Blog Sabree Hussin

Penggunaan ayat Call to Action dalam kempen pemasaran beserta contoh

Ada beberapa plugin penting yang saya gunakan untuk membantu saya monitor perkembangan blog ini. Antaranya ialah Wordfence Security, Broken Link Checker dan juga Pretty Link PRO. Sebelum saya cerita tentang topik ayat call to action ni, saya nak share dulu tentang tiga plugin yang saya sebutkan ini. Jadi, sila teruskan pembacaan, dan anda mungkin akan belajar sesuatu yang anda tak pernah dengar sebelum ni!

 

Plugin Wordfence Security. Fungsi plugin ini adalah bagi tujuan keselamatan dari sebarang cubaan hacking. Setiap hari, ada banyak blog menjadi mangsa para hacker. Mereka mensasarkan blog-blog yang dibina sama ada menggunakan wordpress ataupun blogspot yang tidak mempunyai sistem keselamatan yang tinggi. Salah satu blog saya, juga pernah kena hack sebelum ni. Walaupun tiada sebarang kerosakkan dilakukan, tetapi sepanjang tempoh kena hack tu, blog tersebut langsung tak menyumbangkan sebarang komisen dan sale.

Sebenarnya dua jam sebelum catatan ni saya tulis, ada percubaan untuk hack blog ini. Kalau anda lihat kotak yang berwarna merah, ada lebih kurang 30 percubaan untuk akses ke dashboard blog ini. Kesemua percubaan ini menggunakan IP Address dari luar negara, seperti di Las Vegas, San Antonio dan ada juga di Moscow. Mujurlah plugin ini agak kuat dan berjaya menangkis serangan ini.

 

Plugin Broken Link Checker. Fungsi plugin ini adalah untuk mengenalpasti mana-mana link yang telah pun rosak ataupun dah tak wujud, yang pernah disiarkan dalam blog ini. Memandangkan sejak tiga tahun kebelakangan ini saya banyak join program affiliate, maka ada banyak juga link-link affiliate yang saya masukkan dalam blog post yang saya hasilkan.

 

Sebahagian daripada program affiliate ni dah pun tak wujud. Ada yang jualan telah dihentikan dan ada juga yang laman web telah pun di tutup. Jadi kebanyakkan link-link affiliate yang masih wujud dalam blog ini ada yang dah jadi broken ataupun rosak. Maka nak tak nak, saya perlu edit setiap link tersebut.

 

Plugin Pretty Link PRO. Mujurlah kebanyakkan link affiliate yang ada dalam blog ni, semuanya saya cloak atau sembunyikan menggunakan plugin Pretty Link. Jadi, proses untuk edit dan ubah link sangatlah mudah. Saya hanya perlu edit menerusi pretty link sahaja. Mana-mana link affiliate yang dah tak berfungsi, saya tukarkan dengan link ke laman web khas. Laman web apa? Itu trade secret. Yang pasti, jika calculation saya tepat, peluang untuk jana lebih banyak pendapatan memang terbuka luas.

 

Aha… Saya baru sahaja menggunakan salah satu daripada contoh ayat Call to Action (CTA) kat atas tu. Kalau anda perasan, ayat yang saya maksudkan ialah

“… sila teruskan pembacaan, dan anda mungkin akan belajar sesuatu yang anda tak pernah dengar sebelum ni!”

 

Apa fungsi ayat Call to Action?

Pada asasnya, ayat Call to Action adalah ayat yang kita gunakan bagi memberi arahan kepada prospek atau pelanggan kita untuk melakukan tindakan SEKARANG.

 

Kita mahu prospek yang membaca ayat-ayat promosi yang kita hasilkan untuk melakukan tindakan seperti yang kita mahukan. Awas, jika anda tidak meletakkan sebarang ayat call to action, prospek anda mungkin akan mengambil tindakan yang langsung tidak menguntungkan anda, antaranya membuang risalah yang anda berikan, menekan pangkah pada laman web anda, ataupun prospek tidak mengambil sebarang tindakan langsung.

 

Apa yang anda mahu prospek anda lakukan sebaik sahaja mereka membaca ayat iklan anda?

(1) Kita mahu prospek kita mengubah persepsi dan pandangan terhadap perniagaan yang kita lakukan, dari tak minat kepada minat.

(2) Kita mahu prosek mula bercakap tentang bisnes yang kita lakukan.

(3) Kita mahu prospek bertindak untuk mencari maklumat lanjut tentang perniagaan kita.

(4) Kita boleh minta prospek untuk menghubungi kita untuk maklumat lanjut, sama ada menerusi emel, SMS, Whatsapp, FB dan sebagainya.

(5) Kita minta prospek untuk datang ke premis perniagaan

(6) Kita minta prospek untuk membuat tempahan

(7) Kita minta prospek untuk sertai kuiz mudah bagi memenangi baucer tunai

 

Semasa menggunakan ayat call to action, tak semestinya kita menyuruh prospek untuk buat tempahan semata-mata. Ada waktunya, proses pembelian akan berlaku secara automatik, terutama sekali apabila tawaran yang kita berikan kepada prospek tu betul-betul menepati situasi, kehendak dan kemahuan prospek tersebut.

 

3 Formula menulis ayat call to action yang menggalakkan prospek bertindak segera

Formula ini telahpun dipraktikkan oleh ramai ahli pemasaran dalam kempen-kempen pemasaran yang dihasilkan. Terbukti ianya memang sangat berkesan. Saya sendiri turut menggunakan formula ini, dan apa yang boleh saya katakan, ia memang tidak mengecewakan.

 

(1) Arahkan prospek untuk bertindak sekarang bagi mengelakkan prospek KEHILANGAN sesuatu

Sebagai contoh, jika anda menjalankan kempen potongan harga atau diskaun bertempoh, anda boleh arahkan prospek untuk bertindak segera dan membuat tempahan sebelum tarikh tamat promosi supaya mereka tak terlepas atau kehilangan peluang untuk beli dengan harga yang sangat menjimatkan.

 

Contohnya, baru-baru ni pihak Lazada ada menjalankan kempen Unity Sale bermula dari 25 Ogos 2016 hingga 31 Ogos 2016 sahaja. Pada waktu ni memang banyak barang-barang yang dijual dengan harga yang murah dengan diskaun yang ditawarkan sehingga 90%.

 

Jadi, kalau pelanggan tak mahu terlepas peluang dapat shopping dengan harga yang sangat murah, kenalah bertindak segera.

 

Contoh lain

1. “Cepat bertindak sementara stok masih ada. Stok adalah TERHAD.”

2. “Lagi lama anda tunggu, lagi sedikit peluang anda.”

3. “Harga akan dinaikkan pada bila-bila masa, atau apabila telah cukup kuota.”

 

(2) Arahkan prospek untuk bertindak sekarang bagi MENDAPATKAN KELEBIHAN

Sekiranya anda dapati yang prospek sememangnya berminat untuk dapatkan sesuatu produk, peranan anda adalah untuk menggalakkan prospek tersebut untuk bertindak segera bagi mendapatkan manfaat ataupun keistimewaan memiliki produk tersebut.

 

Contohnya jika prospek tersebut inginkan produk Al-Quran Digital. Anda boleh katakan, “lebih cepat anda dapatkan produk ini, lagi cepat anda boleh mula mengaji dengan bantuan pen ini.”

Pastikan anda tahu apa yang pelanggan inginkan, kemudian beri galakkan untuk pelanggan bertindak sekarang.

 

(3) Arahkan prospek untuk melakukan perkara-perkara kecil yang mudah

Ini adalah teknik yang paling kerap saya gunakan. Kita tak suruh prospek untuk buat tempahan mahupun pembelian. Apa yang kita nak prospek kita buat ialah, benda-benda yang mudah sahaja. Contohnya

 

i. Layari laman web

Sila layari laman web ini untuk melihat senarai produk yang dijual dengan potongan harga sehingga 90%.

 

ii. Masukkan nama dan emel

Sila masukkan nama dan alamat emel anda di borang yang disediakan. Link download akan dihantar ke alamat emel anda.

 

iii. Hantar emel kosong

Anda hanya perlu hantar emel kosong ke sabreehussin@gmail.com dan saya akan berikan maklumat lengkap tentang program buat duit ini kepada anda.

 

Penggunaan ayat Call to Action terutama sekali dalam medium-medium pengiklanan berbayar seperti FB Ads dan juga Google Adwords adalah sangat penting. Kita mahu setiap prospek yang baca iklan kita dapat bertindak seperti mana yang kita mahukan, barulah bajet iklan kita tak dibazirkan dengan begitu sahaja.

 

Jika anda menggunakan teknik advertorial dalam pengiklanan, penggunaan ayat call to action juga tak kurang pentingnya. Seperti yang anda lihat, dalam penghasilan artikel ini juga, saya menggunakan banyak ayat call to action.

 

Jika ada rezeki, In Shaa Allah sebahagian daripada ayat call to action yang saya sendiri gunakan dalam artikel ini, akan convert kepada sales. Wallahua’lam

 

Terima kasih kerana membaca dan semoga perkongsian ini bermanfaat. Jika anda rasakan, ada orang lain yang akan turut dapat manfaat dari perkongsian ini, apa kata anda share artikel ini dengan menekan butang share di bawah.

 

 

Exit mobile version