Blog Sabree Hussin

Baka-baka kambing di Malaysia

“Anda berminat untuk melibatkan diri dalam bidang ternakan kambing?”

 

Sebelum menceburkan diri dalam bidang ternakan ini ada baiknya kita mengenali terlebih dahulu jenis-jenis baka kambing yang kebiasaannya dapat ditemui di Malaysia. Bukan semua kambing daripada negara luar boleh diternak dalam negara kita.

 

Banyak faktor yang perlu diambil kira antaranya faktor daya tahan kambing itu sendiri dan faktor cuaca.

 

Sebelum kita terus bincangkan dengan lebih mendalam lagi, satu perkara yang anda perlu jelas tentang bidang ternakan kambing ini ialah, tujuan kita menternak sesuatu baka kambing itu sendiri. Adakah kita mahukan susu ataupun dagingnya?

 

Mari kita lihat baka-baka kambing yang terdapat di Malaysia

 

Kambing Katjang

 

Kambing katjang atau dikenali juga dengan nama kambing kacang dipercayai berasal dari Malaysia dan Indonesia. Ianya digunakan untuk keluaran daging.

 

Kambing jenis ini mempunyai badan yang kecil dan pendek serta tanduk yang melentur ke atas dan ke belakang. Telinganya tegak ke sisi. Terdapat janggut pada kambing jantan dan jarang pada betina. Dari sisi, muka kelihatan lurus dan tirus.

 

Leher adalah pendek dan bahagian belakang adalah lebih tinggi dari bahu, purata ketinggiannya ialah 5- – 60 s.m. Kulit badan nipis tetapi mempunyai bulu yang kasar. Warna bulu biasanya hitam, coklat dan kadangkala terdapat tompok-tompok putih di kaki atau badan. Kelahiran kembar adalah salah satu ciri-ciri kambing ini yang baik. Pengeluaran susu adalah sedikit; tidak lebih dari 0.3 kg sehari dalam masa 3 bulan pertama dan 0.2 kg dalam masa 4 – 6 bulan.

Berat Lahir: Jantan: 1.6 kg, Betina 1.8 kg

Berat Dewasa: Jantan: 25 – 30 kg, Betina 20 – 25 kg

 

Kambing Jamnapari

Kambing jenis Jamnapari berasal dari India. Ianya dibawa masuk ke Malaysia dengan tujuan untuk dikacukkan dengan kambing tempatan bagi membaiki populasi, genetik ternakan tempatan. Baka ini digunakan untuk keluaran daging dan juga susu (dwiguna).

 

Badan adalah lebih besar dan tinggi dari kambing kacang dan terdapat tanduk yang melentur ke atas dan ke belakang, bulunya agak lebat di bahagian punggung dan daerah leher. Bulunya agak kusut dan berwarna campuran hitam dan kekuningan.

Berat Lahir: Jantan: 3.0 – 4.0 kg, Betina 3.0 – 4.0 kg

Berat Dewasa: Jantan: 68 – 90 kg, Betina 35 – 65 kg

 

Kambing jenis ini telah pun digunakan secara meluas di Malaysia bagi memperbaiki mutu keluaran kambing tempatan

 

Kambing Anglo Nubian

Baka Anglo Nubian mempunyai sifat-sifat baka Zariby (Nubian) dari Mesir dan juga baka Jamnapari dari India. Kambing ini disifatkan sebagai tahan lasak dan mudah sesuai dengan alam sekitar. Selain dari pengeluaran daging, baka ini juga boleh digunakan untuk pengeluaran susu (dwiguna).

 

Kambing jenis ini berbadan besar dan mempunyai telinga yang panjang dan melampai ke bawah. Hidung kambing jenis ini melengkung ke bawah dan mempunyai kaki yang panjang dengan purata ketinggian badannya 80 s.m. Kebiasaannya kambing Anglo Nubian tidak mempunyai tanduk tetapi mempunyai bulu badan yang pendek.

 

Warna bulu ialah coklat kemerahan tompok-tompok kemerahan seperti warna rusa, coklat putih, warna gelap atau kombinasi warna-warna tersebut.

Berat Lahir: Jantan: 3.5 kg, Betina 3.9 kg

Berat Dewasa: Jantan: 70 – 85 kg, Betina 55 – 70 kg

 

Pengeluaran susu adalah menggalakkan dan ianya boleh mengeluarkan 2 kg susu satu hari dan 250 – 300 kg bagi satu laktasi.

Kambing kacukan

Kambing kacukan adalah hasil dari perkahwinan kambing kacang dan baka-baka luar negeri seperti Anglo Nubian, Jamnapari dan juga kacukan dengan baka-baka yang boleh mengeluarkan susu seperti Saanen, Toggenburg dan British Alpine.

 

Rupa bentuk biasanya menunjukkan mirip kedua induk dan baka, tidak mempunyai ciri-ciri sendiri. Kambing jenis kacukan ini boleh meningkat berat badan sebanyak 18 – 25 kg dalam lingkungan umur setahun. Kambing kacukan dewasa juga mempunyai berat badan yang lebih tinggi dari kambing kacang. Purata berat badan ketika lahir adalah lebih kurang 2 kg – 2.5 kg seekor.

 

Kambing Saanen

Kambing ini berasal dari Lembah Saanen,Switzerland. Bulunya pendek berwarna putih atau krim dengan titik hitam di hidung, telinga dan di kelenjar susu.

 

Hidungnya lurus dan muka berupa segitiga. Telinganya sederhana dan tegak ke sebelah dan ke depan. Ekornya tipis dan pendek.

 

Tanduk didapati pada kedua-dua jantina. Kekacang di leher boleh dilihat pada baka ini.

 

Penghasilan susunya berbeza di antara 500 kg dan 1,200 kg dalam tempoh 250 hari, (purata 800 kg).

Berat Lahir:   Jantan: 3.0 kg, Betina: 3.3 kg

Berat Dewasa: Jantan: 68 – 91 kg, Betina: 36 – 63 kg

 

Industri ternakan kambing di Malaysia bertujuan untuk menghasilkan susu dan daging. Baka-baka kambing yang dapat mengeluarkan susu dan daging yang baik diimport dari luar negeri seperti Jamnapari, Saanen, Anglo Nubian dan Toggenburg, untuk disilangbiakkan dengan baka tempatan. Hasilnya kita memperolehi anak kambing yang cepat membesar, tahan pada cuaca dan banyak mengeluarkan susu.

 

Sekarang mungkin anda dapat mengenali baka-baka kambing yang diternak di Malaysia dan berkemungkinan dari semasa ke semasa pelbagai baka akan muncul seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan industri ternakan terutama ternakan kambing untuk menjadikan dari bidang yang hanya untuk sara diri kepada industri perniagaan.

 

Anda berminat untuk mengetahui pelbagai lagi berkenaan industry ternakan kambing. Boleh klik disini

 

 

Exit mobile version