Blog Sabree Hussin

Strategi Backlinking Antara Blog Peribadi

Dalam dunia internet, kita sedia maklum ada terlalu banyak laman web atau blog yang merebut tempat dan ingin mendominasi muka surat pertama di halaman carian atau search engine result page (SERP).

 

Bila kita sebut halaman carian, bermakna kita merujuk kepada halaman enjin carian yang popular misalnya seperti

i. Google

ii. Bing

iii. Yahoo

 

Satu strategi yang berupaya untuk menjadikan laman web kita ditemui oleh pengguna adalah strategi yang dikenali dengan istilah Search Engine Optimization (SEO).

Memandangkan diluar sana terdapat terlalu banyak laman web yang ingin mendapatkan tempat pertama, adakah blog peribadi yang kita hasilkan ada peluang untuk masuk ke page pertama?

 

Pada pendapat saya, peluang tersebut tetap ada.

Walaubagaimanapun, blog peribadi yang kita hasilkan mungkin tak akan berjaya mendapatkan ranking yang baik untuk semua kata kunci yang kita sasarkan.

 

Terutama sekali untuk kata kunci yang memang kompetitif.

Tetapi, untuk kata kunci yang agak kurang persaingan, disitu kita masih ada peluang untuk bersaing.

 

Salah satu teknik SEO yang sebenarnya sangat berguna tapi agak ramai yang terlepas pandang adalah teknik internal linking menuju ke post terdahulu yang kita pernah siarkan sebelum ini.

 

Kadang-kadang bila kita terlalu fokus untuk menyiapkan sebuah posting, kita terlupa untuk bina pautan menuju ke artikel terdahulu yang mungkin ada sedikit kaitan dengan artikel yang bakal kita siapkan.

 

Ataupun ada juga yang beranggapan perkara itu sebenarnya tak begitu penting untuk dilakukan.

Sebenarnya anggapan tersebut kurang tepat.

 

Posting pada kali ini, kita bukan setakat nak bincangkan mengenai strategi membina link internal semata-mata, sebaliknya kita juga nak bincangkan mengenai strategi membina link merentas blog yang berbeza.

 

Sebenarnya tiada had berapa banyak laman blog yang kita boleh bina. Ada orang, dia mungkin sudah pernah mempunyai lebih dari sebuah blog.

 

Boleh jadi ada juga yang bercita-cita untuk mempunyai 100 buah blog.

 

Mempunyai 100 buah blog kalau kita uruskan sendiri semua tu, memang sangat sukar. Tapi kalau anda mempunyai pasukan yang boleh membantu anda untuk sama-sama membangunkan blog-blog tersebut, maka itu tak menjadi satu masalah.

 

Anda nak belajar cara untuk bina blog? Saya syorkan anda baca

i. Panduan paling lengkap buat duit dengan blog

ii. Panduan buat duit dengan blog dari pengalaman sebenar

Fahami kelebihan Strategic Blog Linking

Sebelum kita nak bincangkan mengenai strategi membina blog linking dengan beberapa blog yang berbeza, saya kira ada baiknya kita fahami dulu kepentingan membina internal link terlebih dahulu bagi tujuan SEO.

 

Konsep internal link ini adalah apabila kita membuat pautan dalam sesebuah posting yang mengajak pembaca untuk turut membaca posting yang lain dalam blog yang sama.

 

Internal link yang kita wujudkan, sebenarnya bukan semata-mata sebagai penunjuk arah untuk memberitahu pembaca bahawa terdapat artikel lain yang patut mereka baca.

 

Pada masa yang sama, ia juga sebenarnya bertindak untuk memberi isyarat kepada laman enjin carian mengenai struktur laman blog kita dan memberitahu, mana satu artikel yang penting yang kita telah siarkan.

 

Lagi banyak pautan yang kita bina menuju kesesebuah halaman, bermakna kita memberi isyarat kepada laman enjin carian bahawa halaman tersebut adalah penting.

 

Perkara ini apabila dijalankan secara strategik, boleh menghasilkan kesan seperti

1. Meningkatkan navigasi pembaca dan pelawat blog anda

2. Menunjukkan kepakaran anda dalam sesuatu topik

3. Meningkatkan kebarangkalian sesuatu entri itu diindex dan di crawl oleh search engine

4. Memberi signal kepada search engine bahawa sesuatu artikel itu “penting”

 

Sekarang cuba anda bayangkan anda memanfaatkan kuasa internal linking bukan hanya dalam satu blog, sebaliknya merentas dua atau mungkin tiga blog yang berbeza.

 

Kesemua blog ini pula adalah blog yang merupakan dalam kawalan anda.

 

Sebenarnya secara idealnya, kita mahukan penulis blog lain yang membuat linking dengan blog kita secara sukarela.

 

Namun situasinya sekarang ini, penulis blog yang masih aktif semakin berkurangan.

 

Saya tak tahu kenapa bilangan penulis blog yang aktif semakin berkurangan. Tapi kalau saya boleh teka, mereka yang dulu aktif menulis blog mungkin kini telah menggunakan platform berbeza dalam mencipta kandungan.

 

Lagipun kan sekarang ini ada platform seperti

i. Media sosial

ii. Youtube

iii. Tiktok

 

Kalau lebih selesa dengan platform tersebut, dan platform tersebut lebih memberikan pulangan yang baik maka fokuslah pada platform tersebut.

 

Kalau masih ada orang yang menulis secara aktif sekalipun, mereka ini mungkin tak berminat nak bina link dengan konten yang kita hasilkan.

 

Boleh jadi ada beberapa sebab

1. Artikel blog kita tak cukup bagus pada pandangan mereka

2. Mereka tak rasa ada keperluan untuk buat link dengan konten kita

3. Mereka menulis konten yang berbeza topik dengan kita

4. Tiada manfaat atau insentif untuk mereka berbuat demikian

 

Sebagai penulis dan pemilik blog, sudah tentu kita tak boleh terus menunggu dan berharap akan ada penulis lain yang akan link dengan blog kita.

 

Cara ini nampaknya lebih kepada pendekatan mengharap dan saya rasa ianya bukan satu tindakan yang baik.

 

Cara yang saya kira lebih masuk akal dan kita sendiri boleh kawal sepenuhnya adalah dengan kita sendiri yang bina lebih dari satu blog, dan cuba sedaya upaya untuk saling cross promote dalam setiap artikel blog yang kita hasilkan.

 

Sebenarnya konsep ini lebih kurang sama dengan konsep membina tag atau mention seperti yang biasa dipraktikkan dalam platform media sosial.

Bina rangkaian blog anda

Selamat datang ke dunia blogging dimana dalam strategi ini, kita bukan semata-mata menyusun strategi untuk membina dan membangunkan sebuah blog, sebaliknya kita berfikir secara strategik untuk membangunkan rangkaian blog.

 

Bila saya sebut rangkaian blog, saya tidak maksudkan anda hanya bina dan bangunkan satu atau dua blog semata-mata.

Boleh jadi lebih dari itu.

 

Mungkin dalam rangkaian blog yang anda bakal bangunkan nanti, terdiri daripada 3, 5, 10 atau mungkin lebih banyak lagi.

 

Kesemua blog ini perlu dibangunkan secara bersistematik supaya ia dapat membentuk suatu rangkaian blog yang saling mempromosikan antara satu sama lain.

 

Bagaimana sesebuah blog itu mempromosikan antara satu sama lain?

Ya, jawapannya adalah melalui strategi membina link antara satu sama lain.

 

Kesemua blog yang berada dalam rangkaian ini sepatutnya menyiarkan suatu topik yang dapat menjadi pelengkap antara satu sama lain, supaya ia dapat mewujudkan suatu peluang untuk setiap blog membina pautan antara satu sama lain.

 

Kita ambil contoh

Blog satu – Kita siarkan artikel yang menjadi tonggak atau pillar.

Blog dua – Kita tulis artikel yang berkaitan dengan topik pillar dan bina link ke blog 1.

Blog tiga – Kita tulis artikel yang ada kaitan dengan topik pillar dan kita buat link ke blog 1.

 

Walaubagaimanapun satu perkara yang perlu diberikan perhatian yang serius ialah, setiap blog perlu menyiarkan artikel yang betul-betul berkualiti tinggi, dan bukan sekadar artikel yang di copy paste atau yang disediakan secara ala kadar.

 

Kalau kita buat artikel yang kurang sempurna, tindakan kita membina link ini hanya akan dianggap sebagai percubaan untuk menipu search engine sahaja.

 

Kemudian, setiap blog ini juga perlu mempunyai jadual penerbitan artikel yang konsisten dan kandungannya perlu melengkapi antara satu sama lain.

 

Oleh kerana kesemua blog ini akan dianggap sebagai suatu rangkaian atau network, bermakna jika satu blog buat masalah, maka blog-blog lain mungkin akan terima tempiasnya.

 

Bila kita jalankan strategi ini, sebenarnya apa yang kita perlu utamakan adalah pengalaman pengguna atau pembaca yang melayari laman blog kita.

 

Kita buat semua ini, bukan semata-mata sekadar untuk mendapatkan kedudukan yang baik di halaman search engine result page semata-mata.

 

Kita juga perlu ingat, mendapat kedudukan yang baik, kalau kualiti artikel kita sangat teruk, akhirnya pengguna akhir iaitu pembaca akan mula boikot karya penulisan kita.

 

Kenalpasti peluang untuk bina strategic linking

Untuk buat kerja-kerja membina pautan antara blog yang berbeza sebenarnya kita perlu lihat juga sama ada ada keperluan dan peluang untuk berbuat demikian atau tidak.

 

Kalau peluang tu tak ada, kita boleh buat perancangan supaya peluang tu boleh terbuka.

Kita akan lihat dua point seperti dibawah ini.

 

Jika kedua-dua point ini wujud, bermakna kita boleh lakukan kerja-kerja linking dengan mudah.

 

(1) Konten yang bertindih

Terdapat pertindihan konten antara blog A dan juga blog B.

 

Cara biasa yang kita akan buat ialah apabila berlaku pertindihan konten, kita akan ulas semula atau tulis semula penerangan bagi isu yang ada pertindihan tersebut.

 

Cara ini sebenarnya agak memakan masa, dan sebenarnya cara yang lebih baik adalah dengan membuat pautan keluar (outbound link) ke blog yang satu lagi.

 

Jika pembaca minat nak mengetahui dengan lebih lanjut, dia boleh berbuat demikian dengan menekan klik pada pautan tersebut.

 

(2) Topik yang berkaitan

Adakalanya posting terkini yang kita tulis, ada sedikit kaitan dengan posting terdahulu yang pernah kita tulis.

 

Kebetulan, posting yang ada kaitan itu pula, kita terbitkan di blog yang berbeza. Ini juga patut kita lihat sebagai satu peluang yang baik untuk bina pautan sesama blog.

 

Sebenarnya, apabila kita luangkan sedikit masa untuk menjayakan strategi linking ini, kita akan jadi lebih peka mengenai apa konten terkini yang kita ingin terbitkan.

 

Kita boleh elakkan untuk menerbitkan konten yang sama, atau lebih kurang sama yang pernah kita tulis sebelum ini.

 

Strategi ini akan membuatkan kita jadi lebih peka, apa sebenarnya topik yang kita pernah tulis dan apa topik yang kita belum pernah tulis lagi.

 

Satu perkara yang kita cuba elakkan adalah menulis topik yang sama berulang kali dalam blog yang sama. Sebaik-baiknya, jika kita mempunyai maklumat baru, lebih baik kita edit artikel lama dan buat penambahbaikkan pada artikel tersebut.

 

Bukannya tulis artikel baru.

 

Strategi konten mesra SEO

Setiap konten yang kita hasilkan ada kepentingan dia yang tersendiri.

 

Sesuatu konten itu juga tak sepatutnya dibiarkan berdiri dengan sendirinya.

 

Bila kita hasilkan suatu karya penulisan, sudah pasti ianya agak mustahil untuk kita memuatkan semua perkara, maklumat dan informasi dalam satu artikel.

 

Kalau kita cuba juga berbuat demikian, ini akan menyebabkan artikel kita jadi sangat panjang.

 

Kita ambil contoh topik pengurusan kewangan.

Cubalah kunjungi mana-mana kedai buku dan cari buku yang menulis topik yang sama. Pernah tak anda jumpa buku yang mengandungi hanya 2,000 patah perkataan sahaja yang membincangkan topik pengurusan kewangan ini?

 

Saya percaya jawapannya tak ada buku yang senipis itu.

 

Hal ini kerana topik mengenai pengurusan kewangan sebenarnya sangat luas dan ada banyak perkara yang boleh kita bincangkan dengan panjang lebar.

 

Begitulah juga keadaannya apabila kita ingin membuat perancangan konten yang ingin kita siarkan dalam blog.

 

Bermula dengan artikel pertama.

Artikel pertama ini, mungkin kita akan jadikan ia sebagai pillar atau yang menjadi tiang atau tonggak bagi artikel-artikel yang seterusnya.

 

Apabila kita sudah mempunyai artikel tonggak, maka langkah seterusnya adalah menulis artikel lain yang merupakan perbincangan berkaitan dengan artikel tonggak tersebut.

 

Bagi perbincangan susulan atau artikel kluster dari artikel utama, ianya boleh diterbitkan di blog yang berbeza.

 

Menjalankan strategi bina link merentas blog

Kini tiba masa untuk kita mula menjalankan strategi ini, terhadap posting terkini yang bakal kita siarkan. Dalam proses ini, ada sekurang-kurangnya tiga perkara yang perlu diberikan perhatian.

 

(1) Bina internal link dalam posting

Walaupun matlamat asal kita adalah untuk bina link keluar ke blog kita yang berbeza, namun kita tak boleh abaikan step untuk bina link yang menghubungkan kepada artikel terdahulu yang kita pernah siarkan sebelum ini.

 

Untuk mula membina pautan ini, kita perlu pilih mana satu anchor text yang kita ingin sasarkan. Anchor text yang kita akan pilih ini biasanya adalah keyword yang kita cuba nak dapatkan rank yang baik di search engine.

 

Sebagai contoh, saya nak sasarkan keyword “bekerja dari rumah”.

Justeru, saya akan bina internal link seperti contoh dibawah.

 

“In Shaa Allah, bila tiba usia persaraan nanti, saya akan terus bekerja dari rumah dan akan fokus buat kerja-kerja yang boleh menambahkan income.”

 

Nampak kan, perkataan “bekerja dari rumah” saya highlight dengan warna biru dan jika anda klik, ia akan membawa ke artikel terdahulu yang pernah saya siarkan dalam blog ini sebelumnya.

 

(2) Setiap link perlu memberi nilai tambah kepada pelawat

Satu lagi perkara yang tak kurang pentingnya adalah untuk memastikan bahawa setiap link yang kita bina, tak kiralah sama ada ianya internal link atau outbound link, ianya perlulah memberi manfaat kepada pembaca.

 

Apabila link tersebut ada manfaat, barulah pembaca akan rasa berminat untuk tekan klik pada pautan tersebut.

 

(3) Jangan bina terlalu banyak link dalam satu artikel

Seterusnya, kita perlu beri perhatian pada jumlah link yang kita ingin bina dalam sesebuah konten yang ingin kita hasilkan.

 

Jangan letak terlalu banyak link.

Kalau artikel tersebut mengandungi terlalu banyak link, ia juga akan menjejaskan pengalaman pembaca membaca posting yang kita tulis.

 

Matlamat kita adalah untuk menjadikan proses meletakkan internal link ini kelihatan natural dan pelawat dengan sukarela akan menekan link tersebut dan melanjutkan pembacaan.

 

Itupun kalau dia benar-benar berminat dengan topik yang kita bincangkan.

 

Impak dari segi SEO

Apabila kita menggunakan strategi ini, sudah tentu kita nak tahu sama ada ianya benar-benar memberikan sebarang kesan yang positif ataupun tidak.

 

Teori ini macam-macam yang boleh kita keluarkan.

Tapi kalau ia tak memberikan hasil, maka ianya kurang bermanfaat.

 

Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa pantau, sama ada kaedah yang kita nak gunakan ini dapat menunjukkan sebarang kesan yang positif atau sebaliknya.

 

(1) Cuba lihat sama ada wujud trafik yang disumbangkan dari blog lain

Kebanyakkan sistem blog biasanya akan menyediakan statistik yang kita boleh jadikan rujukan.

 

Buat pengguna sistem wordpress, anda boleh rujuk dibahagian statistik dan lihat pada bahagian referrers.

 

Sepatutnya selepas beberapa hari anda mula menggunakan strategi ini, anda boleh mula lihat akan ada blog yang mula mendapat trafik yang disumbangkan oleh blog anda yang lain.

 

Contohnya seperti dibawah ini.

Saya mula memperolehi trafik yang disumbangkan oleh blog saya yang lain.

 

Abaikan dulu jumlah trafik yang disumbangkan, sebab apa yang kita nak pastikan adalah strategi ini benar-benar mampu menyumbangkan trafik atau sebaliknya.

 

(2) Pantau kedudukan kata kunci

Strategi ini sebenarnya kalau digunakan dengan teknik yang betul, ia akan menunjukkan kesan yang agak positif terhadap kedudukan blog kita bagi kata kunci yang kita sasarkan.

 

(3) Pantau penglibatan pengguna

Kita boleh lihat sama ada pengguna atau pelawat sebenarnya ada berinteraksi dengan konten yang kita siarkan atau sebaliknya. Maklumat ini tersedia dan boleh diperolehi melalui Google analytic.

 

Manfaat melangkaui Aspek SEO

Memang betul, matlamat utama kenapa kita gunakan strategi ini adalah sebab kita nak improve kedudukan SEO blog kita.

 

Tapi sebenarnya kalau kita fikirkan dengan sedalam-dalamnya, kita akan dapat manfaat lain selain sebab SEO semata-mata.

(1) Kita memberi pilihan kepada pengguna

Pelawat laman web kita akan mempunyai pilihan dan kebebasan untuk buat apa yang dirasakan menepati keperluan dan kemahuan mereka pada waktu itu.

 

Pelawat ini ada macam-macam ragam.

 

Ada orang yang sukakan maklumat segera.

Individu seperti ini biasanya sukakan posting yang pendek dan ringkas.

 

Kemudian ada juga pelawat yang sukakan perbincangan yang mendalam.

Mereka ini akan rasa puas bila dapat ikuti perbincangan yang lebih panjang lebar dengan menampilkan pelbagai hujah.

 

(2) Memperkenalkan rangkaian blog milik kita kepada pelawat

Strategi membina link merentas blog peribadi kita yang berbeza ini juga sebenarnya bertujuan untuk memperkenal dan mempromosikan blog kita yang lain, yang mungkin sebenarnya kurang pelawat.

 

Jadi cara ini, kita boleh redirect sebahagian trafik dari blog yang tinggi trafik kepada blog yang agak rendah trafiknya.

 

(3) Memberi imej positif dari segi penjenamaan

Seterusnya usaha ini juga akan dapat memberi impak positif kepada usaha kita membina jenama perniagaan kita.

 

Cabaran menggunakan teknik ini

Apa yang kita bincangkan disini merupakan salah satu daripada strategi yang kita boleh gunakan bagi tujuan mendapatkan kedudukan yang baik di search engine.

 

Walaubagaimanapun, perlu diingat, strategi ini juga mempunyai beberapa cabaran dan kita perlu pantau dan sedar beberapa perkara berikut mungkin boleh berlaku.

 

(1) Broken links

Setiap link atau pautan yang kita buat, menuju ke blog lain, perlu kita pantau bagi memastikan link tersebut sentiasa berfungsi dengan baik.

 

Kadang-kadang boleh berlaku, link tersebut sudah berubah menjadi broken link dan ia membawa ke error page.

 

Mana-mana pengguna atau pembaca yang menekan link tersebut akan dibawa ke pautan yang sudah tak wujud.

 

Ini akan menjejaskan pengalaman pelawat melayari laman blog milik kita.

 

(2) Content duplications 

Elakkan daripada menghasilkan konten yang sama walaupun ianya diterbitkan dalam blog yang berbeza. Dalam strategi ini, apa yang kita cuba lakukan adalah untuk menjadikan blog-blog kita yang lain sebagai pelengkap antara satu sama lain.

 

Bukannya setiap blog menulis konten yang sama.

 

Kalau artikel copy paste, lagi kita perlu elakkan.

 

(3) Over-optimization

Sebaik-baiknya penulisan konten yang kita hasilkan itu biarlah nampak natural.

 

Bila kita masukkan terlalu banyak link dalam satu konten yang kita tulis, tak kiralah sama ada internal link ataupun outbound link (menuju ke blog kita yang lain) ianya perlu dilihat nampak natural.

 

Kalau terlalu banyak link dalam satu artikel, ianya akan nampak pelik dan seolah-olah nak menghalau pembaca untuk cepat-cepat pergi ke halaman yang lain pula.

 

(4) Over work

Orang lain bila buat blog, dia hanya perlu fokus kepada satu blog sahaja.

 

Tapi bila kita gunakan kaedah ini, kita perlu fokus untuk bangunkan lebih dari sebuah blog dalam satu masa. Sebenarnya tindakan ini boleh membuatkan kita rasa letih dan mungkin akan jadi sedikit jemu.

 

Cuba bayangkan, dalam satu topik, kita perlu menulis lima artikel yang berbeza.

Walaupun artikel tersebut gaya dan persembahannya adalah berbeza, namun ia sebenarnya bercerita tentang perkara yang sama.

 

Kebaikkannya ialah, kita berpeluang untuk jadi seorang yang pakar dalam topik tersebut.

 

Kesimpulan

Strategi membina link atau pautan antara blog yang berbeza berupaya untuk memberikan hasil dan impak yang agak besar dalam strategi SEO.

 

Kalau sebelum ini, apabila kita menulis sesuatu artikel, kita jarang membina internal link yang mempromosikan artikel terdahulu dalam blog, kali ini kita cuba ubah mindset dan mula berbuat demikian.

 

Strategi membina link dengan blog yang berbeza, sebenarnya adalah lanjutan bagi strategi membina internal link.

 

Walaubagaimanapun, kita perlu akui, strategi ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

 

Ia memerlukan masa yang lama dan kerja keras. Kalau anda rasa bangunkan sebuah blog itu sukar, cubalah darabkan kesukaran tersebut dengan bilangan blog yang anda bakal bina untuk dijadikan rangkaian blog peribadi anda.

 

Walau apapun strategi SEO yang kita ingin gunakan, penting untuk kita pasakkan dalam minda, ianya perlu memberikan manfaat kepada pembaca, kerana diakhirnya kita menulis untuk pembaca.

 

 

Exit mobile version