Blog Sabree Hussin

Strategi Pemasaran Facebook Group – Langkah demi langkah!

Dunia digital sememangnya membuka banyak ruang dan pilihan untuk kita memilih platform pemasaran yang bersesuaian.

 

Bagi mereka yang mempunyai personaliti yang suka berada dalam sebuah komuniti yang saling menyokong antara satu sama lain, pendekatan pemasaran menerusi platform group boleh jadi adalah satu pilihan yang paling tepat.

 

Cuba anda bayangkan, sambil anda bersosial dan membina sebuah komuniti, pada masa yang sama anda juga mencipta sumber pendapatan anda sendiri.

Semua ini boleh direalisasikan melalui kaedah pemasaran di Facebook Group.

 

Kita akan bincangkan, apakah kaedah serta strategi, secara langkah demi langkah dalam menghasilkan sebuah group yang berjaya dan menjadikannya sebagai salah satu platform untuk menjana pendapatan.

 

Tanpa membuang lebih banyak masa, mari kita terus kepada langkah yang perlu dilakukan.

 

(1) Tentukan matlamat

Perkara pertama sebelum nak mula mencipta group di media sosial, cuba berhenti sejenak dan fikirkan, apakah tujuan dan matlamat yang anda ingin capai melalui penubuhan Facebook Group tersebut.

 

Apabila matlamat anda jelas, segalanya akan lebih mudah untuk diuruskan.

 

Lazimnya, matlamat yang ingin dicapai ini adalah seperti

1. Meningkatkan kesedaran terhadap jenama syarikat anda

2. Mendapatkan jualan melalui FB Group

3. Mewujudkan komuniti yang kuat

4. Mendapatkan interaksi dengan para pelanggan

 

Mempunyai matlamat dan tujuan yang jelas akan sangat membantu dalam mencipta konten yang relevan dengan tujuan anda.

Matlamat kita menubuhkan sesebuah group itu juga perlulah selari dengan minat golongan yang kita sasarkan.

 

Sebagai contoh, kalau anda kata matlamat anda adalah untuk menghasilkan jualan untuk produk yang anda jual, anda perlu tahu, adakah golongan yang anda sasarkan untuk menjadi ahli dalam group anda itu, minat dengan produk mahupun perkhidmatan yang anda jual?

 

Besar kemungkinan, minat terhadap sesuatu produk bukanlah suatu motivasi yang cukup besar untuk mengajak orang ramai menjadi ahli dalam group anda.

 

Kalau fokus anda adalah tentang nak jual produk, nak jual perkhidmatan, pendekatan ini perlu difikirkan semula.

Contohnya, group penapis air ajaib, group takaful terbaik malaysia, group emas kaya dan sebagainya.

 

Bukannya saya nak kata, tak ada siapa yang akan berminat dengan pendekatan seperti itu. Apa yang saya cuba beritahu ialah, pendekatan seperti biasanya kurang berkesan, sebabnya sekali imbas kita boleh agak yang matlamat group ini adalah untuk jual dan promosi produk semata-mata.

 

Kita ini bukannya tak suka beli barang, cuma kita agak rimas apabila ada orang yang suka promosi barang tanpa henti pada kita.

 

Jadi, apakah kaedah yang lebih baik?

Saya syorkan fokus kepada perkara yang menarik minat golongan yang kita sasarkan.

 

Contohnya macam group hiking satu malaysia, group camping, group cuti-cuti Malaysia dan sebagainya.

 

Tak perlu nak sebut langsung apa produk yang anda bakal promosikan dalam nama group tersebut.

 

(2) Cipta Facebook Group anda

Sebenarnya membina group di platform media sosial Facebook sangatlah mudah. Boleh dikatakan sesiapa sahaja boleh lakukannya.

 

Tetapi, untuk membangunkan sebuah kumpulan yang mempunyai ramai ahli yang menyukai kandungan kumpulan tersebut, ia memerlukan strategi yang disusun dengan rapi.

 

Apabila anda ingin mula membina group, pastikan ianya selari dengan identiti jenama dan juga audiens yang anda ingin sasarkan.

 

Persoalannya, apakah strategi yang sesuai untuk digunakan bagi membangunkan sebuah group di Facebook?

Kita lihat pada langkah seterusnya.

 

(3) Bangunkan Strategi Content Marketing

Apa yang membuatkan sesebuah group itu lebih menarik dan lebih bermanfaat berbanding group lain yang dibina bagi tujuan yang sama atau hampir sama?

 

Pada saya jawapannya adalah dari segi pengisian ataupun konten group tersebut.

Pengguna media sosial akan benar-benar tertarik untuk mengikuti sesebuah group kerana konten yang disajikan itu relevan dengan minat mereka.

 

Hasilkan posting yang menarik selain sekadar memberikan maklumat terkini kepada para ahli group. Kalau setiap hari kita asyik berikan informasi terkini, lambat laun kita juga akan kehabisan informasi dan akan menjadi penat dengan kerja-kerja tersebut.

 

Sebaliknya, kita pelbagaikan jenis kandungan dengan cuba melibatkan ahli dalam group tersebut.

 

(4) Bina komuniti yang saling berinteraksi

Jemput individu yang relevan dan berkaitan untuk menyertai group yang dibina.

 

Sebagai contoh pelanggan, subscriber, kenalan atau mana-mana individu yang mungkin berminat dengan tema group anda. Jika tak menjadi suatu halangan, anda juga boleh menjemput mana-mana tokoh yang berada dalam bidang yang sama, untuk sama-sama memeriahkan group yang anda bina.

 

Boleh jadi dari masa ke masa, tokoh tersebut boleh membuat perkongsian yang bermanfaat untuk ahli dalam group anda. Pendekatan ini perlu difikirkan dengan sewajarnya, bagi mengelakkan ahli dalam group anda menyangkakan yang group yang disertai sebenarnya adalah milik tokoh tersebut.

 

Pada pihak tokoh tersebut, beliau juga perlu faham yang group tersebut bukannya tempat untuk dia melakukan apa-apa kegiatan promosi. Sebarang posting yang menjurus kearah promosi perlu dielakkan.

 

(5) Manfaatkan ciri unik FB group

FB Group mempunyai ciri uniknya yang tersendiri.

 

Pertama sekali, kandungan dalam group itu kita boleh pilih sama ada boleh diakses oleh semua orang, atau hanya ahli dalam group sahaja yang boleh tahu apa kandungan didalamnya.

 

Bila kita tetapkan, hanya ahli sahaja yang boleh mendapat akses terhadap kandungan dalam group, ia sedikit sebanyak dapat mewujudkan kesan eksklusif terhadap group anda.

 

Orang yang belum jadi ahli, akan tertanya-tanya, apa yang menarik dalam group anda?

Mereka teringin nak tahu, dan rasa ingin tahu ini boleh mendorong mereka untuk sertai group anda.

 

Oleh kerana hanya ahli sahaja yang boleh tahu, apakah pengisian dalam group tersebut, maka dekat sini ada sedikit privasi.

 

Orang luar tak sewenang-wenangnya boleh tahu apa yang anda kongsikan atau cuba untuk meniru apa-apa tawaran yang anda berikan secara eksklusif, hanya untuk ahli dalam group.

 

(6) Analisis dan penambahbaikkan

Apabila kita mempunyai group FB milik kita sendiri, pada waktu itu kita perlu mula berikan lebih perhatian terhadap data-data yang disediakan oleh pihak FB.

 

Kita rujuk pada bahagian group insight, kerana dekat situ ada banyak data penting yang memberitahu kita maklumat tentang prestasi group kita.

Kita buat analisis untuk mengetahui berapa ramai yang minat untuk menyertai group yang kita bangunkan.

Kita juga ingin tahu, berapa banyak ahli dalam group kita yang berinteraksi dengan kandungan yang kita hasilkan.

 

Data-data ini sangat membantu dalam kita menyusun strategi konten dan penulisan iklan dalam group yang kita uruskan nanti.

 

(7) Promosikan FB Group anda

Kalau anda inginkan ahli dalam group anda untuk berkembang, maka anda perlu lakukan kerja-kerja promosi.

 

Kita tak boleh mengharapkan group akan berkembang dengan sendirinya.

 

Mungkin, anda boleh lihat setiap hari akan ada permintaan baru untuk menyertai group anda. Mereka ini mungkin dengan secara tak sengaja, telah menjumpai group anda.

 

Tapi kadang-kadang mereka ini memohon untuk sertai group anda kerana mereka ada tujuan dan matlamat yang tersendiri. Mereka mungkin beranggapan yang group yang mereka bakal sertai ini berpotensi untuk bantu mereka cari prospek.

 

Hati-hati dengan pengguna FB yang suka join macam-macam group sebab dia nak promosikan bisnes dia dalam group yang dia join. Individu seperti ini lazimnya tak minat dengan konten yang anda hasilkan.

 

Sebaliknya dia lebih berminat untuk memancing keluar ahli-ahli dalam group anda.

 

Sudah tentu, kita tak mahu orang-orang seperti ini untuk berada dalam group yang kita bina. Mereka ini lazimnya tidak akan beri perhatian kepada posting yang kita buat, sebaliknya mereka hanya akan buat posting yang mempromosikan apa-apa produk atau perkhidmatan yang mereka jual.

 

Dalam bahagian promosikan group ini, saya syorkan anda untuk gunakan pelbagai kaedah. Jangan hanya bergantung harap pada cara pemasaran menerusi platform FB semata-mata.

 

Cuba promosikan group anda melalui blog, email marketing, youtube dan lain-lain kaedah promosi yang ada diluar sana.

 

(8) Uji kemampuan group

Cipta kepelbagaian dalam cara anda menyediakan kandungan untuk group yang anda hasilkan.

 

Buatlah konten dalam bentuk artikel, perkongsian gambar, video, survey dan sebagainya.

 

Selain uji dengan jenis konten yang berbeza, boleh juga uji dengan membuat siaran pada masa yang berbeza juga.

 

Kita ingin melihat apakah terdapat kesan yang ketara dari segi maklum balas ahli dalam group kita.

 

Boleh jadi ada masa-masa tertentu, yang bila kita buat posting baru, ada banyak yang berikan respons. Namun, ada masa tertentu, kita seolah-olah bercakap seorang diri.

 

(9) Pematuhan terhadap dasar Facebook

Pastikan semua aktiviti dan kegiatan yang dilakukan dalam kumpulan adalah mematuhi dasar dan piawaian yang ditetapkan oleh komuniti Facebook.

 

Pematuhan kepada dasar ini adalah penting untuk mengelakkan sebarang sekatan atau penalti daripada Facebook.

 

Perlanggaran terhadap dasar ini, kadang-kadang akan dilakukan oleh ahli yang kurang siuman, yang mungkin anda ter-approve untuk join dengan secara tak sengaja.

 

Jangan takut-takut untuk block dan buang ahli.

Apa yang penting bukanlah untuk gembirakan dan puaskan hati semua orang.

 

Sebaliknya, yang lebih penting adalah memastikan group anda dapat berfungsi dan berjalan dengan baik.

 

Kesimpulan

Pemasaran menerusi platform FB Group yang kita bina sendiri ini, sebenarnya bertujuan untuk menyelesaikan masalah iklan tidak mendapat sambutan apabila kita mengiklankan perniagaan, produk atau pun servis kita di group awam.

 

Group awam yang kita maksudkan disini adalah mana-mana group yang bukan milik kita, tetapi kita boleh mohon untuk sertai. Group seperti ini memang ada banyak yang kita boleh temui di Facebook.

 

Kadang-kadang ahli dalam group tersebut ada sangat ramai mencecah ratusan ribu orang ahli.

Tapi sayangnya, apa-apa iklan yang kita tulis disitu, langsung tak ada sebarang sambutan.

 

Secara teorinya, kalau sesebuah group itu mempunyai bilangan ahli yang ramai, apa-apa iklan yang kita siarkan dalam group tersebut, sepatutnya

1. Akan dapat dilihat oleh ramai orang

2. Dapat menarik minat pengguna FB yang lain

3. Sekurang-kurangnya boleh dapat jualan untuk beberapa unit

 

Walaubagaimanapun, realiti mungkin tak seindah mimpi.

Hasil yang kita bakal perolehi lazimnya tak sama seperti mana yang kita harap-harapkan.

 

Dalam keadaan ini, kita perlu sedar dan faham beberapa hakikat penting iaitu,

1. Group umum lazimnya disertai oleh golongan peniaga

Kita juga perlu lihat, dalam banyak-banyak ahli yang aktif, yang selalu buat posting, apakah bentuk posting yang dilakukan?

 

Kalau kebanyakkan posting adalah dari jenis iklan jual barang semata-mata, dan mungkin kebanyakkan orang dalam tu lakukan hal yang sama, bermakna kita boleh simpulkan majoriti yang join group tu sebab nak jual barang atau sebab nak promosikan sesuatu.

 

Group seperti ini pada saya terlalu bingit dan terlalu banyak gangguan. Ahli dalam tu akan sukar untuk fokus dengan tawaran yang kita berikan.

 

2. Ahli mempunyai minat dan kemahuan yang berbeza

Group yang umum ini juga kadang-kadang ia tak mempunyai suatu fokus atau topik yang spesifik. Isi kandungannya tak konsisten dan kebanyakkannya adalah iklan jual barang.

 

Saya rasa tak pelik kalau ahli dalam tu langsung tak beri respons pada apa-apa posting yang dihasilkan disitu.

 

Oleh yang demikian, saya berpendapat, langkah yang lebih baik adalah dengan mencipta group kita sendiri.

 

Kalau dalam bahasa yang lebih mudah, ibaratnya kita bina sendiri kolam ikan kita. Bila kita dah ada kolam (FB Group) kita masukkan dengan pelbagai jenis umpan dan makanan dalam tu.

 

Tujuannya adalah supaya kita boleh tarik minat lebih banyak ikan untuk masuk dalam kolam yang kita bina.

 

Apabila kita sudah mempunyai kolam kita sendiri, barulah mudah untuk kita dapat lebih banyak ikan. Bayangkan, mempunyai sebuah kolam (atau banyak kolam ikan) yang mana kita tak perlu nak berkongsi dengan orang lain.

 

In Shaa Allah kita boleh kenyang dengan ikan untuk satu tempoh masa yang panjang, kalau bukan untuk sepanjang hayat sekalipun.

 

Peringkat seterusnya adalah, jaga kolam kita dengan sehabis baik. Jangan sampai ada makhluk perosak untuk masuk dalam kolam lalu merosakkan eko-sistem dalam kolam yang kita bina dengan susah payahnya.

 

Anda masih inginkan tips tambahan mengenai kaedah pemasaran di Facebook Group?

Jemput baca posting saya sebelum ini berjudul Strategi Pemasaran Terbaik di Facebook Group.

 

 

 

Exit mobile version