Blog Sabree Hussin

Ubah penampilan, tingkatkan pencapaian

Apa yang kita kenakan atau yang kita sarungkan pada tubuh badan kita akan memberi kesan kepada tahap motivasi dan keyakinan diri kita. Terutamanya buat mereka-mereka yang kerjayanya perlu berjumpa dengan orang ramai.

 

Contohnya seperti ejen insurans atau takaful, jurujual kereta dan sebagainya.

 

Cuba satu hari tu, anda sarungkan jam tangan yang berjenama lagi mahal harganya. Perhatikan bagaimana perubahan yang akan berlaku pada diri semasa berinteraksi dengan pelanggan.

 

Anda mungkin akan dapati, pada ketika itu anda lebih yakin dan bersemangat untuk berbual-bual dengan pelanggan anda.

 

Bahagian yang paling banyak bergerak pastinya tangan anda.

 

Setiap kali anda cuba untuk menerangkan sesuatu, tangan anda turut akan bergerak-gerak, seolah-olah cuba untuk mewujudkan secara fizikal setiap penerangan yang anda tuturkan. Bila bercakap tentang bola itu bulat, tangan anda juga akan secara automatik akan buat bentuk bulat.

 

Itu biasa berlaku kalau anda pakai jam yang mahal. Berapa mahal? Mungkin mahal seperti ini. Anda nak berjumpa dengan klien yang memang jutawan lagi hartawan pun tak ada rasa kekok. Sebaliknya, kalau anda pakai jam yang murah, bawah harga RM50 misalnya, anda mungkin akan terasa kekok untuk berbual dan mungkin akan berdiri tegak lurus sepanjang masa.

 

Begitu juga halnya jika anda berpakaian kemas, baru, berjenama dan mahal. Tahap keyakinan anda juga akan secara automatik meningkat. Mungkin keyakinan tu sedikit sebanyak terpacu dari pakaian yang anda pakai.

 

Sebab tu, kalau kita nak jadi bertambah yakin, lebih bersemangat, kena jaga bab penampilan. Bermula dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki. Bukanlah satu pembaziran untuk beli pakaian yang berjenama dan mahal, jika itu memberi kesan yang positif pada diri anda. Yang penting, bila dah beli tu kenalah pakai. Bukannya setakat simpan dalam almari.

 

Orang yang serabai, langsung tak jaga penampilan, selalunya pencapaian dalam kehidupan dia pun biasa-biasa. Kadang-kadang langsung tak ada pencapaian. Kalau ada pencapaian sekalipun, ianya bukan suatu pencapaian yang boleh dibanggakan.

 

Sesekali, kita perlu ubah penampilan. Ubah kepada yang lebih baik. Ubah cara berpakaian. Ubah fesyen rambut. Ubah fesyen tudung. Ubah warna yang biasa dipadankan pada tubuh. Kesannya?

 

Apa yang kita pamerkan pada luaran, akan memberi kesan pada dalaman. Kuat luar dan dalam, itu baru hebat!

 

Exit mobile version