Blog Sabree Hussin

Kaya Sebagai Fotografi Perkahwinan

Salah satu skil yang saya cuba kuasai untuk tahun 2018 ni ialah, skil ambil gambar.

 

Walaubagaimanapun, saya memang tak ada masa nak belajar skil ini secara formal. Maksud saya pergi ke kelas fotografi, pergi kursus, seminar ataupun yang seangkatan dengannya.

 

Tapi kalau setakat belajar dari buku dan tonton video di Youtube tu, In Shaa Allah boleh. Biasanya kalau nak bukak buku, atau nak tonton video tentang fotografi ni pun, dalam setengah jam sebelum tidur. Itupun bukannya tiap-tiap hari dapat buat.

 

Dalam banyak-banyak buku yang berkaitan dengan bidang fotografi ni, saya terjumpa sebuah buku berjudul Kaya Sebagai Fotografi Perkahwinan dan buku ini ditulis oleh Shah Othman.

 

Sebenarnya saya cuma nak belajar tentang teknik-teknik ambil gambar, cara-cara menggunakan kamera digital dan dslr itu sahaja.

 

Kemudian saya jumpa beberapa buku yang mengulas tentang aspek membina kerjaya dan menjana pendapatan dalam bidang fotografi ni.

 

Apa salahnya belajar serba sedikit, macam mana nak buat duit dalam bidang ni kan.

 

Walaupun sebenarnya, saya tak bercadang pun nak jadi jurufoto untuk majlis perkahwinan. Oleh kerana buku ini termasuk dalam topik pengurusan perniagaan, jadi saya rasa, sudah tentu akan ada beberapa perkara yang saya boleh belajar dari buku ini.

 

Ternyata, keputusan untuk saya baca buku ini memang tidak silap. Nak tahu kenapa?

 

Buku Kaya Sebagai Fotografi Perkahwinan ini mengandungi 120 mukasurat dan memuatkan 6 bab keseluruhannya.

 

Ini dia isi kandungan buku ini.

 

BAB SATU

Apa itu fotografi?
Keperluan untuk kaya
Perlunya keghairahan dalam fotografi
Menyediakan peralatan
Apa yang menjadikan jurufoto perkahwinan hebat?

 

BAB DUA

Membina perniagaan
Pendaftaran perniagaan
Promosi perniagaan

 

BAB TIGA

Pemasaran dan jualan
Pemasaran berkesan
Memahami pelanggan
Mencari kekuatan diri
Meletakkan diri anda dalam pasaran untuk keuntungan

 

BAB EMPAT

Apa yang pelanggan mahu?
Imej diri sebagai penarik pelanggan
Networking dalam perniagaan
Lima kesilapan dalam pemasaran
Testimonial pelanggan
Efisien
Menghasilkan tarikan emosi daripada pelanggan
Bagaimana mengekalkan kedudukan dalam pasaran?

 

BAB LIMA

Penetapan harga
Kesilapan dalam penentuan harga
Harga yang efektif
Menghadapi persaingan harga

 

BAB ENAM

Rahsia mengekalkan kewangan
Menabung
Bersedekah
Berdoa

 

PENUTUP
BIBLIOGRAFI
BIODATA

 

Buku ini memang cukup sesuai dibaca oleh usahawan dan bakal usahawan yang berkecimpung dalam bidang fotografi. Tak kiralah sama ada, anda menjalankan perniagaan secara sepenuh masa, ataupun secara part time.

 

Saya yang tak terlibat dalam perniagaan fotografi perkahwinan ni pun, boleh dapat manfaat daripada pembacaan buku ini, inikan pula mereka yang memang nak serius dalam bidang ini. Dah tentu ada banyak benda baru yang anda boleh pelajari dari pembacaan buku ini.

 

Saya ni sebenarnya lebih suka ambil gambar pemandangan.

Gambar-gambar yang saya ambil tu pula, saya muatkan dalam blog saya yang lagi satu. Dalam blog tersebut, saya akan catatkan perihal travelog saya.

 

Menerusi blog tersebut juga, saya akan bantu promosikan bisnes homestay ataupun guesthouse milik para pelanggan yang mendapatkan khidmat artikel review dari saya. Ini antara homestay yang saya promosikan di blog saya.

 

Kita kembali kepada buku ini.

 

Ada beberapa topik yang dimuatkan dalam buku ini, yang saya rasakan ianya agak menarik. Saya sebutkan beberapa topik yang saya rasa menarik.

 

Dalam bab satu, topik tentang “Apa yang menjadikan jurufoto perkahwinan hebat?”.

Seorang jurufoto perkahwinan, memainkan peranan yang sangat penting dalam merakam momen-momen dan memori indah semasa majlis perkahwinan. Dengan skil yang dimiliki, foto yang dihasilkan akan nampak sangat hebat dan seolah-olah mempunyai penceritaan dalam gambar (storytelling).

 

Ini sangat berbeza dengan jurugambar amatur, yang mengambil gambar secara rawak (random). Apabila gambar disusun, langsung tak nampak apa kesinambungan dan penceritaan yang ingin disampaikan dalam gambar-gambar tersebut.

 

Menjadi seorang jurufoto perkahwinan, bukan sekadar perlu tahu masa bila nak tekan shutter, pada masa yang sama, untuk hasilkan karya yang baik, ia perlu ada satu elemen penceritaan dalam gambar tersebut.

“… a picture paints a thousand words”

 

Dalam bab 3, penulis lebih banyak bercerita tentang aspek pemasaran. Bidang fotografi ini, memang banyak persaingan.

 

Saya kira, ini adalah sesuatu yang memang lumrah. Jika ia boleh menghasilkan pendapatan, sudah tentu ia akan menarik orang ramai untuk masuk dalam bidang tersebut. Kejayaan ataupun kegagalan anda dalam bidang ini, sedikit sebanyak dipengaruhi oleh keberkesanan aktiviti pemasaran yang anda jalankan.

 

Jika anda menceburi bidang ini sekadar untuk suka-suka, dan anda hanya bekerja bila rasa macam nak bekerja, mungkin aspek pemasaran ini tak begitu penting untuk anda. Sebaliknya, bagi mereka yang ingin jadikan bidang ini sebagai kerjaya, memang WAJIB jalankan aktiviti pemasaran secara berterusan.

 

Jika anda bukan seorang yang rajin untuk buat iklan sepanjang masa, bolehlah pertimbangkan untuk pasang iklan google adwords.

 

Dalam bab 4, penulis ada sentuh mengenai topik “apa yang pelanggan mahu?”

Sebagai pelanggan, apa sebenarnya yang mereka mahukan? Adakah mereka ni

  1. Sekadar mahukan pakej fotografi paling murah yang anda boleh tawarkan?
  2. Adakah mereka perlukan khidmat jurufoto profesional?
  3. Adakah mereka perlukan lebih daripada sekadar foto album?
  4. Mungkin mereka juga mahu abadikan kenangan dalam bentuk video?
  5. Atau adakah mereka mahukan hasil kerja yang lain daripada yang lain

 

Kenali pelanggan anda. Itulah mesej penting yang cuba disampaikan dalam bab ini.

 

Jika anda baca sampai ke bab lima, ada disentuh pula topik mengenai penetapan harga. Berapakah harga yang munasabah untuk kita kenakan kepada bakal pelanggan kita?

 

Kalau anda tak ada pengalaman dalam bidang ini, mungkin anda akan rasa susah nak letakkan harga. Macam-macam perkara akan bermain dalam fikiran.

Adakah harga ini terlalu mahal? Atau adakah harga yang ditawarkan terlalu rendah sampai anda tak untung langsung?

 

Saya ambil maklumat ini dari laman web Binses Fotografi. Menurut mereka, harga pasaran untuk caj fotografi adalah seperti berikut

 

Selain membaca buku Kaya Sebagai Fotografi Perkahwinan, elok juga anda luaskan pembacaan ebook berjudul Panduan Memulakan Bisnes Fotografi yang boleh dimuat turun menerusi pautan ini.

 

Dalam apa jua bidang, pasti anda akan temui perang harga. Para usahawan sebahagiannya berfikiran agak pelik, sebabnya mereka seolah-olah berlumba-lumba menawarkan harga paling murah untuk perkhidmatan yang mereka tawarkan.

 

Situasi ini, sudah tentu akan merosakkan pasaran dalam industri fotografi. Bagi pelanggan yang membuat keputusan pembelian, 100% hanya dengan melihat faktor harga, pasti akan rasa harga yang murah itu adalah baik untuk diri mereka.

 

Sebenarnya keputusan memilih harga yang paling murah boleh jadi salah. Anda akan dapat apa yang anda bayar. Kalau anda minta sesuatu yang murah, anda mungkin terpaksa terima hasil kerja yang kurang kualiti ataupun hasil kerja daripada jurugambar amatur.

 

Sebaliknya, jika anda memilih sesuatu yang ada kualiti, jangan terlalu berkira soal harga mahal atau murah.

 

Buku ini, boleh diperolehi secara online, menerusi laman web berikut

(1) MPHOnline.com

(2) Mustread.com.my

 

Harganya pun tak begitu mahal. Dapatkanlah buku ini sementara ianya masih dijual. Semoga melalui pembacaan buku ini, anda akan lebih berjaya dalam bisnes fotografi.

 

 

Exit mobile version