang jelas contohnya seperti kepada kelompok atau audiens yang mana yang ingin kita sasarkan.

 

Mesej pemasaran kita, perlu fokus kepada target audiens yang betul.

Mesej yang sama, tak akan berkesan kepada semua orang.

 

Untuk mendapatkan perhatian target audiens kita, mereka perlu mempunyai rasa minat dengan apa yang kita perkatakan. Untuk memupuk hubungan yang baik ini sebenarnya perlukan masa yang agak panjang.

 

Setiap orang, memerlukan masa yang berbeza.

Kalau ada orang yang hanya perlukan sehari untuk dapatkan kepercayaan audiens, ini tak bermakna anda juga boleh dapatkan kesan yang sama.

 

(7) Menguasai platform pemasaran

Tahukah anda, ada berapa banyak platform yang kita boleh gunakan bagi tujuan pemasaran diluar sana?

Saya boleh katakan, ada banyak dan pelbagai.

 

Adakah kita perlu gunakan semua platform yang ada, supaya nanti boleh dapat hasil yang banyak?

Kalau anda mempunyai pasukan, atau mungkin anda adalah sebuah agensi, maka itu adalah sesuatu yang baik untuk anda lakukan.

 

Gunakan semua platform yang ada untuk tujuan pemasaran.

 

Boleh jadi, anda akan mengambil pekerja untuk fokus pada platform yang berbeza.

Ada pekerja yang akan fokus dengan pemasaran di

1. Blog

2. Facebook

3. Twitter @ X

4. Email marketing

5. Youtube marketing

6. Email marketing

 

Tapi bagaimana keadaannya kalau anda merupakan seorang lone ranger? Semua benda anda perlu buat sendiri.

 

Sudah tentu anda tak akan ada masa nak fokus pada semua platform. In fact, nak fokus pada 2 atau 3 platform pun dah cukup mencabar.

 

Kebanyakkan platform yang saya senaraikan ini, ada menyediakan data-data penting, yang merekodkan prestasi kita dalam kerja pemasaran.

 

Adalah penting untuk kita belajar, cara untuk menggunakan data tersebut. Bukan apa, saya dapati ada sesetengah orang yang abaikan data-data tersebut, sedangkan kalau data tersebut digunakan dengan sebaiknya, kita boleh tahu apakah yang kurang bagus dan bermasalah dengan strategi pemasaran kita.

 

(8) Memahami data dan metrik kejayaan

Memahami data adalah sebahagian daripada kerja yang kita perlu lakukan.

 

Platform yang berbeza, menghasilkan data yang berbeza juga.

 

Menghuraikan data yang kita perolehi, sehingga ia boleh menjadi sebuah pelan tindakan, ia merupakan suatu skil yang penting untuk menghasilkan pendapatan yang baik dalam bidang ini.

 

Kalau kita gunakan platform blog misalnya, ada beberapa data yang kita perlukan misalnya

1. Berapa banyak trafik

2. Apa kata kunci yang dicari oleh pengguna internet

3. Persaingan bagi kata kunci

4. Berapa banyak backlink yang dihasilkan

 

Kemudian, kalau fokus kita adalah pemasaran di media sosial, data yang berbeza yang kita perlu perhatikan.

 

(9) Search Engine Optimization

Kalau anda gunakan platform seperti laman web, blog, ataupun Youtube, maka konsep SEO ini adalah suatu konsep yang perlu anda tahu dan kuasai.

 

Kita perlu fikirkan satu kaedah, bagaimana kita boleh dapatkan kedudukan yang baik untuk setiap konten yang kita pernah hasilkan dan terbitkan.

 

Hanya apabila konten kita berjaya menduduki tempat yang teratas, barulah golongan yang kita sasarkan akan nampak konten kita.

Kita fikir dan tumpukan seluruh tenaga untuk cuba mendominasi kedudukan pertama di search engine.

Pada masa yang sama, pencipta konten yang lain turut berfikiran dan mensasarkan perkara yang sama.

 

Ia boleh jadi satu persaingan dan peperangan yang sengit!

 

(10) Bersosial di media sosial

Kalau konsep SEO ini terlalu rumit dan begitu teknikal, apa kata kita lupakan sejenak dan seterusnya kita fokus kepada pemasaran di media sosial.

 

Di media sosial, ada peraturan dan game plan yang berbeza disana.

 

Bercakap mengenai media sosial itu sendiri, kita perlu sedar ada banyak media sosial yang wujud pada hari ini. Satu ketika dulu, kita cuma ada friendster dan myspace. Kini kedua-duanya sudah tiada dan digantikan dengan apa yang ada pada hari ini.

 

Ada banyak pilihan media sosial, persoalannya ialah, kita nak pilih dan fokuskan yang mana?

 

Dengan terdapatnya banyak pilihan media sosial, ia boleh memberikan cabaran untuk kita fokuskan pada satu-satu platform. Kita perlu tahu, apakah kelebihan, kekuatan dan kekurangan yang terdapat pada sesuatu platform itu.

 

Pada asasnya, platform media sosial memerlukan kita untuk mewujudkan suatu interaksi yang bermakna dengan para pengguna media sosial yang lain, barulah konten yang kita hasilkan akan muncul dalam newsfeed milik mereka.

 

Tapi kena berhati-hati dalam bab pengurusan masa. Bukan apa, kita bimbang kalau-kalau anda luangkan masa yang terlalu lama di media sosial kerana terleka dengan posting-posting yang disiarkan di platform tersebut.

 

(11) Mencipta kempen emel yang berkesan

Penting atau pun tidak nak buat pemasaran melalui email?

Pada saya, ianya memang sangat penting.

 

Namun, pemasaran melalui email ini, ada satu halangan dan cabaran yang agak besar.

Cabaran tersebut adalah dari segi kos langganan yang kita perlu bayar setiap bulan.

 

Kos pemasaran dan langganan sistem autoresponder ini, akan meningkat selari dengan bertambahnya jumlah email yang kita berjaya kumpulkan.

 

Kadang-kadang saiz database yang kita berjaya bina itu langsung tak beri apa-apa makna, jika kebanyakkan penerima emel kita itu sudah tak lagi berminat dengan konten emel kita.

 

Mereka tak lagi buka dan baca apa yang kita tulis untuk mereka.

 

Ada ketikanya, emel yang kita hantar, akan masuk ke folder spam.

 

Kita seronok bila dapat broadcast emel kepada 100,000 orang penerima. Rupanya, tak ada seorang pun yang baca dan pedulikan emel kita. Ibaratnya kita cakap seorang diri.

 

(12) Memahami peraturan pemasaran

Kita sentuh sedikit bab peraturan dan perundangan.

 

Sebagai ejen affiliate kita sebenarnya terikat dengan pelbagai peraturan, serta terma dan syarat yang ditetapkan oleh penganjur program affiliate yang kita sertai.

 

Kita juga perlu ambil tahu, apakah bentuk-bentuk pemasaran yang kita boleh gunakan dan tak patut gunakan. Pihak merchant, selaku pemilik jenama dan produk juga ada menetapkan peraturan yang kita perlu ikuti.

 

Mereka mempunyai nama baik yang perlu dijaga.

 

Oleh itu, kita tak boleh berbuat sesuka hati dalam kerja pemasaran, misalnya menggunakan gambar wanita seksi, memberikan janji-janji manis, menipu pelanggan dan banyak lagi.

 

Selain itu, kita juga terikat dengan akta dan undang-undang negara.

 

Kalau anda ingin mempromosikan produk dalam niche kesihatan, anda perlu pastikan bahawa iklan yang anda hasilkan itu nanti, tidak melanggar akta dan peruntukkan undang-undang.

 

Jika tidak, ia akan memberi masalah buat anda kelak.

 

(13) Menunggu komisen

Kan bagus, kalau hari ini kita berjaya buat jualan, hari esok tu kita dah boleh terima bayaran komisen dimasukkan dalam akaun bank kita.

 

Tapi sayang, benda ini amat jarang berlaku.

Kalau ia boleh berlaku sekalipun, mungkin untuk program affiliate yang anda sendiri anjurkan. Justeru, anda boleh berikan keistimewaan untuk diri anda sendiri.

 

Kebanyakkan masa, program affiliate tidak beroperasi sedemikian.

 

Selepas berjaya hasilkan jualan, ada tempoh menunggu yang perlu kita lalui sebelum pembayaran dibuat ke akaun bank kita. Masa menunggu ini, boleh jadi sangat lama dan sedikit sebanyak dapat membuatkan kita hilang motivasi untuk terus kekal mempromosikan program affiliate yang kita sertai.

 

Setiap penganjur program menetapkan tempoh masa pembayaran yang berbeza-beza. Memahami kaedah bayaran ini sedikit sebanyak boleh beri kita kekuatan untuk terus menunggu dengan sabar.

 

(14) Kekal motivasi bila hasil hambar

Mengekalkan semangat dan terus bermotivasi apabila hasil pendapatan yang kita harapkan tak sama seperti yang kita dapat, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

 

Memang mudah untuk berkata, terus maju kedepan, kuatkan semangat, tapi bagi mereka yang melalui dan merasainya, ia bukanlah semudah itu.

 

(15) Cemburu dan iri hati

Kenapa orang lain boleh dapat banyak sedangkan kita yang dah buat macam-macam ini, hasilnya tak seberapa.

 

Sebagai manusia biasa, kita cenderung untuk membanding-bandingkan hasil yang kita perolehi dengan orang lain. Kalau diluar sana ada orang yang lebih baik dan lebih berjaya dari kita, ia sedikit sebanyak akan memberi pengaruh pada perasaan kita.

 

Ada orang akan jadikan ia sebagai satu motivasi.

Ada orang yang merasa sakit hati.

 

Apabila terlalu sibuk dengan hal orang lain, kita boleh mula hilang fokus terhadap kerja dan pertumbuhan diri sendiri.

 

(16) Pengurusan masa

Saya percaya, selain nak buat duit dengan affiliate marketing, anda juga mempunyai komitmen lain.

 

Salah satu cabaran yang perlu anda tahu adalah berkaitan dengan pengurusan masa, dan untuk mengimbangi kehidupan anda, yang pastinya anda sudahpun mempunyai komitmen dengan kerja hakiki, keluarga, urusan peribadi dan urusan nak buat duit.

Lazimnya, mereka yang masih baru dengan affiliate marketing, menceburi bidang ini sebagai usaha untuk menambahkan pendapatan sahaja. Bukannya untuk menggantikan pendapatan sedia ada.

 

(17) Perkembangan semasa

Landskap pemasaran affiliate telah melalui banyak perubahan kalau dibandingkan dengan 10 tahun yang lalu.

 

Saya percaya, ia akan terus melalui perubahan demi perubahan.

 

Beberapa perubahan yang saya lihat berlaku dalam arena affiliate marketing antaranya adalah

 

(1) Trend komisen berbilang peringkat

Konsep network marketing mula dibawa masuk dalam affiliate marketing.

 

Ini membolehkan ejen affiliate merekrut ahli baru untuk dijadikan downline, lalu menyumbang kepada pendapatan pasif, apabila ahli yang diperkenalkan ini berjaya membuat jualan.

 

Kalau sebelum ini, kebanyakkan program affiliate menawarkan komisen satu level sahaja.

 

Setiap ejen hanya boleh nikmati komisen hasil daripada jualan peribadi.

Program affiliate yang dianjurkan oleh pihak Klikjer ini juga sudah menawarkan komisen dua peringkat.

Anda boleh ke pautan ini untuk mendaftar sebagai ejen.

 

(2) Media sosial

Satu masa dulu, ejen affiliate lebih kerap memanfaatkan platform seperti blog dan email marketing bagi tujuan mempromosi dan mendapatkan jualan untuk produk affiliate.

 

Tapi trend tersebut mula berubah, apabila telah terbukti melalui media sosial juga boleh terhasil jualan yang agak memberangsangkan.

 

Kini produk-produk affiliate, boleh dilihat dipromosikan di pelbagai platform misalnya seperti di Youtube, media sosial dan banyak lagi.

 

Individu yang dianggap sebagai social media influencer juga sudah banyak yang menjadi ejen affiliate.

 

(18) Menguruskan kegagalan

Kegagalan adalah sebahagian daripada perkara yang anda perlu lalui.

 

Kegagalan itu bukanlah pengakhiran. Tetapi ia adalah suatu cabaran yang perlu diatasi.

 

Bukan semua produk yang kita cuba promosikan, akan berkesudahan dengan jualan. Ada produk yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk mula menampakkan hasilnya.

 

Ada juga produk, yang kita cuba promosikan tapi langsung tak convert kepada jualan.

 

Kalau tak berjaya convert ini, biasanya ada sebab-sebabnya. Misalnya

1. Produk yang anda pilih tak sama niche dengan audiens anda

2. Produk tersebut sudah tak relevan

3. Ada banyak orang yang promosikan produk yang sama

 

Pasti ada sebab kenapa kegagalan itu boleh berlaku. Jawapannya kita boleh perolehi dengan menganalisis data yang kita perolehi, hasil daripada kerja pemasaran yang kita lakukan.

 

(19) Meraikan kejayaan

Affiliate marketing ini, kalau dibuat dengan kaedah dan strategi yang betul, In Shaa Allah, ia pasti akan memberikan hasil kepada anda.

 

Apabila anda berjaya buat jualan, dan berjaya menerima komisen untuk hasil kerja tersebut, raikanlah kejayaan tersebut.

 

Cabaran sebenarnya adalah untuk mengekalkan kejayaan tersebut.

 

Saya masih ingat lagi, pernah berlaku pada diri saya sendiri, dimana komisen affiliate yang saya terima masuk hampir setiap hari, dan semua itu berpunca dari beberapa artikel yang pernah saya tulis sebelum ini.

 

Sebaik sahaja menerima komisen tanpa henti seperti itu, saya mula memperlahankan usaha pemasaran. Saya jadi seronok dengan komisen yang masuk dengan sendirinya.

 

Sebenarnya inilah dia cabaran yang kita perlu hadapi apabila kita sedang berada diambang kejayaan.

 

Bagaimana kita boleh terus mengekalkan semangat dan momentum untuk terus berusaha dengan konsisten.

 

Rupa-rupanya, bila kita gagal ia boleh menjejaskan momentum dan konsistensi kita.

Kemudian, bila kita berjaya, ia juga boleh mempengaruhi tindak-tanduk kita.

 

Maka sebab itulah amat digalakkan untuk anda mempunyai pelan tindakan atau action plan anda sendiri. Katakanlah, dalam pelan tindakan tersebut, anda telahpun menetapkan satu tindakan yang spesifik misalnya

“Siarkan 5 buah artikel dalam masa seminggu.”

 

Justeru, tak kiralah apa yang berlaku, sama ada jualan masuk dengan deras, atau langsung tiada jualan, anda tetap fokus untuk hasilkan 5 buah artikel tersebut.

 

Kalau strategi anda adalah lebih kepada menggunakan video, anda boleh sesuaikan mengikut strategi anda itu.

 

Kesimpulan

Dalam dunia pemasaran affiliate, cabaran yang kita bincangkan disini adalah sesuatu yang biasa dan pasti akan dilalui oleh hampir setiap orang, tanpa mengira sama ada mereka ini orang yang baru ataupun yang dah berpengalaman.

 

Cabaran ini wujud untuk diatasi, bukannya untuk melemahkan semangat anda, atau untuk ditakuti.

 

Buat affiliate marketing ini sebenarnya seronok.

 

Andai kata strategi pemasaran anda adalah content marketing, maka anda boleh fokus sahaja untuk bina konten-konten yang berkaitan dengan niche anda.

 

Sesekali, jika sesuai kita akan selitkan link affiliate dalam konten yang kita hasilkan.

 

Tahu-tahu, dapat pula email pemberitahuan yang mengatakan kita telah berjaya menghasilkan jualan.

 

Baiklah, semoga perkongsian ini bermanfaat.

Baca juga: Risiko anda perlu tahu dalam Affiliate Marketing

 

 

Exit mobile version