Blog Sabree Hussin

Cara Mudah Untuk Membuka Kedai Dobi

“Tidak perlu bingung, semuanya jelas dan lengkap disini. Ditambah dengan contoh analisis pembiayaan bisnes dobi dan kisah-kisah kejayaan penuh inspirasi para pengusaha dobi.”

 

Jika anda ingin membuka kedai dobi anda sendiri, mungkin saya boleh cadangkan untuk anda baca buku berjudul Cara Mudah Untuk Membuka Kedai Dobi ini. Buku ini ditulis oleh Rizem Aizid, dan saya percaya, ianya berlatar belakangkan masyarakat yang tinggal di negara jiran kita iaitu Indonesia.

 

Penulis buku ini, iaitu Rizem Aizid adalah berasal dari Jawa Timur.

 

Ada banyak juga contoh-contoh yang diberikan dalam buku ini, yang berlatar belakangkan perniagaan dobi di Indonesia.

 

Mujurlah, dari segi budaya dan cara hidup, antara di negara jiran dengan negara kita, ianya tidak begitu jauh beza.

 

Dari aspek pemakaian juga ia tidaklah begitu besar perbezaannya. Walaupun ia lebih banyak menceritakan aspek perniagaan dobi di Indonesia, namun sebenarnya ada banyak yang kita boleh adaptasikan untuk perniagaan yang bakal kita jalankan di negara kita.

 

Bab 1 adalah tentang pengenalan bagi perniagaan dobi secara keseluruhan. Bagaimana dengan perkembangan industri fesyen, telah membuka banyak peluang perniagaan baru, terutama sekali pada pengusaha dobi. Seperti yang mungkin anda sedia maklum, pakaian dari jenis kain tertentu, mempunyai cara yang tertentu juga untuk proses pencucian dan proses pembersihan.

 

Bab 2: Mengenali Perniagaan Dobi
(A) Meninjau prospek perniagaan dobi
(B) Menjadi ejen dobi
(C) Jenis-jenis perkhidmatan dobi
(D) Persiapan awal yang perlu dilakukan dalam perniagaan dobi

 

Ada ke yang masih belum kenal, bagaimana perniagaan kedai dobi dijalankan? Buku ini ada jawapannya. Apa yang menarik dalam bab 2 ini ialah selain kita dapat mengetahui apa dia potensi keuntungan yang boleh dicapai dalam perniagaan dobi, kita juga didedahkan dengan konsep Ejen Dobi.

 

Apa benda ejen dobi ni? Ringkasnya, anda menjadi orang tengah, yang menghubungkan antara pelanggan dengan kedai atau pengusaha dobi. Peranan anda ialah untuk menjadi perantara antara pelanggan dengan kedai dobi, dan untuk mendapatkan keuntungan, anda sama ada mengenakan caj perkhidmatan kepada pelanggan ataupun kepada kedai dobi.

 

Jika anda mengenakan caj perkhidmatan kepada pelanggan, ini akan menjadikan kos cucian lebih mahal, manakala jika anda mengenakan caj perkhidmatan kepada kedai dobi, ini akan mengurangkan margin keuntungan kedai dobi. Apa pun, pilihlah jalan tengah yang lebih adil dan saksama. Dengan menjadi ejen dobi, anda boleh belajar banyak perkara tentang perusahaan dobi, tanpa perlu bekerja secara sepenuh masa di kedai-kedai dobi. Bagus juga, kan?



Bab 3: Tips-tips Untuk Memulakan Perniagaan Dobi
(A) Modal perniagaan
(B) Lokasi perniagaan
(C) Sasaran pengguna
(D) Sumber Tenaga Manusia yang diperlukan
(E) Peralatan dan kelengkapan yang diperlukan

 

Masuk bab 3, kita dah masuk ke bab yang lebih serius. Macam mana nak tau sama ada kita benar-benar serius atau tidak untuk memulakan perniagaan dobi? Mudah sahaja, kita lihat dari segi persediaan.

(1) Sudahkah anda bersiap sedia dengan modal untuk buka kedai dobi?

Baca juga: Bagaimana mengumpul modal untuk memulakan perniagaan pertama anda?

(2) Sudahkah anda mengenalpasti cadangan lokasi yang sesuai untuk buka kedai dobi anda?

(3) Anda patut dah tau siapa yang akan jadi pelanggan anda, walaupun pada waktu tu anda masih belum buka kedai dobi anda lagi.

 

Salah satu cara, untuk melihat sama ada sesebuah lokasi itu bagus atau tidak untuk buka kedai dobi ialah, terdapatnya kedai dobi sedia ada disitu.

 

Bab 4: Analisis Kos Perniagaan Dobi
(A) Analisis perniagaan dobi jika terletak dirumah dan melibatkan unsur pinjaman
(B) Kos operasi
(C) Gaji pekerja
(D) Contoh senarai harga dobi
(E) Anggaran keuntungan yang diperoleh dari perniagaan dobi
(F) Pulangan semula pelaburan dan keuntungan margin

 

Adakah anda telah bersiap sedia dan telah fikir masak-masak untuk menjalankan perniagaan dobi anda? Maka, tak boleh tidak, anda perlu ambil kira dan ambil tahu, segala jenis kos-kos yang perlu anda tanggung apabila menjalankan perniagaan dobi.

 

Jenis ataupun konsep dobi yang berbeza, kosnya juga berbeza. Sudah tentu, dobi yang menggunakan konsep layan diri, dari segi kos operasinya tak sama seperti dobi yang menggunakan konsep dobi perkhidmatan.

 

Bab 5: Kunci Kejayaan Perniagaan Dobi
(A) Pemasaran
(B) Strategi pemasaran melalui emel
(C) Memberikan penawaran lebih
(D) Promosi
(E) Perkhidmatan
(F) Pengelolaan Pengurusan dan Kewangan

 

Dalam bab 5, kita andaikan bahawa bisnes dobi anda telahpun bermula dan berjalan. Persoalannya ialah, bagaimana nak melipatgandakan keuntungan daripada perniagaan dobi anda tu?

 

Jawapannya adalah dengan cara melakukan pemasaran. Idea-idea pemasaran yang diketengahkan dalam buku ini banyak yang boleh dipraktikkan. Saya suka pada bahagian pemasaran melalui email.

 

Pada pendapat saya secara peribadi, jika anda ingin menggunakan kaedah pemasaran menggunakan emel, anda patut tahu cara-cara untuk menggunakan sistem autoresponder. Untuk kos penggunaan yang lebih jimat dan ekonomi, anda boleh guna servis yang disediakan oleh sistem autoresponder emelmatik. Saya juga adalah salah seorang pengguna sistem autoresponder ini.

 

Apa yang perlu anda lakukan ialah tawarkan pelanggan untuk menjadi ahli dan minta alamat emel pelanggan tersebut. Kemudian, anda hanya perlu key in alamat emel pelanggan ke dalam sistem autoresponder menggunakan konsep single opt in. Ataupun, boleh juga minta pelanggan yang key in sendiri nama dan alamat mereka menggunakan konsep double opt in.

 

Apa yang penting, dipihak anda, anda tawarkanlah apa-apa hadiah yang bernilai untuk mengumpan pelanggan itu tadi untuk memberikan nama dan alamat emel mereka. Contohnya, free cucian untuk pakaian 500 gram kebawah jika mendaftar menjadi ahli.

 

Bila dah dapat nama dan alamat emel pelanggan, kerja pemasaran akan jadi lebih mudah. Jika kita nak hubungi pelanggan secara pukal, anda hanya perlu log in ke akaun autoresponder dan broadcast sahaja mesej yang hendak disampaikan.

 

Dengan cara ini, anda juga boleh kekal berhubung dengan pelanggan, sama ada untuk mengucapkan selamat tahun baru, selamat hari raya, atau untuk memaklumkan tentang promosi terbaru di kedai dobi anda.

 

Bab 6: Proses Pencucian Dobi
(A) Bahan-bahan yang diperlukan
(B) Proses pencucian
(C) Cara mencuci kotoran degil yang melekat pada pakaian

 

Ini pun salah satu bab yang penting dalam buku ini. Bagaimana proses untuk melakukan kerja-kerja pencucian.

 

Bab 7: Teknik-teknik mencuci berdasarkan jenis pakaian
(A) Teknik mencuci stoking
(B) Teknik mencuci kebaya
(C) Teknik mencuci cadar katil
(D) Teknik mencuci permaidani
(E) Teknik mencuci topi

 

Dalam bab ni, anda akan pelajari bagaimana untuk jenis pakaian yang berbeza, ia memerlukan teknik mencuci yang berbeza juga. Bermakna, kalau ada 10 jenis pakaian ataupun jenis kain yang berbeza fabriknya, maka anda mungkin akan perlukan 10 teknik pencucian yang berbeza.

 

Wah! Ini sangat memakan masa yang lama. No wonder orang lebih suka hantar ke kedai dobi daripada cuci sendiri.

 

Bab 8: Kisah Kejayaan Pengusaha Dobi
(A) Rumah Cuci Rani
(B) Clean and Dry
(C) Washmatic

 

Buku ini turut memuatkan sebahagian kisah-kisah kejayaan daripada pengusaha dobi dari kawasan yang berbeza. Setiap satunya mempunyai pengalaman yang berbeza tentunya. Jika anda ingin baca pengalaman perniagaan Kedai Dobi EZ Smart laundry, anda boleh tekan pautan ini.

Buku Cara Mudah Untuk Membuka Kedai Dobi ini dijual dengan harga RM10.00 sahaja. Bolehlah cari kedai-kedai buku berhampiran anda. Atau jika ingin membuat pesanan secara online, anda boleh ke laman web Al-Hidayah Publication.

 

Klik sini untuk lihat sama ada stok buku ini masih ada.

 

Buku ini sesuai dibaca oleh

(1) Mereka yang merancang untuk membuka kedai dobi

(2) Usahawan yang dah sedia mempunyai perniagaan dobi sendiri

(3) Bakal usahawan yang masih tak tau nak buat bisnes apa

 

Satu perkara yang saya suka dengan buku-buku yang diterbitkan oleh Al Hidayah Publication ialah, kebanyakkannya harganya murah-murah belaka. Walaubagaimanapun, buku ini diterbitkan oleh Ar-Risalah Product Sdn Bhd.

 

Selamat membaca, dan semoga pengetahuan anda tentang perniagaan dobi akan bertambah baik lepas baca buku ini.

 

Jika anda lebih suka baca ebook, anda boleh muat turun ebook Panduan Bisnes Dobi disini.

 

 

Exit mobile version