Blog Sabree Hussin

Coretan pengalaman sempena Pilihan Raya Umum ke 14

Negara kita, baru sahaja selesai melalui proses pilihan raya pada 9hb May 2018 yang lalu. Ini merupakan Pilihan Raya Umum yang ke 14 bagi negara kita.

 

Kali pertama saya mula mengundi dalam pilihanraya seperti ini, adalah pada tahun 2013. Alhamdulillah, Allah panjangkan usia untuk saya lalui pengalaman mengundi kali kedua seperti sekarang ini.

 

Ada kawan-kawan yang ingat, PRU14 ni merupakan kali pertama saya mengundi.

Belum sempat saya bagitahu, yang ini bukan pengalaman pertama saya, tanpa diminta, dia terus bagi tutorial dan penerangan, macam mana nak lalui proses undi. Tak apalah… mungkin dia pun excited.

 

Sebenarnya ini merupakan pengalaman kali kedua saya terlibat dalam proses pembuangan undi. Masa PRU13 sebelum ini, saya dah cukup umur untuk mengundi, jadi saya rasa terpanggil untuk terlibat sama dalam proses demokrasi negara kita.

 

Hingga ke hari ini, saya masih belum dapat jawapan, kenapa PRU14 dijalankan pada hari rabu? Walaupun saya bekerja sendiri, tapi saya tetap rasa ianya menyusahkan!

 

Hari rabu tu diumumkan sebagai cuti umum. Kemudian, dua hari berikutnya, iaitu Khamis dan Jumaat juga diumumkan sebagai cuti umum, berikutan kemenangan Pakatan Harapan membentuk kerajaan yang baru.

 

Bila sambung dengan Sabtu dan Ahad, fuh… banyaknya cuti bulan ni! 1hb hari tu kita dah sambut Hari Pekerja, manakala 29hb nanti, ada pula Hari Wesak. Saya bukannya tak suka ada banyak cuti, cuma cuti yang banyak macam ni, menyebabkan beberapa laman web saya terjejas dari segi trafik. Bila trafik jatuh, pendapatan dari laman web tersebut juga turut menurun.

 

Bila ada cuti yang panjang, saya ada dua perasaan. Satu perasaan gembira, satu lagi perasaan bimbang sebab pendapatan saya akan terjejas sedikit.

 

Selasa 8hb May 2018

Saya tidur agak lewat pada malam tu. Dalam hati, ada rasa teruja nak turun mengundi.

 

Sebenarnya, saya memang dah ada pilihan saya sendiri. Saya memang dah tahu, nak undi parti yang mana satu dalam pilihanraya kali ini. Walaupun pada waktu tu, masing-masing masih belum lagi mempersembahkan tawaran-tawaran mereka dalam bentuk manifesto yang akan dibentangkan.

Saya mengharapkan akan dapat lihat PERUBAHAN dalam landskap politik di Malaysia. Sebelum PRU14, ramai yang kata, Parti Barisan Nasional (BN) tak akan jatuh. Buktinya? Dah lebih 13 kali pilihanraya, tetap BN yang menang.

 

Sampai satu tahap, ada yang melihat parti ini memang tak akan kalah. Saya masih ingat lagi, ada yang pernah kata pada saya

“Tak payah buang masa pergi mengundi, BN mesti akan menang punya…”  

 

PRU14 adalah peluang TERBAIK untuk mengubah kerajaan sedia ada. Rehatkan barisan kepemimpinan yang lama dan gantikan dengan yang baru. Semoga dengan demikian, kita akan benar-benar melihat transformasi yang sebenarnya!

 

Kalau melihat senario di media sosial, terutamanya di twitter, memang cukup jelas menunjukkan yang BN akan kalah. Sepanjang tempoh berkempen, akaun twitter milik bekas perdana menteri, Najib Razak, dihujani dengan komen-komen yang negatif.

 

Tak kiralah apa sahaja tweet yang beliau tulis, semuanya pasti akan kena kondem dengan pengguna media sosial. Saya tak pernah tengok lagi, sampai macam tu sekali tahap kebencian netizen terhadap bekas perdana menteri. Seolah-olah rakyat Malaysia, majoritinya hilang kepercayaan kepada bekas perdana menteri ini.

 

Apapun, belajar dari pengalaman pilihan raya di US, kalau media sosial dijadikan ukuran, kemungkinan untuk Hillary Clinton menang dan seterusnya menjadi Presiden adalah hampir pasti! Namun, disaat-saat akhir, dia kalah dengan Donald Trump.

 

Malam tu, saya cuba lihat manifesto parti-parti politik yang bertanding. Manifesto dari BN, walaupun ada yang menarik, tapi pada saya masih belum cukup untuk saya berikan undi kepada parti mereka.

 

Saya cuba dapatkan manifesto Gagasan Sejahtera, sayangnya tak jumpa. Mungkin sebab saya tak banyak follow pemimpin politik dari Parti Pas.

 

Saya lebih suka kalau dapat baca komen dari netizen yang tak ada kaitan dan kepentingan politik bercerita tentang mana-mana parti politik beserta tawaran yang mereka bawa. Saya rasa, golongan macam ni, apabila menyuarakan pendapat, mereka tak bersikap berat sebelah. Walaupun begitu, saya tahu dan faham, setiap orang ada kecenderungan dan pilihan masing-masing.

 

Tempat mengundi

Saya dapat saluran 5.

Saluran 5 ni kebanyakkan yang beratur dekat sini ialah orang muda. Sambil beratur tunggu giliran untuk buang undi tu, memang ramai juga kawan-kawan yang saya jumpa masa sekolah dulu.

 

Ramai yang dah kahwin. Yang perempuan, ada yang bawa anak ikut sama. Kawan-kawan yang lelaki, ramai juga yang dah boroi haha. Nasib baik, saya masih maintain lagi.

 

Kalau kat tempat saya mengundi, memang akan ada petugas yang akan bawa pengundi datang ke pusat mengundi. Petugas ini, bukan bekerja dengan SPR, tetapi mereka bertugas untuk parti politik masing-masing. Kalau nak bawa kenderaan sendiri, memang boleh, cuma susah nak cari parking dan jalan pun agak sesak.

 

Dakwat kekal pada PRU14 sangat berbeza dengan PRU13

Lepas buat semakan nama dengan pegawai SPR, pegawai tu minta saya tunjukkan jari. Saya jadi blur… kenapa nak tunjuk jari?

 

Baru saya teringat, tentang penggunaan dakwat kekal. Saya rasa, saya masih mengantuk dan blur sebab malam sebelumnya tidur lewat.

Gambar ni saya ambil selepas saya selesai membuang undi dengan caption “baru selesai menjalankan misi menyelamatkan negara”.

 

Saya pelik sebabnya dakwat kekal kali ini macam tak berapa gelap.

Gambar ni pula saya ambil pada waktu petang. Rupa-rupanya dakwat kali ini, makin lama makin hitam pekat. Saya ingat lagi, masa PRU13 sebelum ini, dakwat kekal yang digunakan cukup senang untuk ditanggalkan.

 

Basuh dengan pencuci pinggan dah boleh hilang. Hari yang sama dah boleh hilang kesannya. Tapi kali ini punya dakwat kekal memang tahan lama. Sekarang dah hari ke 6 dan kesan dakwat tu masih ada lagi dekat jari.

Masih ada sedikit kesan. Dakwat yang dekat sekitar kulit, mula merekah dan boleh tanggal bila digosok. Sekarang tinggal kesan dekat kuku je. Oleh sebab calon yang saya undi, kedua-duanya menang, kali ni saya tak rasa begitu excited nak hilangkan kesan dakwat ni.

 

Kalau hilang lambat sikit pun tak apa. Tak ada isu.

 

Debat media sosial semasa musim pilihanraya

Kalau masa PRU13 dulu, saya agak aktif menyertai diskusi dan debat politik di media sosial. Pantang betul, kalau nampak ada kawan-kawan dalam friendlist yang up status pasal politik. Kalau saya rasa apa yang di kata tu tak betul, misleading, berbentuk fitnah, saya mesti akan cuba perbetulkan.

 

Daripada niat asal nak betulkan informasi yang silap, ia meleret jadi debat, dan akhirnya bergaduh. Saya tak faham, kenapa ada sesetengah orang, lebih suka pegang pada benda yang salah berbanding terima teguran.

 

Sekarang, bila saya makin matang, baru saya faham, mereka ni cuma ejen propaganda yang mewakili parti politik masing-masing. Fokus mereka cuma nak menangkan parti politik. Mereka ni langsung tak peduli, sama ada benda yang mereka kata, benda yang mereka sebarkan tu betul atau tidak.

 

Dalam PRU14 ni, saya langsung tak ambil bahagian dalam debat politik. Diam lebih baik kot. Banyak sangat cyber trooper dan macai maya berlegar kat social media. Mereka ni menyebarkan fitnah dan berhujah dengan hujah yang entah apa-apa. Saya syak, mereka ni hanya gunakan fake profile, sebab tu mereka berani.

 

Saya bukan pembakang, saya adalah pengundi

Saya tak pernah menyertai mana-mana parti politik. Kalau nama saya ada dalam UMNO, itu mungkin kerja abang ipar saya. Dulu dia beriya-iya nak suruh saya join politik dan sama-sama naikkan orang Melayu.

 

Tapi jiwa saya, bukan jiwa politik. Lagipun, saya tak berapa yakin dengan perjuangan seperti ini. Saya rasa, kalau nak naikkan mana-mana bangsa, lebih baik dilakukan menerusi jalan perniagaan. Itu yang saya rasalah.

 

Semasa PRU13 yang lalu, saya belajar istilah baru. Pengundi Atas Pagar. Saya rasa, itulah saya. Saya pengundi atas pagar. Saya akan undi calon dan parti politik yang saya yakin, mampu memberikan yang terbaik kepada sistem pentadbiran di Malaysia. Saya bukan jenis yang sokong membuta tuli, just because saya adalah ahli dalam parti tersebut.

 

Siapa yang nak join sebagai ahli, dalam mana-mana parti politik, silakanlah join. Itu pilihan masing-masing, mungkin dengan membuat pilihan tersebut, ia dapat beri kebaikkan kepada diri dan keluarga mereka.

 

Saya mengharapkan, akan ada perubahan yang positif dimasa akan datang. Perubahan itu, mungkin kita tak akan nampak dengan serta merta, cuma HARAPAN saya, kerajaan yang baru ini, tidak akan menghampakan rakyat Malaysia dengan mengulang kembali kesilapan-kesilapan pemimpin terdahulu, yang merugikan rakyat Malaysia.

 

Ok.

 

Masa untuk kembali bekerja dengan lebih serius. Ambik semangat Tun M yang masih gigih bekerja, pada usia 93 tahun! Kita yang masih muda ni, patut ambil contoh dan malu sikit.

 

 

Exit mobile version