Blog Sabree Hussin

Bagaimana Anda Atasi Masalah Hasilkan Jualan?

Adakah anda menjana pendapatan melalui kaedah jualan?

 

Jika jawapan anda adalah ya, adakah anda menghadapi masalah seperti jualan anda semakin merosot dan anda tak tahu apakah yang menjadi punca serta bagaimana cara untuk atasi masalah tersebut.

 

Kalau anda dah BOSAN dengan prestasi dan hasil jualan yang anda hasilkan selama ini, maka saya syorkan anda baca perkongsian ini. Mungkin diakhir nanti, anda akan dapat beberapa idea baru, bagaimana nak atasi masalah hasilkan jualan.

Post ini saya tulis setelah saya memerhatikan terdapat ramai kawan-kawan yang mengeluh sebab tak berjaya nak buat jualan secara online bagi produk-produk yang diniagakan. Saya percaya, ramai lagi yang berhadapan dengan situasi yang sama.

 

Pendapatan dalam bidang jualan, ada naik dan turunnya. Ini adalah satu hakikat yang perlu diterima oleh setiap orang yang buat duit dalam bidang jualan.

 

Setahun yang pertama, adalah tempoh untuk kita belajar mengenal pasaran dan sikap pelanggan. Dalam tempoh pembelajaran ini, biasanya sales kita juga berada pada tahap biasa-biasa sahaja.

 

Masuk tahun kedua, kita mula dapat rentak. Namun kedudukan kewangan kita masih lagi belum cukup baik. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan. Tahun kedua, kita patut mula belajar untuk baca statistik dan data.

 

Berpandukan pada data yang diperolehi pada tahun yang lalu, pada waktu bila bisnes kita berada di puncak dan pada waktu bila bisnes kita ibarat hidup segan mati tak mau?

 

Cuba catatkan jumlah jualan dan keuntungan yang diperolehi bermula dari bulan Januari hingga bulan Disember. Pasti anda akan dapat melihat beberapa pattern.

 

Contohnya,

 

1. Jika pada bulan-bulan tertentu, ada sambutan perayaan, maka jualan memang akan jadi slow.

Lazimnya duit akan digunakan untuk sambutan dan persiapan sempena perayaan tersebut. Untuk atasi masalah ini, maka anda adakan kempen promosi khas sempena perayaan.

 

2. Jika pada bulan tertentu, adalah bulan puasa, maka mood dan juga motivasi membeli akan berkurangan.

Pada waktu ini, prospek kita lebih fokus untuk beramal dan tambahkan ibadat.

 

Mood membeli akan mula bertukar ke arah barangan yang akan diperlukan untuk sambutan hari raya yang bakal disambut tak lama lagi.

 

3. Jika bulan tersebut adalah bulan “kembali ke sekolah” atau bulan “kembali ke Universiti, Kolej atau apa-apa institusi pengajian” maka akan ada beberapa pihak yang akan terkesan.

Jika produk anda disasarkan kepada golongan ibu bapa, maka jualan bagi produk tersebut mungkin sedikit sebanyak akan terjejas.

 

4. Dalam sebulan, mungkin hanya ada 20 hari sahaja tempahan yang anda terima yang akan masuk berdesup-desup. Ianya pada 1hb – 10hb dan juga 21hb – 30hb.

Kenapa jadi begini? Ada kena mengena dengan faktor gaji. Jadi dengan mengetahui beberapa faktor ini, anda patut tahu bila masanya nak pulun habis-habisan untuk buat jualan sebanyak yang mungkin.

 

Sudah tentu, seboleh-bolehnya kita nak pendapatan kita sentiasa tinggi atau setidak-tidaknya jualan kita sentiasa konsisten setiap bulan. Sebagai contoh, jika dalam sebulan kita perlukan sekurang-kurangnya 50 unit jualan untuk hidup selesa, maka kita perlu pastikan jumlah tersebut sentiasa dapat dicapai.

 

Sebagai usahawan, kita ada “fixed cost” yang perlu kita bayar setiap bulan. Bagi usahawan yang menggunakan platform perniagaan online sepenuhnya, mungkin kos yang perlu ditanggung tidaklah sebesar kos yang ditanggung oleh mereka yang berniaga secara offline.

 

Orang yang berniaga secara offline ni kena fikir tentang sewa kedai, gaji pekerja, bayaran bil utiliti dan banyak lagi.

 

Berbeza pula halnya dengan usahawan online. Mungkin anda hanya perlu fikir tentang kos untuk bayar bil elektrik, bil internet, dan langganan beberapa sistem jualan. Itu sahaja. Lagipun, disebabkan bisnes online boleh dilakukan hanya dari rumah, maka ia bukan satu isu yang terlalu besar.

 

Adakah anda berpendapat bahawa jualan yang rendah merupakan satu MASALAH bagi anda?

Ya, saya perlu tanya benda ini.

 

Saya pernah jumpa macam-macam jenis usahawan online. Jujur saya katakan, bukan semua peniaga online benar-benar serius dengan bisnes. Ada yang berniaga sebab ikut-ikut, sebab bosan dan sebab nak isi masa lapang sahaja.

 

Sesetengah orang bukannya betul-betul nak bina sebuah perniagaan yang mampan. Sebaliknya matlamat mereka ini adalah untuk menjana pendapatan tambahan, mungkin target mereka ialah boleh dapatkan sekitar RM100 – RM1,000 tambahan setiap bulan itu sudah dianggap baik.

Setengah orang berpendapat sales kurang bukan satu masalah. Dan orang macam ni biasanya bisnes dia memang tak kemana. Apa taknya, mereka sendiri pun tak serius dengan bisnes mereka. Ada ke patut sales kurang bukan satu masalah.

 

Adakah mereka ni tak tau formula dalam bidang jualan? Kalau tak ada jualan, tak ada keuntungan. Kalau tak ada keuntungan, maka tak ada income. Kalau tak ada income, tapi masih guna duit bisnes, maka hati-hatilah. Anda mungkin sedang makan duit modal dan sedang menjahanamkan bisnes anda sendiri!

 

Buat bisnes bukan sekadar nak pendapatan cukup-cukup makan. Kalau boleh kita mahukan pulangannya boleh dimanfaatkan sehingga ke generasi yang seterusnya. Tak kan anda tak nak turunkan legasi perniagaan anda kepada anak cucu anda?

 

Apa yang menjadi punca masalah jualan terlalu sedikit?

Bagi mendapatkan jawapan yang tuntas berhubung masalah ini, mari kita jalankan analisis yang kita namakan sebagai “why analysis”.

 

Dalam kaedah why analysis ini, kita akan tanyakan soalan “why” atau “kenapa” secara berulang-ulang, sampailah akhirnya kita dah tak mampu lagi nak cari apa soalan yang perlu ditanya.

 

Kalau dalam konteks perbincangan kita disini, masalahnya ialah jualan terlalu sedikit.

 

Jadi mari kita mulakan sesi “why analysis” bagi mencari jawapan, kenapa berlakunya masalah jualan terlalu sedikit.

 

[Why Analysis 1]

Kenapa jualan yang dihasilkan semakin hari semakin merosot?

Jualan semakin merosot hingga ke satu angka yang terlalu sedikit sebabnya terdapat pengurangan dari segi pertanyaan dari prospek.

 

Cuba perhatikan, adakah phone anda masih dihujani dengan pertanyaan dari mereka yang mungkin berminat dengan produk yang anda jual? Kalau sebelum ini, mesti akan ada sahaja chat yang masuk, yang bertanya tentang produk yang anda jual.

 

Tapi kalau sekarang ini, chat yang masuk semakin berkurangan, maka dekat sini menandakan ada sesuatu yang tak kena sedang berlaku.

 

Kalau kaedah anda melakukan jualan adalah melalui laman web, atau mungkin menerusi platform e-commerce, anda boleh lihat data dari segi jumlah trafik dan juga mungkin jumlah klik yang anda perolehi.

 

Jika trafik dan klik yang anda terima semakin berkurangan, ini juga sebenarnya adalah petanda, bahawa ada sesuatu yang tak kena sedang berlaku.

 

[Why Analysis 2]

Kenapa bilangan prospek yang bertanya tentang produk atau perkhidmatan semakin kurang?

Dekat sini mungkin ada masalah dari segi kempen pemasaran yang kita jalankan.

 

Maknanya dekat sini iklan dan ayat-ayat promosi yang kita telah hasilkan dan siarkan, mungkin tak dilihat oleh golongan yang sepatutnya.

 

Boleh jadi kalau kita lihat dari segi jumlah views, klik dan juga trafik, ia menunjukkan ada banyak peningkatan. Tetapi, kalau golongan yang melihat iklan kita itu, bukanlah golongan yang betul, maka semua itu tidak akan dapat convert kepada jualan.

 

Sebagai contoh, kita iklankan produk jahitan kepada golongan yang minat aktiviti hiking. Mereka ini mungkin akan melihat iklan kita, tapi masalahnya mereka langsung tak ada keinginan, keperluan mahupun kemahuan untuk membeli produk kita.

 

Masalah yang pertama ini adalah disebabkan mismatch antara minat audience dengan produk yang kita cuba promosikan. Boleh jadi kita nak cuba terokai pasaran baru, namun kita juga perlu ambil kira, adakah pasaran baru tersebut betul-betul mempunyai minat dengan tawaran kita.

 

[Why Analysis 3]

Kenapa kempen pemasaran yang kita jalankan sudah tidak lagi berjaya mensasarkan golongan audiens yang sepatutnya?

 

Dalam situasi ini, boleh jadi ada beberapa faktor yang menjadi punca.

 

Pertama adalah dari segi platform atau marketing channel yang kita gunakan. Mungkin kita tersilap menggunakan channel yang sebenarnya potential prospect kita sudah tak lagi berada disitu.

 

Kedua, audiens yang selama ini kita sasarkan sebenarnya telah mula berubah dari segi citarasa. Mereka sudah tidak lagi berminat dengan produk mahupun perkhidmatan yang kita tawarkan. Boleh jadi mereka ini sebenarnya telah menemui alternatif yang lebih baik.

 

Ketiga, audiens kita telahpun menjadi pembeli atau mereka mungkin kenal dengan seseorang yang pernah membeli produk yang kita promosikan.

 

Oleh kerana mereka pernah beli produk kita, mereka mungkin merasakan tiada keperluan untuk membuat pembelian ulangan.

 

[Why Analysis 4]

Kenapa kita tidak menggunakan channel yang tepat untuk mensasarkan golongan yang tepat?

 

Terdapat banyak channel, saluran atau platform yang kita boleh gunakan bagi tujuan pemasaran.

 

Kalau anda pernah membaca mengenai topik kaedah pemasaran digital, anda akan dapati bahawa terdapat beberapa platform yang kita boleh gunakan, antaranya adalah seperti

a. Website

Sama ada anda menggunakan laman web statik seperti minisite, web jualan ataupun laman web yang konsepnya lebih dinamik dan sering dikemaskinikan seperti blog.

 

b. Media sosial

Facebook, Instagram , Twitter(X)

 

c. Platform perkongsian video

Youtube, Tiktok, dan sebagainya

 

Walaupun disana terdapat banyak platform yang kita boleh gunakan, namun semua ini tidak akan memberi sebarang erti jika prospek kita tidak berada disitu.

 

Sepatutnya kita perlu cari masa, dan buat kajian, bagi tujuan mendapatkan jawapan, dimana sebenarnya prospek kita berada?

Dimana mereka gemar meluangkan masa mereka?

Apakah aktiviti yang mereka akan lakukan ketika mereka sedang berehat?

 

Jika mereka suka membaca, apakah topik yang besar kemungkinan dapat menarik perhatian mereka untuk meneruskan pembacaan?

 

Jika mereka ingin menonton video, apakah bentuk kandungan yang bakal menarik perhatian mereka?

 

[Why Analysis 5]

Kenapa kita tidak membuat kajian yang menyeluruh tentang dimana dan bagaimana target audiens kita menghabiskan masa mereka?

 

Perkara ini berlaku boleh jadi disebabkan kecenderungan kita untuk membuat andaian, bahawa potential buyer kita berada di platform tertentu dan mereka gemar untuk melakukan aktiviti tertentu serta tertarik dengan konten tertentu.

 

[Why Analysis 6]

Kenapa kita buat andaian dan bukannya kajian yang menyeluruh?

 

Buat kajian ini, bukanlah sesuatu yang mudah, selain itu ia juga memakan masa yang agak lama.

 

Kita mempunyai kekangan dari segi masa dan kita mahukan hasil yang cepat. Maklumlah, kita juga mempunyai komitmen yang perlu dibayar, dan tak ada masa untuk menunggu-nunggu tanpa ada sebarang hasil.

 

Akhirnya, kita melakukan kerja berdasarkan kepada andaian. Kalau andaian kita tepat, maka kita mungkin akan dapat hasil yang baik.

 

Sebaliknya, jika andaian kita kurang tepat, maka tak hairanlah kalau kita tak berjaya hasilkan sebarang jualan.

 

[Why Analysis 7]

Kenapa kita tidak memperuntukkan sumber, tenaga dan masa untuk membuat kajian menyeluruh sebaliknya bergantung kepada andaian yang mungkin kurang tepat atau tidak menggambarkan keadaan sebenar?

 

Dalam situasi ini, kita mungkin berdepan dengan suatu situasi dimana kita gagal meletakkan prioriti ditempat yang betul.

 

Kita tahu, media sosial adalah salah satu platform yang berpotensi untuk menyumbangkan prospek dan trafik kepada perniagaan yang kita jalankan.

 

Namun, ada masanya kita terlupa dengan prioriti kita hinggakan kita menghabiskan masa yang lebih lama untuk bersosial dan bukannya melakukan kerja pemasaran.

 

Sepatutnya kita hanya perlukan 30 minit untuk menghasilkan konten dan siarkan di media sosial.

 

Tapi disebabkan terleka dengan aktiviti seperti menjawab chat, membalas komen, menonton video yang dimuat naik oleh pengguna lain, akhirnya kita terbabas dan habis 2 jam disitu.

 

Apabila kita melakukan why analysis untuk mencari jawapan atau jalan penyelesaian bagi masalah jualan, kita akan dapati bahawa penyelesaiannya bukanlah sesuatu yang straight forward.

 

Sebaliknya kita akan mula nampak, ada beberapa perkara yang saling berkait antara satu sama lain, yang menjadi punca kenapa jualan kita mula merosot.

 

Apa yang jelas terlihat adalah, jualan yang kita hasilkan semakin merosot.

 

Namun, masalah sebenar yang kita perlu selesaikan adalah

 

(1) Pengurangan dari segi respon pelanggan

Ini juga boleh dilihat dalam konteks pengurangan interaksi dengan bakal pelanggan.

 

Potential buyer sudah tidak lagi berinteraksi dan memberikan respons terhadap iklan yang kita hasilkan.

 

Jika jualan dilakukan menerusi penggunaan laman web jualan, kita boleh perhatikan pada maklumat trafik laman web. Adakah trafik yang masuk ke website kita semakin bertambah atau sebenarnya makin berkurangan?

 

(2) Penggunaan channel pemasaran yang kurang berkesan

Sebagai usahawan, anda mungkin sedang menggunakan platform pemasaran yang sebenarnya kurang tepat.

 

Saya antara orang yang suka menggunakan pelbagai channel untuk tujuan pemasaran. Walaubagaimanapun, kita juga perlu tahu, channel yang mana satu yang perlu diberikan prioriti.

 

Kita mengharap dan membayangkan, semua channel pemasaran yang kita gunakan akan memberikan hasil kepada kita. Sebagai contoh, satu channel mngkin boleh hasilkan sekurang-kurangnya income sebanyak RM1,000 sebulan.

 

Jadi, kalau kita boleh hasilkan 10 channel pemasaran, bermakna kita boleh hasilkan income sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan!

 

Tapi hakikatnya, ia mungkin tidak berlaku seperti mana yang kita harapkan.

 

Boleh jadi ada channel yang berjaya menyumbangkan jualan, dan ada juga channel yang akhirnya jadi sendu dan tidak menyumbangkan apa-apa.

 

Kita pula perlu bijak membahagikan masa. Dalam sehari, masa yang kita ada sangatlah terbatas dan kita tak sepatutnya mensia-siakan masa kita untuk membina channel yang kurang mendapat sambutan.

 

(3) Kurang buat kajian pasaran

In juga merupakan satu kelemahan yang perlu diperbaiki.

 

Kajian pasaran perlu dilakukan supaya kita mempunyai data yang tepat untuk dijadikan rujukan. Kita juga akan dapat buat keputusan yang betul berdasarkan kepada data yang sebenar.

 

Kalau sebelum ini, anda jarang buat kajian pasaran, atau langsung tak pernah buat kajian pasaran, ini menimbulkan tanda tanya. Selama ini, anda buat kerja pemasaran berdasarkan kepada data apa?

 

Adakah berdasarkan kepada data yang betul, ataupun hanya berdasarkan kepada andaian semata-mata. Kalau aktiviti pemasaran yang anda lakukan, adalah berdasarkan kepada andaian semata-mata, ini akan menyukarkan anda mendapat hasil seperti yang diharapkan.

 

Justeru, apa yang boleh kita lakukan?

Sudah tentu, ada sesuatu yang kita boleh lakukan, untuk memperbaiki keadaan.

 

Lagipun, bagi mereka yang memang bekerja dan mencari rezeki dalam bidang jualan, kita perlu lakukan sesuatu, sebaik sahaja kita sedar ada masalah.

 

Kalau kita tak lakukan sesuatu, tak ada siapa yang akan bertindak untuk kita. Kalau mengharapkan keadaan akan jadi baik dengan sendirinya, itu juga bukan satu langkah yang betul.

 

Berdasarkan kepada why analisis yang kita dah lakukan sebelum ini, saya kira ada beberapa perkara yang kita patut lakukan.

 

Antaranya ialah

 

(1) Naik taraf kempen pemasaran

Kita luangkan masa untuk membuat semakan, terhadap konten dan kandungan yang pernah kita hasilkan sebelum ini.

 

Adakah boleh diperbaiki dan dinaiktaraf?

Kalau dulu, kita gunakan imej yang kurang berkualiti, dengan resolusi yang agak rendah, kali ini kita gantikan imej tersebut dengan yang baru.

 

Kalau sebelum ini ada konten dalam bentuk artikel yang pernah disiarkan, namun artikel tersebut terlalu pendek, atau pengisian dalam tu kurang baik, maka kita cuba edit semula dan tambahkan apa-apa yang kurang.

 

Jika konten dalam bentuk video, langkah yang sama boleh dipraktikkan. Kita rakam video baru yang lebih baik.

 

(2) Jalankan kajian pasaran yang lebih menyeluruh

Buat kajian pasaran bagi mengetahui sama ada wujud ataupun tidak permintaan terhadap sesuatu produk ataupun perkhidmatan.

 

Kajian pasaran ini juga bagi mengetahui, apakah sebenarnya yang dicari oleh potential buyer.

 

Kalau anda layari platform e-commerce, anda boleh lihat apakah produk yang sedang trending

 

Bagi pengguna laman web anda patut lihat apakah kata kunci yang sering dicari oleh pengguna internet. Cuba kenalpasti apakah persoalan yang sering ditanyakan oleh pengguna internet dan apakah bentuk maklumat yang selalu dicari oleh mereka?

 

(3) Beri prioriti kepada sumber yang penting

Jangan bazirkan masa anda untuk cuba bangunkan projek yang sebenarnya tidak akan memberi apa-apa hasil.

 

Masa anda sangatlah berharga. Kalau memang sesebuah projek itu tak berjaya untuk berikan sebarang hasil, tinggalkan sahaja.

 

Mungkin ada channel tertentu yang membuatkan anda leka, apabila anda menggunakannya. Dalam situasi ini, anda perlu letakkan had masa, berapa lama masa yang anda patut peruntukkan untuk berada dalam channel tersebut.

 

(4) Buat penilaian dan perubahan secara berkala

Lakukan penilaian secara berkala, bagi mengetahui sama ada strategi pemasaran yang dijalankan ini benar-benar mempunyai impak yang baik.

 

(5) Melabur untuk latihan

Jika perlu, anda juga perlu keluar sedikit belanja untuk tujuan latihan dan pembangunan.

 

Sama ada anda

a. Beli buku

b. Masuk kelas

c. Sertai seminar

d. Beli ebook

 

Atau apa-apa cara sekalipun. Apa yang penting, anda dapat kuasai ilmu yang anda mahukan.

Baca juga: The psychology of selling

 

(6) Outsource mana-mana yang boleh

Bukan semua perkara yang melibat urusan bisnes ini, kita perlu lakukan sendiri. Mungkin ada beberapa perkara, yang kita boleh outsource sahaja kepada pihak ketiga.

 

Nak buat sendiri atau upah orang buatkan bagi pihak kita? 

Isu bagi usahawan online ialah, kebanyakkan mereka bergerak secara solo. Mereka ni mengamalkan konsep “one man show” dalam perniagaan yang dilakukan. Pada peringkat permulaan, ini adalah satu langkah yang bijak sebabnya ia dapat jimatkan banyak kos perniagaan.

 

Namun begitu, jika ingin berkembang, konsep “one man show” seperti ini patut difikirkan semula masak-masak. Kita lihat pada cara operasi syarikat-syarikat besar yang ada disekeliling kita. Kebanyakkan syarikat mempunyai sales and marketing division. Ya, mereka mengupah orang lain untuk lakukan kerja-kerja sales dan marketing.

 

Bagaimana pula dengan syarikat yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang sales & marketing? Atau syarikat yang tidak mempunyai jabatan sales & marketing? Mudah sahaja. Mereka akan outsource sahaja kerja-kerja menjual ini. [Anda juga boleh outsource kerja-kerja marketing kepada saya! Lihat info disini]

 

Sama ada anda nak buat kerja-kerja pemasaran sendiri, atau anda upah orang untuk bekerja dengan anda, ataupun anda outsource kerja-kerja pemasaran, segalanya terpulang kepada anda. Namun, perlu pastikan, ada seseorang yang tetap  fokus buat marketing bagi pihak anda. Jika tiada sesiapa yang buat marketing untuk anda, maka memang patut jika anda menghadapi masalah hasilkan jualan.

 

Biasanya kita akan outsource sesuatu tugasan yang sifatnya tidak berulang.

 

Sebagai contoh, tugasan untuk bina laman web. Bila laman web dah siap, kita tak perlu lagi untuk ulang-ulang buat laman web. Kita hanya perlu maintain sahaja website tersebut.

 

Kalau sesekali perlu masukkan konten yang baru, ianya juga tidaklah begitu rumit untuk dilakukan.

 

Biasanya apa yang menjadikan sesebuah website ini, agak mencabar untuk dibina adalah disebabkan oleh fungsi yang boleh dilakukan oleh website tersebut.

 

Bergantung pada apa fungsi yang anda inginkan ada pada laman web tersebut, mungkin anda mahukan fungsi seperti

a. Shopping cart

b. Blog

c. Affiliate marketing

d. Network marketing

e. Galeri video

f. Sistem autoresponder

g. … dan banyak lagi

 

Design dan susun atur

Reka bentuk yang anda ingin pengguna dan pelawat anda lihat ada pada website anda. Sama ada anda inginkan laman web anda kelihatan profesional, santai atau berkonsepkan majalah.

 

Pada asasnya, semakin canggih dan banyak fungsi yang boleh dimainkan oleh website anda, semakin sukar untuk bina laman web seperti itu. Biasanya kos yang akan diminta untuk bina laman web seperti itu juga lebih tinggi.

 

Ada masanya tak berbaloi untuk anda luangkan masa yang lama untuk pelajari cara membina website, sedangkan ianya boleh diserahkan kepada orang lain yang ada kepakaran.

 

(7) Kenalpasti channel untuk difokuskan

Kenalpasti channel ataupun platform yang anda ingin fokuskan bagi tujuan pemasaran.

 

Pada hari ini, kita mungkin perlu jalankan pemasaran di beberapa platform sekaligus secara berstrategik dan tidak hanya bergantung kepada satu platform semata. Sebagai contoh, anda mungkin ingin fokus kepada 3 platform seperti dibawah.

 

Website + Media Sosial + Video Sharing

 

Akhirnya, kesemua channel ini perlu diarahkan ke laman jualan, atau halaman yang mempromosikan produk tertentu yang boleh memberikan hasil kepada anda.

 

Hasil disini sama ada keuntungan dari jualan mahupun komisen atas jualan.

Sekiranya anda merasakan sukar untuk memastikan iklan perniagaan anda boleh muncul di pelbagai platform, anda patut pertimbangkan untuk lakukan Joint Venture ataupun mungkin buat outsourcing.

 

Oleh sebab kita dah sentuh mengenai konsep outsource dalam perenggan sebelum ini, jadi saya tak akan ulas sekali lagi.

 

Sebaliknya kita akan fokus pada konsep JV menerusi pendekatan affiliate marketing.

 

Kolaborasi dan sistem ejen untuk bantu tingkatkan jualan produk anda

Jika anda hanya ingin sasarkan jualan sekitar 10 – 30 unit produk anda dalam sebulan, maka saya berpendapat buat kerja sorang-sorang dah memadai. Tetapi, jika anda mahukan lebih banyak jualan, maka anda patut pertimbangkan untuk wujudkan sistem kolaborasi dan mendapatkan bantuan daripada pihak ketiga untuk bantu anda buat jualan.

 

Sistem ejen

Buat waktu ini, ada dua sistem ejen yang popular yang diamalkan. Pertama, sistem ejen dropship dan yang kedua ialah sistem ejen affiliate.

 

Sekiranya anda hanya menjual satu atau dua barang sahaja secara online, sistem affiliate sesuai untuk anda.

Laman web yang dibina menggunakan perisian minisite mudah [download disini] akan dilengkapi dengan sistem affiliate. Proses pemasangan juga sangatlah mudah hinggakan orang yang tak mahir dalam bidang IT pun boleh buat.

 

Anda tak perlu risau kerana penerangan diberikan dalam bentuk video. Anda tonton video cara pemasangan dan seterusnya anda ikuti sahaja langkah demi langkah yang ditunjukkan.

 

Sebenarnya ada satu lagi perkara yang saya nak tunjukkan pada anda.

Tahukah anda, bahawa, anda sebenarnya boleh menjual menerusi laman web Lazada Malaysia?

 

Laman web Lazada ada banyak produk. Laman web Lazada juga ada banyak pelawat. Lazada juga ada banyak ejen affiliate yang mempromosikan produk-produk di Lazada secara aktif! Saya juga adalah salah seorang yang telah mendaftar sebagai ejen affiliate Lazada.

 

Jika anda sudah menjual menerusi Lazada, besar kemungkinan saya juga pernah bantu promosikan produk-produk anda. Atau mungkin saya pernah memberikan trafik untuk masuk ke halaman jualan atau kedai online milik anda.

 

Alternatif bagi membuat jualan menerusi platform Lazada adalah, menggunakan Shopee.

Belajar jadi seller di Shopee disini.

Dewasa ini, Shopee mula menjadi dominan dalam eko-sistem perniagaan berasaskan e-commerce di Malaysia.

 

Sedikit sebanyak ia mungkin bertitik tolak dari beberapa faktor misalnya seperti

1. Platform jualan yang mudah digunakan

2. Sokongan dari para ejen affiliate

3. Sistem pembayaran S-paylater

 

Sistem ejen ini, jika dibuat dengan betul, ia dapat memberikan impak yang sangat positif.

 

Andai kata seorang ejen boleh bawa masuk 10 unit jualan setiap bulan, cuba bayangkan kalau anda mempunyai 100 orang ejen dibawah anda.

 

Tak mustahil kalau dalam ramai-ramai ejen, ada yang sangat perform dan mampu hasilkan jualan yang sangat memberangsangkan.

 

Ini secara tak langsung dapat menyelesaikan masalah yang pertama itu tadi, iaitu kurang respons dari potential customer.

 

Sudahkah anda pastikan bahawa iklan bagi perniagaan anda ada di mana-mana?

Pengiklanan adalah sebahagian daripada pemasaran. Iklan adalah salah satu cara bagaimana sesebuah perniagaan dapat berinteraksi serta menyampaikan mesej jualan kepada para pelanggan.

 

Bagaimana dengan situasi anda? Adakah anda telah lakukan iklan dengan sebaik mungkin. Adakah iklan perniagaan anda dapat dilihat dimana-mana?

1. Adakah pengguna Youtube boleh jumpa iklan anda?

2. Adakah pengguna search engine Google boleh jumpa iklan anda?

3. Adakah pengguna laman web media sosial boleh jumpa iklan anda?

 

Antara perkara 1 hingga 3, saya boleh bantu untuk perkara nombor 2. Ya, saya boleh bantu untuk pastikan prospek anda dapat menemui perniagaan anda apabila mereka menggunakan laman carian google. Dapatkan perkhidmatan iklan dari saya, dan In Shaa Allah saya akan berikan bantuan yang terbaik.

 

Kesimpulan

Percayalah!

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.

 

Tanggungjawab kita, adalah untuk kenalpasti masalah yang betul, supaya kita boleh merangka strategi yang tepat.

 

Dalam perbincangan disini, kita cuba cari penyelesaian dan punca masalah dengan melakukan why analysis.

 

Bagaimana kalau kita tidak melakukan why analysis tersebut? Adakah kita masih boleh mencari punca dan penyelesaian bagi masalah ini?

 

Mungkin masih boleh. Cuma penyelesaiannya mungkin kurang tepat.

 

Anda mungkin akan menjumpai jawapan-jawapan seperti

Iklan tidak menarik

Iklan tak cukup banyak

Konten yang belum cukup bagus

 

Jawapan-jawapan ini, walaupun ianya betul dan memberi impak kepada jualan, namun ia mungkin tidak mencerminkan masalah yang sebenarnya.

 

Ia hanyalah masalah yang berada dipermukaan sahaja. Sepatutnya untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan jualan ini, kita perlu selami dengan lebih mendalam bagi mencari akar sebenar, yang menjadi masalah kita.

 

Kalau perancangan kita tak betul, kita akan menyelesaikan masalah yang salah, dan akhirnya ia akan kembali menyusahkan kita. Kita pun pelik, kenapa selama ini dah macam-macam yang kita buat tetapi masalah tersebut masih tetap belum dapat diselesaikan.

 

Baiklah, saya rasa dah agak banyak yang saya cerita disini.

Saya harapkan ada beberapa point yang saya kongsikan disini bermanfaat buat anda.

 

 

Exit mobile version