Blog Sabree Hussin

Laluan Kerjaya Jurusan Kewangan

Apakah peluang atau laluan kerjaya yang boleh diterokai oleh graduan lepasan universiti dalam jurusan Kewangan?

 

Sebenarnya ada banyak peluang pekerjaan yang memberikan prioriti kepada pemohon yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kewangan.

 

Sebelum kita lihat kepada senarai kerja yang boleh dimohon, apa kata fikirkan dulu apa jawapan bagi persoalan, kenapa anda memilih untuk mengambil jurusan kewangan?

Boleh jadi anda mungkin tertarik dengan topik seperti membina kekayaan melalui pelbagai instrumen pelaburan atau anda mungkin pernah dengar atau terbaca dari mana-mana sumber, yang menyebutkan, mempunyai ijazah dalam bidang kewangan ini mempunyai peluang kerjaya yang agak luas.

 

Perkongsian pada kali ini, kita cuba bincangkan tentang peluang kerjaya yang boleh diterokai oleh pelajar yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang ini.

 

Dibawah ini adalah beberapa contoh peluang kerja yang boleh dimohon oleh lulusan kewangan. Ada beberapa contoh peluang kerja, saya turut sertakan iklan kerja kosong yang saya temui dari portal carian kerja maukerja.my dan juga jobstreet.

 

Jadi, sila teruskan pembacaan jika anda berminat untuk mendapatkan sedikit idea, mengenai peluang kerja yang terbuka untuk anda sekiranya anda mengambil jurusan pengurusan kewangan atau finance.

 

(1) Financial Analyst

Kalau dalam bahasa Melayu, kita panggil kerjaya ini sebagai penganalisis kewangan.

 

Seorang financial analyst bertanggungjawab untuk membuat analisis terhadap kedudukan kewangan beserta tahap kesihatan sesebuah organisasi dan akan menyediakan rekomendasi tentang bagaimana cara untuk memperbaiki kedudukan dan prestasi kewangan.

 

Mereka akan membuat analisa terhadap data-data berkaitan dengan aspek kewangan, menyediakan laporan dan akan membuat keputusan sama ada berkaitan dengan pelaburan atau pengurusan syarikat berdasarkan kepada analisis yang telah dilakukan.

 

Pada waktu catatan ini saya tulis, saya ada temui iklan kerja kosong bagi jawatan financil analyst di portal carian kerja Maukerja.my

Gaji yang ditawarkan adalah sekitar RM10,000 – RM12,000 sebulan.

 

Dekat portal yang sama, sebenarnya ada banyak lagi syarikat yang mengiklankan kerja kosong untuk jawatan yang sama, namun mereka tidak mendedahkan berapa gaji yang ditawarkan.

 

(2) Investment Banking Analyst

Investment banking analyst bekerja dengan institusi kewangan untuk membantu dalam urusan penggabungan dan pengambilalihan (merger and acquisitions), penerbitan saham tawaran awam permulaan (initial public offering)  dan lain-lain berkaitan dengan transaksi kewangan.

 

Bidang kerja mereka ini juga sebenarnya lebih meluas.

 

Mereka ini juga akan terlibat dalam membuat penyelidikan dan analisis yang lebih terperinci terhadap peluang pelaburan, termasuk pelaburan dalam stok, bon, hartanah, private equity dan lain-lain kelas aset.

 

Seterusnya mereka akan menggunakan model kewangan tertentu untuk membuat penilaian dari segi risiko, potensi pulangan dan keseluruhan pelaburan.

 

Ini pula adalah salah satu iklan kerja kosong yang saya temui di portal Jobstreet.

Jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kerja ini, bolehlah buat carian melalui portal Jobstreet ya.

 

(3) Financial Planner/Advisor

Nama lainnya ialah Perancang Kewangan atau Penasihat Kewangan.

 

Seorang yang bekerja sebagai penasihat kewangan ini biasanya akan bekerja secara rapat dengan individu, keluarga atau syarikat bagi memberi nasihat berkenaan dengan aspek pengurusan kewangan.

 

Biasanya perkara yang akan menjadi topik adalah

i. Perlindungan kewangan melalui instrumen takaful atau insurans

ii. Merangka pelan pelaburan jangka pendek, sederhana dan panjang

iii. Pelan dan dana persaraan

iv. Pengurusan cukai

v. Wasiat

 

Seorang penasihat kewangan ini akan bekerja dengan syarikat, firma atau agensi kewangan. Pada masa yang sama, ada juga yang bergerak secara perseorangan.

 

Individu yang ingin menjadi penasihat kewangan kebiasaanya akan bermula sebagai

i. Ejen insuran atau takaful

ii. Ejen unit trust

iii. Ejen pelaburan emas

 

Kemudian apabila mereka mula mendapat rentak barulah akan mula mengambil peperiksaan berkaitan dan lesen tertentu untuk peringkat yang seterusnya.

 

(4) Risk Analyst

Seorang Penganalisis Risiko akan membuat penilaian dan menguruskan risiko berkaitan dengan kewangan dalam sesebuah organisasi atau syarikat.

 

Mereka akan membuat kajian dan akan mengenalpasti apakah perkara-perkara yang boleh dikenalipasti akan memberikan risiko dan seterrusnya dia akan merangka strategi bagi menguruskan risiko tersebut, sebelum ianya benar-benar terjadi.

 

Ini bermakna, sebelum syarikat mengambil apa-apa langkah melibatkan kewangan, segala aspek risiko perlulah dianalisa terlebih dahulu.

Kalau risiko dah berlaku, baru nak cari jalan macam mana nak uruskan, ianya agak terlewat.

 

Maka disini seorang risk analyst perlu memainkan peranan dengan sangat cekap.

 

Seorang yang ingin bekerja sebagai risk analyst perlu mempunyai skil dan kemahiran yang baik dalam bab matematik juga.

 

(5) Corporate Finance Professional

Pegawai yang bertanggungjawab dalam aspek pengurusan kewangan korporat mengawal selia aktiviti berkaitan dengan kewangan.

 

Peranan yang akan dimainkan adalah berkaitan dengan membuat perancangan kewangan, menyediakan belanjawan, membuat keputusan berkaitan pelaburan dan menyediakan peruntukkan modal untuk operasi.

 

Salah satu subjek yang perlu diambil oleh pelajar jurusan finance adalah subjek corporate finance.

 

Jika anda baca buku teks ini dari mula sampai habis, sepatutnya anda fahamlah apa dia bidang tugas dalam bidang ini.

 

(6) Pegawai Bank

Atau biasa disebut dengan istilah banker.

 

Seorang pegawai bank akan berurusan dengan individu dan juga syarikat yang memerlukan bantuan dari segi kewangan.

 

Pegawai bank akan membuat penilaian terhadap kelayakkan kredit, menawarkan pinjaman, talian kredit (credit line) dan menyediakan penyelesaian pengurusan tunai.

 

(7) Credit Analyst

Credit analyst akan membuat penilaian terhadap kelayakkan kredit seseorang ataupun sesebuah perniagaan sekiranya mereka ingin membuat pinjaman.

 

Tanggungjawab mereka ini adalah untuk menilai risiko, menentukan syarat pinjaman, dan membuat cadangan sama ada untuk meluluskan atau menolak permohonan pinjaman.

 

(8) Real Estate Analyst

Penganalisis hartanah akan menilai peluang dan potensi pelaburan yang boleh diperolehi dalam hartanah, sama ada hartanah kediaman dan komersial.

Mereka akan membuat analisis terhadap arah pergerakkan pasaran dan faktor yang boleh menaikkan nilai hartanah dikawasan tersebut.

 

Berdasarkan kepada analisa yang dijalankan, mereka akan membuat cadangan yang bersesuaian.

 

(9) Insurance Underwriter

Individu yang mempunyai latar belakang kewangan juga boleh mengintai peluang untuk membina kerjaya dalam syarikat insurans atau takaful.

 

Dekat Malaysia ada banyak bank.

Pada masa yang sama, syarikat insurans dan takaful juga ada banyak!

 

Salah satu jawatan yang boleh dipertimbangkan adalah sebagai underwriter. Seorang underwriter akan membuat penilaian terhadap permohonan insurans bagi individu dan akan menentukan terma perlindungan dan juga harga premium.

 

Mereka bertanggungjawab untuk membuat penilaian terhadap faktor risiko individu pemohon dan akan menetapkan bayaran premium yang berpadanan dengan risiko yang dibawa bersamanya.

 

(10) Actuary

Dikenali juga dengan istilah aktuari dalam bahasa Melayu.

 

Seorang aktuari adalah merupakan individu yang menilai risiko berkaitan dengan industri insurans, takaful dan juga berkaitan dengan dana persaraan.

 

Mereka menggunakan statistik dan model matematik bagi mengenalpasti kadar harga premium, nilai perlindungan dan juga strategi dalam menguruskan risiko yang terlibat.

 

(11) Financial Compliance Officer

Compliane officer atau pegawai pematuhan bertanggungjawab dalam memastikan organisasi sentiasa mengikuti peraturan dan undang-undang berkaitan dengan kewangan.

 

Jika syarikat dimana anda bekerja adalah merupakan syarikat induk yang mempunyai banyak franchise, anda juga berperanan untuk memastikan setiap franchise mematuhi prosedur, peraturan dan undang-undang yang berkaitan supaya tidak timbul sebarang masalah dikemudian hari.

 

(12) Wartawan Segmen Kewangan

Sesetengah stesen televisyen mempunyai segmen perniagaan dan berita-berita berkaitan dengan pasaran kewangan.

 

Individu yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kewangan yang meminati bidang kewartawanan mungkin boleh pertimbangkan untuk menyertai stesen TV.

 

Sebagai wartawan, fokus anda adalah membuat laporan berita tentang analisis kewangan dan berita berkaitan dengan dunia pelaburan serta perniagaan.

 

(13) Polis

Ambil jurusan kewangan, lepas tu jadi polis, sesuai ke?

 

Pihak polis juga ada jabatan yang peranannya untuk menyiasat jenayah berkaitan dengan kewangan.

 

Diluar sana terdapat kegiatan jenayah yang berkaitan dengan kewangan seperti penipuan, penggubahan wang haram dan juga penyelewengan. Bagi membantu pihak polis membuat siasatan dengan terperinci, kemahiran dan pengetahuan berkaitan dengan kewangan adalah sangat penting.

 

Mereka membantu menganalisis rekod kewangan, menjejaki transaksi haram, dan memberikan keterangan selaku seorang yang ada kepakaran di mahkamah.

 

(14) Pensyarah

Bagi mereka yang mempunyai minat untuk menjadi tenaga pengajar, mungkin boleh teruskan untuk bina kerjaya sebagai pensyarah.

 

Selepas anda berjaya dapatkan ijazah sarjana muda dalam jurusan kewangan, anda boleh sambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada master atau sehingga ke PhD.

 

(15) Personal Finance Blogger/Youtuber/Tiktoker/Influencer

Sama ada anda bakal menggunakan platform

i. Blog

ii. Youtube

iii. Tiktok

iv. Akaun media sosial

 

Atau kombinasi bagi beberapa buah platfrom sekaligus, semuanya ini terpulang kepada anda.

 

Apa yang penting adalah cara anda menghasilkan konten dan mesej yang anda ingin sampaikan itu boleh sampai kepada golongan yang anda sasarkan.

 

Pada asasnya, kita ingin berikan kesedaran dan pendidikan berkaitan dengan aspek pengurusan kewangan yang berhemah kepada golongan yang kita sasarkan.

 

Persoalannya, dari mana datangnya sumber pendapatan kita, kalau kita fokus kepada kaedah ini.

 

Jangan risau, sebabnya jika anda lakukan dengan betul, ada beberapa cara yang boleh anda gunakan bagi memperolehi pendapatan.

 

Saya senaraikan beberapa cara untuk anda.

 

(1) Program pengiklanan

Platform seperti blog, Youtube dan akaun media sosial sebenarnya memang ada membuka ruang untuk para pencipta kandungan untuk menghasilkan pendapatan melalui konten yang disiarkan.

 

Sebagai contoh, untuk pemilik platform blog, anda boleh buat duit melalui program pengiklanan Google Adsense.

Jika anda menggunakan platform perkongsian video seperti Youtube, disana juga terdapat program pengiklanan yang anda boleh sertai.

 

Selain itu, untuk pengguna media sosial twitter atau X, diplatform tersebut juga ada program pengiklanan yang anda boleh sertai.

 

(2) Program Affiliate

Selain dari menjana pendapatan melalui kerja-kerja penyiaran iklan, anda juga boleh buat duit melalui program affiliate.

 

Sebenarnya diluar sana terdapat banyak juga program affiliate dalam niche kewangan.

 

Dibawah ini adalah antara senarai yang anda boleh promosikan jika menyertai program affiliate anjuran syarikat Involve Asia.

Kadar komisen adalah berbeza-beza mengikut produk kewangan yang berjaya anda jual.

 

Produk-produk kewangan ini juga ditawarkan oleh syarikat dan institusi kewangan yang mempunyai reputasi yang terkenal, jadi anda tak perlu risau untuk promosikan.

 

Ada yang berikan komisen sehingga RM105, RM70, RM56, RM21 dan sebagainya.

 

Selain dari program affiliate yang dianjurkan oleh pihak Involve Asia, anda juga boleh sertai Program Affiliate FWD Takaful Berhad.

FWD Takaful Berhad ini menawarkan polisi takaful keluarga.

Anda boleh ke pautan ini untuk daftar sebagai ejen secara percuma.

 

Kalau anda adalah seorang penasihat kewangan, anda juga boleh menggunakan pendekatan pemasaran sebagai seorang blogger, youtuber dan sebagainya.

 

(16) Usahawan

Bila anda mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kewangan, tak semestinya anda mesti nak kerja dengan orang.

 

Malahan, kalau anda mempunyai jiwa seorang usahawan, anda boleh memilih jalan sebagai seorang pemilik perniagaan.

 

Secara peribadi, saya kurang setuju jika anda ingin terus jadi usahawan.

 

Saya lebih syorkan anda untuk bekerja dengan majikan dan dapatkan dulu pengalaman, mungkin untuk tempoh 5 – 10 tahun, kemudian barulah memulakan perniagaan anda sendiri.

 

Setidak-tidaknya nanti kalau perniagaan yang anda usahakan itu, tak berjaya, anda boleh kembali ke dunia pekerjaan dan bekerja dengan majikan semula.

 

Penutup

Apa yang kita bincangkan disini adalah sebahagian daripada laluan kerjaya yang boleh difokuskan oleh para pelajar yang mengambil jurusan kewangan (finance).

 

Tapi senaraian ini hanyalah sebagai rujukan untuk memberikan anda idea, kerjaya yang bagaimana yang anda ingin fokuskan nanti.

 

Walaubagaimanapun, untuk pelajar jurusan kewangan ini, bukanlah sesuatu yang pelik jika anda lari dari bidang yang anda belajar. Mungkin satu hari nanti, anda dapati yang anda lebih selesa untuk berada dalam bidang pemasaran, pengurusan khidmat pelanggan dan sebagainya.

 

Kalau anda perasan, ada banyak kerjaya yang memerlukan anda untuk menjadi seorang yang analitikal dan membuat analisis, sama ada analisis terhadap pasaran, pelaburan, hartanah, kedudukan kewangan syarikat, dan sebagainya.

 

Bagi sesetengah orang, kerja-kerja seumpama ini mungkin sedikit membosankan, kerana kita perlu bekerja dengan nombor.

Adakalanya, untuk syarikat yang bersaiz agak kecil dan sederhana, fungsi dan peranan oleh individu yang bertanggungjawab dalam menguruskan bab kewangan itu menjadi lebih luas, dan segala aspek berkaitan dengan keputusan kewangan adalah dibawah tanggungjawab orang yang sama.

 

Bercakap dari sudut laluan kerjaya ini, saya berpendapat sebenarnya setiap orang ada laluan yang berbeza-beza walaupun mengambil jurusan yang sama.

 

Akhirnya, untuk memilih kerjaya yang tepat dengan diri seseorang, semuanya berkait dengan minat, skil, sasaran kerjaya dan kualiti hidup yang ingin dilalui.

 

Walaupun sesuatu peluang kerja itu menawarkan kadar gaji yang lumayan, namun jika ianya tak memberikan anda job satisfaction atau anda kurang gembira dengan kehidupan anda, ia juga bukanlah sesuatu yang baik.

 

 

Exit mobile version