INI BUKAN KLISE – HIMPUNAN ANALISA TERPILIH SEORANG AKTIVIS.
Bila saya terpandang buku ini, saya rasa macam ada sesuatu yang menarik yang bakal saya baca dari buku ini. Lalu saya ambil buku ini dan baca sinopsis yang dimuatkan di bahagian belakang buku.
Ini bukan Klise. Himpunan Analisis Terpilih Seorang Aktivis memuatkan rencana penulisan Amin Iskandar yang menampilkan pandangan, kritikan dan cadangan beliau mengenai wajah dan lanskap politik negara ini.
Antara isu-isu yang disentuh adalah tentang politik Malaysia, sistem pilihan raya, hala tuju generasi muda, orang Melayu dan agama.
Pandangan yang dipaparkan bukan sahaja langsung dari sudut hati penulis sendiri, tetapi juga dari pengalaman peribadi penulis sebagai seorang aktivis pada masa itu.
Seringkali tulisan Amin Iskandar menimbulkan kontroversi tetapi bagi beliau, kebenaran harus ditegakkan. Dengan harapan sedikit sebanyak pembaca mendapat manfaat daripada tulisan beliau.
Memandangkan saya tak berapa follow kedua-dua akhbar tersebut, maka kebanyakkan artikel yang saya baca dalam buku ini, semuanya adalah pengalaman kali yang pertama.
Saya rasa buku ni menarik, sebabnya ia menyentuh isu-isu semasa, isu yang pernah berlaku, ada cerita pasal sejarah sedikit, ada juga sentuh isu-isu sensitif yang secara berkala akan dibangkitkan dari masa ke masa oleh golongan tertentu bagi mengekalkan penguasaan dalam bidang politik tanah air.
Ini pula adalah apa yang terkandung dalam buku ini.
ISU SEMASA DAN POLITIK MALAYSIA
1. 1 Malaysia Menuju Kehancuran
2. Ada apa dengan Melayu masuk DAP?
3. Anwar Bebas: Sejauh mana imej BN pulih?
4. Apabila politik diletakkan melebihi kepentingan negara
5. Apakah revolusi dalam BN boleh berlaku?
6. Dilemma Najib
7. Kemuncak konflik Mahathir – Anwar
8. Mampukah PR ke Putrajaya
9. MCA: Kapal yang hampir karam
10. Politik Katak
TRANSFORMASI PILIHAN RAYA DI MALAYSIA
11. Bersih gagal tarik korporat
12. “Cooling off period”
13. Media dan pilihanraya
14. Transformasi pilihanraya
15. Undi rosak: Undi protes?
GELOMBANG KUASA RAKYAT – MENUJU DEMOKRASI
16. Apabila rakyat mula sedar kekuatan mereka
17. Debat budaya demokrasi
18. Kesinambungan 3 fasa Bersih
19. Masa tanding, 1 kerusi sahaja
20. Orang reformasi tak boleh tipu Rakyat
21. Protes kreatif era reformasi
HALA TUJU GENERASI MUDA
22. AUKU juga senjata PR
23. K-Pop, Drifter dan Azhar Idrus
24. Penyalahgunaan istilah yang berleluasa dalam Bahasa Melayu
25. PPSMI: Berpijaklah di alam nyata
26. Satu sekolah: Pemangkin perpaduan Nasional
KEBUDAYAAN DAN SOSIAL
27. 1 Malaysia: Diantara realiti dan fantasi
28. Al-Fatihah buat Penjara Pudu
29. Berjuang di London
30. Burhanuddin Helmy: PM yang tak pernah dimiliki
31. Kebebasan bersuara, Internet dan fitnah
32. Memali: Sejarah berdarah dan ISA
33. Perjuangan kebebasan The Beatles
34. Sejarah Merdeka wajib ditulis semula
ORANG MELAYU DAN AGAMA
35. Amalan rasuah “dihalalkan”
36. Fatwa Bersih: Apabila agama diperkudakan
37. Haji dan Hajah dengan isu perkauman
38. Di antara Zionisme dan Ketuanan Melayu
39. Melayu bersatu?
40. Transformasi kebudayaan arab di kalangan Melayu
WAJAH POLITIK ANTARABANGSA
41. Bawah BN atau PR: Malaysia tetap bersama Amerika Syarikat
42. Dari Peluru ke kertas Undi
43. Filem hina Muhammad dan kemarahan umat Islam seluruh dunia
44. Kebangkitan Gwangju 18 Mei: Satu pengajaran
45. Sondang: Ikon baru Indonesia
Kalau diikutkan, semua topik memang ada keunikkannya yang tersendiri. Lebih-lebih lagi bila dikupas dengan cara yang agak berbeza berbanding yang dapat kita baca di media arus perdana.
Media dan pilihanraya. Saya berpendapat, tak lama lagi kita akan melalui satu lagi proses pilihanraya. Pada waktu ini, semua media akan turut digunakan sebagai platform untuk menjalankan kempen pilihanraya. Sama ada untuk mengangkat calon tertentu ataupun ianya akan digunakan bagi menghentam seseorang calon yang bertanding.
Sekiranya sesebuah stesen TV adalah dimiliki oleh syarikat swasta, maka tak menjadi satu isu jika stesen TV tersebut turut berkempen untuk memenangkan sesebuah parti politik sahaja. Contohnya, TV3 turut berkempen untuk membantu calon BN menang kerusi, tetapi langsung tak menyiarkan info tentang calon daripada parti pembangkang. Memandangkan TV3 itu sendiri adalah syarikat TV swasta, maka ianya tidak menjadi satu isu.
Apa yang dipersoalkan ialah apabila stesen TV nasional seperti RTM yang turut digunakan oleh parti pemerintah untuk tujuan kempen. Dalam pada masa yang sama, RTM langsung tidak menyiarkan atau membuat sebarang liputan mengenai parti pembangkang, sedangkan RTM sebagai milik kerajaan seharusnya memberikan liputan yang adil kepada kesemua parti yang bertanding. Sudah tentu ini tidak berlaku di Malaysia.
PPSMI: Berpijaklah di alam nyata. PPSMI dilaksanakan pada tahun 2003 iaitu ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi Perdana Menteri Malaysia. Pada waktu tersebut saya masih lagi bersekolah di tingkatan 3 dan tahun tersebut adalah tahun saya bakal menduduki peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah).
Walaubagaimanapun, saya terselamat daripada perlu belajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, sebabnya apa yang saya difahamkan, hanya para pelajar yang masuk tingkatan 1 pada tahun tersebut sahaja yang akan mula belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Sebenarnya apa tujuan belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris? Betul ke untuk tujuan memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris ataupun sebenarnya ada agenda lain yang lebih dikejar berbanding penguasaan terhadap bahasa ini? Wallahua’lam. Apapun, saya difahamkan (menerusi buku Ini Bukan Klise) kos dan perbelanjaan untuk melaksanakan PPSMI menelan belanja yang sangat besar sehingga berbelas-belas billion ringgit.
Al-Fatihah buat Penjara Pudu. Saya sempat mengunjungi Penjara Pudu semasa saya masih kecil dulu. Waktu tu, Penjara Pudu dibuka kepada orang ramai dan ia dijadikan sebagai muzium. Sempat juga dengar simulasi bagaimana proses hukuman gantung dijalankan terutama sekali kepada pesalah berat yang melibatkan kes dadah. Kemudian tak lama lepas tu, Penjara Pudu ditutup atas sebab yang saya tak tau kenapa dan kini penjara pudu dirobohkan terus dan bakal dibangunkan bangunan untuk tujuan komersil. Hilanglah warisan sejarah.
Memali: Sejarah berdarah dan ISA. Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985 di Kampung Memali yang terletak di bawah Mukim Siong, Baling, Kedah. Ia berlaku ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Untuk generasi muda, mungkin ada yang tak pernah dengar tentang peristiwa Memali ini. Ini merupakan satu sejarah penentangan atau dalam bahasa Amin Iskandar “Simbol Perlawanan terhadap ISA”.
Tahanan ISA ditangkap dan ditahan tanpa dibicarakan. Jelas ini merupakan satu undang-undang yang kejam, zalim dan tak berperikemanusiaan.
Burhanuddin Helmy: PM yang tak pernah dimiliki. Sebelum UMNO, telah wujud parti Orang Melayu yang berjuang bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Dalam buku sejarah tingkatan 5 (pada waktu saya belajar sejarah dulu) turut dimuatkan sejarah ini. Namun ia kurang diberi penekanan seolah-olah ia bukanlah satu peristiwa besar dalam proses menuntut kemerdekaan negara.
Video kat bawah ni adalah satu video yang bagus untuk anda tonton yang berkisarkan tentang peristiwa yang berlaku 10 Tahun sebelum merdeka.
Ambil masa dan tonton video dokumentari ini. Ia pasti dapat mengubah perspektif dan pandangan anda mengenai kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ni. Sekiranya gerakan menuntut kemerdekaan ini berjaya satu ketika dahulu, boleh jadi sekarang kita tak akan lihat wujudnya pembahagian masyarakat mengikut kaum dan etnik seperti yang berlaku sekarang ini.
Tiada istilah kaum melayu, kaum cina, kaum india dan sebagainya. Jika gerakan tersebut berjaya memperoleh kemerdekaan, apa yang ada ialah Bangsa Melayu sahaja. Tonton video tersebut untuk anda ketahui apa yang dimaksudkan ya.
Baiklah, apa pun saya syorkan kalau anda ada masa, boleh baca sendiri buku ini. Buku ni boleh dibeli secara online menerusi laman web Gerak Budaya.
Kat laman web Bookcafe ni pun ada jual jugak. Anda boleh klik sini. Tapi yang ini adalah volume kedua. Saya pun tak baca lagi.