Blog Sabree Hussin

Lepas SPM tak nak sambung belajar?

Bukan semua pelajar lepasan SPM akan sambung pengajian ke peringkat seterusnya. Ada yang memilih untuk bekerja, ada yang berkahwin lalu menjadi suri rumah sepenuh masa, malahan ada juga yang terlibat dengan jenayah dan terpaksa menjalani hukuman.

 

Saya bukan nak cerita tentang kategori mereka yang berkahwin selepas SPM lalu jadi surirumah tangga sepenuh masa, ataupun nak cerita tentang mereka yang terlibat dengan kegiatan jenayah. Sebaliknya, saya nak fokus kepada kelompok yang masih berbelah bahagi, sama ada nak sambung belajar atau tidak selepas tamat SPM.

Selepas SPM, maka bermulalah cabaran hidup. Disini adalah penentu masa depan anda. Apa dan siapa yang bakal anda jadi di masa akan datang? Adakah seorang doktor? Engineer? Lawyer? Pegawai bank? Anda sendiri tentukan.

 

Sekiranya anda ingin jadi seorang jurutera seperti Tony Stark (Iron Man), maka anda perlu menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Seandainya anda ingin jadi seorang yang serba boleh dan pandai serba-serbi seperti Bruce Wayne (Batman/ Dark Knight) maka anda perlu sambung belajar dalam bidang fizik, kimia, sains komputer, matematik dan sebagainya.

 

…dan siapa tahu, jika anda bernasib baik, anda juga boleh jadi super kaya seperti kedua-dua watak ini.

 

Tetapi… kenapa tak nak sambung belajar?

Saya pasti, anda ada sebab tersendiri kenapa tak nak sambung belajar selepas habis SPM. Setiap orang pasti ada sebab yang berbeza.

 

Contohnya, ada juga yang tak nak sambung belajar selepas SPM sebab tak minat belajar. Saya rasa, alasan tak minat belajar ni agak pelik dan tak boleh pakai langsung.

 

Dalam hidup ni, setiap hari kita perlu belajar sesuatu. Mula-mula kita diperkenalkan dengan telefon bimbit jenis Nokia 3310. Kita kena belajar cara untuk guna telefon tersebut. Tak berapa lama lepas tu, muncul pula smartphone yang lebih canggih, yang mana kita boleh gunakan untuk ambil gambar, dengar lagu, melayari internet dan bermacam-macam lagi fungsi.

 

Cuba bayangkan, kalau anda jenis yang tak minat belajar! Jangan kata smartphone, nak guna telefon bimbit jenis Nokia 3310 pun belum tentu anda boleh guna.

 

Saya perhatikan, kebanyakkan remaja sekarang, tak ada masalah untuk belajar cara guna smartphone dan majoriti mereka memang mahir guna smartphone.

 

Jangan buat silap dengan menyamakan istilah “tak minat belajar” dengan “tak minat subjek atau bidang tertentu”

 

Anda kata anda tak minat belajar. Sedangkan yang sebetulnya, anda tak minat subjek bahasa inggeris, sains, matematik, kajian tempatan, sejarah dan sebagainya…

 

Disebabkan anda tak minat subjek atau bidang-bidang tertentu, anda terus kata anda tak minat belajar. Sebenarnya mind set seperti ini adalah silap.

 

Dulu, masa saya bersekolah, saya cukup minat komik. Saya suka beli komik dan saya juga suka melukis komik. Saya pernah berangan-angan nak jadi seorang kartunis apabila habis sekolah dulu. Kalaulah satu masa dulu, ada seseorang yang bagitau saya, bagaimana langkah-langkah untuk jadi kartunis, dimana saya patut sambung pengajian untuk jadi kartunis, mungkin saya akan ikut langkah-langkah tersebut.

 

Sayangnya… saya tak ada informasi tersebut.

 

Jadi, saya buat seperti yang orang lain buat. Lepas habis SPM, bila dapat tawaran masuk program matrikulasi, terus daftar dan seterusnya sambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang perniagaan.

 

Selepas SPM, sebenarnya anda ada KEBEBASAN untuk menentukan haluan hidup anda. Anda minat nak jadi apa? (…atau anda minat nak kerja apa?), maka pilihlah untuk sambung belajar dalam bidang tersebut.

 

Minat jadi peguam? Maka masuklah law school.

Minat jadi cikgu? Masuk UPSI

… dan seterusnya. Sila dapatkan nasihat tentang karier dan kerjaya dari guru kaunseling masing-masing.

 

Masalah timbul apabila, minat lain lepas tu sambung belajar pulak dalam bidang lain. Bila tak boleh nak perform dalam bidang yang diambil, terus salahkan bidang tersebut sebagai bidang yang tak boleh dapat kerja atau kursus sampah.

 

Jika anda tak sambung belajar sebab tak mampu…

Ya, memang ada keadaan dimana ada pelajar yang tak sambung belajar sebab tak mampu nak bayar yuran pengajian.

 

Kalau betul tak mampu, kan ada lagi pilihan untuk dapatkan bantuan kewangan? Semasa zaman saya belajar dulu, bantuan kewangan ni boleh jadi dalam bentuk

  1. Pinjaman PTPTN
  2. Pinjaman MARA
  3. Biasiswa
  4. Bantuan Zakat/ Baitulmal

 

Adakah anda dah cuba semua pilihan yang ada, sebelum give up dan kata, tak ada duit? Ok fine. Kalau tak nak ada komitment, tak nak buat pinjaman sebab tak nak ada hutang lebih habis belajar, boleh je kerja dulu, kumpul duit then sambung belajar.

 

Tak kisah la kalau umur 41 baru nak sambung belajar sekalipun. Asalkan anda tak susahkan sesiapa. Setuju?

Pentingnya ILMU dalam kehidupan

Jangan tengok sambung belajar tu sebagai nak ada diploma, nak degree, nak ada master, phd dan sebagainya. Sebabnya, kalau anda cuma melihat ianya sebagai usaha untuk dapatkan sijil semata-mata, ianya akan jadi usaha yang sia-sia.

 

Saya ada ramai kawan-kawan yang macam ni. Sijil ada banyak dan ada macam-macam. Tapi tak nampak cerdik pulak. Pelik.

 

Ada macam-macam sijil dan kelayakkan, tapi selepas tu, setiap hari buat benda yang sama. Pergi kerja, balik kerja, tersekat kat traffic jam, dan hari-hari komplen sebab harga barang naik, ekonomi tak berapa baik, jalan jem dan macam-macam benda yang nak dikomplen.

 

Tetapi, cukup berbeza dengan mereka yang sambung belajar sebab nak dapatkan ilmu. Ilmu yang ada. walaupun tak begitu banyak, namun apabila terus dipraktikkan, ia nampak hasilnya.

 

Yang rajin cari ilmu meniaga, bila terus jalankan perniagaan, nampak ada hasilnya. Walaupun kadang untung, kadang cuma balik modal. Ada yang rajin cari ilmu mekap, bila terus praktikkan, dah boleh tawarkan servis andaman kepada bakal pengantin.

 

Tetapi sayang bagi mereka yang cari ilmu sebab nak dapatkan sijil, selepas dah berjaya dapat sijil, tak nampak apa sumbangan kepada masyarakat.

 

Ilmu itu boleh diperolehi dari dua cara.

 

Cara pertama, melalui pendidikan secara formal. Ini biasanya anda perlu daftar di institusi pengajian, datang ke kelas, ikuti kuliah, lalui minggu peperiksaan dan sebagainya. Kelebihannya ialah, anda boleh belajar sesuatu perkara tu secara step by step. Ada sistem yang khas untuk belajar sesuatu perkara, dan bagi membuktikan bahawa anda telah tamat belajar, anda akan diberikan skroll. Sama ada ianya sijil, diploma, degree dan sebagainya.

 

Cara kedua untuk mendapatkan ilmu adalah dijalanan. Apabila saya guna istilah ilmu di jalanan, saya tak maksudkan anda lepak di tepi jalan, sambil main gitar, skate board atau apa sahaja setiap masa dengan harapan ilmu akan masuk ke dalam dada anda. Nope. Bukan macam tu.

 

Ilmu jalanan ni saya maksudkan adalah merujuk kepada ilmu yang diperolehi dari pengalaman. Anda nak ilmu menguruskan bisnes restoran? Mulakan dengan bekerja sebagai kuli di kedai-kedai makan. Belajar dari bawah. Macam mana cara nak uruskan aspek kebersihan, belajar cara nak layan pelanggan, cara nak ambil order, cara menyediakan makanan dan sebagainya.

 

Benda-benda yang saya sebutkan ni, anda boleh belajar di dewan kuliah ataupun didalam kelas. Namun, ianya tak sama apabila anda belajar dari pengalaman sendiri.

 

Konflik dalaman semasa zaman belajar

Hal ni mungkin cuma terjadi pada diri saya sahaja.

 

Saya selalu pertikaikan, kenapa perlu belajar subjek sejarah? Kenapa perlu belajar kemahiran hidup? Kenapa perlu belajar algebra? Sedangkan bila besar nanti, bila dah mula bekerja, kita tak akan gunakan semua pengetahuan ini pun!

 

… dan apabila saya mula bekerja, ternyata apa yang saya pernah fikirkan dulu menjadi kenyataan. Saya langsung tak pakai ilmu algebra, kimia dan sebagainya dalam kehidupan saya semasa bekerja.

 

Walaupun begitu, saya amat bersyukur sebab saya pernah belajar ilmu-ilmu ni semua, sebabnya bila saya mula meningkat dewasa, baru saya faham, untuk memahami sesuatu perkara dengan sebenar-benar faham, kita perlu melihat perkara tersebut dari sudut pandang yang berbeza dan menggunakan ilmu yang berbeza.

 

Orang yang ilmunya kurang, dia akan memahami dan melihat sesuatu perkara berdasarkan apa yang nampak dipermukaannya sahaja.

Sebaliknya, orang yang banyak ilmunya, dia mampu melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut.

 

Belajar kemahiran! Anda akan hidup senang dengan kemahiran yang anda miliki.

Sebagai penutup, jika anda memang tak minat nak sambung belajar seperti orang lain, iaitu sambung ke peringkat diploma, ambil degree, dapatkan master dan seterusnya, dengan alasan anda tak cukup bijak untuk diterima masuk ke universiti atau atas apa-apa alasan sekalipun…

 

Saya syorkan anda belajar kemahiran.

 

Satu perkara yang bagus dengan belajar kemahiran ini ialah, ia tidak mengambil kira keputusan akademik anda semasa di sekolah dahulu. Walaupun anda merupakan pelajar paling corot masa di sekolah dulu, anda masih boleh belajar kemahiran.

 

Bergantung kepada apa jenis kemahiran yang anda ingin pelajari.

Baca juga: Contoh-contoh Kemahiran yang boleh menghasilkan duit apabila dikuasai

 

Dengan kemahiran yang anda miliki dan kuasai, In Shaa Allah, anda boleh jadikan ia sebagai sumber pendapatan dengan menawarkan servis tersebut.

 

Minat untuk belajar dan kuasai skil mengambil gambar?

Kalau minat, boleh tawarkan servis fotografi atau servis ambil gambar sempena majlis-majlis tertentu.

 

Boleh dikatakan, semua jenis skil atau kemahiran yang anda atas bumi ini, boleh dijual kepada orang lain. Dengan syarat, kemahiran tersebut memang unik dan diperlukan.

 

Seandainya kecenderungan dan minat anda adalah dalam bidang kemahiran, belajarlah. Sambunglah pembelajaran dalam bidang dan aliran tersebut.

 

Ianya lebih baik berbanding anda tak buat apa-apa. Lagi satu, jangan bandingkan diri anda dengan orang lain. Orang lain ada minat yang berbeza, dan ia tak akan mungkin sama dengan anda.

 

Kalau nak buat perbandingan juga, pastikan anda bandingkan dengan pencapaian diri anda sendiri. Adakah tindakan anda pada hari ini, adalah lebih baik berbanding tindakan anda pada hari semalam?

 

Apa pun, saya doakan semoga anda menemui jalan hidup anda. Jadilah insan yang berguna, yang mampu menjaga diri sendiri, dan dapat berbakti kepada keluarga dan masyarakat.

 

 

Exit mobile version