Blog Sabree Hussin

Patutkah student IPTA/IPTS join Bisnes MLM?

Golongan pelajar universiti adalah antara kelompok dan kumpulan sasaran buat mereka-mereka yang menjalankan perniagaan berkonsepkan Multi Level Marketing (MLM). Dalam post saya yang terdahulu, saya telahpun bincangkan topik mengenai cara-cara untuk kenali bisnes MLM yang scam dan menipu.

Klik untuk baca: Bagaimana cara untuk kenal Bisnes MLM yang PENIPU dan SCAM?

 

Sekiranya anda dah baca perkongsian tersebut, sepatutnya pada waktu ini anda dah dapat serba sedikit gambaran, sama ada sesuatu peluang perniagaan itu sebenarnya boleh dipercayai atau satu penipuan semata-mata. Ada banyak bisnes MLM kat luar sana, yang sebenarnya hanyalah berkonsepkan money game semata-mata.

Memandangkan golongan pelajar adalah kumpulan yang sering dijadikan sasaran, dan golongan pelajar universiti juga adalah antara kelompok pembaca blog ni, jadi saya fikir eloklah saya kupaskan topik ini sekali. Manalah tau, ada yang baca dan boleh belajar sesuatu daripada perkongsian ini.

 

Pertama sekali, saya perlu nyatakan kat sini, bahawa saya bukanlah seorang yang anti dengan bisnes MLM. Saya lebih suka mengambil pendekatan terbuka apabila ada seseorang yang ingin kongsikan peluang perniagaan kepada saya, termasuklah perniagaan berkonsepkan Multi Level Marketing (MLM) ini.

 

Tetapi, saya cukup benci orang yang mengeksploitasi sistem MLM dan menggunakan MLM sebagai muka depan untuk mempromosikan produk-produk yang menipu dan cuba untuk jadi kaya dengan cara cepat. Sesetengah orang, dia cukup benci bila dengar nama MLM.

Baca juga: 10 Sebab kenapa orang Benci dengan Bisnes MLM.

 

Tapi saya tak begitu. Saya bukannya jenis yang akan terus pangkah sesuatu peluang perniagaan. Saya akan dengar dulu dan cuba fahamkan. Tapi AWAS! Kalau apa yang saya dengar tu, lebih banyak unsur-unsur money game, unsur-unsur pembinaan piramid, unsur-unsur skim cepat kaya, maka dari situ saya akan buat kesimpulan, dah tak ada apa lagi yang perlu saya dengari.

“Patut ke student universiti join syarikat yang buat bisnes MLM?” 

Saya pernah jadi student universiti. Saya juga pernah rasa, betapa susahnya hidup sebagai seorang pelajar yang tak ada pendapatan, yang hanya bergantung harap pada duit pinjaman PTPTN dan juga duit saku pemberian ahli keluarga. Sudah tentu, kalau boleh saya mahukan lebih banyak duit belanja.  

 

Masa zaman belajar ni la, dugaannya sangat kuat. Masing-masing nak tunjuk, siapa lebih hebat dan siapa lebih bergaya berbanding kawan-kawan sekelas. Dalam posting ini, saya tak akan berikan anda straight answer, sama ada anda patut join atau tidak, YA atau TIDAK, sebaliknya saya akan berikan poin untuk anda sendiri fikirkan.

 

Kalau anda bertindak ikut emosi, anda akan mati. Kalau anda bertindak guna akal yang sihat, In Shaa Allah anda akan selamat… dan ya, saya tahu tekanannya sangatlah kuat untuk mempengaruhi anda untuk join benda-benda macam ni.

 

(1) Pastikan modalnya bawah RM100 atau satu jumlah yang anda tak kisah kalau hangus

Pada saya modal RM100 itu dah kira MAHAL. Namun pada orang lain, RM100 tu macam tak ada apa-apa. Biasalah, kalau makan dekat Seoul Garden untuk dua orang, kosnya pun lebih kurang RM100 jugak. Jadi, RM100 ni macam tak ada apa-apa.

 

Untuk mereka yang merasakan RM100 itu bukanlah satu jumlah yang besar, maka nasihat saya, kalau nak join MLM jugak, pastikan modalnya adalah satu jumlah yang anda sendiri rasa tak kisah kalau ianya hilang begitu sahaja.

 

Sesetengah leader MLM ni begitu ghairah cerita bab untung, padahal saya jumpa ramai je orang yang rugi daripada yang untung. Jadi, kalau nak rugi, pastikan kerugian itu adalah satu jumlah yang kita tak kisah. Macam yang saya kata sebelum ni, pastikan modalnya bawah RM100.

 

Duit modal tu, pastikan anda guna duit sendiri. Bukan duit PTPTN, bukan duit pinjam dari kawan-kawan, dan bukan juga duit yang anda mintak dari ahli keluarga. Pastikan ianya duit sendiri yang anda perolehi dari hasil titik peluh anda sendiri.

 

Mungkin anda dapat kumpul duit tu hasil daripada jual sandwich ke, ambik servis printing, buat tutoring atau apa-apa sahaja. Yang penting ianya adalah daripada poket anda sendiri.

Baca juga: 10 Idea jana pendapatan sampingan untuk pelajar IPTA/ IPTS

 

Bila guna duit sendiri, barulah kita akan rasa yang kita kena hargai dan perlu komited dengan perniagaan yang kita jalankan. Sebaliknya, kalau kita guna duit orang lain, atau duit yang kita pinjam, kita tak akan rasa apa-apa bila kita sendiri rasa malas nak buat bisnes tu.

 

Ini baru poin yang pertama, iaitu tentang modal.

i. Pastikan ianya bawah RM100.

ii. Jika lebih RM100, pastikan ia adalah satu jumlah yang kita tak kisah kalau hilang. Dalam bisnes MLM, kebarangkalian untuk duit hangus memang tinggi ha ha

iii. Pastikan guna duit yang kita cari sendiri hasil titik peluh kita, bukannya duit pinjam dari orang lain.

(2) Join bisnes MLM ni sebab nak dapatkan PENGALAMAN

Kat luar sana, ada banyak konsep perniagaan. Ada konsep MLM, konsep dropshipping, konsep affiliate, konsep stokis, konsep trading dan macam-macam lagi. Maaf, saya tak dapat nak senaraikan semua sekali kat sini. Saya rasa cukuplah dengan saya kata, ada terlalu banyak konsep dan cara orang berniaga.

 

Ada sesetengah orang, dia berniaga dengan orang perseorangan. (Business to consumer atau B2C)

Ada orang dia berniaga dengan kerajaan sebagai pembekal. (Business to Government atau B2G)

Ada orang dia berniaga dengan cara memberi khidmat tertentu kepada syarikat lain. (Business to business atau B2B)

 

Zaman belajar di universiti ni, sepatutnya ia bukan lagi zaman kita belajar teori semata-mata. Sebaik-baiknya, kita belajar juga dengan cara melakukan perkara tersebut. Bila cerita bab teori, memang ramai yang nampak hebat. Tapi bila bab praktikal, belum tentu orang yang nampak hebat tu boleh tunjukkan hasil yang sama hebat seperti hujah-hujah yang diperkatakan.

 

Jadi, saya berpandangan, buat bisnes MLM ini adalah salah satu cara mudah untuk anda dapat pengalaman yang praktikal tentang bisnes dan dunia perniagaan secara amnya. Jika anda bernasib baik (atau mungkin bernasib malang), masa inilah anda akan belajar tentang sepak terajang dunia perniagaan, tipu helah, muslihat dan sebagainya. Ya… bukan semua yang anda dengar tentang dunia bisnes tu indah-indah belaka ya.

 

Dengan modal sebanyak RM100 (atau kurang) untuk join MLM business, itu kita boleh anggap ia sebagai yuran untuk kita belajar realiti dunia perniagaan secara praktikal. Kalau nak yang teori, boleh belajar dalam kelas atau pinjam buku dekat perpustakaan dan baca. Kalau nak yang praktikal, bisnes MLM adalah salah satu platform yang anda boleh cuba.

 

Suka untuk saya ingatkan, kalau niat anda untuk dapatkan ilmu praktikal dalam bidang perniagaan, bisnes MLM bukanlah satu-satunya peluang yang ada. Ia hanyalah salah satu cabang dalam perniagaan. Tak suka MLM? Boleh buat bisnes lain.

 

(3) Tanyakan pada mereka yang perkenalkan bisnes ni pada anda, “Apakah bentuk latihan yang bakal anda terima?”

Sesetengah syarikat MLM akan memberikan LATIHAN dan SEMINAR kepada ahli-ahlinya. Ini satu peluang yang baik untuk anda belajar dengan lebih mendalam tentang produk, tentang syarikat, tentang pasaran, dan juga tentang teknik pemasaran.

 

Jika syarikat tidak menganjurkan sebarang seminar atau mengadakan program latihan sekalipun, ada ketikanya pihak upline itu sendiri yang akan mengambil inisiatif untuk memberi latihan kepada anda. Sebagai contoh, jika saya buat bisnes MLM dan saya ingin mendapatkan downline, saya akan adakan sesi personal coaching mengikut kesesuaian masa dan tempat untuk ajar topik-topik berkaitan dengan pemasaran internet, blog, copywriting, story selling dan sebagainya.

 

Kalau bisnes MLM yang jenis scam, biasanya latihan-latihan ni memang tak ada. Kalau ada dianjurkan sekalipun, ianya berbayar. Walaupun ianya berbayar, kandungan latihan dan seminar itu cuma biasa-biasa sahaja. Anda hanya akan dengar ayat-ayat motivasi dan kata-kata semangat, itu sahaja.

 

Anda tidak akan belajar sebarang pengetahuan baru mahupun skil baru pun. Ya… sungguh menyedihkan.

 

Daripada keluhan seorang rakan di internet, dia sendiri akui, dalam sesi seminar berbayar yang disertai, speaker hanya bertindak sebagai tukang sorak. Mungkin sama seperti pom pom girl. Cuma reti bagi semangat, tetapi ahli tidak dibekalkan dengan skil yang diperlukan untuk memasarkan produk syarikat.

 

(4) Ketahui dan sedar hakikat bahawa perniagaan MLM adalah perniagaan yang BERISIKO!

Semua perniagaan ada risiko. Ketahui apa risiko yang anda hadapi apabila dibentangkan dengan peluang untuk buat duit dengan bisnes MLM. Fikir dalam-dalam, dan jika perlu, bincang dengan mereka yang lebih berpengalaman.

 

Kat universiti mesti ada kaunselor, betul tak? Bincang dengan kaunselor. Cuba dapatkan pendapat dia dan dapatkan seberapa banyak pendapat yang boleh.

 

Bincang dengan mak ayah, bincang dengan adik beradik, atau bincanglah dengan sesiapa yang anda percaya boleh beri pandangan yang tidak berkepentingan. Kalau anda bincang dengan orang yang join MLM, atau wakil syarikat, dah tentu dia akan berikan pandangan yang manis-manis sahaja.

 

(5) FAHAMKAN bagaimana cara bisnes MLM tersebut menjana pendapatan

Hati-hati bila anda dengar ada yang kata perniagaan itu SENANG. Secara umumnya, bisnes MLM ni ada dua kaedah bagaimana pemainnya buat duit. Saya harap anda dapat fahamkan betul-betul macam mana sesuatu bisnes tu buat duit.

 

Pertama sekali, bisnes perlu buat jualan. Kena buat sales. Kalau ada orang kata, tak perlu buat sales, anda dah kena tipu. Selamba je dia tipu dan memperlekehkan kebijaksanaan anda.

 

Memandangkan bisnes ni anda perlu buat sales, cuba tanyakan dalam diri anda. “Adakah anda orang yang suka buat sales?”

 

Saya adalah seorang yang TAK SUKA buat sales. Saya tak pandai nak cakap dengan orang. Bila bercakap dengan orang yang saya tak kenal atau dengan orang yang saya baru kenal, saya agak gagap dan gugup. Atas sebab ini, saya tak berapa suka buat jualan secara berdepan-depan.

 

Saya lebih suka buat jualan menerusi penulisan. Ini salah satu sebab kenapa waktu saya belajar dulu, saya ambil inisiatif untuk belajar buat blog. Pada waktu tu, saya bayangkan yang satu hari nanti, saya akan buat jualan menggunakan blog saya.

 

Dua cara bagaimana bisnes MLM menghasilkan pendapatan

Cara pertama, mereka hanya fokus pada rekrut ahli baru atau ejen semata-mata.

i. Pernah berlaku secara terang-terangan, ahli mereka sendiri mengaku yang mereka bukannya jual barang sebaliknya hanya berkongsi peluang.

ii. Mereka tidak cerita tentang produk atau servis, sebaliknya hanya menunjukkan peluang pendapatan yang bakal diperolehi.

iii. Kemana sahaja mereka pergi, mereka akan tunjukkan aset yang mereka miliki. Sama ada kereta mewah, rumah besar, atau duit tunai.

 

Kalau sesebuah bisnes MLM tu, ada ciri-ciri seperti ini, saya syorkan anda lari sahaja jauh-jauh. Bisnes MLM yang dibina dengan cara ini, iaitu semata-mata untuk dapatkan ahli baru, biasanya ia tak akan bertahan lama. Sistem ini akan runtuh dengan sendirinya dengan sangat pantas.

 

Pastikan, waktu sistem ini runtuh, anda tidak berada dalam sistem yang mengarut ni.

 

Cara kedua, bisnes MLM tersebut buat duit dengan cara penjualan produk atau perkhidmatan. Mereka mempunyai real product yang boleh dijual dan mempunyai permintaan tersendiri.

i. Produk yang diniagakan adalah produk keperluan dan ianya juga adalah produk harian. Pengguna menggunakan produk tersebut dan bila produk dah habis, akan ada pembelian ulangan (repeat buying)

ii. Ahli diajar untuk berkongsi kebaikkan dan kelebihan produk. Jualan terhasil kerana bakal pelanggan nampak dan faham kepentingan produk pada dirinya.

iii. Jika perlu atau jika sesuai, boleh lakukan demonstrasi produk.

iv. Pembinaan rangkaian turut dilakukan seperti cara pertama namun fokusnya adalah untuk mereka yang minat jadi pengedar dan sama-sama menjual produk dan kongsi manfaat sesuatu produk.

 

Cara kedua ini, lebih “okay” pada saya, sebabnya jika tak ada siapa yang nak jadi downline kita sekalipun, produk tetap boleh dijual kepada pengguna dan kita masih lagi ada peluang untuk dapat komisen atau untung runcit.

 

Sebaliknya, cara pertama yang hanya fokus pada rekrut ahli baru, pendapatan kita akan terhenti atau lebih dahsyat lagi, syarikat akan tutup terus jika tidak ada kemasukkan ahli baru.

 

(6) Jangan terus percaya dengan apa yang anda dengar, sebaliknya cari masa untuk SIASAT

Jangan kata anda tak tau macam mana nak siasat sesuatu peluang perniagaan dalam syarikat MLM ini boleh dipercayai atau sebaliknya. Saya percaya, sekarang ni rata-rata golongan pelajar ada smartphone. Kalau tak ada smartphone sekalipun, anda pasti tahu macam mana nak guna komputer dan tau guna laman carian google.

Sebelum anda nak buat keputusan untuk sertai mana-mana peluang bisnes MLM, pastikan anda siasat terlebih dahulu. Boleh jadi, anda akan temui pandangan dan juga feedback daripada ahli terdahulu yang pernah join sesuatu perniagaan MLM tersebut.

Baca juga: Mencari Maut: Bagaimana untuk melindungi diri anda daripada penyelewengan, skim cepat kaya dan lain-lain pelaburan durjana

 

Jangan terus percaya apa yang diperkatakan oleh para penggiat bisnes MLM ini, sebaliknya anda lihat juga apa yang mereka lakukan dan gerak geri mereka. Jika bisnes tersebut adalah bisnes yang scam, anda akan dapat lihat ada terlalu banyak benda yang tak kena dengan diri mereka.

i. Cerita bisnes ribu-ribu, tapi nak makan pun tak ada duit.

ii. Berpakaian memang nampak smart, tetapi itu semua hanya baju pinjam sahaja.

 

Saya pernah diajak untuk ke satu MLM gathering di sekitar Raja Chulan. Kebanyakkan yang ada kat situ, semuanya masih student lagi. Ada yang belajar di Universiti Malaya, ada yang dari UIA, dari UniKL dan dari macam-macam universiti. Ada antaranya datang dengan nota dan bila ada peluang, mereka ni akan curi-curi baca nota tu.

 

Bila saya tanya, “baca nota apa tu?” Jawapan yang saya dapat, ada kuiz siang nanti. Siang nanti ada kuiz, tapi waktu lewat malam macam ni, masih lagi berkumpul dengan geng-geng MLM.

 

Untuk apa? Adakah kehidupan seperti ini yang anda mahukan? Manusia yang waras, tak akan buang masa di luar rumah untuk berkumpul bersama-sama kawan-kawan, sedangkan pada waktu tu, ada benda lain yang lebih penting yang patut diutamakan.

 

Sebelum saya tamatkan entri ini, sekali lagi saya nak pesan, utamakan apa yang patut jadi keutamaan. Anda akan ada banyak masa untuk kejar dan kumpul kekayaan setelah tamat pengajian. Bukan semua benda kita kena dapatkan sekarang. Ada benda lebih baik kita dapat kemudian.

 

Dari tinjauan yang saya buat di laman media sosial, rupa-rupanya ramai juga para student universiti yang dah terlanjur join program dan bisnes MLM yang mengarut sampai terpaksa berhutang ribu-ribu ringgit. Cuma nak tanya satu je…

“Dik, mana pergi akal ko masa ko buat keputusan nak join benda-benda mengarut macam tu? Tak kan tak ada orang yang bagi nasihat atau yang ko rujuk dulu…”

 

 

 

Exit mobile version