Blog Sabree Hussin

Cara bina Ayat Iklan untuk promosi produk Perfume

Saya bukanlah seorang usahawan perfume yang berjaya. Tetapi, perfume adalah salah satu produk yang saya pernah jual secara online. Modalnya? Hanya menggunakan ayat-ayat iklan semata-mata.

 

Saya menjalankan bisnes jual perfume menggunakan kaedah dropship. Pada masa tersebut saya baru nak mencuba jadi penjual minyak wangi secara online. Justeru saya berpendapat, untuk mengurangkan risiko kerugian, saya pilih kaedah dropship sahaja, tanpa perlu simpan sebarang stok.

 

Bila buat bisnes secara dropship, fokus kita lebih kepada membuat kerja pemasaran dan dapatkan pelanggan. Untuk mencapai matlamat tersebut, saya perlu tahu bagaimana kaedah menghasilkan ayat-ayat yang sesuai untuk digunakan bagi tujuan mempromosikan produk perfume.

 

Nak kata ayat iklan yang saya hasilkan untuk jual perfume tu power sangat pun tak jugak, mungkin dah rezeki saya, dapat juga sales beberapa botol sampailah satu tahap, saya rasa bosan jual perfume ni.

 

Kemudian saya move on dan fokus buat benda lain. Apa yang tinggal pada saya sekarang ni ialah sedikit pengalaman dan ilmu copywriting yang saya pernah amalkan khusus untuk jual perfume. [Lihat koleksi perfume disini]

 

Memandangkan, beberapa hari kebelakangan ini, saya dapati ada banyak juga carian yang di buat di blog ini, yang mencari “ayat iklan perfume”, jadi saya rasa ada baiknya saya kongsikan beberapa input dalam blog ini.

 

Teknik ini sesuai diamalkan oleh jurujual online yang masih newbie sahaja. Kalau yang dah pro tu, mungkin tak perlu dah kot. Anda pasti sudah ada teknik tersendiri!

Baiklah, produk yang kita nak jual ialah Perfume, atau fragrance, atau minyak wangi. Matlamat kita pada waktu ini pula adalah untuk mencipta ayat-ayat iklan bagi menarik perhatian pengguna internet supaya beri perhatian kepada tawaran kita, dan seterusnya menjadi salah seorang pembeli.

 

Apa yang perlu kita buat pada peringkat permulaan?

 

Sebelum kita bercerita dengan lebih jauh, saya kira ada baiknya kita tentukan terlebih dahulu, apakah platform yang bakal kita gunakan bagi tujuan menjual perfume? Platform yang berbeza, maka penggunaan ayat copywriting untuk menjual minyak wangi tersebut juga ada sedikit perbezaan.

 

Adakah anda akan menjual perfume menggunakan

i. Facebook personal profile

ii. Halaman Facebook Pages (yang khusus untuk buat bisnes perfume)

iii. Gunakan Instagram

iv. Guna laman web ecommerce milik anda sendiri

v. Guna sistem marketplace seperti Lazada atau Shopee

 

Nanti saya akan ceritakan, kenapa platform yang berbeza memerlukan teknik penulisan yang berbeza juga.

 

Strategi pemasaran minyak wangi mengikut platform pemasaran yang berbeza

Saya akan sentuh secara ringkas, strategi pemasaran yang patut anda gunakan apabila menggunakan platform pemasaran yang berbeza.

 

i. Facebook personal profile

Jika anda menggunakan akaun personal, bermakna target market anda adalah mereka yang berada dalam senarai rakan anda. Mereka ini adalah orang-orang yang telah atau pernah mengenali diri anda.

 

Anda kenal siapa kawan-kawan anda, dan kawan-kawan anda juga kenal siapa anda. Bila menjual kepada kawan-kawan sendiri, kita boleh stalk apa aktiviti kawan-kawan kita.

Pilih salah satu profile kawan kita secara rambang, dan lihat album gambar yang dikongsikan. Dari situ kita cuba buat satu profil yang menggambarkan siapa sebenarnya kawan kita dan bagaimana dia membuat keputusan untuk membuat pembelian. Melalui gambar-gambar yang pernah di upload, kita boleh dapat gambaran atau idea, sejauh mana citarasa yang dia miliki.

 

Lihat gambar-gambar berikut

i. Kemana tempat yang dia pergi untuk pergi bercuti

ii. Hotel yang bagaimana yang dia pilih untuk check in

iii. Restoran apa yang dia kunjungi

iv. Pakaian yang bagaimana yang dia pakai

v. Aksesori? Adakah dari yang berjenama atau fake?

vi. Adakah dia menunjukkan harta atau aset yang dia miliki

 

Kalau kawan-kawan kita ni, jenis yang berada, suka barangan yang high quality dan branded, maka percubaan kita untuk jual perfume fake, copy ori, inspired by original, gred AAA dan sebagainya adalah sia-sia sahaja!

 

Mereka mampu untuk beli barang yang original, dan bagi diri dia tak ada masalah untuk beli yang ori, apa sebab dia nak beli produk yang kita jual?

 

Saya cerita semua ini, sebab ada antara usahawan yang masih baru, dia tak sedar perkara ini. Mungkin dia fikir, asalkan boleh jual secara online, tak kira apa barangnya, semua pasti akan laku. Sebenarnya cara pemikiran seperti ini kurang tepat. Kita perlu tahu, apa platform yang kita bakal gunakan dan juga siapa target market kita.

 

Bila kita guna personal profile, maka target market kita adalah kawan-kawan dalam friendlist kita. Kalau anda bernasib baik, mungkin posting yang anda buat akan viral dan ramai orang akan tahu yang anda jual perfume. Tapi perkara ini jarang berlaku.

 

Apa yang lebih kerap berlaku ialah, bila anda guna personal profile, orang yang akan nampak posting anda hanyalah kawan-kawan anda. Itupun bukan semua orang akan nampak. Kalau anda ada 4,000 orang kawan, bukan kesemua 4,000 akan nampak. Mungkin tak sampai 200 orang yang akan nampak posting anda.

 

Kemudian apabila anda menulis ayat iklan gunakan bahasa yang biasa anda gunakan dalam perbualan harian bersama dengan kawan-kawan anda. Tak perlu terlalu formal dan serius sangat.

 

Anggap macam sedang berbual dengan kawan baik anda. Lagipun target audience kita memang kawan-kawan dalam friend list kita sahaja.

 

ii. Guna Facebook Pages atau FB Fanpage

Ok kali ini nampaknya anda lebih serius dalam bisnes. Anda mahukan ayat copywriting minyak wangi yang anda telah bina dengan susah payahnya dapat dilihat oleh lebih ramai orang.

 

Bagaimana caranya? Ya betul. Gunakan fanpage dan keluarkan sedikit modal untuk buat iklan berbayar.

Melalui fanpage anda boleh iklankan perniagaan perfume anda kepada lebih banyak prospek. Ia tidak lagi terhad hanya pada senarai kawan-kawan anda semata.

 

Fokus untuk naikkan like, tambahkan bilangan pengikut dan mula membuat jualan sama ada secara soft selling mahupun hard sell.

 

Contoh soft sell perfume

Ada banyak teknik soft-selling yang anda boleh gunakan bagi tujuan menjual perfume. Antara contoh yang boleh saya berikan ialah

i. Anda berkongsi tips penggunaan perfume supaya tahan lama

ii. Anda buat konten senaraian seperti

10 perfume sesuai untuk wanita yang bekerja sebagai guru

10 perfume untuk lelaki aktif bersukan

10 perfume paling digemari pada tahun 2016/2017/2018/2019/2020

iii. Anda kongsi testimoni dari pelanggan sebelum ini yang beli perfume dengan anda

iv. Tunjuk gambar-gambar parcel milik customer yang bakal dipos itu juga satu bentuk soft selling dalam bisnes perfume.

 

Basically dalam kaedah soft selling ini kita akan banyak menghasilkan konten yang memikat follower kita untuk jadi pembeli.

 

Mungkin dia tak akan jadi pelanggan hari ini, tapi sekurang-kurangnya kita berjaya tarik perhatian dan minat mereka untuk ikuti setiap perkongsian yang kita lakukan.

 

Contoh hard sell perfume

Teknik hard sell ini tak begitu digalakkan untuk digunakan selalu. Dalam teknik hard sell, kita akan cakap secara terus terang, dan tidak terlalu berkias seperti teknik soft selling.

 

Mesej yang kita bawakan dalam teknik hard sell juga jelas. Beli perfume ini sekarang.

 

Walaupun saya ada menyebutkan bahawa teknik hard sell ini kurang sesuai untuk digunakan selalu, namun ada masa-masa tertentu, teknik hardsell sangat sesuai digunakan untuk hasilkan jualan.

 

Misalnya anda buat promosi diskaun sempena peristiwa tertentu, seperti tahun baru, sambutan bulan kemerdekaan, hari raya dan lain-lain. Sepanjang tempoh promosi diskaun ini anda jalankan, guna sahaja teknik hard sell untuk ingatkan follower lagi berapa hari atau berapa jam tempoh promosi akan berakhir.

 

Kena berhati-hati apabila guna teknik diskaun istimewa seperti ini, dan anda perlu pastikan bahawa promosi tersebut hanya sah pada tempoh tersebut sahaja. Sekiranya ada follower anda yang perasan, anda jual perfume dengan harga diskaun diluar tempoh promosi, mereka akan hilang kepercayaan terhadap anda.

 

iii. Guna instagram untuk pemasaran

Kalau anda sudah guna FB Fanpage, anda mungkin akan rasa tak cukup masa untuk handle pemasaran di lain-lain media sosial. Tapi kalau anda nak cuba menjual di instagram juga, bolehlah gunakan teknik ini.

 

Prospek anda mungkin ada di Instagram, justeru jangan abaikan platform ini jika anda ingin serius berbisnes. Di instagram, anda perlu hasilkan posting dalam bentuk imej dan juga video yang menarik.

Lagi cantik dan kreatif gambar yang anda muat naik, lagi bagus. Saya tak begitu arif mengenai teknik pemasaran di Instagram, tapi saya boleh syorkan anda untuk dapatkan lebih banyak info mengenai instagram marketing disini.

 

iv. Jual perfume melalui laman web ecommerce yang kita pasang sendiri

Saya lebih suka untuk jual perfume menggunakan laman web ecommerce. Rasionalnya ialah perfume ada macam-macam jenis bau dan jenama.

 

Bila kita guna sistem ecommerce, ia akan memudahkan kita dan juga pembeli untuk tahu, stok perfume yang mana satu yang masih ada. Sebagai contoh kita tetapkan setiap botol cuma ada 3 unit sahaja. Bila dah ada yang beli, sistem secara automatik akan update stok kepada sold out jika semua dah terjual.

 

Maka tak perlulah kita asyik nak kena jawab pertanyaan bakal pelanggan yang bertanya sama ada produk tu masih ada stok atau dah habis.

 

Saya sebagai pelanggan juga tak minat nak selalu bertanya sama ada sesuatu produk yang saya nak beli tu masih ada stok ataupun tidak.

 

Andai kata anda merancang untuk pergi jauh dalam bisnes perfume, bolehlah mula bangunkan laman web ecommerce anda sendiri, yang khusus untuk jual perfume sahaja. Laman web https://www.strawberrynet.com/en-my/ ini boleh anda jadikan contoh kalau nak bina website ecommerce anda sendiri yang khusus menjual perfume.

Andai kata anda tak ada kepakaran untuk bina sendiri laman web seperti ini, boleh minta bantuan pihak Kedai Onlinez untuk binakan laman web untuk anda. Ya, kalau anda minta orang lain untuk tolong buatkan, kenalah sediakan upahnya.

 

v. Guna marketplace seperti Lazada dan Shopee

Kalau anda tak reti nak bina website sendiri dan pada masa yang sama, anda tidak ada modal untuk mengupah web developer untuk binakan website untuk anda, tak perlu gusar sebabnya anda masih boleh menjual menggunakan sistem ecommerce melalui laman web seperti Lazada dan juga Shopee.

 

Dianggarkan, jumlah pelawat yang mengunjungi laman web Shopee adalah sehingga 21 juta kunjungan pada setiap bulan. Dalam ramai-ramai tu, takkanlah tak ada seorang pun yang minat nak beli perfume yang anda jual, betul tak?

Apa kata sebelum anda teruskan membaca, anda pergi dulu ke laman web shopee dan lihat sendiri, bagaimana seller disana jual perfume. Mungkin akan ada beberapa perkara yang anda boleh pelajari nanti.

 

Anda masih terlalu baru dengan selok-belok jualan di shopee? Tak payah khuatir. Download sahaja panduan seller shopee ini.

 

Dalam proses untuk menghasilkan ayat iklan, saya suka gunakan kaedah tanyakan soalan. Cuba letakkan diri anda sebagai seorang pelanggan atau pengguna. Sebagai seorang pengguna, apakah ciri-ciri yang anda mahukan mesti ada pada minyak wangi pilihan anda? 

 

Memandangkan setiap orang ada citarasa yang berbeza, jadi senaraian yang bakal dihasilkan mungkin akan jadi agak panjang. Anda perlu ada pen dan kertas untuk mula mencatit. Kalau tak ada idea sangat, cuba mula dengan diri anda sendiri. Lihat di meja solek anda, apa jenama minyak wangi yang anda pernah beli sebelum ini. Apa yang buatkan anda tertarik untuk beli minyak wangi yang spesifik tu?

 

Mungkin hasil daripada proses brainstorm ini, anda akan senaraikan beberapa poin antaranya

(1) Ikut sunnah Nabi SAW

Bagi orang lelaki, hukumnya sunat memakai wangi-wangian terutama sekali apabila ingin mengerjakan solat berjemaah di masjid.

 

(2) Botol kecik

Senang disimpan dalam poket

 

(3) Bau tahan lama

Dapat jimatkan penggunaan, dengan menggunakan beberapa titis atau semburan baunya dapat bertahan lama.

 

(4) Botol yang cantik

Sesuai untuk dijadikan hadiah, sama ada door gift atau hadiah sempena hari lahir.

 

(5) Bau yang menepati selera

Memandangkan minyak wangi ni ada macam-macam jenis bau, pasti ada satu jenis bau yang disukai oleh pelanggan tersebut

 

(6) Harga yang murah

Boleh beli dua tiga botol dengan haruman yang berbeza.

 

Bagi sesetengah orang, penggunaan minyak wangi bukan sekadar untuk memberi aroma atau bau-bauan semata-mata. Tetapi, ia mempunyai fungsi dan peranan yang lebih besar lagi. Sebagai contoh

(i) Minyak wangi sebagai alat meningkatkan keyakinan diri

Terutama sekali untuk individu yang kerjanya perlu banyak berinteraksi dengan orang lain, seperti seorang executive yang kerap berjumpa dengan klien atau menghadiri sesi mesyuarat. Tampil dengan haruman yang menyenangkan sudah pasti memberi lebih keselesaan kepada diri dan juga kepada klien berbanding berbau asap rokok ataupun berbau peluh.

 

(ii) Minyak wangi sebagai alat menyembunyikan kecacatan

Jika anda adalah seorang yang secara semulajadi seorang yang banyak berpeluh, badan anda juga akan mudah mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Untuk itu, anda perlu hilangkan bau busuk tersebut dengan semburan minyak wangi. Ia juga untuk keselesaan anda, dan juga orang disekeliling anda.

 

(iii) Minyak wangi sebagai alat untuk menarik perhatian jantina berbeza

Ya, zaman sekarang ni memang ada minyak wangi yang dicipta khusus untuk memikat lelaki atau untuk memikat wanita. Anda boleh klik disini untuk lihat contoh.

 

Ok cukup. Senaraian ini memang boleh dipanjangkan lagi. Tapi saya tak akan tulis semua. Cukup beberapa contoh yang saya berikan dan anda boleh juga gunakan contoh yang anda sendiri telah hasilkan ya.

 

Seterusnya adalah untuk mempersembahkan iklan anda kepada sasaran pelanggan anda. Soalan yang mungkin anda nak jawab ialah, “dalam bentuk yang bagaimana patut aku persembahkan iklan mengenai perfume yang aku jual ni?”

 

Cadangan 1: Persembahkan dalam bentuk penceritaan

Cerita yang menarik, mudah untuk menarik perhatian bakal pelanggan. Cerita yang sedap dibaca, mudah untuk meresap ke dalam jiwa pelanggan. Jadi, cipta suatu kisah atau cerita yang masuk akal, menarik, dan mudah untuk dibaca.

 

Sebagai contoh, jika anda nak kata yang perfume yang anda jual tu memang tahan lama, anda boleh gunakan contoh-contoh cerita seperti

i. “Rasa sayang pulak nak basuh baju yang di pakai semalam. Bau wangi perfume masih kuat lagi. Rasa-rasanya kalau tak basuh pun, orang bukan tau kot baju ni sebenarnya dah pakai. Dulu sebelum pakai perfume ni, tak ada pun bau dia tahan lama macam ni.”

 

ii. “Tadi sebelum main futsal, saya sembur dulu dengan perfume ni. Saja nak tengok sejauh mana ketahanan dia. Lepas habis main, dalam 30 minit lepas tu, walaupun dah peluh gila-gila, wangi perfume tu masih ada! Memang terbaik la.”

 

iii. “Biasanya saya akan sembur perfume pada waktu pagi je. Petang semalam sebelum balik, ada seorang akak tu tegur, wanginya perfume… Saya senyum je, sebabnya mana ada saya sembur perfume. Wangi pun harap perfume yang sembur pagi tu je la… Memang bagus perfume ni, tahan lama.”

 

Tiga contoh ayat kat atas ni sebenarnya di sasarkan kepada 3 golongan pembaca yang berbeza. Golongan pertama ialah wanita atau lelaki secara umum, golongan kedua adalah untuk mereka yang kerap atau aktif bersukan, manakala golongan ketiga ialah untuk mereka yang kerja di pejabat.

 

Dalam menulis ayat copywriting khusus untuk menjual minyak wangi, kita perlu hasilkan ayat yang berbeza untuk target market yang berbeza, walaupun produknya adalah sama.

 

Perfume yang anda jual baunya memang tahan lama. Kalau dipakai semasa bersukan juga tak menjadi masalah. Namun disebabkan anda tak pernah sebut dalam ayat iklan, bahawa orang yang aktif bersukan juga boleh dapat manfaat dari produk tersebut, maka mereka rasa seperti tiada keperluan untuk beli.

 

Tetapi, kalau dalam ayat iklan, anda ada sebut secara spesifik, golongan target market atau prospek yang anda ingin sasarkan, maka pada masa itu lainlah pula kesannya.

 

Prospek anda yang baca pun nanti akan rasa, dia (merujuk kepada diri anda selaku penjual) faham situasi aku dan faham apa masalah yang aku hadapi. Maksudnya dia juga tahu macam mana cara nak selesaikan masalah aku. Dia ni boleh dipercayai… “

 

Apa yang saya nak sampaikan ialah, ceritakan keistimewaan produk perfume anda tu dalam bentuk cerita.

 

Kemudian sesuaikan cerita kepada target market yang berbeza. Kesilapan yang biasa dilakukan oleh penulis ayat iklan yang masih amatur ialah mencampur adukkan banyak target market dalam satu cerita. Seolah-olah macam sedang hasilkan buku menu untuk restoran. Semua kelebihan longgok dalam satu buku.

 

Kalau jenis yang malas baca, memang tak akan perasan rupa-rupanya ada bahagian yang bercerita tentang dirinya.

 

Jadi saya harap anda tak akan ulang kesilapan yang sama. Satu target market, satu cerita yang relevan dengan situasi mereka sahaja. Barulah hasilnya ayat copywriting anda jadi lebih padu!

 

Cadangan 2: Persembahkan dalam bentuk berita

Berita lebih kurang sama dengan cerita, namun ia lebih straight forward. Mungkin anda nak beritahu kepada bakal pelanggan anda bahawa selebriti tertentu juga adalah pengguna perfume yang anda jual dan beliau telahpun dilantik sebagai duta.

 

Cadangan 3: Gambarkan secara dramatik kenapa pelanggan perlu dapatkan perfume yang anda jual

Secara dramatik atau secara berlebih-lebihan.

Mungkin anda ingin gambarkan bahawa mereka yang tak pakai perfume langsung ni, adakalanya berbau busuk seperti bau sampah, tetapi dia tak perasan pun. Hanya orang sekeliling sahaja yang perasan. Itu pun tak ada siapa yang nak tegur, semata-mata nak jaga air muka orang yang tak pakai perfume tu.

 

Kawan-kawan sedikit demi sedikit mula menjauhkan diri kerana tak tahan dengan bau badan yang kurang menyenangkan. Ya, bau macam sampah memang agak keterlaluan, namun memang itulah motif kita apabila menghasilkan ayat iklan. Kita nak hasilkan kesan yang dramatik.

 

Kalau ada yang selepas baca ayat iklan perfume yang anda hasilkan dan mula terlintas difikiran, “bau badan aku macam bau sampah ke?” maknanya iklan anda telahpun berjaya menjentik hati golongan sasaran anda.

 

Dekat luar sana memang ada, orang-orang yang bau badannya agak kuat. Kita yang berada dekat dia, jadi tak selesa. Nak tegur, nak bagitahu, tak sampai hati pula. Bimbang nanti disalah ertikan. Padahal kita cuma nak membantu sahaja.

 

Bila kita tulis ayat iklan yang agak kasar, mudah-mudahan akan timbul kesedaran bagi mereka yang ada masalah bau badan.

 

Cadangan 4: Cipta suatu keadaan dimana pelanggan berada dalam situasi yang kurang baik kerana tidak menggunakan perfume yang anda jual

Boleh juga tunjukkan dalam bentuk kartun, animasi bergambar, bagaimana seorang executive gagal mendapatkan persetujuan dari klien kerana executive tersebut mempunyai masalah badan berbau. Klien kurang senang apabila berurusan dengan executive tersebut. Ini contoh je.

 

Cadangan 5: Senaraikan ciri-ciri produk dan kelebihan produk kepada pelanggan

Ini saya percaya dah biasa anda lakukan. Ini adalah teknik paling asas dalam penghasilan iklan, iaitu dengan menyenaraikan ciri-ciri dan kelebihan yang bakal dinikmati oleh pengguna.

 

Baik. Pada tahap ini, seharusnya anda dah selesai buat satu set iklan. In fact, menggunakan teknik-teknik yang saya nyatakan kat atas ni, anda sepatutnya sudah ada lebih daripada 3 set iklan yang berbeza.

 

Langkah seterusnya adalah untuk memastikan ada orang yang baca iklan anda. Jika anda menulis di FB personal, anda perlu mula like dan komen di wall mereka-mereka yang anda sasarkan untuk lihat iklan anda. Bukan komen yang berunsurkan iklan, tetapi komen sesuatu yang ada kaitan dengan status update sasaran pelanggan anda.

 

Kalau kawan anda tu post gambar pergi bercuti, anda buat-buatlah bertanya, “kat mana tempat ni, nampak cantik sangat”. Komen yang ringkas ini besar makna dan kesannya kepada perniagaan yang anda jalankan.

 

Bila anda dilihat mempunyai interaksi dengan rakan-rakan di FB, algorithm FB akan menetapkan bahawa anda ada hubungan yang penting dengan individu tersebut.

 

Maka selepas itu, setiap kali anda update status, dan rakan anda juga update status, masing-masing boleh lihat status terkini di newsfeed. Kalau anda rajin up status pasal produk yang anda jual, mereka juga akan nampak di newsfeed mereka. Anda tak perlu guna teknik spam pun masih berkesan.

 

Cuma itulah, terpulanglah kepada kawan-kawan kita tu sama ada nak beli ataupun tidak.

 

Jika anda siarkan iklan di FB Fanpage, boleh guna FBAds. Apa salahnya kalau kena bayar kos pengiklanan RM200 kalau boleh dapat balik untung RM500! Ini juga satu masalah sebenarnya. Kita takut sangat nak keluarkan modal untuk buat iklan berbayar, sedangkan jika iklan kita dibuat dengan betul, ia akan memberi pulangan yang lebih baik.

 

… dan jika anda siarkan di blog, bolehlah optimasikan posting anda dengan teknik SEO, mula buat blogwalking, dan ping artikel anda.

 

Setakat ini sahaja dulu perkongsian dari saya. Mudah-mudahan beberapa contoh ayat promosi minyak wangi yang saya kongsikan disini dapat bantu anda hasilkan ayat iklan yang lebih baik.

 

Ilmu copywriting tu sangat luas. Lain orang lain tekniknya. Salah satu buku yang bagus untuk anda baca ialah Rahsia Jurus Pemikat Jualan. Buku ini ada sentuh banyak perkara tentang copywriting yang anda patut tahu dan kuasai. Dulu saya beli buku tersebut di MPH Bookstore kalau tak silap saya. Cubalah kunjungi mana-mana cawangan yang berhampiran anda, kalau masih ada dijual.

 

Ataupun kalau anda tak mempunyai banyak masa untuk hasilkan ayat copywriting yang boleh digunakan segera, boleh guna teknik short cut untuk hasilkan ayat promosi minyak wangi yang pelbagai dan menarik.

Saya juga masih lagi merujuk kepada kamus copywriting ini, bila saya rasa macam ketandusan idea, nak mula menulis ayat iklan. Kamus ini boleh dimuat turun di laman web ini. Biasanya pada peringkat permulaan memang selalu kena rujuk kamus copywriting, tapi lama kelamaan bila dah biasa, kita boleh hasilkan ayat copywriting secara spontan sahaja.

 

Jujur saya katakan, memiliki dan menguasai ilmu copywriting adalah satu pelaburan yang sangat bernilai. Lepas ini, anda bukan sekadar mampu untuk hasilkan ayat copywriting untuk minyak wangi sahaja, malahan anda boleh tulis copywriting untuk apa sahaja produk diluar sana.

 

Semoga bermanfaat dan selamat mencuba.

 

Last but not least, sebenarnya saya malas nak masukkan, tapi tak apalah, saya share juga sebab cara ini juga ada kelebihannya.

 

Cara lain yang anda boleh cuba untuk buat copywriting produk minyak wangi ialah “contohi” atau “tiru dan edit” iklan-iklan perfume penjual lain. Kat sini ada macam-macam koleksi perfume yang anda boleh contohi. Ada yang disertakan dengan ayat iklan, ada yang tak. Pandai-pandailah pilih dan baca satu per satu ya.

 

 

Exit mobile version