Blog Sabree Hussin

Imam Maliki Pengarang Kebenaran

Perjalanan untuk mengenali dengan lebih dekat perihal dan peribadi imam Mazhab diteruskan dengan membaca satu lagi karya Abdul Latib Talib yang berjudul Imam Maliki Pengarang Kebenaran. Imam Malik dikatakan sebagai pengarang kebenaran. Mungkin ada pembaca yang nak tahu, kenapa penulis buku ini menggunakan istilah “Pengarang Kebenaran”, betul tak?

 

Dalam perkongsian pada kali ini, saya nak ceritakan serba sedikit mengenai buku yang saya baru baca ni. Ini cover buku ini, kalau-kalau anda berminat nak cari buku ini. Boleh beli secara online sahaja, atau boleh juga dapatkan dikedai-kedai buku berhampiran.

Buku ini juga ada dijual di Tesco. Saya tak pasti sama ada semua Tesco ada jual buku ini atau tidak, tetapi Tesco Cheras yang biasa saya pergi memang ada jual buku ini. Apa pun, untuk memudahkan anda mendapatkan buku ini, boleh buat pesanan secara online sama ada dengan membeli di pautan ini ataupun boleh juga beli di sini.

 

Imam Malik atau nama sebenarnya Abu Abdullah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir bin Amr bin Haris bin Gaiman bin Kutail bin Amr bin Haris al-Asbahi lahir di Madinah pada tahun 95H/712M. Beliau lahir 15 tahun selepas kelahiran Imam Abu Hanifah.

 

Imam Malik merupakan pengasas kepada Mazhab Maliki. Keturunan beliau berasal dari Yaman, dan moyangnya berpindah ke Madinah lalu menganut ajaran Islam pada zaman Rasulullah SAW.

 

Diceritakan bahawa Imam Malik ini dianugerahkan umur yang panjang. Beliau sempat hidup dibawah pemerintahan sembilan orang khalifah  Bani Umayyah dan lima Khalifah Bani Abbasiyyah. Bermula dari zaman pemerintahan Khalifah al-Walid bin Abdul Malik (95 hijrah) sampai ke zaman Khalifah Harun al-Rasyid (179 hijrah). Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Ahad, 14 Rabiul Awal tahun 179 hijrah ketika berusia 86 tahun.

 

 

Dalam umurnya yang panjang, beliau sempat menulis sebuah kitab yang diberi nama kitab Al-Muwattak. Kitab Al-Muwattak ini dikarang selama 40 tahun. Imam Malik sangat mencintakan kebenaran dan beliau juga sentiasa memperjuangkannya. Kitabnya ini menjelaskan mengapa beliau dianggap sebagai pengarang kebenaran.

 

Berikut pula adalah bab yang dimasukkan dalam buku Imam Maliki Pengarang Kebenaran ini. Antaranya

Bab 1 Kelahiran seorang Ulama
Bab 2 Mahu menjadi terkenal
Bab 3 Dalam kepayahan ada kesenangan
Bab 4 Membuka kelas pengajian
Bab 5 Menjadi orang terkenal
Bab 6 Balat As-Syuhada
Bab 7 Qadariyah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah
Bab 8 Khalifah dengan Ahli Sihir
Bab 9 Istana Musim Sejuk
Bab 10 Pemberontakkan
Bab 11 Insaf dan bertaubat
Bab 12 Tumbangnya Bani Umaiyah
Bab 13 Khalifah Abu Jaafar al-Mansur
Bab 14 Mereka yang simpati
Bab 15 Hadiah daripada Khalifah
Bab 16 Imam Malik difitnah
Bab 17 Imam Malik dihukum sebat
Bab 18 Tetamu tengah malam
Bab 19 Pertemuan di Mina
Bab 20 Kitab al-Muwattak
Bab 21 Bertemu Imam Syafie
Bab 22 Merantau ke Iraq
Bab 23 Surat-surat lama
Bab 24 Pertemuan terakhir

 

 

Bab 2 Mahu menjadi terkenal. Semasa kecil, Imam Malik pernah menyimpan hasrat untuk menjadi seorang penyanyi. Beliau pernah menyaksikan persembahan nyanyian di Madinah dan tertarik untuk menjadi seorang penyanyi kerana kerjaya tersebut membolehkan dirinya menjadi seorang yang hidup senang dan memperoleh banyak hadiah dari khalifah. Walaubagaimanapun, hasrat tersebut tidak disenangi oleh ibunya yang mahukan Imam Malik menjadi seorang ulama.

 

Bab 4 Membuka kelas pengajian. Imam Malik membuka kelas pengajian hanya selepas beliau telahpun berguru dengan semua ulama yang terdapat di Madinah. Beliau benar-benar yakin untuk membuka kelas pengajian hanya setelah ilmunya diperakui oleh 70 orang alim ulama di Kota Madinah. Imam Malik sentiasa mengenakan pakaian yang cantik dan memakai wangian ketika mengajar.

 

Apabila ditanya apakah tujuan beliau memakan pakaian yang cantik dan mengenakan wangian adalah bagi menarik perhatian orang ramai untuk mengikuti kelas pengajian yang dijalankan, beliau menjawab

“Saya memakai pakaian cantik serta memakai minyak wangi kerana menghormati hadis Rasulullah SAW yang akan saya bacakan di tempat pengajian nanti.” 

 

Imam Malik juga tidak menghebahkan tentang kelas pengajian yang bakal diadakan, kerana kata beliau 

“Saya tidak mahu mereka yang sedang belajar dengan guru-guru saya meninggalkan kelas pengajian mereka supaya datang kepada saya. Jadi saya memilih untuk membacakan hadis berhampiran dengan makam Rasulullah SAW.”

 

Pada suatu hari gabenor Madinah pernah bertanyakan soalan kepada Imam Malik, mengapa beliau memilih untuk membacakan hadis dan membuka kelas pengajian berhampiran dengan makam Rasulullah SAW. Adakah beliau ingin menarik perhatian para pengunjung makam nabi untuk menghadiri kelas pengajian yang diadakan oleh dirinya? Imam Malik menjawab

“Saya memilih tempat ini kerana disinilah Rasulullah SAW mengajar ilmu kepada para pengikutnya. Tempat ini juga sering digunakan Khalifah Abu Bakar dan Umar al-Khattab apabila mengadakan majlis ilmu. Saya mahu mengambil keberkatan dari mereka.”

 

Bab 6 Balat As-Syuhada. Peperangan ini juga dikenali sebagai Battle of Tours. Pertempuran ini terjadi antara tentera Islam dengan tentera Perancis di sebuah bandar bernama Tours. Kalau nak diceritakan tentang peperangan ini agak panjang juga. Laman web Wikipedia juga ada menulis tentang peperangan ini. Anda boleh baca di pautan ini.

 

Bab 13 Khalifah Abu Jaafar al-Mansur. Dalam buku ini juga ada disentuh serba sedikit perihal mengenai Khalifah Abu Jaafar al-Mansur. Jika anda baca buku Imam Hanafi Pendebat Kebenaran, anda akan tahu bahawa khalifah ini adalah orang yang bertanggungjawab meracun Imam Hanafi semasa dalam tahanan sehingga mengorbankan nyawa ulama tersebut.

 

Bab 20 Kitab al-Muwattak. Kitab al-Muwattak disusun apabila Khalifah Abu Jaafar al-Mansur bertemu dengan Imam Malik di Mina. Walaupun khalifah dikatakan sebagai seorang yang kejam dan sanggup buat apa sahaja untuk menguatkan penguasaan beliau, namun sumbangan beliau terhadap ilmu pengetahuan amatlah besar. Anda boleh baca buku ini untuk mengetahui apa lagi bentuk-bentuk sumbangan khalifah Abu Jaafar.

 

Kitab al-Muwattak ialah kitab fikah yang menghimpunkan hadis-hadis pilihan.  Ia menjadi rujukan penting khususnya bagi mazhab Maliki. Kitab ini disusun berpandukan al-Quran, hadis dan fatwa para sahabat Rasulullah SAW.

 

Penulisan kitab ini dimulakan oleh Imam Malik selepas pertemuannya dengan khalifah Abu Jaafar al-Mansur di Mina pada musim haji. Imam Malik ditawarkan jawatan sebagai kadi dan diminta untuk berpindah ke Baghdad pada hari tersebut, namun beliau menolak permintaan tersebut. Walaubagaimanapun, Imam Malik bersetuju untuk membukukan dan mengumpulkan ilmunya ke dalam sebuah kitab supaya dapat dijadikan rujukan generasi akan datang.

 

Imam Malik menghabiskan usianya selama 40 tahun mengumpul serta menyaring hadis-hadis yang diterima daripada guru-gurunya. Beliau menghafal 100 ribu hadis. Daripada 100 ribu hadis itu, apabila diteliti cuma 10 ribu hadis yang diakui sah. Daripada 10 ribu itu pula cuma 5 ribu sahaja hadis yang benar-benar diterimanya sebagai hadis Rasulullah SAW. Daripada 5 ribu hadis itu disaring lagi. Akhirnya cuma 1,720 buah sahaja dimuatkan dalam kitab al-Muwattak.

 

 

Buku Imam Maliki Pengarang Kebenaran ini diterbitkan pada tahun 2010 oleh PTS Publication. Kalau nak diikutkan sebenarnya ada banyak lagi perkara-perkara yang menarik tentang sejarah Imam Malik yang dimuatkan dalam buku ini. Saya tak dapat nak tulis semua sekali, sebabnya ia mungkin akan buatkan perkongsian ini jadi sangat panjang pula.

 

Sebaik-baiknya, anda baca sendiri buku ini dan saya percaya ia pasti memberikan satu pengalaman yang lebih menyeronokkan. Lebih-lebih lagi kalau anda sememangnya seorang yang suka membaca dan gemarkan genre sejarah Islam.

 

Selamat membaca dan semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda. Anda boleh menempah buku Imam Maliki Pengarang Kebenaran ini sama ada di laman web ini ataupun boleh juga buat tempahan disini.

 

Saya berikan anda dua link sekaligus supaya anda boleh buat perbandingan, laman web mana satu yang menawarkan harga yang paling menjimatkan dan menguntungkan buat anda. Selamat membaca dan menambahkan ilmu pengetahun ya.

 

 

 

 

Exit mobile version