Saya meneliti senarai buku yang terdapat di rak buku Perpustakaan Negara Malaysia. Ada macam-macam tajuk yang menarik. Kemudian saya terpandang sebuah buku karya Abdul Latip Talib berjudul Imam Hanafi Pendebat Kebenaran.
Kenapa Imam Hanafi dikatakan sebagai seorang pendebat? Tak boleh jadi ni. Kena baca buku ni. Rasanya dah sampai masa untuk saya ambik tahu dengan lebih mendalam lagi perihal tentang Imam Mazhab. Tinggalkan sejenak buku-buku dalam bidang pemasaran, perniagaan, motivasi dan sebagainya. Kali ini, nak baca tentang topik sejarah Islam pula.
Alang-alang nak baca tentang Imam Hanafi, saya rasa lebih baik kalau dapat baca tentang keempat-empat imam mazhab sekaligus. Nasib saya baik. Saya jumpa keempat-empat buku tentang imam mazhab, iaitu buku-buku berjudul Imam Hanafi Pendebat Kebenaran, Imam Maliki Pengarang Kebenaran, Imam Syafie Pejuang Kebenaran, dan Imam Hanbali Penegak Kebenaran.
Tetapi topik mengenai imam mazhab hanya disentuh sedikit sahaja. Ia hanya menjadi satu topik kecil dalam subjek pendidikan Islam.
Selepas habis sekolah, saya dah tak pernah baca sebarang buku yang berkaitan dengan imam mazhab. Jadi kali ini, bila saya terjumpa buku yang dikarang oleh penulis novel sejarah Islam ini, iaitu Abdul Latip Talib, saya rasa ini adalah peluang yang sangat baik untuk ingat semula jasa-jasa dan sumbangan yang pernah diberikan oleh Imam Abu Hanifah kepada umat Islam seluruh dunia.
Buku berjudul Imam Hanafi Pendebat Kebenaran ini diterbitkan pada tahun 2010 oleh PTS Publications.
Berikut ni pula adalah senarai bab yang dimuatkan dalam buku ini.
Bab 1 Darah mengalir di Kufah
Bab 2 Lahirnya seorang Ulama
Bab 3 Anak yang soleh
Bab 4 Al-Hajjaj Bin Yusof At-Thaqafi
Bab 5 Berguru dengan Abdullah bin Abbas
Bab 6 Berguru dengan Abdullah bin Mas’ud
Bab 7 Debat Perdana
Bab 8 Kasih seorang guru
Bab 9 Mufti Kufah
Bab 10 Kejujuran seorang ulama
Bab 11 Mengerjakan ibadah haji
Bab 12 Hormat kepada guru
Bab 13 Dihukum penjara
Bab 14 Pemberontakkan di Khurasan
Bab 15 Tumbangnya Bani Umaiyah
Bab 16 Abu Al-Abbas As-Saffah
Bab 17 Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur
Bab 18 Diracun
Bab 19 Jasanya tetap dikenang
Nama sebenar Imam Hanafi adalah An-Nukman bin Thabit. Beliau dilahirkan pada tahun 80 hijrah/ 699 masihi di sebuah kampung bernama Anbar di daerah Kufah, Baghdad. Imam Hanafi juga dikenali dengan nama Imam Abu Hanifah kerana mempunyai seorang anak bernama Hanifah. Ada juga pendapat lain yang mengatakan beliau digelar Hanifah kerana sering membawa dakwat walau kemana sahaja beliau pergi. Perkataan Hanifah adalah bermaksud dakwat dalam bahasa Parsi.
Menerusi novel ini, kita boleh mengetahui serba sedikit mengenai latar belakang Imam Hanafi ketika beliau masih kecil dan ketika zaman remajanya. Imam Hanafi adalah seorang yang pandai berniaga. Semasa remajanya, beliau cenderung untuk memilih bidang perniagaan berbanding untuk menjadi ulama. Walaubagaimanapun, atas permintaan ibunya, yang mahukan Imam Hanafi menjadi seorang ulama, akhirnya beliau memilih untuk menjadi ulama, dan perniagaannya diuruskan oleh pembantunya.
Memandangkan Imam Hanafi mempunyai perniagaan sendiri, iaitu perniagaan kain dan juga jubin, serta mempunyai kilang pakaian, maka beliau adalah seorang ulama yang memiliki kekayaan. Namun demikian, kekayaan beliau sering digunakan bagi membantu golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan bantuan.
Bab 4 Al-Hajjaj Bin Yusof At-Thaqafi. Beliau adalah seorang gabenor di Kufah. Walaupun begitu, Al-Hajjaj bukanlah seorang yang baik. Beliau adalah seorang yang keji, kejam dan selalu menumpahkan darah orang Islam. Semasa zaman penguasaan beliau sebagai Gabenor di Kufah, ramai ulama yang dibunuhnya.
Bab 7 Debat Perdana. Dalam bab ini kita dapat ikuti sesi debat yang disertai oleh Imam Hanafi bersama seorang individu bernama Dahri yang merupakan seorang utusan Maharaja Rom yang muncul untuk mencabar para ulama dalam sesi debat. Ketika ini adalah zaman pemerintahan Khalifah Yazid. Dahri mencabar semua ulama yang ada di Baghdad untuk berdebat dan semuanya berjaya dikalahkan oleh Dahri. Para ulama gagal untuk menjawab soalan yang ditanyakan oleh Dahri.
Bab 9 Mufti Kufah. Imam Abu Hanifah dilantik menjadi mufti di Kufah. Dalam bab ini turut direkodkan antara kata-kata Imam Abu Hanifah iaitu
“Aku memberi hukum berdasarkan Al-Quran. Sekiranya tidak terdapat dalam Al-Quran aku gunakan Hadis. Jika tidak terdapat pada keduanya (Al-Quran dan Hadis) aku gunakan pendapat para sahabat Rasulullah SAW. Aku berpegang pada pendapat siapa sahaja daripada mereka dan membuang mana-mana pendapat yang bertentangan dan aku berpegang pada pendapat yang benar sahaja”.
“Saya berijtihad sepertimana mereka berijtihad dan berpegang pada kebenaran seperti mereka juga yang berpegang pada kebenaran. Dalam hal ini saya tidak memaksa sesiapa mengikut fahaman saya. Mereka bebas menolaknya sekiranya ada pendapat lain yang lebih benar dan bertepatan dengan Quran dan hadis.”
“Saya hairan mendengar tuduhan yang mengatakan saya memberi fatwa berdasarkan fikiran saya sendiri, padahal saya tidak memberi fatwa kecuali berpandukan Quran, hadis dan pendapat para sahabat.”
“Saya tidak menerima sesetengah hadis yang diriwayatkan oleh orang tertentu yang mengatakan menerimanya daripada Rasulullah padahal hadis itu saya dapati bercanggah dengan ayat-ayat dalam Al-Quran.”
“Sikap saya ini tidak bermakna saya menolak ataupun mendustakan hadis Rasulullah. Saya hanya menolak orang yang meriwayatkan hadis itu secara sah. Saya hanya ragu pada orang yang membawa hadis itu, bukan pada kata Rasulullah. Nabi Muhammad tidak menyuruh sesuatu yang berlawanan dengan suruhan Allah. Beliau juga tidak menyuruh apa yang dilarang Allah dan tidak pula melarang apa yang disuruh Allah.”
Bab 18 Diracun. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah oleh Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur. Beliau ingin Imam Hanafi menjadi kadi bagi menguatkan lagi kedudukan dan pengaruh Khalifah Abu Jaafar. Walaubagaimanapun, Imam Hanafi menolak perlantikkan tersebut kerana tidak mahu bersubahat dengan pemerintah yang zalim. Penolakkan ini membuatkan khalifah berang dan akhirnya beliau memerintahkan supaya Imam Hanafi dipenjarakan dan diseksa setiap hari. Kemuncak seksaan ini ialah Imam Hanafi diarahkan untuk meminum air yang telah dicampurkan dengan racun. Maka berakhirlah riwayat seorang ulama ditangan seorang pemerintah.
Walaupun buku ini adalah berkenaan dengan Imam Hanafi, namun hakikatnya ada macam-macam perkara yang kita boleh pelajari tentang sejarah kerajaan Islam terdahulu. Contohnya apa yang berlaku pada zaman pemerintahan bani Umaiyah dan sifat kejam para khalifah yang sanggup untuk membunuh semata-mata untuk mengekalkan kuasa.
Sekali baca, terasa seperti sejarah sedang berulang. Hanya Khalifah Umar Abdul Aziz sahaja yang merupakan khalifah dari zaman Bani Umaiyah yang menjadi pemerintah yang baik. Selebihnya, khalifah yang ada adalah seorang yang kejam dan langsung tidak mengikuti contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan Khulafa Ar Rasyidin.
Hanya mereka yang kejam, yang sanggup buat apa sahaja dan sanggup menumpahkan darah sahaja yang dapat berkuasa dalam tempoh masa yang lama. Adakah negara kita Malaysia juga berlaku perkara seperti ini? Wallahua’lam.
Rasanya ada banyak lagi yang saya nak kongsikan tentang buku ni. Tapi saya rasa adalah lebih baik kalau anda baca sendiri buku ini. Harganya pun tak mahal mana. Buku ini dikeluarkan dalam dua versi. Ada versi biasa dan ada Edisi Jimat. Edisi Jimat sudah tentu harganya lebih murah.
Kalau anda nak baca versi ebook pun ada. Harganya juga lebih murah. Boleh klik sini untuk lihat yang versi ebook.
Apa pun, buku ni best. Saya syorkan anda untuk baca buku ini. Carilah masa, In Shaa Allah tak rugi baca buku tentang sejarah Ulama terkemuka ini.
Alright, post seterusnya saya akan kongsikan tentang Imam Malik, Imam Syafie dan juga Imam Hanbali pula.