Blog Sabree Hussin

Takut nak buat duit tambahan secara online? Ini sebabnya

Pernah tak anda berada dalam situasi macam ni.

Anda nak buat duit secara online, tapi sampai sekarang anda masih tak buat sebarang tindakan. Puncanya ialah, anda rasa TAKUT.

 

Dalam perkongsian pada kali ini, topik ini yang saya nak bincangkan, iaitu sindrom takut nak buat duit secara online. Rupa-rupanya kat luar sana tu, atau kat sekeliling kita ni, bukan semua orang ada keberanian nak buat duit secara online. Dalam diam-diam, sebenarnya ramai juga yang takut nak buat duit.

 

Setiap orang, mempunyai ketakutan yang berlainan. Sekiranya ada dua orang yang mempunyai ketakutan pada perkara yang sama, satu perkara yang mungkin akan membezakan mereka ni ialah tahap ketakutan tersebut. Mari kita lihat, apa benda sebenarnya yang menjadi ketakutan untuk individu seperti ini. Apa dia yang buatkan mereka takut untuk buat duit secara online.

 

(1) Takut kena tipu

Saya akui, bagi orang yang tak biasa, atau orang yang agak baru dengan persekitaran buat duit online ni, mereka akan tersalah anggap bahawa buat duit online ni too good to be true. Peluang seperti ini terlalu hebat hingga dirasakan seolah-olah terlalu mustahil untuk menjadi satu kenyataan.

 

Sesuatu perkara, bila ia too good to be true, selalunya ia ada kemungkinan untuk menipu. Maka tak hairanlah kalau ada yang terlalu berjaga-jaga dan sangat berhati-hati sebelum memulakan sebarang tindakan untuk buat duit online.

 

Jangan terus terima sesuatu model perniagaan yang anda dengar untuk pertama kali secara membuta tuli. Buat kajian. Buat pembacaan tambahan. Tanya pada orang lain yang memang dah berjaya buat duit online.

 

Saya nak ambil contoh program affiliate.

Bagi mereka yang baru pertama kali mendengar tentang peluang buat duit dengan program affiliate ini juga besar kemungkinan akan merasakan program seperti ini bohong semata-mata. Padahal, jika kita kaji betul-betul, kita akan tahu satu hakikat bahawa konsep affiliate sememangnya boleh digunakan dan diseluruh dunia, ada ramai yang berjaya buat duit dengan program seumpama ini.

 

Sama ada sebagai pemilik produk mahupun sebagai ejen yang membantu mempromosikan sesuatu barangan. Program affiliate membantu setiap orang yang bercita-cita untuk buat duit online, merealisasikan impian mereka menjadi kenyataan.

 

(2) Takut pasangan marah

Buat duit online sama ada dengan menjual produk sendiri mahupun menjual produk milik orang lain, tak banyak bezanya dengan berniaga secara offline. Anda masih lagi perlu berikan komitmen dan fokus yang tak berbelah bahagi untuk berjaya buat duit.

 

Kalau terlalu komited, boleh jadi akan buatkan pasangan terasa hati kerana selepas ini, masa untuk bersama pasangan akan jadi makin berkurangan. Oleh itu, berbincanglah dengan pasangan masing-masing. Tetapkan satu kaedah atau cara kerja yang boleh diterima oleh pasangan masing-masing.

 

Sesetengah usahawan online, yang menjual produk-produk kesihatan dan kecantikan, ataupun yang menjual produk seperti tudung dan baju misalnya, mereka akan kerap selfie dan post gambar sendiri di wall Facebook masing-masing. Bukan semua pasangan boleh terima kaedah pemasaran seperti ini. Seperti yang saya katakan, bincanglah dulu sebelum buat sebarang keputusan. [Cabaran buat duit online dalam niche kesihatan dan kecantikan]

 

Berkemungkinan, pasangan anda cuma tak gemar cara pemasaran sedemikian, bukannya tak benarkan langsung anda buat duit online. Sekiranya anda boleh terangkan pada pasangan anda, bahawa ada banyak lagi kaedah pemasaran yang berkesan yang boleh digunakan, tanpa memerlukan anda untuk berselfie setiap masa dan mendedahkan aurat, boleh jadi pasangan anda akan benarkan anda berbisnes.

 

(3) Takut tak ada masa nak berseronok

Pada saya la kan, ini adalah pandangan yang silap. Bila anda buat duit online, anda ada sumber pendapatan tambahan, anda akan ada lebih banyak masa dan peluang untuk berseronok. Kalau dulu, kalau nak pergi bercuti, anda hanya boleh bercuti dalam Malaysia sahaja. Bajet anda cuma sesuai untuk bercuti di tempat-tempat peranginan di sekitar Malaysia.

 

Namun, bila anda ada duit tambahan, anda boleh bercuti hingga ke luar negara.

 

(4) Takut mengganggu kerja sedia ada dan pelajaran

Macam yang saya sebutkan sebelum ni, nak buat apa pun, perlukan fokus dan komitmen. Macam mana nak fokus dan beri komitmen pada perkara-perkara yang lebih prioriti dalam hidup anda, kalau anda pilih untuk buat duit online dalam bidang yang susah.

 

Contohnya, anda baru nak bermula, dah sibuk nak keluarkan produk sendiri atas jenama sendiri. Ini yang saya maksudkan.

 

Jika anda nak keluarkan produk sendiri atas jenama sendiri, antara perkara yang mungkin terpaksa anda fikirkan ialah

(1) Kajian pasaran dan permintaan

(2) Cara menghasilkan label dan packaging

(3) Distribution channel – kat mana nak jual produk

(4) Pembinaan jenama untuk bagi orang tahu tentang produk dan jenama anda

(5) Simpanan produk – Produk anda perlu simpan di tempat yang sesuai untuk elak kerosakkan

(6) Pembungkusan dan penghantaran produk

(7) Khidmat pelanggan

 

… dan mungkin banyak lagi yang perlu anda tahu.

 

Kalau dah tahu anda ni jenis yang sibuk. Kalau yang masih bekerja, anda memang jarang-jarang ada masa terluang, dan kalau yang masih sedang belajar tu pulak, kena selalu menelaah pelajaran dan dalam sehari cuma ada masa senggang dalam sejam dua sahaja, buatlah sesuatu yang lebih mudah.

 

Program affiliate misalnya (lagi sekali saya sebut tentang program affiliate). Dalam program affiliate, jika anda dapat mahirkan diri dengan kaedah pemasaran jenis setup dan tinggal, anda juga berupaya untuk buat duit tambahan. In fact, cara ini (set up dan tinggal) anda mempunyai peluang untuk dapat komisen konsisten setiap bulan.

 

(5) Ketakutan sebenar? Takut GAGAL

Cuba fikir sekali lagi. Mungkinkah… sebenarnya ketakutan itu berpunca daripada satu perkara iaitu TAKUT GAGAL. Orang yang tak pernah gagal, adalah orang yang tak pernah mencuba langsung.

 

Saya tak pernah gagal dalam perlumbaan kereta formula 1.

Saya tak pernah gagal menerbangkan pesawat Boeing.

Saya tak pernah gagal dalam pelaburan saham.

 

Wah hebatnya. Langsung tak pernah gagal ke? Ye langsung tak pernah gagal. Sebabnya? Saya langsung tak pernah buat benda-benda ni semua, jadi macam mana saya nak gagal pulak.

 

Adakah anda sanggup untuk menerima kegagalan sebagai salah satu pengalaman yang perlu anda lalui bagi menghasilkan sesuatu perkara. Sama ada perkara tersebut adalah kejayaan dalam perhubungan bersama insan yang tersayang, pengalaman untuk membina sebuah bangunan mahupun untuk menjana pendapatan tambahan secara online.

 

Sudah tentu, saya juga BIASA melalui kegagalan dan kesilapan-kesilapan kecil sepanjang saya bergiat dalam bidang ini. Bukan setiap percubaan yang saya buat berjaya mendatangkan hasil. Ada yang berjaya, ada yang gagal.

 

Akan tetapi, dari banyak-banyak kegagalan ini lah, peluang untuk saya mendapat kejayaan di masa akan datang jadi bertambah cerah. Bagaimana petua untuk tangani rasa takut gagal ni?

 

Mudahnya begini. Kita tangani dan atasi ketakutan kita dengan cara berdepan dengan perkara yang kita takut. Kita takut gagal buat duit online, jadi kita belajar semua yang kita perlu tahu dan hadamkan seberapa banyak ilmu buat duit yang boleh, kemudian kita terus mula. Dari situ, akan mula timbul keyakinan dan sedikit demi sedikit ketakutan tu akan hilang.

 

Tahu-tahu je, anda akan dapati setiap bulan, pasti anda akan dapat komisen secara konsisten. Kalau bukan dari laman web A, komisen dibayar oleh laman web B. Kalau bukan dari syarikat C, komisen anda datangnya dari syarikat D.

 

Tak usah layan sangat ketakutan-ketakutan ini semua. Buat yang terbaik, buat kerana Allah, buat kerana nak cari rezeki untuk berikan kepada keluarga, In Shaa Allah, pada masa tu kita akan lihat, hal-hal takut ni cuma perkara remeh sahja.

 

 

Exit mobile version