Blog Sabree Hussin

Perlukah anda jadi seorang Internet Marketer untuk mempromosikan perniagaan anda sendiri?

Pada awalnya, saya nak letak tajuk “perlukah anda jadi seorang blogger untuk mempromosikan perniagaan anda sendiri”.

 

Kemudian, lepas saya fikir-fikir balik, rasanya baik saya tukar istilah blogger tu kepada istilah “internet marketer”. Nampak gayanya, itu lebih sesuai dengan topik yang saya nak cerita dalam blog ini.

 

Semasa saya menginap di sebuah homestay di Tangkak pada tahun 2017 yang lalu, saya sempat luangkan masa dengan tuan rumah untuk pergi makan malam di sebuah warung tepi sungai.

Warung ini dibina di tepi sungai dan mungkin sebab bisnes yang sangat baik, pemilik warung ni tambah lagi ruang makan tambahan yang dibina terapung atas air macam dalam gambar kat atas tu.

 

Masa tu, salah satu topik yang sempat dibincangkan adalah “perlu tak belajar macam mana nak jadi blogger untuk majukan lagi bisnes homestay saya”? (Istilah saya merujuk kepada tuan rumah yang merupakan pemilik homestay di Tangkak, harap tak keliru ya)

 

Oleh kerana saya adalah seorang penulis blog, maka relevanlah soalan tu kepada saya. Mungkin, kalau saya seorang instafamous, agaknya soalan yang akan ditanyakan pada saya jadi “perlu tak belajar macam mana nak jadi instafamous?”. 

 

Internet Marketing

Zaman sekarang ini, orang menggunakan internet untuk macam-macam tujuan. Salah satunya adalah untuk perniagaan. Dengan internet, capaian pelanggan yang boleh diperolehi akan jadi lebih luas.

 

Satu masa dulu, saya pasti tak pernah terfikir, yang saya akan dapat pelanggan yang ingin dapatkan servis penulisan dari saya, yang mana pelanggan tersebut berada di Sabah!

 

Saya pula berada di Kuala Lumpur. Tak pernah langsung bertemu muka, tapi wujud kepercayaan untuk bina hubungan perniagaan.

 

Apa salahnya kalau nak tambah ilmu?

Kalau niat nak tambah ilmu… why not? Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin, kerana pada satu hari nanti, pasti ilmu itu akan berguna kepada kita.

 

Dulu saya cukup menyampah dengan subjek karangan. Tapi tak sangka, sekarang bila dah meningkat dewasa, saya cari rezeki dengan membuat karangan. Ironi sungguh.

 

Dekat luar sana, saya percaya jika kita cari dengan bersungguh-sungguh, pasti akan jumpa cikgu, tok guru, sifu, masterlah dan apa-apa lagi gelaran yang memang sudi untuk jadi tenaga pengajar. Mereka ni memang ada buat kelas, bengkel, seminar dan sebagainya, yang mengajar cara-cara untuk buat pemasaran secara online.

 

Katalah, nak belajar macam mana nak buat blog dan jadikan blog sebagai medium pemasaran automatik. Taip sahaja di google “kelas blogging” atau “belajar blogging” dan sebagainya. Anda mungkin akan temui laman web yang menawarkan kursus yang anda perlukan.

 

Cuma bentuk pembelajaran tu mungkin tak seperti yang anda harapkan. Ia mungkin secara personal coaching, kelas, ataupun mungkin secara online sahaja.

 

Pemasaran menggunakan blog tak berapa popular dan tak ramai yang minat nak gunakan kaedah macam ni. Jadi, mungkin nak dapatkan guru yang betul-betul fokus mengajar pasal blogging mungkin agak payah.

 

Senario kursus buat duit online di Malaysia

Proses pembelajaran tak akan habis. Selalunya, selepas datang kursus A, pasti akan ada upsell untuk ke peringkat seterusnya.

 

Seolah-olah, kursus yang kita datang tu adalah hanya peringkat asas sahaja. Saya pernah bertukar-tukar pandangan dengan seseorang yang agak rajin datang kursus satu hari untuk belajar cara buat duit online.

 

Dalam sesi kursus satu hari tersebut, pengisiannya lebih kepada aktiviti suai kenal, networking, cerita tentang pengalaman pengajar, sedikit kisah kejayaan, gosip tentang isu semasa, masuk bab politik sikit. Kemudian baru masuk kepada modul yang nak dikongsikan.

 

Kalau keadaan macam ni yang berlaku, bermakna kursus satu hari tersebut hanyalah sebagai umpan untuk mengajak para peserta sertai kursus lanjutan. Flow dia lebih kurang begini, para peserta dikenakan bayaran yang murah sekitar RM0 – RM30 untuk ikuti kursus separuh hari.

 

Kursus tersebut sebenarnya adalah ASAS sahaja. Tak boleh nak bagi full sebabnya para peserta yang datang mungkin ada yang tak cukup cerdik untuk faham tentang topik yang bakal diajar.

 

Maka sepanjang tempoh kursus separuh hari tu, pengajar akan cuba pengaruhi peserta untuk masuk ke kursus lanjutan, yang mungkin diberi nama-nama yang kelihatan hebat seperti Advance, PRO, Platinum, Maniac, Lagendary, Savage… eh?! Macam Mobile Legends pulak dah.

 

Dari perspektif bisnes

Perasankan… dalam banyak-banyak syarikat yang ada kat luar sana, kebanyakkannya mempunyai pembahagian kerja dan peranan masing-masing.

 

Misalnya, ada bahagian HR, finance, marketing, corporate service, customer service, marketing, dan sebagainya.

 

Kenapa tak boss atau owner je yang buat semua tu? Kenapa perlu lantik orang lain untuk buat semua tu? Sebagai owner, saya kira tugas anda adalah memastikan perniagaan anda tu sentiasa berkembang dan berjalan dengan baik, selari dengan visi dan misi yang anda tetapkan sewaktu mula-mula nak jalankan bisnes ni.

 

Dari segi kerja-kerja rutin, biar orang lain yang buat.

 

Bukan sebarangan orang, sebaliknya kita akan pilih orang yang memang pakar dalam bidangnya. Mungkin ada yang terfikir, berbaloi ke nak bayar RM2,500 setiap bulan untuk dapatkan seorang pekerja dalam bidang sekian sekian? 

 

Mungkin jawapannya YA, dan mungkin juga tidak.

 

Bergantung kepada siapa yang anda lantik. Kalau orang yang memang cekap buat kerja, faham tugas dan tahu apa matlamat perniagaan yang dijalankan, maka tak mustahil dari RM2,500 yang dibelanjakan tu, boleh kembali memberi pulangan sehingga 10 kali ganda.

 

Tapi kalau anda jenis yang lantik pekerja yang “asalkan ada pekerja” maka tak perlu mengeluhlah kalau hasil kerja yang diberikan tak seperti yang anda harapkan.

Iklankan perniagaan anda di blog

Saya ambil contoh jika anda ingin iklankan maklumat tentang perniagaan anda di blog. Anda sebenarnya ada dua alternatif. Pertama, anda buat sendiri blog dari kosong dan mula masukkan konten-konten yang berkaitan dengan perniagaan anda dalam blog tersebut.

 

Blog yang baru, dia ada sedikit isu dengan trafik dan pembaca. Kini anda ada beberapa masalah baru.

1. Anda perlu fikir apa konten yang nak dimasukkan dalam blog anda.

2. Anda perlu tahu bagaimana cara nak bawa masuk trafik dalam blog anda.

3. Anda perlu tahu, teknik bagaimana memastikan setiap apa yang ditulis dalam blog ada peluang untuk masuk ke muka surat pertama google bagi kata kunci tertentu.

 

Alternatif kedua adalah dengan mengupah para penulis blog yang memang aktif menghasilkan konten dalam blog miliknya. Biasanya, individu yang aktif menulis blog, blognya memang dah ada pembaca, tak kiralah sama ada pembaca tersebut adalah silent reader, one time reader, follower, subscriber dan sebagainya.

 

Kos untuk mengupah penulis blog pun bukannya mahal sangat. Jika saya tak silap, range harganya adalah sekitar RM50 – RM500++ untuk menghasilkan sebuah artikel.

 

Harga tak sama mengikut penulis, kerana kita ambil kira juga beberapa faktor seperti

  1. Sudah berapa lama penulis tersebut menulis blog (pengalaman)
  2. Adakah penulis tersebut memang mahir dalam bidangnya
  3. Berapa banyak trafik yang keluar masuk dalam blog

 

… dan banyak lagi.

 

Keputusan di tangan anda

Sebagai pemilik perniagaan, keputusan semua ditangan anda. Andalah bos.

 

Apa yang anda putuskan pada hari ini, mungkin tidak akan menampakkan kesannya dengan serta merta, tetapi in future, ia memberi hasil yang cukup memberangsangkan.

 

Saya percaya, sewaktu mula-mula anda buka perniagaan anda dulu, anda tak pernah pun merancang untuk jadi seorang internet marketer, jadi setelah anda tahu yang internet boleh bantu kembangkan perniagaan anda, apa yang buatkan anda perlu berubah menjadi seorang internet marketer, sedangkan anda boleh upah orang untuk buat kerja untuk anda.

 

Saya tetap nak pergi belajar jugak!

Saya syorkan anda belajar sesuatu yang spesifik, dan bukannya sesuatu yang terlalu umum seperti pemasaran online. Kalau saya boleh bagi contoh kat sini, sesuatu yang spesifik ni adalah seperti

  1. Copywriting
  2. Search Engine Optimization
  3. Email marketing

 

Kursus-kursus seperti itu, biasanya lebih fokus dan sesetengah modul yang terkandung dalamnya lebih mudah difahami kalau belajar dengan guru berbanding belajar sendiri.

 

 

Exit mobile version