Blog Sabree Hussin

Tips dan strategi TERBAIK bagaimana memulakan perniagaan kedai makan dan restoran

Bisnes kedai makan ataupun perniagaan restoran, adalah salah satu bentuk perniagaan yang saya ingin mulakan selain daripada perniagaan kedai runcit. Satu masa dulu, sebelum saya buka bisnes kedai runcit kecil-kecilan yang saya dan keluarga miliki sekarang ni, saya pernah merangka beberapa strategi untuk buka bisnes kedai makan ni.

 

Memandangkan dalam masa terdekat ini, mungkin saya terpaksa tangguhkan dulu perancangan untuk buka kedai makan, maka saya rasa ada baiknya saya kongsikan kat sini apa dia strategi-strategi yang pernah saya draf dalam kertas kerja bisnes kedai makan yang saya buat. [muat turun sample kertas kerja bisnes kedai makan dan restoran di sini]

 

Walaupun plan tersebut masih belum menjadi, saya rasa terpanggil untuk kongsi dalam blog ni. Manalah tau, ada antara pembaca dan pelawat blog ini bercita-cita untuk buka kedai makan ataupun bisnes restoran, dan sedang mencari-cari idea tambahan, macam mana nak majukan atau kembangkan bisnes yang bakal dibuka itu nanti. Jadi, inilah dia.

 

Bukanlah niat saya untuk mengajar-ngajar anda bagaimana cara untuk memulakan perniagaan kedai makan. Tidak, bukan begitu. Saya pun bukannya pandai sangat. Niat saya adalah untuk kongsikan idea sahaja. Saya harap beberapa tips yang simple ini dapat bantu memberi anda banyak lagi cetusan-cetusan idea untuk berikan yang terbaik bagi perniagaan yang anda bangunkan nanti. Ok jom kita teruskan.

 

(1) Waktu perkhidmatan jelas dipaparkan

Adakah anda akan buka perniagaan anda setiap hari? Jika ya, perniagaan anda akan dibuka dari pukul berapa sampai pukul berapa? Kemudian, apa pula agaknya menu yang anda sediakan kepada para pelanggan anda?

 

Sebagai pelanggan, ada beberapa perkara yang akan buatkan saya rasa kecewa dengan sesebuah kedai makan atau restoran. Pertama, saya tak tau sama ada kedai tu bukak atau tidak. Kita dah set dalam jadual nak makan kat kedai tu, tiba-tiba bila kita datang, kedai tu tak bukak pulak. Memang sangat mengecewakan bila benda ni terjadi.

 

Kemudian berkenaan dengan menu pulak. Adakah kedai makan tu menyediakan menu makan tengahari ataupun hanya menyediakan menu makan malam?

 

Pada satu hari, semasa saya bercuti ke Pengkalan Balak Melaka, saya menghadapi kesukaran untuk cari kedai makan. Maklumlah itu kali pertama saya bercuti ke sana. Kemudian ada la saya terjumpa satu kedai makan. Bila datang ke situ, menu langsung tak disediakan. Jadi kat situ saya rasa agak sukar nak order makanan. Kemudian bila saya nak order makanan bersup, seperti sup tulang, sup ekor atau tomyam, pemilik kedai tu kata, benda tu semua tak jual. Apa yang ada cuma makanan bergoreng, seperti nasi goreng, mee goreng dan bihun goreng.

 

Saya rasa macam tak syok la kalau macam tu.

 

(2) Servis yang laju

Servis yang laju ni, kebiasaannya saya cuma alami jika makan di kedai mamak. Saya selalu impikan situasi yang macam ni jika saya datang makan ke kedai makan milik peniaga melayu. Contohnya

1. Bila saya datang, ada orang yang akan tunjukkan tempat duduk yang selesa untuk saya.

2. Selepas duduk, terus pelayan bagi menu dan sedia untuk ambik order.

3. Dalam masa lima minit, minuman sampai.

4. Kemudian, dalam masa 10 minit selepas minuman sampai, makanan pula sampai. Bermakna, dari masa pelayan ambik order, sampailah makanan sampai ke meja, ia ambil masa lebih kurang 15 minit sahaja.

5. Kemudian akan ada pelayan akan buat semakan sama ada kesemua makanan yang di order telah pun sampai. Ini memang jarang bisnes di kedai makan akan buat. Saya pun selalu kena, dalam banyak-banyak makanan yang di order, akan ada seorang yang tak lengkap menunya. Order sup ekor dengan nasi putih, yang datang cuma nasi putih je. Sup ekor dia mana entah hilang, tak sampai-sampai. Kawan-kawan lain yang makan sama dah nak balik, sup ekor dia baru sampai. Itupun sejuk semacam.

6. Sambil buat semakan tu, pelayan yang sama boleh tanya, sama ada kita nak tambah apa-apa order atau tak. Contohnya pencuci mulut. Sesetengah kedai ada jual ais krim, buah-buahan potong, cendol, ABC dan sebagainya. Semua ni lebih sesuai untuk order waktu dah nak habis makan. Kalau order ais krim awal sangat, nanti cair pulak ais krim tu.

 

(3) Kebersihan

Faktor kebersihan ni dah tentu menjadi faktor yang sangat penting dalam mana-mana bisnes kedai makan. Kebersihan premis perniagaan, kebersihan lantai, meja makan, kerusi, pinggan mangkuk yang digunakan termasuklah juga sudu dan garfu.

 

Saya pernah tengok ada kedai makan yang masih lagi simpan sudu dan garfu yang dah bengkok dan dah berubah warna. Macam warna terbakar dan karat. Saya rasa dah boleh tukar yang baru dah tu sepatutnya.

 

(4) Kualiti makanan

Makanan kalau sedap, pelanggan pasti akan datang lagi. Malahan, pelanggan tak sabar-sabar nak datang lagi di lain masa. Makanan sedap itu satu perkara. Namun satu perkara lagi yang kerap terjadi ialah, rasa makanan langsung tak konsisten.

 

Aspek makanan sedap ni memang subjektif dan ia berbeza-beza mengikut selera masing-masing. Tetapi, saya berpendapat, selain makanan itu perlu sedap, rasanya juga perlu konsisten. Rasa makanan sama setiap masa, walaupun si tukang masak adalah orang yang berlainan.

 

Salah satu perniagaan kedai makan yang begitu konsisten dari segi rasanya ialah restoran Fast Food Mc Donald. Tak kira walau kat negeri mana kita pergi, rasanya tetap sama.

 

(5) Kemudahan tambahan yang disediakan

Lagi banyak kemudahan yang mampu disediakan, itu lebih baik. Namun, jika tak dapat sediakan semua, janganlah langsung tak ada kemudahan. Kat bawah ni adalah antara contoh-contoh kemudahan yang mungkin pihak peniaga dapat sediakan. Antaranya

1. WIFI

Ini untuk menarik golongan muda untuk datang ke kedai makan kita. Bila ada wifi percuma, kedai makan kita akan jadi salah satu tempat lepak yang dijadikan pilihan. Walaubagaimanapun, kena pastikan kedai makan kita tu ada banyak seat. Kalau tidak, kedai kita hanya penuh dengan orang melepak tapi hanya order segelas air sahaja.

 

2. Astro

Ini untuk memudahkan orang ramai untuk menonton siaran sukan atau apa-apa siaran menarik yang tidak ditayangkan di televisyen.

 

3. Tandas

Kalau boleh sediakan dua tandas. Jadi, tak perlu orang beratur untuk menunggu.

 

4. Surau atau ruang solat

Ruang solat ni sangat berguna terutama sekali apabila bulan puasa. Senang pelanggan nak buka puasa kat kedai makan kita. Ataupun, waktu makan malam. Kita sedia maklum, waktu maghrib ni agak pendek masanya. Jadi, kalau kita sediakan ruang solat, maka pelanggan yang masih belum solat boleh terus solat di ruang solat yang kita sediakan tu.

 

5. Kerusi untuk kanak-kanak

Ini untuk pastikan kanak-kanak tu dapat duduk diam. Sesetengah kedai makan memang tak sediakan benda ni. Kalau nak lebih advance lagi, sediakan ruang bermain untuk kanak-kanak, macam gelongsor, jongkat-jongket dan sebagainya.

 

6. Sistem tempahan

Wujudkan sistem tempahan menerusi telefon, SMS atau whatsapp. Jadi pelanggan yang nak take away, boleh buat tempahan siap-siap dan bila dia sampai ke restoran tu, tinggal ambik je. Tak perlu susah payah nak tunggu lama.

Saya pernah jumpa juga ada kedai makan yang buat servis penghantaran. Ini pun satu perkhidmatan yang bagus juga untuk mereka yang malas nak keluar.

 

(6) Pekerja

Apa pun, semua yang saya senaraikan kat atas ni, tak akan berjaya jika anda tidak mempunyai tenaga kerja untuk melakukannya. Maksudnya kat sini, pekerja adalah aset penting dalam perniagaan anda. Sebagai majikan, janganlah berikan beban dan tugasan yang terlalu banyak untuk seorang pekerja tu.

 

Saya suka tengok cara kerja di Saba Restaurant. Setiap pekerja ada tugasannya yang tersendiri dan mereka tidak boleh buat kerja yang bukan kerja dia. Maksudnya, kalau dia adalah tukang ambik order, tugas dia itu sahaja. Dia tak akan buat kerja-kerja mencuci, memasak, buat air dan sebagainya. Tukang ambik order ini juga berperanan untuk melayan pelanggan, dan memastikan pelanggan sentiasa tambah order. Nah, individu ini adalah orang yang sangat penting untuk buat jualan di kedai anda.

 

Kalau nak tambah tugasan kepada tukang ambik order ni, bolehlah kita bagi dia tugasan-tugasan seperti

1. Tukang tunjuk tempat duduk kepada pelanggan

2. Ambik order (sudah mesti)

3. Semak order pelanggan. Pastikan pelanggan dah dapat semua makanan yang ditempah.

4. Bila nampak macam meja tersebut dah nak habis makan, dia datang semula dan tanya “ada nak tambah order? ABC, Ais krim, etc?” Sesetengah orang yang datang makan, tak kisah untuk order dessert waktu ni. Tapi kalau tak ada sesiapa yang tanya, memang tak akan order la…

5. Pastikan sentiasa alert dengan pelanggan yang datang makan. Mungkin ada orang yang nak tambah order.

 

Satu perkara yang saya rasa sangat mengecewakan apabila sangat susah nak panggil pelayan. Sama ada kita nak tambah order, nak minta bantuan dia lap meja dan sebagainya. Sebabnya, tak ada eye contact. Pelayan yang bertugas sibuk pandang ke luar, pandang ke kawasan yang tak ada sesiapa, atau lebih teruk lagi sibuk main handphone.

 

Saya rasa, panggil orang dengan cara buat bunyi phwwwwiiiit…. pwhiiiit… adalah satu benda yang agak biadap. Saya tak akan buat macam tu. Melainkan kalau betul-betul terpaksa. Dan biasanya memang saya tak akan buat. Masalahnya, bila ada benda yang saya nak tapi tak dapat, ini akan buatkan saya rasa tak puas hati dengan restoran tersebut.

 

Sesetengah kedai, akan ada sediakan loceng di setiap meja, untuk memudahkan pelanggan berinteraksi dengan pelayan. Ini pun bagus juga.

 

(7) Sistem pembayaran

Secara peribadi, saya lebih suka sistem pembayaran yang boleh dilakukan dari tempat kita duduk. Bila dah sedia nak bayar, kita mintak bill dan dekat situ jugak kita buat beri duit untuk buat bayaran. Jika ada baki, kita hanya perlu tunggu di situ sahaja sementara pelayan pulangkan duit untuk kita. Jadi sebagai pelanggan, kita tak perlu susah payah nak beratur di kaunter.

 



 

Selain daripada poin-poin yang saya senaraikan ni, ada juga beberapa perkara yang saya nak highlight. Iaitu “tolonglah jangan ganggu pelanggan sedang makan.”

 

Ada kedai makan yang saya pergi, pelayannya mengganggu pelanggan. Mungkin dia adalah pemilik kedai makan tu. Kita datang ke kedai makan tu sebab nak makan. Sambil-sambil tu, kita nak berbual-bual dengan pasangan kita, tak kisahlah sama ada yang datang tu laki bini, kawan-kawan dan sebagainya.

 

Apa yang pernah saya lalui, pemilik kedai makan tu sibuk nak ajak kita bersembang. Biasanya benda yang dia nak sembang tu adalah benda yang ada kaitan dengan rancangan TV yang sedang ke udara. Kalau waktu tu tengah bukak cerita bual bicara atau berita, dia pun sibuk nak ulas rancangan tu. Ini semua mengganggu privasi pelanggan. Kadang-kadang saya terfikir, no wonder kedai dia tak ada orang nak datang. Mungkin dia ganggu semua orang agaknya.

 

Selain itu, saya berpendapat, sebagai pemilik perniagaan, dia juga bertanggungjawab untuk memastikan pelanggannya selesa makan di tempatnya. Tak nak ada gangguan-gangguan seperti orang datang nak jual barang, mintak sedekah, derma atau apa-apa yang berkaitan.

 

Jika orang tu memang perlukan bantuan, mintak bantuan dengan owner restoran tu. Jangan kacau pelanggan. Kalau nak jugak kutip derma, mintak sumbangan apa-apa, mintak dekat luar restoran. Bukannya datang kacau di setiap meja. Kadang-kadang saya pelik, dengan pemilik restoran yang tak halang benda ni.

 

Mungkin pemilik restoran tu tak sampai hati kot. Tapi secara peribadi, kalau benda ni berlaku kat premis perniagaan saya, saya memang akan halau orang yang mintak sedekah tu keluar. Dia dah mengganggu pelanggan-pelanggan saya nak makan. Ya, memang nampak kasar, tapi dia tak ada hak nak ganggu pelanggan-pelanggan saya. Mintak duit orang kat premis perniagaan saya, itu lagi kurang ajar. Kita sewa tapak kedai tu mahal-mahal untuk buat duit, dia senang-senang je masuk dan mintak sedekah dalam tu. Tak sepatutnya dibiarkan.

 

Dari perspektif saya sebagai pelanggan, ada beberapa kedai makan yang saya dah tak akan kunjungi lagi sampai bila-bila, sebabnya kedai tu banyak orang mintak sedekah. Mula-mula jual pen, lepas tu jual mainan budak, kemudian jual tisu, lepas tu entah apa-apa lagi yang datang. Memandangkan pemilik kedai tu tak nak halang benda ni dari terus berlaku, maka satu-satunya perkara yang saya boleh buat ialah, berhenti makan kat situ. Selamat tinggal untuk selamanya. Banyak lagi kedai lain yang tak ada gangguan.

 

Tetapi saya bukanlah kejam sangat. Kalau nak mintak sumbangan di luar kedai, itu terpulang pada dia. Tapi kena berdiri jauh la sikit. Bukannya tunggu kat pintu masuk. Setidak-tidaknya kena tau batas-batas la juga. Bukannya pakai terjah dan ganggu bisnes orang lain.

 

Ok la… ini hanya sebahagian yang saya fikirkan untuk diaplikasikan dalam perniagaan restoran saya. Bila saya nak bukak bisnes restoran tu? In Shaa Allah, hanya Allah sahaja yang tau bila masanya.

 

Boleh saya tau, ada ke beberapa poin dalam ni yang berguna untuk anda? Apa pun, terima kasih kerana membaca dan semoga perkongsian ini bermanfaat!

 

“Adakah anda memerlukan contoh kertas kerja atau proposal bagi bisnes kedai makan dan restoran?”

Jika jawapan anda adalah YA, sila klik sini untuk muat turun sekarang!

 

 

Exit mobile version