Blog Sabree Hussin

Perang Khaibar: Penaklukan Kota Khaibar

Peminat buku dalam genre Novel Sejarah Islam pasti tak ketinggalan untuk baca buku ni!

 

Ini merupakan satu lagi karya yang terbaik dari Penulis Novel Sejarah No.1 di Malaysia, Abdul Latip Talib.

 

Jadi, buat mereka yang masih belum pernah baca buku ni, saya amat syorkan anda cari masa untuk cari novel ni dan baca.

 

Tak kisahlah sama ada anda nak beli secara online, beli kat mana-mana kedai buku berhampiran anda, ataupun anda nak pinjam sahaja daripada sesiapa yang dah beli buku ni.

 

Nak pinjam kat perpustakaan pun boleh.

 

Perang Khaibar adalah salah satu daripada beberapa siri peperangan yang pernah tercetus ketika zaman Baginda Rasulullah SAW. Dalam peperangan ini, pihak lawan adalah Yahudi yang tinggal di Kota Khaibar, dan menyaksikan bagaimana tentera Islam berjaya menakluk benteng pertahanan Kota Khaibar yang sangat kukuh ini.

 

Tentang Kota Khaibar…

Ia turut dikenali sebagai Benteng Khaibar dan letaknya kira-kira 150 KM dari Madinah dan ini merupakan sebuah kubu perlindungan Kaum Yahudi yang terbesar meliputi kawasan berbukit dan kawasan pamah. Di kawasan berbukit dijadikan kawasan penempatan dan kediaman bagi orang awam dan anggota tentera manakala kawasan pamah dijadikan tempat untuk aktiviti pertanian dan penternakan. Kota ini juga mempunyai sistem saliran air yang teratur.

 

Didalam Kota Khaibar ini pula terdapat 8 buah kubu yang besar dan setiap kubu dilindungi benteng yang kukuh. Ini salah satu sebab kenapa kaum Yahudi di Kota Khaibar amat berkeyakinan dan rasa begitu selamat apabila berlindung di sini. Mereka percaya sekiranya mereka dikepung selama setahun sekalipun, mereka akan tetap selamat kerana mempunyai bekalan makanan dan air yang mencukupi.

 

Permusuhan Yahudi kepada Nabi Muhammad dan Islam bermula selepas peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya ke Madinah. Pada awalnya, kedatangan Nabi dan pengikutnya disambut baik tetapi akhirnya timbul permusuhan. Kemuncak permusuhan antara mereka selepas orang Islam dapat menguasai ekonomi serta menyebarkan Islam di kalangan penduduk Madinah, dan ini merupakan suatu yang tidak dapat dilakukan oleh orang Yahudi.

 

Bertitik tolak daripada permusuhan ini, kaum Yahudi Bani Qainuqa’ dan Bani Nadhir dihalau keluar dari Madinah. Manakala kaum lelaki Bani Quraizah pula dihukum bunuh kerana membantu tentera Ahzab menyerang Madinah dalam Perang Khandaq.

 

Selepas peristiwa tersebut, Kota Khaibar menjadi tumpuan orang Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan beberapa kabilah Yahudi yang lain. Kerana itu jumlah penduduknya agak ramai dan mencecah 10 ribu orang.

 

Rasulullah SAW sendiri memimpin pasukan tentera Islam untuk menakluk Kota Khaibar kerana mereka membantu tentera Ahzab menyerang Madinah. Kemudian mereka mengajak kaum Yahudi lain termasuk Wadi Qurra, Taima’, Fadak dan kabilah Arab Ghafatan bagi menyerang Madinah. Nabi Muhammad SAW bertindak pantas menakluk Kota Khaibar dulu sebelum mereka sempat melakukan serangan.

 

Menarik tentang buku Perang Khaibar: Penaklukan Kota Khaibar ini… 

Ada beberapa peristiwa penting yang menarik terjadi semasa Perang Khaibar yang diceritakan dalam buku ini, antaranya

 

Pengkhianatan Yahudi Bani Nadhir terhadap Yahudi Kota Khaibar

Pada asalnya, Yahudi Bani Nadhir yang dihalau keluar dari Madinah hanya dibenarkan untung menumpang sahaja di Kota Khaibar. Sepanjang berada di Kota Khaibar, Yahudi Bani Nadhir dikehendaki untuk membayar sewa dan cukai yang mahal kepada ketua Yahudi Khaibar.

 

Disebabkan rasa benci dan dendam terhadap Nabi Muhammad SAW kerana dihalau keluar dari Madinah tanpa dibenarkan membawa sebarang harta, maka Sallam bin Misykam (ketua Bani Nadhir) merancang untuk menghasut ketua Yahudi Khaibar (Uzair) untuk bersama-sama Bani Nadhir menyerang Madinah.

 

Sudah tentu Uzair tidak mahu membantu kerana mereka tiada sebarang perselisihan dan permusuhan dengan Nabi Muhammad SAW.

 

Kemuncak bagi peristiwa ini, Sallam membunuh Uzair dan seterusnya menggantikan Uzair sebagai ketua Yahudi Khaibar secara tipu helah.

 

Sifat munafik Abdullah bin Ubai

Siapa sebenarnya Abdullah bin Ubai ni?

 

Sebelum peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah, sebenarnya penduduk Madinah telahpun sepakat untuk mengangkat Abdullah bin Ubai untuk menjadi raja di Madinah. Kaum Aus dan Khazraj juga telahpun memberi persetujuan. Namun perancangan tersebut dibatalkan sejuruh Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah.

 

Penduduk Madinah lebih tertarik dengan peribadi Rasulullah SAW lalu melantik beliau sebagai pemimpin.  Abdullah bin Ubai berasa sangat kecewa lalu menyimpan dendam terhadap Rasulullah. Dalam masa yang sama dia pura-pura memeluk Islam serta bersikap baik terhadap Nabi Muhammad SAW bagi menyembunyikan apa yang tersirat dalam hatinya.

 

Strategi dan kriteria pemilihan anggota tentera 

Kerana wujudnya individu seperti Abdullah bin Ubai, ia merupakan suatu ancaman dari dalam bagi umat Islam untuk keluar berperang.

 

Justeru, Nabi meletakkan syarat bahawa “Hanya mereka yang bersama-sama dengan Nabi ketika peristiwa Hudaibiyah sahaja yang diberi keutamaan untuk menyertai seruan jihad ke Kota Khaibar, manakala mereka yang tidak bersama Nabi ketika peristiwa Hudaibiyah masih boleh turut serta TETAPI MEREKA TIDAK AKAN DIBERI HARTA RAMPASAN PERANG dan sekiranya mereka gugur, tetap dikira sebagai mati syahid.”

 

Bagi individu yang berpura-pura mengikuti Islam seperti Abdullah bin Ubai dan pengikut-pengikutnya, sudah pasti tidak akan bersetuju dengan syarat ini. Bagi mereka, buat apa susah-payah ikut berperang, mempertaruhkan nyawa tetapi selepas itu tak diberi sebarang bahagian daripada harta rampasan perang.

 

Sebelum perang Khaibar, sebenarnya pernah berlaku satu peperangan yang dinamakan sebagai Perang Uhud. Ketika perang ini, Abdullah bin Ubai bersama para pengikutnya turut sama menyertai peperangan ini. Walaubagaimanapun, apa yang berlaku ketika itu, Abdullah bin Ubai beserta 300 orang pengikutnya pulang dengan meninggalkan pasukan Islam. Tindakan mereka ini sangat bahaya kerana dapat melemahkan semangat pasukan Muslimin bagi berperang.

 

“Mengapa Nabi Muhammad SAW memberi syarat sekiranya mereka yang tidak menyertai Perjanjian Hudaibiyah mahu turut serta, dibenarkan tetapi mereka tidak dapat menerima harta rampasan perang?” tanya Abdul Jabar lagi.

 

“Nabi Muhammad seorang ketua tentera yang bijak. Baginda mahu mereka yang menyertainya benar-benar berjuang kerana Allah bukan kerana mahukan harta rampasan perang. Dengan adanya syarat itu mereka yang munafik seperti Abdullah bin Ubai tidak mahu pergi kerana tidak mendapat harta rampasan,” jawab Asmah.

 

Kemudian katanya lagi, “Apabila pasukan itu hanya disertai mereka yang benar-benar ikhlas berjuang kerana Allah dan bukannya bagi mendapat harta rampasan perang, maka mereka akan mendapat bantuan daripada Allah. Sesungguhnya kemenangan sesuatu pasukan itu bukan ditentukan kepada ramai atau sedikitnya jumlah pasukan,” kata Asmah.

 

Petikan dari buku Perang Khaibar: Penanklukan Kota Khaibar

 

Selain kisah-kisah sekitar perang Khaibar, turut dimuatkan juga peristiwa-peristiwa lain seperti

1. Kisah mengenai seorang sahabat Nabi SAW yang mencintai Allah dan Rasul-Nya serta dicintai Allah dan Rasulnya.

 

2. Kisah mengenai seorang sahabat Nabi yang dikatakan kekuatannya setanding 70 orang lelaki yang berjaya memecahkan pintu di benteng Na’im Kota Khaibar dengan hanya menendangnya dan dengan izin Allah SWT benteng Na’im yang diperbuat dari besi yang tebal itu tercabut dari pasaknya.

 

3. Peristiwa penikahan antara Nabi Muhammad SAW dengan Safiyyah isteri kepada Kinanah. Kinanah adalah pengganti kepada Sallam dan menjadi ketua kepada Yahudi Khaibar.

 

4. Peristiwa pernikahan antara Nabi Muhammad SAW dengan Barrah binti Al-Harrith yang kemudiannya Nabi Muhammad menukar nama Barrah kepada Maimunah bererti ‘Orang Yang Bahagia’.

 

5. Peristiwa pengislaman Khalid Al Walid yang kemudiannya menjadi panglima perang paling disegani yang banyak berjasa kepada perkembangan agama Islam.

 

Banyak lagilah sebenarnya peristiwa sejarah yang menarik yang diceritakan dan dimuatkan dalam novel ini.

 

Untuk makluman anda yang minat nak baca dan dapatkan novel ini, boleh beli secara online sahaja di laman web Book Cafe.

 

Boleh juga klik sini untuk lihat info tentang tempahan, melihat siri-siri lain dan sebagainya.

 

 

Exit mobile version