Blog Sabree Hussin

“Masih Ada Yang Prihatin” – Program Kelab Generasi Warisan Prihatin di Sg Besar

In Shaa Allah pada awal bulan Disember 2014 akan datang, kelab Generasi Warisan Prihatin sekali lagi akan mengadakan satu lagi aktiviti besar.

Kali ini kami akan menziarahi penduduk kampung, dan lokasi yang terpilih ialah di Kg Sungai Hj Dorani, Sg Besar, Selangor.

Program kali ini akan berlangsung selama dua hari.

Cadangan tarikh ialah 06 dan 07 Disember 2014

… dan sepanjang program ini dijalankan, kami akan berkampung di Surau Tebuk Rashidin, Kg Sg Hj Dorani, Sungai Besar, Selangor.

Kalau nak tau, inilah gambar Surau Tebuk Rashidin.

Ada ke pembaca dan pelawat blog saya yang berasal dari Sungai Besar?

Ringkasan Program Amal & Ziarah Penduduk Kampung – “Masih Ada Yang Prihatin…”

Program akan bermula pada hari Sabtu, 06 Disember 2014.

Pada hari tersebut akan diadakan majlis bacaan Yaasin dan tahlil bersama-sama penduduk kampung yang akan berlangsung di surau ini selepas Maghrib. In Shaa Allah, dalam majlis tersebut, para waris dipersilakan untuk memberi nama ahli keluarga yang telah meninggal dunia untuk dihadiahkan pahala dan semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Selepas selesai Majlis Tahlil dan bacaan Yaasin, akan diadakan jamuan ringan bersama penduduk kampung yang hadir.

Ahad, 07 Disember 2014

Kemuncak program adalah pada hari Ahad.

Pada hari ini, Tim Generasi Warisan Prihatin akan membawa 18 orang kanak-kanak untuk dibawa shopping kelengkapan sekolah di Pekan Sungai Besar. 18 orang kanak-kanak itu pun telah kami kenal pasti.

Mereka terdiri daripada anak yatim, dan orang susah. In Shaa Allah, tim kami akan bantu ringankan beban bagi menampung kos persekolahan yang bakal bermula bagi sesi 2015.

Kelengkapan sekolah termasuk uniform sekolah, tali pinggang, kasut, beg, alat tulis dan sebagainya.

Terima kasih buat En Kamaruzaman Abu Bakar, Ketua Kampung JKKKP kerana membantu mengenalpasti senarai pelajar yang layak untuk menerima sumbangan dalam program kali ini.

Selain bawa adik-adik ini untuk shopping kelengkapan sekolah, pada hari yang sama, akan diadakan juga sesi penyampaian sumbangan barangan dapur untuk 17 buah keluarga terpilih.

Pada waktu catatan ini saya buat, tim kami sedang giat mengumpul dana dan mengumpulkan barangan sumbangan untuk disampaikan semasa program dijalankan nanti.

In Shaa Allah pengalaman yang lalu akan kami manfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Baca: Program Jalinan Mesra, Rumah Amal Siraman Kasih

Jika anda berminat untuk menyampaikan sumbangan, amatlah dialu-alukan dan dipersilakan.

 

Ahad, 26 Oktober 2014, Kg Sungai Hj Dorani, Sg Besar, Selangor 

Saya berkesempatan untuk mengikuti sesi ziarah yang pertama bersama-sama tim Generasi Warisan Prihatin yang lain.

Lawatan kali ini tujuannya adalah untuk berkenal-kenalan dengan keluarga yang terpilih. Ada sedikit sesi interview. Tujuannya lebih kepada untuk mengenali dan mendekati mereka.

Kita pun nak tahu, kalau-kalau ada keperluan lain yang boleh kami sediakan.

Perjalanan kami untuk ke rumah keluarga yang terpilih bagi menerima sumbangan sebahagiannya perlu melalui kawasan kebun kelapa sawit. Tak ada jalan bertar, tak ada lampu jalan. Yang ada hanyalah laluan sempit untuk ke tempat mereka.

Hanya muat satu kereta.

Mungkin ada jalan lain yang lagi besar? Wallahua’lam

Saya pun tak tau. Lagipun ini kali pertama saya sampai ke kawasan ni. Selalunya, kalau area Sungai Besar, saya hanya lalu di kawasan jalan besar sahaja. Paling biasa pun saya hanya singgah minum di Pekan Sg Besar.

Inilah kali pertama saya berkesempatan untuk berkunjung ke rumah penduduk disini.

Dalam sesi kunjungan yang singkat ini, ada beberapa keluarga yang sempat kami ziarahi.

Antaranya:

1) Keluarga En Muhammad Fariz Bin Garisa

Latar belakang:

Keluarga En Fariz terpilih untuk menerima sumbangan kelengkapan sekolah dan juga barangan dapur.

En Fariz bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah berdekatan. Pendapat bulanan jika termasuk OT ialah kira-kira RM1,200

Jika kebetulan bulan tersebut tidak ada OT, (saya difahamkan sistem OT adalah mengikut giliran dengan pengawal keselamatan lain) maka bulan tersebut pendapatan yang diperoleh adalah sekitar RM550 sebulan.

Masa kami datang, En Fariz sedang bekerja, jadi kami hanya dapat menemuramah isteri beliau sahaja. Isteri beliau adalah suri rumah sepenuh masa dan menjaga 5 orang anak. 3 daripadanya masih bersekolah, lagi dua orang baru berusia 4 tahun dan 6 bulan.

Kini menetap dirumah PPRT.

 

 

2) Puan Fatimah Binti Mat Noh

 

Latar belakang:

Puan Fatimah Binti Mat Noh berusia 70 tahun. Sekarang ni dah tidak mampu berjalan dan hanya mengesot untuk bergerak ke sana sini. Beliau juga ada masalah pendengaran.

Tinggal di rumah PPRTseorang diri.

Kami difahamkan makan dan minum adalah daripada ihsan jiran-jiran yang juga warga emas.

In Shaa Allah, untuk Puan Fatimah kita akan usahakan untuk dapatkan sumbangan barangan dapur dan makanan.

 

3) Keluarga En Ramli Bin Man

 

Latar belakang:

En. Ramli Bin Man berusia 74 tahun, bekerja sebagai nelayan dengan purata pendapatan sebanyak RM800.00 sebulan.

Walaubagaimanapun, pendapatan sebagai seorang nelayan tak tetap. Ada masa dapat lebih, ada masa dapat kurang. Bergantung juga pada keadaan cuaca dan pasang surut air laut.

Setiap bulan menerima bantuan sara hidup nelayan sebanyak RM200.00, duduk di rumah PPRT, isteri telah uzur dan hanya mampu berbaring sekiranya tidak menggunakan kerusi roda, memerlukan pampers dewasa saiz L.

Foto diatas adalah foto En Ramli dan isteri.

 

4) Ustaz Mufrad Bin Kasan

 

Latar belakang:

Ustaz Mufrad Bin Kasan berusia 69 tahun, sebelum ini berkhidmat sebagai guru agama.

Selepas diserang penyakit strok, kini Ustaz Mufrad hanya mampu terbaring sahaja.

Buat masa ini, beliau menerima bantuan dari pusat zakat sebanyak RM200.00 sebulan walaubagaimanapun adakalanya bantuan tidak diterima.

Sekarang ni, hanya meminum susu khas yang perlu dibeli dengan harga yang agak mahal iaitu lebih kurang RM65.00 setin. Satu tin susu boleh bertahan tidak sampai seminggu dan jika berjimat cermat, boleh tahan hingga 10 hari sahaja.

Ini dia gambar susu yang diperlukan:

Memerlukan pampers dewasa saiz M, rumah yang diduduki ihsan dari penduduk setempat.

Punca pendapatan keluarga adalah dari hasil jualan “popcorn” secara kecil-kecil yang diusahakan oleh anaknya dari rumah. Pendapatan kasar adalah sekitar RM500.00 sebulan.

 

5) En. Mohammed Bahrom Bin Jamaludin

 

Latar belakang:

En. Mohammed Bahrom Bin Jamaludin (berbaju putih) berusia 76 tahun, tinggal bersama isteri dan bapa mertua yang berusia 90++ tahun

Beliau mendapat pencen JPS sebanyak RM800.00 sebulan, mendiami rumah yang agak uzur dan bertampal di sana sini.

Keadaan En. Bahrom juga uzur sekarang ni, dan perlu bergantung pada pengambilan ubat khas. Jika tak ambil ubat, akan ada masalah buang air, dan mungkin perlu menggunakan tiub khas yang disambungkan di pundi kencing untuk buang air kecil.

Ini adalah ubat yang diperlukan:

Harga ubat ini agak mahal.

Sepapan mengandungi 10 biji dan dijual dengan harga RM21.00

Ubat ini perlu diambil setiap hari, bagi mengelakkan berlakunya masalah buang air kecil.

 

6) Puan Jinat Binti Mohamed

Kedatangan kami di rumah Puan Jinat disambut sendiri oleh beliau, dan waktu tu beliau hanya mengensot.

Latar belakang:

Puan Jinat Binti Mohamed berusia 55 tahun, OKU sejak lahir, hanya mengesot untuk bergerak ke sana sini, menerima bantuan JKM sebanyak RM300.00 dan bantuan pusat zakat sebanyak RM250.00 setiap bulan.

Memerlukan ubat khas untuk lutut (seperti yang disarankan oleh doktor) namun disebabkan kos ubat yang agak mahal, tidak mampu beli.

Selain itu, Puan Jinat juga memerlukan tongkat khas (custom made) untuk membantu beliau bergerak ke sana ke mari dan tak perlu mengensot. Tongkat sedia ada dah agak usang dan dikhuatiri akan patah semasa guna.

Pernah dapat bantuan kaki palsu, namun tak sesuai dengan keadaan fizikal beliau membuatkan beliau memilih untuk mengensot.

 

Dalam tempoh masa yang agak terbatas, hanya ini sahaja keluarga yang sempat kami ziarahi.

Cerita yang saya kongsikan ini bukanlah bertujuan untuk mendedahkan aib sesiapa. Malahan langsung tidak bermaksud untuk menjatuhkan air muka mana-mana pihak.

Mereka inilah antara insan terpilih untuk kami raikan dalam program yang bakal kami jalankan pada 06 dan 07 Disember 2014 nanti.

Mereka (para penerima) tidak pernah meminta apatah lagi merayu untuk diberi sumbangan. Apatah lagi memohon ihsan daripada mana-mana pihak untuk memberi sumbangan kepada mereka.

Dengan membawa nama program kami, “Masih ada yang prihatin…” dengan izin Allah, mereka terpilih sebagai salah seorang penerima sumbangan.

Sekiranya anda menerima mesej ini, dan ada rezeki untuk mereka daripada rezeki yang anda perolehi, lapangkanlah dada untuk berkongsi dengan mereka.

Anda boleh terus berhubung dengan saya sekiranya anda tergerak hati untuk menyumbang bagi menjayakan program ini. Sumbangan anda akan disalurkan untuk membeli kelengkapan sekolah, dan juga untuk membeli barangan dapur untuk diserahkan kepada penerima.

Saya boleh dihubungi sama ada menerusi

1. Call/SMS/Whatsapp di talian 017 254 3031

2. Emel sabreehussin@gmail.com

3. Facebook saya Sabree Hussin

Sumbangan boleh disalurkan sama ada dalam bentuk wang ringgit ataupun barangan.

Jika nak sumbang barang, kami akan kumpulkan terlebih dahulu dan akan diagihkan pada hari kejadian.

Antara barangan sumbangan yang dah kami terima yang sempat saya ambil gambarnya, beras 10 kilo.

Sekiranya anda berada berdekatan dengan Sg Besar, dan ingin turut serta dan menghantar sendiri sumbangan semasa program ini dijalankan, anda boleh juga berhubung dengan saya untuk maklumat lanjut dan confirmkan kehadiran.

Kehadiran anda amat dialu-alukan untuk memeriahkan lagi suasana.

 

Terima kasih saya ucapkan kerana anda sudi meluangkan masa untuk membaca catatan saya ini.

Saya doakan semoga para penyumbang bagi program kali ini dilapangkan rezeki seluas-luasnya! Amiin.

Sebelum balik, kami singgah ke Tanjung Karang ditempat yang pernah kami jalankan program sebelum ini.

Baca: Program Jalinan Ukhwah Ramadhan, Kg Kunci Air Buang, Tanjung Karang

Kalau di Tanjung Karang, tema kami adalah sambutan Hari Raya Aidil Fitri, kali ini tema kami ialah Kembali Ke Sekolah.

 

 

Exit mobile version