Blog Sabree Hussin

Cabaran Berniaga Kedai Runcit

Perniagaan kedai runcit adalah merupakan suatu bentuk perniagaan yang telah lama bertapak di negara kita.

 

Bisnes ini ada dimana-mana dan memainkan peranan yang penting dalam memberi kemudahan kepada penduduk sekitar mendapatkan barangan keperluan harian mereka.

 

Lazimnya bisnes kedai runcit ini menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan kepada para pelanggannya yang menginginkan akses yang cepat dan mudah untuk mendapatkan barangan yang diperlukan.

Dibelakang tabir, perniagaan runcit ini sebenarnya berdepan dengan pelbagai jenis cabaran yang menuntut pemiliknya lebih proaktif dan bersedia melakukan perubahan. Bisnes ini tidaklah semudah seperti yang disangkakan oleh sesetengah orang.

 

Dari luaran, memanglah kelihatan seperti bisnes ini nampak senang untuk dijalankan. Maklumlah, pelanggan yang akan datang mencari anda, dan bukan sebaliknya.

 

Tapi hakikatnya, hanya orang yang pernah melakukan bisnes ini, atau yang pernah berada dalam sektor peruncitan ini sahaja yang tahu, betapa susah atau senangnya bisnes ini.

 

Posting pada kali ini, kita akan bincangkan mengenai cabaran yang perlu dihadapi oleh pengusaha perniagaan secara runcit.

 

Cabaran ini, ada yang besar dan ada yang kecil. Namun, tak kiralah apa skala cabaran tersebut, ianya mampu untuk memberi impak negatif terhadap pendapatan dan keuntungan perniagaan kita.

 

Kita juga akan sentuh serba sedikit, antara langkah yang boleh diambil bagi menangani cabaran tersebut.

 

Sama ada anda merupakan pemilik bisnes runcit yang berpengalaman ataupun yang baru ingin bermula, perkongsian ini mungkin bermanfaat kepada anda.

 

Sudah tentu saya sedia maklum, mereka yang dah berpengalaman biasanya tak ada masa nak baca apa yang saya tulis dalam blog ini. Jadi, saya tujukan penulisan ini kepada mereka yang masih baru atau yang baru merancang untuk memulakan bisnes ini.

 

Saya harap dalam banyak-banyak perkara yang bakal saya muatkan dalam posting ini, ada beberapa perkara yang bermanfaat untuk kalian.

 

Jadi, tanpa membuang lebih banyak masa, mari kita lihat apakah dia cabaran yang dihadapi oleh pengusaha bisnes kedai runcit.

 

(1) Cabaran dari pesaing

Bisnes runcit boleh dikatakan antara perniagaan yang tak terlalu sukar untuk dijalankan.

 

Apa yang kita perlu lakukan pada asasnya adalah

1. Kenalpasti lokasi untuk jalankan perniagaan ini

Sama ada anda akan jalankan perniagaan ini dikawasan berdekatan dengan perumahan penduduk, dikawasan pekan, di tempat percutian ataupun mungkin dalam kawasan kampung.

Baca juga: Kenali profil pelanggan kedai runcit mengikut lokasi

 

2. Penuhkan kedai dengan barang-barang jualan

Bila dah dapat tapak untuk berniaga, mula masukkan barang-barang untuk dijual dalam kedai anda.

 

3. Lakukan kerja pemasaran

Pada peringkat permulaan, kerja-kerja pemasaran ini sangat penting untuk dilakukan bagi memberitahu pelanggan sasaran bahawa kita telah mula membuka perniagaan dan bersedia untuk menerima kunjungan pelanggan.

 

Kerja pemasaran ini pun lazimnya hanya dilakukan pada peringkat permulaan sahaja. Setelah penduduk sekitar tahu mengenai kewujudan perniagaan anda, aktiviti pemasaran boleh mula dikurangkan.

 

4. Tunggu pelanggan untuk datang ke kedai

Seterusnya pada hari-hari seterusnya, masa kita akan banyak dihabiskan dikedai untuk menunggu kedatangan pelanggan untuk berbelanja.

 

5. Restock barang apabila sampai masa

Apabila barang-barang yang dijual sudah tinggal sedikit, anda berurusan pula dengan pihak pembekal untuk tambahkan stok barang niaga. Jangan tunggu sehingga barang niaga dah habis baru nak restock barang.

 

Disebabkan perniagaan ini tidak terlalu rumit untuk dijalankan, ia mudah untuk mengundang kehadiran pesaing apabila mereka melihat peluang dan potensi untuk membuka perniagaan tersebut.

 

Boleh jadi pada perspektif peniaga lain yang telah mula berniaga lebih awal, andalah sebenarnya yang merupakan pesaing bagi mereka.

 

Bisnes ini memang begitulah.

Siapa yang ada modal, ada kesanggupan, boleh masuk dalam pasaran dan tawarkan perkhidmatan.

 

Soal sama ada mampu bertahan ataupun tidak, ia perlu dilihat dari aspek pengurusannya. Jika pengurusannya baik, maka kebarangkalian untuk dapat bertahan lama di pasaran adalah sangat tinggi.

 

Sebagai peniaga kita perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Setahun dua kita berniaga mungkin hanya kita sahaja yang berada disitu.

 

Tetapi apabila pelanggan kita sudah semakin ramai, pada waktu itu mungkin ada orang lain yang mula nampak peluang untuk buka perniagaan yang lebih kurang sama dengan kita.

 

Permulaannya mereka mungkin mensasarkan untuk memberi perkhidmatan yang sedikit berbeza dengan kita.

 

Mereka jual barangan yang kita tak jual. Atau mungkin mereka tawarkan barangan dari jenama yang kita tak jual.

 

Namun tak mustahil lama kelamaan perbezaan dan kelainan tersebut jadi semakin tak ketara dan akhirnya boleh gugat perniagaan sedia ada.

 

Saya pernahlah dengar ada seseorang berpesan, dalam bisnes ini, orang boleh curi pelanggan kita. Tapi, percayalah, tak ada siapa yang akan mampu untuk mencuri rezeki kita.

 

Bila ada orang lain mula buka bisnes berdekatan dengan kita, bukanlah bermaksud kita perlu redha dan terima seadanya. Sebaliknya ini perlu dijadikan kekuatan untuk kita buat yang lebih baik berbanding sebelumnya.

 

Orang masuk dan kacau pasaran yang sama dengan kita, kita upgrade diri kita dengan cuba memasuki pasaran online pula.

(2) Kos operasi perniagaan yang tinggi

Perniagaan secara runcit ini sebenarnya perlu menanggung kos operasi yang agak tinggi.

 

Bila bercakap mengenai soal kos, ada dua jenis kos yang kita perlu tahu. Pertama kos yang tetap, dan kedua adalah kos yang sentiasa berubah-ubah.

 

Kos tetap ini adalah kos yang lazimnya tak berubah sepanjang tempoh perniagaan itu dijalankan, dan ianya merujuk kepada item seperti

1. Sewa premis perniagaan

2. Sebahagian bil utiliti

3. Gaji pekerja

4. Insurans

 

Kemudian terdapat juga kos yang sentiasa berubah-ubah bergantung kepada keadaan, contohnya adalah seperti

1. Inventori / stok produk

2. Kos membuat label atau packaging

3. Komisen

 

Boleh jadi ada yang akan kata, utiliti juga boleh termasuk dalam kos berubah, misalnya kos penggunaan elektrik akan jadi lebih tinggi kalau bisnes tersebut beroperasi lebih masa.

 

Kos seperti langganan data internet, biasanya adalah tetap dan ia tak berubah. Mungkin kita boleh tulis dengan lebih jelas, apakah kos utiliti yang dimaksudkan, jika perlu. Untuk perbincangan disini, kita hanya fokus kepada “kos operasi”.

 

Kesemua perbelanjaan ini, jika tak dikawal dengan sebaiknya, akan menyebabkan keuntungan yang diperolehi semakin berkurangan. Malahan jika tak berhati-hati, perniagaan tersebut mungkin beroperasi dalam keadaan menanggung kerugian.

 

Dalam usaha mengawal kos, semua pihak perlu main peranan. Dari staf yang paling bawah hinggalah kepada majikan, perlu sentiasa peka terhadap perbelanjaan yang dilakukan supaya dapat memaksimakan keuntungan perniagaan.

 

Perniagaan runcit kecil-kecilan ini, mempunyai cabaran yang cukup besar untuk bersaing dengan perniagaan seperti supermarket ataupun hypermarket. Salah satu faktornya adalah dari segi kos operasi perniagaan.

 

Kemudian, faktor modal yang kecil juga turut menjadi kekangan untuk perniagaan runcit kecil-kecilan dapat membesarkan saiz perniagaan serta menawarkan lebih banyak barangan untuk diniagakan.

 

(3) Cabaran dalam menguruskan stok barangan jualan

Paling tak seronok bila ada pelanggan datang ke kedai, lepas tu bila dia nak beli barang tertentu, barang tersebut dah habis.

 

Satu masa dulu, saya pernah beranggapan jawapan “dah habis” ini sebenarnya cuma taktik peniaga tersebut, untuk mengelakkan dari pelanggan tersebut fikir yang kedai miliknya memang tak jual barang tersebut.

 

Saya terfikir…

“bagus taktik ni… boleh tiru. Nanti bila nak restock barang, bolehlah cari barang yang customer tu nak beli tapi kita tak jual sebelum ni… next time bila dia datang lagi, dia boleh tengok barang yang dia nak beli sebelum ni kita dah mula jual.” 

 

Kadang-kadang kita pun tak sedar atau tak perasan, apa sebenarnya barangan yang dicari oleh pelanggan. Kita ingatkan cukup sekadar menyediakan jenama A dikedai kita, rupa-rupanya ada banyak juga peminat jenama B, dan kebetulan kita masih belum jual jenama tersebut.

 

Kemudian, saya terfikir.

Bagaimana kalau sebenarnya peniaga tersebut memang betul-betul maksudkannya?

Bila dia kata barang tersebut dah habis, maksudnya memang dah habislah.

Ia bukan sekadar taktik atau gimik, untuk elak customer tu fikir yang kedai dia tak jual barang tu.

 

Sebenarnya salah satu cabaran yang agak besar dalam menguruskan perniagaan runcit ini adalah dari aspek pengurusan inventori.

 

Jika anda tidak mempunyai sistem pengurusan stok yang cekap, akan berlaku kejadian seperti

1. Tersilap restok barang

2. Beli barang yang lambat jual dalam kuantiti yang besar

3. Jual barang yang tak ada permintaan

 

Dalam aspek pengurusan stok ini juga, pengurus kedai perlu membuat pemerhatian dan penelitian, apakah barangan yang memang laris serta laju terjual.

 

Dalam situasi ini, kita patut contohi cara pasaraya beroperasi. Mereka menggunakan sistem Point of Sales, yang boleh dijadikan rujukan bagi mengenalpasti apa barang yang dah berkurangan dan perlu ditambah.

 

Kemudian bila mereka perlu restock barang, dia boleh lihat di skrin komputer, apa barangan yang stoknya dah tinggal sedikit, dan apa barangan yang stoknya masih banyak lagi.

 

(4) Mendapatkan pekerja

Mengambil dan melatih pekerja boleh memakan masa yang cukup lama dan memerlukan kos yang agak tinggi.

 

Kemudian, apabila pekerja tersebut sudah mahir, ada kemungkinan untuk dia berhenti dan cari kerja lain pula.

 

Bila bercakap mengenai pekerja yang bagus, untuk bekerja dalam bidang sektor peruncitan, apakah sebenarnya ciri yang perlu ada pada mereka?

 

(1) Jujur dan boleh diharapkan

Pekerja tersebut mestilah seorang yang jujur. Bukan jenis yang cepat gelap mata dan panjang tangan apabila menerima bayaran dari pelanggan.

 

Kemudian, dia juga mestilah seorang yang boleh menepati masa. Kalau kata kedai buka jam 7.00 pagi, dan dia bekerja pada syif pagi, maka dia kenalah pastikan tepat pada waktunya, dia dah mula buka kedai.

 

(2) Fleksibel dari segi jadual kerja

Secara idealnya, bisnes kedai runcit ini perlu dibuka setiap hari. Pekerja pula perlu mempunyai jadual kerja yang fleksibel dan mereka tak komplen bila tak dapat cuti pada hari yang dia mahukan.

 

(3) Skil berkomunikasi yang baik

Kalau dari segi komunikasi, individu tersebut mestilah mempunyai budi bahasa dan bersopan santun. Ciri ini sangat penting terutama sekali apabila memilih bidang kerja yang perlu berurusan dengan pelanggan.

 

Kalau yang jenis panas baran, suka cakap pakai lepas dan cakap kasar ini biasanya kurang sesuai kalau nak kerja dalam bidang seperti ini. Namun demikian, skil berkomunikasi ini sebenarnya boleh dilatih dan dipelajari.

 

(4) Boleh bekerja dalam sebuah pasukan

Dalam satu pasukan, ada ketua dan ada anak buah. Setiap orang perlu berfungsi mengikut peranan masing-masing.

 

Tak perlu ada dua orang ketua dalam satu pasukan.

Lagi satu, tak bolehlah semua nak jadi ketua.

Bila dapat arahan, dan arahan tersebut memang berkaitan dengan bidang tugas, buat sahaja.

 

Arahan itu, untuk dilaksanakan. Bukan untuk dibahas, atau dibincangkan sama ada ianya relevan atau tidak.

 

(5) Kemahiran matematik yang baik

Ya, kena pandai mengira. Kalau tak cekap mengira, at least kena pandai guna kalkulator.

 

Untung perniagaan ini kadang-kadang cuma sen sen sahaja.

Kalau tersilap kira, boleh menyebabkan kerugian yang besar.

 

(6) Seorang yang teliti

Pekerja ini perlu mempunyai tahap penelitian yang cukup baik.

 

Seorang yang memang cukup teliti dengan kerjanya, dia tahu

1. Bila perlu restock barang yang hampir habis

2. Dekat mana rak yang paling sesuai untuk susun barang

3. Bila perlu tukar harga dan sebagainya.

4. Berhati-hati bila scan atau mengira barang

5. Meletakkan label dan tanda harga dengan tepat

 

Seorang yang teliti, dia akan sentiasa check dan double check kerja yang dia lakukan. Sebabnya dia tahu, terutama sekali ketika mengira berapa harga yang perlu dibayar oleh pelanggan, kesilapan menekan titik perpuluhan sahaja sudah boleh membuatkan kerugian.

 

Ini merupakan satu skil yang cukup berharga dan dapat menyelamatkan bisnes anda dari mengalami kerugian.

 

Bisnes runcit ini amat-amat sukar untuk dijalankan seorang diri. Kalau anda merasakan yang anda boleh jalankan bisnes ini secara berseorangan atau “one man show” anda perlu fikirkan semula.

 

Ya, kalau anda buat bisnes runcit secara online, ianya mungkin boleh dilakukan.

 

Tetapi, kalau anda jalankan bisnes ini melalui premis perniagaan, ianya agak mencabar untuk jangka masa panjang. Kalau cerita dari segi 3 ke 5 bulan yang pertama, mungkin pada waktu itu anda masih lagi bersemangat dan rasa tak ada masalah untuk buat kerja-kerja meniaga ini seorang diri.

 

Tapi pernah tak anda terfikir untuk jangka masa yang lebih lama?

Bagaimana setelah 3 ke 5 tahun perniagaan anda beroperasi?

 

Adakah pada masa tersebut anda masih lagi mempunyai motivasi dan stamina untuk uruskan segala-galanya seorang diri?

 

Terus terang saya kata, setelah lebih lima tahun menguruskan bisnes ini, ia mula jadi satu rutin.

 

Nothing new.

 

In fact, kalau saya ada kerajinan, saya boleh hasilkan sebuah manual standard operating procedure untuk dijadikan rujukan dan panduan individu selepas saya.

 

Apa yang saya cuba sampaikan ialah, sampai satu tahap, rasa bosan itu akan mula muncul.

 

Bagaimana kalau anda ada urusan lain?

Bagaimana kalau anda ingin pergi bercuti bersama-sama dengan keluarga?

Bagaimana kalau anda sakit dan tak mampu untuk bekerja?

 

Saya dapati bila ada bisnes seperti ini, ia mula jadi satu belenggu yang merantai pergerakkan saya. Serius, nak pergi mana-mana jadi susah, sebab memikirkan tiada siapa yang boleh bantu jaga kedai.

 

Kalau situasi ini yang berlaku pada anda, Adakah pada waktu itu, anda sanggup untuk tutup kedai dan biarkan perniagaan anda tak menjana sebarang jualan pada hari tersebut?

 

Kalau memang betul anda tak ada pekerja, besar kemungkinan, memang inilah tindakan yang anda terpaksa ambil. Lagipun, anda memang tak ada pilihan lain.

 

(5) Keselamatan barang-barang jualan dan perniagaan

Bab keselamatan ini juga merupakan satu perkara yang sangat perlu untuk diberikan perhatian. Jika tidak, ia boleh mengakibatkan anda alami kerugian.

 

Pertama sekali, berkenaan dengan premis perniagaan anda.

 

Pastikan ianya cukup kukuh dan tak mudah dipecah masuk oleh pencuri. Kedai saya dulu pernah dimasuki pencuri pada malam hari dan ada beberapa barangan niaga yang hilang, tapi mujurlah tak banyak.

 

Pencuri ini tak semestinya manusia sahaja.

 

Kadang-kadang haiwan pun boleh jadi pencuri. Misalnya monyet, kucing, tikus dan sebagainya. Kalau yang berniaga dikawasan kampung, memang tak mustahil untuk hadapi situasi seperti ini.

 

Bukan semua pelanggan yang masuk ke kedai kita tu boleh dipercayai. Dalam ramai-ramai yang masuk tu, tak mustahil kalau ada yang jenis panjang tangan. Biasanya kalau kedai yang tak ada kamera CCTV ini, pelanggan yang seperti ini lebih berani untuk cuba mencuri.

Anda boleh ke pautan ini untuk pasang CCTV.

 

Sebab tu kita boleh lihat ada sesetengah kedai yang sanggup berbelanja untuk dapatkan kamera cctv yang baik untuk memantau sebarang tindak tanduk pelanggan termasuk pekerja mereka sendiri.

 

Jika ada apa-apa kecurian, mereka boleh lihat rakaman cctv sebagai bukti.

 

(6) Memberikan layanan dan khidmat pelanggan

Seperti yang anda mungkin sudah sedia maklum, pelanggan ini ada macam-macam ragam.

 

Kalau dalam sehari anda berurusniaga dengan 100 pelanggan, maka akan ada 100 perangai dan ragam yang berbeza yang anda perlu hadap.

 

Kita mahukan pelanggan yang bila dia masuk ke kedai, dia akan pusing seluruh kedai dan ambil sendiri barang-barang yang dia perlukan.

 

Tetapi apa yang berlaku mungkin berbeza. Ada sesetengah pelanggan yang suka minta tolong untuk ambilkan barang yang dia nak.

 

Kalau kedai runcit kampung pula, ada pelanggan yang malas nak turun dari kereta. Dia buat pesanan dari kereta je ala-ala drive through.

 

(7) Cabaran penggunaan teknologi

Pada satu hari anda duduk termenung dibahagian kaunter kedai.

 

Anda mula perasan, jualan anda semakin hari semakin berkurangan. Pelanggan yang dulunya rajin datang ke kedai, kini semakin jarang nampak muka.

 

Anda bertanya pada diri sendiri, adakah mereka ini sudah tak perlu beli barang-barang keperluan lagi?

Mustahil.

 

Kalau dah namanya barangan keperluan, macam manapun dia pasti kena dapatkan juga barangan tersebut. Bezanya adalah sama ada dapatkan dari anda, ataupun dari peniaga lain.

 

Pembangunan dari segi teknologi telah melahirkan platform jualan online seperti Lazada, Shopee, PG Mall dan banyak lagi.

 

Bukan tu sahaja, malahan ia memudahkan syarikat seperti Grab, Food Panda untuk menawarkan peluang kepada para penggunanya untuk mendapatkan barangan runcit dengan mudah hanya melalui apps yang mereka bangunkan.

 

Persoalannya, dimana perniagaan kita berada ketika teknologi ini sedang kian diterima oleh kalangan pengguna?

 

Dari segi kaedah pembayaran, pelanggan juga sudah mula cenderung untuk menggunakan kaedah cashless.

Jika anda masih belum ada kaedah untuk memproses bayaran melalui kad kredit ataupun kad debit, setidak-tidaknya anda sediakan kaedah menerima bayaran melalui QR Code atau e-wallet.

 

Perubahan itu adalah sesuatu yang sangat perlu dilakukan.

Ya, perubahan ini adakalanya sangat menakutkan.

 

Kita perlu lakukan sesuatu yang kita tak biasa.

Sesuatu yang kita mungkin tak mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang mendalam tentangnya.

 

Kita lebih selesa untuk beroperasi cara kita.

Tapi itulah cabarannya. Suka ataupun tidak, kita kena berubah mengikut kehendak pasaran.

 

(8) Cuaca dan musim

Sebaik-baiknya, sebelum nak memilih mana-mana lokasi untuk dijalankan bisnes, semak dulu sama ada kawasan tersebut pernah berlaku banjir ataupun tidak.

 

Kalau kawasan yang memang biasa berlaku banjir, elakkanlah berniaga dekat situ. Pening kepala nanti. Setiap kali hujan, kita kena selamatkan barang-barang jualan untuk elak rosak disebabkan oleh banjir.

 

Kalau hujan semasa kita berada dikedai itu tak menjadi masalah.

Tapi bagaimana kalau hujan pada waktu tengah-tengah malam? Ketika semua orang sedang tidur.

 

Tahu-tahu esok pagi bila nak buka kedai, air dah naik tinggi dan banyak barang niaga rosak ditenggelami air banjir.

 

Memang sedih bila kejadian seperti ini berlaku. Untung runcit bukanlah banyak sangat. Bila kena keadaan seperti ini, untung tak dapat modal pun lesap.

 

(9) Pilihan barangan jualan yang terhad

Secara kelazimannya, sebuah kedai runcit akan menjual pelbagai jenis barangan dari pelbagai jenis jenama.

 

Walaupun kita menjual bermacam-macam jenis barangan, namun ia hampir mustahil untuk kita mampu menyediakan semua barang yang diperlukan oleh pelanggan.

 

Sudah pasti, akan ada barangan yang diperlukan oleh pelanggan yang kita tak mampu sediakan.

 

Sebagai peniaga, sudah semestinya kita mahu jual segala barangan yang dimahukan oleh pelanggan kita.

 

Namun, operasi perniagaan kita mempunyai had dan ianya bergantung kepada

1 Saiz premis perniagaan kita

2. Tahap modal kita

3. Pembekal kita

 

Apabila ada barangan yang dicari oleh pelanggan yang kita tak mampu sediakan, ini akan menyebabkan rasa kurang puas hati terhadap mutu perkhidmatan kita.

 

Lalu mereka ini akan memilih untuk berbelanja ditempat lain.

 

Sudah tentu, agak payah untuk kita cuba untuk memuaskan hati semua pihak. Jadi, apa yang kita boleh lakukan adalah untuk memilih rangkaian produk atau barangan yang benar-benar mampu untuk terjual dengan pantas lalu memberi keuntungan yang maksima kepada kita.

 

(10) Tak menang tangan untuk layan pelanggan

Pada waktu tertentu kedai kita diserbu pelanggan. Peliknya mereka datang pada waktu yang lebih kurang sama.

 

Masa inilah ada yang nak minta kelapa parut, ada yang ambil 2 3 barang dan sudah bersedia nak buat bayaran.

 

Kalau jenis pelanggan yang tak sabar, dia mungkin akan tinggalkan duit di kaunter dan terus pergi meninggalkan kedai.

 

Ataupun kalau yang lebih ekstrem lagi, dia tinggalkan semua barang yang dia ambil di kaunter, kemudian terus keluar.

 

Kononnya servis terlalu lambat. Lebih baik beli dekat tempat lain.

 

Ironi bukan? Orang pilih untuk berbelanja di kedai runcit sebab dia nak cepat, tapi rupanya dia perlu tunggu lama untuk dapatkan barangan yang dia nak.

 

Begitulah situasinya.

 

Sebenarnya bukan semua orang boleh berbelanja di kedai runcit. Ia memerlukan pelanggan untuk jadi lebih cerdik.

 

Kalau pelanggan ramai, bersabarlah. Giliran anda untuk dilayan pasti akan tiba.

 

Sebagai pelanggan, kadang-kadang mereka akan tertanya-tanya, kenapalah tak dapatkan pekerja untuk bantu operasi perniagaan.

 

Tapi macam yang saya sebut sebelum inilah, bukan mudah untuk dapat pekerja yang bagus dan boleh diharap.

 

Lagi satu bimbang keuntungan tak ada, tapi duit habis untuk bayar pekerja.

 

(11) Kebergantungan terhadap jualan Petrol

Salah satu barangan yang sering dicari oleh penduduk sekitar adalah minyak petrol. Biasanya minyak petrol ini kita akan isi dalam botol mineral water 1.5l atau botol kicap yang diperbuat dari kaca.

 

Kedai yang ada jual petrol, biasanya akan ada ramai pelanggan yang datang.

 

Masalahnya ialah, sebelum-sebelum ini kita menyaksikan harga petrol ini sentiasa berubah dari minggu ke minggu.

 

Tapi sejak 27 Februari 2021 hingga waktu catatan ini ditulis Ogos 2023, harga petrol Ron95 kekal sebanyak RM2.05

 

Saya pernah ditegur oleh salah seorang pelanggan yang datang ke kedai.

Kata beliau, jualan petrol melalui botol seperti ini adalah salah disisi undang-undang. Lagipun, petrol ini merupakan barangan bersubsidi.

 

Saya hanya diam dan mendengar.

Saya kurang gemar berbalas-balas hujah dengan pelanggan. Saya lebih suka, dengar sahaja dan biar dia balik selepas selesai urusan beli barang di kedai saya.

 

Petrol ini merupakan barangan keperluan penduduk sekitar.

Ya, mereka boleh pergi ke stesen minyak yang terletak di pekan dan dapatkan harga yang lebih murah berbanding harga yang dia terpaksa bayar jika beli di kedai saya.

 

Tapi yang peliknya, kenapa dia pilih untuk beli di kedai runcit, dan bukannya isi minyak di stesen minyak?

 

Saya boleh senaraikan beberapa sebab, antaranya

1. Mereka perlukan bahan api untuk ke stesen minyak.

Jadi dia isi dalam 1.5 – 3.0 liter terlebih dahulu, kemudian baru dia akan isi full tank di stesen minyak.

 

2. Mereka risaukan keselamatan

Jalan raya untuk ke stesen minyak agak sibuk di tempat saya. Ada banyak kereta, bas, lori, motosikal dan lain-lain kenderaan melalui jalan yang sama.

 

Mereka perlu menyeberang jalan, untuk masuk ke stesen minyak, dan bukan semua orang berani untuk berbuat demikian. Terutama sekali geng mak cik dan pak cik yang dah agak berusia.

 

3. Mereka nak senang

Satu lagi sebab ialah mereka mahukan kemudahan. Start enjin motorsikal kemudian terus ke kedai runcit. Isi minyak dalam sebotol, dah selesai.

 

Sebenarnya harga yang mereka perlu bayar, adalah harga petrol + caj servis / perkhidmatan.

Kalau nak harga yang sama, seperti mana yang kerajaan tetapkan, beli saja di stesen minyak.

 

Kami pernah bercadang untuk berhenti jual, tapi akhirnya pelanggan sendiri yang minta kami teruskan jualan.

Kita berada dalam situasi dimana, kalau kami tak jual petrol, maka pelanggan tak akan datang ke kedai kami.

 

Bab harga yang lebih tinggi, itu tak menjadi isu.

 

(12) Patuhi undang-undang

Bila buat bisnes sendiri, kita perlu cari masa untuk belajar serba sedikit mengenai undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan bisnes kita.

 

Bagaimana nak patuh pada undang-undang kalau kita tak tahu apa undang-undang yang kita perlu patuhi tu?

 

Itulah pentingnya membaca. Kena cari masa untuk banyakkan membaca. Bukan apa, bimbang nanti secara tak sengaja, kita sebenarnya menjual barangan yang dilarang, ataupun meletakkan harga yang melebihi paras siling yang ditetapkan, terutama sekali untuk barangan kawalan.

 

(13) Gangguan bekalan produk

Perniagaan ini sangat bergantung kepada peranan pembekal, seperti kedai borong.

 

Jika berlaku apa-apa kepada perniagaan pembekal kita, ia akan turut mengganggu operasi perniagaan kita.

 

Kita perlu mempunyai beberapa senarai pembekal yang boleh kita berurusniaga. Jangan hanya bergantung dengan satu atau dua pembekal sahaja.

 

Kalau pembekal kita adalah tauke cina sahaja, kita akan ada masalah untuk restock barangan terutama sekali ketika musim perayaan Tahun Baru Cina. Biasanya mereka akan cuti agak lama dan tutup kedai.

 

Justeru, dalam bab mendapatkan pembekal ini, kita kena bersedia dengan beberapa pembekal yang kita boleh harapkan.

 

Kesimpulan

Adakah menjalankan bisnes kedai runcit ini banyak cabarannya?

Sudah tentu.

 

Malahan kalau kita perhalusi, cabaran ini bukan semata-mata dalam menjalankan perniagaan secara runcit semata-mata. Lain-lain jenis perniagaan turut ada cabarannya yang tersendiri.

 

Ada cabaran yang lebih kurang sama, dan ada juga cabaran yang memang berbeza.

 

Tanggungjawab kita, adalah untuk menguruskan bisnes ini dengan sebaiknya. Kalau ada aspek dalam bisnes ini yang kita tak tahu, itu biasalah.

 

Sama ada kita cuba pelajari ilmu tersebut ataupun kita dapatkan bantuan dari mereka yang lebih pakar.

 

Jadi, setelah kita bincangkan mengenai cabaran dalam berniaga secara runcit, adakah cabaran-cabaran ini melemahkan semangat anda untuk memulakan bisnes anda sendiri?

 

Apa pun, cabaran-cabaran yang kita bincangkan disini semuanya adalah sesuatu yang bersifat realiti. Cepat atau lambat, anda tetap akan melaluinya.

 

Cabaran ini bukan semata-mata untuk ditakuti atau dielakkan, tapi perlu dihadapi dengan strategi pengurusan yang baik.

Baca juga: Tips menjalankan perniagaan kedai runcit

 

Semoga melalui pembacaan yang anda lakukan disini, dapat menjadikan diri anda jadi lebih bersedia.

 

 

Exit mobile version