Blog Sabree Hussin

Soalan sensitif semasa pergi beraya – Apa nak jawab?

“Ko tak pergi raya ke?”

“Tak.”

“Kenapa?”

“MALAS. Penat la nak jawab soalan-soalan mak cik bawang nanti…

Tak nak pergi beraya jumpa sanak-saudara, sebab tak tahan dengan “soalan-soalan yang sensitif”? Tapi, soalan yang sensitif tu, macam mana sebenarnya?

 

Apa yang sensitif pada kita, mungkin biasa-biasa pada orang lain. Malahan, sesetegah orang, dia tak tau pun, yang soalan yang ditanyakan itu adalah soalan yang kita anggap ia sebagai sensitif secara peribadi.

 

Saya kira, ini adalah contoh-contoh soalan sensitif, yang kita rasa cukup berat nak jawab.

(1) Dah kahwin ke belum?

(2) Kenapa tak kahwin lagi?

(3) Dah ada anak? Anak dah berapa orang sekarang? Bila nak tambah anak lagi?

(4) Kerja apa sekarang? Sekarang kerja kat mana?

(5) Kenapa masih tak kerja lagi?

(6) Periksa hari tu dapat nombor berapa?

 

Tak kira usia, sama ada tua atau muda, kita tak akan terlepas daripada ditanyakan soalan-soalan macam ni. Kita rasa, soalan tu sangat tak kena. Tapi entah kenapa, masa pergi ziarah raya, soalan itu yang ditanyakan.

 

Peliknya, bukan satu rumah yang tanya macam tu… hampir setiap rumah yang kita pergi, akan tanya soalan yang sama.

 

 

Kerja apa sekarang?

Soalan ini, paling susah nak jawab. Saya dah agak, mesti akan ada yang tanya saya, apa kerja yang saya buat sekarang ini.

 

Jadi saya dah standby dengan beberapa set jawapan.

Saya kerja dengan Lazada Malaysia. Kerja marketing.

 

Soalan tentang kerja ni, kadang-kadang orang yang bertanya tu nakal juga. Sibuk pulak dia nak tahu, berapa gaji yang boleh dapat bila kerja kat tempat macam tu.

 

Selalunya saya akan cakap, gaji tu private and confidential. Tapi Alhamdulillah, cukup untuk hidup, beli benda untuk makan, pakai dan tempat tinggal.

 

Sebelum dia nak panjangkan lagi topik ini, cepat-cepat tanya soalan balas pada dia. Kita ubah direction perbualan tu kepada benda lain. Misalnya, kita pula tanya pasal kucing dia ke, perhiasan dalam rumah dia, dan sebagainya.

 

Pegang benda ni.

“Ko tanya aku satu soalan, maknanya ko kena jawab satu soalan dari aku.”

 

Lakukan secara harmoni, In Shaa Allah tak ada rasa sakit hati.

 

Dia jadi soalan meleret-leret, sebab kita yang biarkan diri kita berada dalam posisi kena soal. Perbualan yang sihat, bersifat dua hala. Dia tanya, kita jawab. Kita dah jawab apa yang ditanya, kita tanya balik soalan kepada yang bertanya.

 

Tapi kalau lepas kita jawab, kita diam… ini akan buatkan tuan rumah rasa awkward. Sebagai tuan rumah, sudah tentu dia tak nak tetamu rasa tak selesa. Tiba-tiba ada silent moment. Benda jadi tak syok. Untuk mengisi kekosongan itu, dia akan tanya apa-apa soalan yang terlintas di fikiran, dan biasanya ia berlaku secara spontan.

 

Benda-benda spontan ini, kadang-kadang yang keluar dari mulut tu, benda yang elok, dan sadly… ada ketikanya yang keluar dari mulut adalah benda yang tak berapa best.

 

Jadi, wahai insan yang merasakan diri tu cerdik, lepas ni bila berkunjung ke rumah orang, kena siap sedia dengan apa-apa kemungkinan.

 

Bila kena soal, kita jawab. Lepas kita dah jawab, kita soal balik apa-apa perkara. Tolong jangan jadi manusia kurang ajar.  

 

Saya pernah baca di media sosial, boleh pulak ada orang ni ajar, nanti kalau ada yang tanya, “ko bila nak kahwin?” ko tanya la kat dia “makcik ni bila nak meninggal?”

Jodoh pertemuan itu urusan Allah.

Ajal maut juga urusan Allah.

Semua tu rahsia Allah.

Tak kan kita nak jadi tuhan atau kita boleh tahu apa yang diaturkan oleh tuhan kepada kita.

 

 

Walaupun jawapan tu ada betulnya, tapi saya rasa itu bukan cara yang baik. Hari raya, kita nak saling bermaafan, hubungkan semula ikatan silatur rahim, dan saling kenal-mengenali dengan saudara yang dah lama tak jumpa. Tak kan kita nak dikenali sebagai seorang manusia yang kurang ajar dan tak ada adab?

 

Lagi satu, bila kita datang beraya beramai-ramai ni, selalunya tuan rumah cuma akan tanya satu dua soalan je. Lepas tu, dia akan beralih kepada orang lain pulak. Ini bukan sesi soal siasat, yang mana anda kena jawab 20 soalan atau lebih dalam satu-satu masa. Tenang-tenang sahaja ya.

 

Tuan rumah buat bodoh langsung tak layan

“Assalamualaikum, kami datang nak beraya.”

“Waalaikumussalam, masuklah.”

 

Lepas tu tuan rumah sambung tengok tv. Sambil-sambil tengok tv, dia main handphone. Langsung tak pelawa untuk makan kuih-kuih raya yang dihidangkan. Suruh minum pun tak.

 

Kami terpinga-pinga. What should we do?

 

Kejadian ini memang betul-betul berlaku pada saya. Datang beraya rumah orang. Orang yang saya nak jumpa, tengah sibuk dengan satu urusan.

 

Tuan rumah yang jemput masuk, langsung tak layan kami. Jemput makan dan minum pun tak ada. Ko nak tuan rumah yang macam ni?

 

Ibarat macam kita ni datang rumah orang SEBAB LAPAR NAK MAKAN. Kalau dah habis makan, boleh berambus. Di mana semangat dan hikmah amalan kunjung mengunjung apabila berhari raya kalau begini?

 

 

Orang muda dengan akaun media sosialnya, orang tua ada apa?

Jangan kecil hati, dengan soalan-soalan yang ditanyakan oleh orang-orang tua. Mereka tak ada akaun media sosial kebanyakkannya. Mereka tak dapat nak ikuti perkembangan kita di facebook, instagram dan sebagainya.

 

Jadi, mereka terpaksa tanya sendiri pada kita.

 

Hakikatnya, walaupun yang muda-muda ni ada media sosial, berapa ramai yang terhegeh-hegeh nak ikuti perkembangan ko? Ko ingat ko siapa? Selebriti ke orang nak follow?

 

Orang muda pun tak ingin nak ambik tahu pasal ko di media sosial. Bersyukur la sikit, bila ada yang nak buka mulut, bertanya dan ambil berat pasal diri tu.

 

Apakah masalah masyarakat kita ini sebenarnya adalah terlalu cepat bersangka buruk?

 

Apa sebenarnya tujuan mereka bertanya?

Pernah tak kita fikir, apa sebenarnya tujuan mereka bertanya? 

 

Dalam salah satu rumah yang saya pergi, ada yang tanya, “kerja apa sekarang?” 

Pada masa tu, saya kata saya buat bisnes sendiri. Saya tawarkan servis.

 

Bila saya kata saya jual servis, dengan tak semena-mena, dia jadi sangat berminat nak tahu dengan lebih detail apa servis yang saya buat. Rupa-rupanya, sebab anak bongsu dia juga bekerja sendiri. Anak bongsu dia pula tawarkan servis maintenance aircond.

 

Mungkin dia fikir, kalau sama-sama buat bisnes, dan kebetulan bisnes tu sama, boleh gabung untuk bina perniagaan yang lebih besar dan stabil. Logiknya begini, untuk orang yang ada minat yang sama, jika bekerja bersama-sama, boleh pergi lebih jauh.

 

Kos operasi, risiko perniagaan juga dapat dikurangkan. Sama-sama sumbang tenaga dan kepakaran untuk matlamat yang satu. Dalam keadaan ini, ia lebih baik daripada ambik pekerja, yang mungkin matlamat akhir cuma nak makan gaji semata.

 

Mungkin, itulah agaknya yang difikirkan.

 

Tapi saya punya servis, mana sama dengan sevis anak dia. Saya ofer servis penulisan, servis advertorial dan sebagainya. Kalau nak saya uruskan bahagian pemasaran, itu bolehlah. Kalau nak saya buat kerja yang sama, macam apa yang anak dia buat, saya rasa itu mustahil. Saya tak ada kepakaran tu.

 

Bila kita tahu apa tujuan mereka…

Ya, kita rasa marah dengan soalan-soalan tu semua, sebab kita tak tahu dan tak nampak, apa tujuan mereka ni tanya.

 

Ini berlaku selalunya sebab kita tak betul-betul kenal orang yang bertanya tu.

 

Orang yang tanya kat kita, kerja apa sekarang ini? Mungkin sebab dia nak tolong bagi kita kerja, kalau kita masih belum ada kerja.

 

Anda yang baca perkongsian saya ni, dah ada kerja? Kerja ok tak? Nak cari kerja lain yang lebih baik? Tahu tak nak cari kat mana? Kalau tak tau, cuba layari laman web ini dan tengok-tengok peluang kerja kat situ.

 

Ada banyak orang yang begini. Niat dia baik. Cara dia mungkin tak berapa kena dengan kita. Akhirnya, kita rasa tak selesa dengan dia. Tapi kalau kita betul-betul kenal dia, kita tak akan ambik hati punyalah… melainkan kalau kita ni memang jenis hati tisu.

 

 

Seronoknya bila ada orang ambik berat hal kita…

Seronokkan, bila ada orang ambik berat hal kita? Atau anda lebih suka, orang langsung tak pedulikan kita.

 

Entahlah… lain orang lain pendapat, kan? Saya suka kalau pergi beraya rumah orang, tuan rumah tu ambik sedikit masa, untuk tanya kita soalan.

 

Tuan rumah, biasanya orang tua. Orang-orang tua di kampung saya, kebanyakkannya memang tak pergi beraya. Mereka ni lebih kepada duduk di rumah dan tunggu tetamu yang lebih muda untuk datang jenguk dia.

 

Tengah tuan rumah sibuk sembang-sembang dengan ahli keluarga kita yang lebih tua, misalnya sembang dengan ayah kita, mak kita, tiba-tiba dia pandang kita dan tanya soalan.

 

Dia punya feeling, fuh… rasa dihargai beb. Kiranya dia awknowledge kewujudan kita, dia anggap kita sebagai tetamu dia, dan dia sedang menyantuni kita sebagai tetamu. Dia yang tua, sanggup untuk turunkan ego dia, dan dia yang mulakan tegur kita.

 

Saya memang tak berapa pandai nak bersembang dengan orang yang lebih tua, nak mulakan perbualan pun tak reti sangat. Tapi kalau dah mula bersembang, memang lama baru berhenti.

 

Cuma berpesan-pesan…

Hari raya, kita ambil peluang ini eratkan semula hubungan yang terpisah. Tak perlu nak sentap-sentap bagai. Lagipun, kita bertemu dan bersua muka bukan selalu.

 

Tahun ni kita berjumpa, tahun depan tak tentu lagi. Bagi anak muda yang tinggal di perantauan, mungkin hanya akan pergi beraya dua atau tiga tahun sekali di kampung. Maklumlah, ada sistem penggiliran beraya di rumah keluarga sendiri dengan keluarga mertua.

 

Kalau yang ada lebih dari satu mertua macam mana? Sama la. Kena bergilir.

 

Kita saling berpesan-pesan dan sama-sama mengingatkan. Saya pun tulis semua ini, untuk menginsafi diri sendiri juga.

 

Memanglah saya akui, dalam kalangan keluarga kita, atau sanak saudara kita, bukan semuanya cerdik-cerdik belaka. Memang akan ada yang jenis sakit mental atau mulut puaka. Kita dah tahu memang tu sikap dia, nak ambik hati lagi buat apa? 

 

Maafkan dia, dan move on.

 

Ada banyak lagi perkara-perkara lain yang lebih penting, dan orang-orang baik yang kita nak jumpa di hari raya kali ini. Siapa tahu, ini merupakan raya terakhir kita saling bermaaf-maafan!

 

 

Exit mobile version