Blog Sabree Hussin

Apa yang menarik di Bazar Ramadhan Medan Selera Desa Tasik

Hari ni kita dah berada di hari ketiga dibulan Ramadhan. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan usia dan beri kesempatan untuk mengerjakan ibadah puasa dan lain-lain ibadah dibulan ini.

 

Banyak kali saya dengar nasihat yang berbunyi, jadikan bulan Ramadhan kali ini sebagai pesta ibadat dan bukannya pesta membeli belah.

 

Nasihat tu memang ada betulnya, dan ia merupakan satu nasihat yang baik. Dalam setahun, kita cuma akan lalui bulan Ramadhan ini selama 30 hari sahaja. Kalau dah terlepas bulan ini, kena tunggu tahun depan, itupun kalau masih diberi rezeki umur yang panjang.

 

Dua hari berturut-turut, saya ke bazar untuk beli juadah berbuka puasa.

Macam inilah lebih kurang suasana bazar dekat tempat saya. Sekitar jam 5 petang. Masa ni, baru lepas hujan dan tengah gerimis. Permulaan puasa tahun ni, cuaca redup je. Petang-petang, biasanya hujan akan turun.

 

Jadi tak terasa panasnya. Bagi yang baru nak belajar puasa, harap dapat gunakan peluang ini untuk puasa penuh.

 

Dengan cuaca yang mendung, yang sesekali gerimis ni, sedikit sebanyak membuatkan pengunjung jadi agak kurang. Mungkin sebab masa ni masih terlalu awal agaknya, untuk orang datang beli juadah berbuka puasa.

 

Saya harap, mereka yang meniaga di bazar kali ini, dapatlah jana keuntungan, walaupun dengan cuaca yang tak begitu baik ni. Sebenarnya, bukan satu dua gerai sahaja yang tak begitu mendapat sambutan, tapi ada banyak gerai.

 

Termasuklah juga gerai yang menjual air balang dan air jus.

Biasa orang kata, dalam suasana panas-panas ni memang seronok kalau dapat minum air jus yang sejuk. Tapi kalau cuaca mendung, keinginan nak menikmati kelazatan jus buah-buahan tu mungkin kuranglah sedikit.

 

Jadi, peniaga yang menjual air balang ni pun nampaknya agak slow juga jualan mereka.

Tahun-tahun sebelumnya, memang saya biasa nampak, dekat bazar memang ada yang menjual burger. Kadang-kadang tu, saya rasa pelik juga, ada ke yang nak berbuka dengan burger?

 

Bila dibandingkan dengan harga nasi tomato, atau nasi ayam misalnya, harganya lebih kurang sama. Kalau saya, jika disuruh buat pilihan, sama ada nak makan burger, atau makan nasi, saya akan pilih makan nasi.

 

Tapi tu la… setiap orang kan selera dia lain-lain.

Saya tertarik dengan gerai yang menjual burger, sebab dia jual burger termasuk dengan kentang, dan ada salad. Lebih kurang macam dalam gambar kat atas ini. Bila tengok dari jauh, memang nampak menyelerakan.

 

Perut saya, perut orang Melayu. Macam manapun, mesti nak cari nasi jugak.

 

Bulan puasa ni, biasalah… mood pembeli memang agak lain. Kalau sebelum ni, kita boleh makan banyak, tapi bila masuk bulan puasa, makan sikit dah rasa kenyang. Masa tengah lapar tu, memanglah semua benda nampak sedap.

 

Kalau yang memang jenis poket tebal tu, rasanya kalau boleh semua benda nak beli. Semua benda nak rasa.

 

Cuma kalau saya, saya tak berani nak beli banyak-banyak. Pertama, saya nak elakkan berlaku pembaziran. Memanglah juadah buka puasa yang tak habis tu, boleh carry forward masa nak sahur nanti. Tapi pernah berlaku dalam tahun-tahun sebelum ni, even dah bawa ke waktu sahur, tetap tak boleh habiskan.

 

Sebab kedua, saya tak berani nak ambik risiko terbeli juadah yang tak sedap. Maklumlah, kita bukannya boleh rasa dulu, sebelum beli. Nampak macam sedap, tapi dari segi rasa sebenarnya, masa berbuka nanti baru kita akan tau.

 

Dan sebab ketiga, saya risau akan rasa jemu terlalu awal. Kita akan berpuasa sebulan. Kalau minggu pertama puasa, dah beli semua yang dijual di bazar, semua dah tau rasanya, silap-silap nanti dekat-dekat nak hujung, rasa jemu dengan makanan bazar dan kalau pergi bazar jadi tak tau nak makan apa pula.

 

Sokong perniagaan saudara seagama kita

Bila kita pusing satu bazar, mungkin akan perasan, ada kedai yang pelanggannya beratur sangat panjang. Ada gerai yang biasa-biasa, tapi masih ramai pengunjung. Pada masa yang sama, akan ada juga gerai yang memang lengang langsung tak ada orang.

 

Kenapa boleh tak ada orang? Wallahua’lam.

 

Saya rasa, sebagai pembeli, kita boleh bantu peniaga tu dengan berbelanja di gerai miliknya. Bukanlah nak suruh beli semua yang dia jual. Anggap macam ni je la, even kalau kita beli barang harga RM2 pun, sebenarnya dah menggembirakan peniaga tersebut.

 

Apa salahnya, kalau kita berkongsi kegembiraan dan berkongsi rezeki dengan orang lain kan? Kadang-kadang kita tengok, gerai tu langsung tak ada orang beli apa-apa. Kesian peniaga tu, duduk termenung sambil mengadap barang-barang jualan.

 

Lepas kita datang gerai tu, kita beli satu barang, dengan tak semena-mena, ada orang lain yang turut singgah dan beli something dari gerai yang awalnya tak ada orang tu.

 

Saya agaklah kan, mungkin sesetengah orang ni, dia takut nak beli dekat gerai yang tak ada orang langsung beli barang. Jadi, bila dia nampak ada orang lain beli, baru dia jadi yakin nak beli juga.

 

Terpulanglah. Ini masing-masing punya pandangan, kan. Sesetengah orang, dia lebih suka bersedekah duit apabila tiba bulan Ramadhan. Masukkan duit dalam tabung masjid atau mana-mana tabung yang dia rasa sesuai.

 

Saya pula berpendapat, kalau dapat sedekah makanan pun baik juga. Dekat sini, kita dah tolong peniaga yang jujur, yang menjual makanan, kemudian makanan tersebut, kita sedekahkan untuk menjamu orang-orang yang nak berbuka puasa.

 

Kalau kita bagi duit, kemudian duit tu orang yang terima terus guna untuk buat sendiri makanan untuk buka, pun baik. Cuma jumlah jiwa yang terkesan dan mendapat manfaat dari sumbangan kita tu, mungkin tak seramai kalau kita beli makanan dan sedekahkan makanan.

 

Apa pun, ramadhan ada 30 hari. Pelbagaikanlah cara sumbangan. Selepas habis bulan ramadhan, juga boleh lagi beri sumbangan. Teruskan, teruskan…

 

Kecewa dengan gerai yang menjual Roti John

Hari pertama dekat bazar, teringin nak makan roti john.

Peniaga tu tanya, nak mana satu? Ayam, daging atau cheese?

 

Saya pulak, dengan tak tanya apa-apa, terus mintak daging cheese. Ini memang kesilapan saya sendiri, sebab tak tanya dulu, berapa harganya.

 

Sekali barang dah bertukar tangan, dia sebut RM8! Wow, saya dah lama tak ikuti perkembangan harga Roti John, dan saya betul-betul tak sangka, harganya dah mencecah sebegitu mahal.

 

Serius, kalau saya tahu lebih awal, yang harganya mahal macam ni, memang sorrylah… tak beli.

 

Kesilapan saya, saya tak tanya dulu harga. Kesalahan peniaga tu, dia tak pamerkan harga makanan yang dia jual. Saya harap pihak yang berkuasa dan bertanggungjawab untuk menyelia bazar ni, dapat ambil tindakan dan ingatkan peniaga tu untuk mempamerkan harga makanan, selain memastikan peniaga menjaga kualiti dan kebersihan makanan yang dijual.

 

Itu antara yang dapat saya kongsikan, semasa membeli belah di bazar kali ni. Saya doakan, semoga yang berniaga tu, dapatlah jana keuntungan. Bagi yang tak berniaga di bazar tu, mungkin boleh jalankan bisnes kecil-kecilan yang ada potensi besar di bulan puasa ini.

 

 

 

Exit mobile version