Blog Sabree Hussin

Apa sebenarnya Punca & Faktor kemiskinan?

Tarikh 19 Januari 2023, Portal Sinar Harian ada menerbitkan satu berita bertajuk Jumlah isi rumah miskin tegar aib, memalukan – PM.

Ada beberapa intipati yang menarik perhatian saya menerusi artikel tersebut.

(1) Prinsip ‘unbridled capitalism’ yang diamalkan di negara ini suatu ketika dahulu menyaksikan golongan maha kaya terpilih menguasai hampir semua bidang.

“Ia seolah-olah kita dan seluruh jentera tidak mempunyai keupayaan mengenal pasti syarikat atau kelompok baharu untuk dilatih dan diangkat bersama supaya diperluas peluang kepada mereka,”

 

(2) Pembebasan golongan terpinggir daripada belenggu kemiskinan perlu mengambil kira usaha memerdekakan mereka daripada terus bergantung kepada bantuan serta sumbangan kerajaan.

“Kita tidak mahu negara ini dibangunkan dengan ada dalam kalangan kaum minoriti atau golongan miskin daripada pelbagai latar belakang bangsa termasuklah rakyat Sabah serta Sarawak yang merasakan mereka terpinggir atau tersisih,”

 

(3) Sokongan dasar Kerajaan Perpaduan Malaysia harus menjamin sokongan kepada pemodal supaya dapat menjalankan kegiatan ekonomi dengan baik tanpa menyebabkan penekanan serta sengsara terhadap rakyat di bawah.

 

(4) Sebanyak 136,000 isi rumah berada dalam kategori miskin tegar, manakala isi rumah dalam kategori miskin pula adalah sebanyak 308,000 isi rumah.

 

Jadi, kemana sebenarnya hala tuju penulisan saya pada kali ini?

Baiklah, sebenarnya saya mula tertarik dengan topik kemiskinan, memandangkan ini adalah topik yang boleh dikatakan seringkali diulang-ulang saban tahun walaupun silih berganti pemimpin diatas sana.

 

Adakah isu kemiskinan ini terlalu rumit dan terlalu sukar untuk ditangani, hinggakan pada hari ini, isu kemiskinan masih lagi dibincangkan?

Isu kemiskinan ini, bukan hanya menjadi isu di negara kita sahaja, malahan diseluruh dunia. In fact, di negara maju juga ada orang miskin.

Kalau kita menonton filem-filem hollywood, kadang-kadang ada ditunjukkan babak mengenai masyarakat yang hidup dalam kemiskinan dan tak mempunyai rumah. Mereka ini dikenali sebagai golongan homeless.

Kalau dekat negara maju pun golongan miskin itu masih wujud, inikan pula dinegara yang masih dalam fasa membangun.

 

Apa punca kemiskinan?

Apa sebenarnya yang menjadi punca, faktor atau penyebab kenapa seseorang itu hidup dalam kemiskinan?

 

Saya tertarik untuk mencari jawapan bagi persoalan ini. Saya percaya, punca kemiskinan ini ada pelbagai faktor dan setiap orang pasti tak sama perkara yang menjadi punca dia hidup dalam kemiskinan.

 

Disini saya senaraikan antara faktor yang menjadi penyebab kepada masalah kemiskinan.

(1) Kurang peluang untuk mendapatkan pendidikan

(2) Kurang peluang pekerjaan

(3) Kekurangan dari segi fasiliti kesihatan

(4) Bencana, konflik dan peperangan

(5) Pecah amanah dan tiada tata kelola yang baik

(6) Diskriminasi secara bersistematik

(7) Ekonomi yang tak stabil

(8) Gaji yang rendah dan pembahagian gaji yang tak adil

(9) Populasi penduduk yang terlalu padat

(10) Kekurangan sumber asli dan pencemaran alam sekitar

(11) Masalah kestabilan politik

(12) Legasi bebanan hutang dari pemerintahan terdahulu

(13) Tiada akses kepada pinjaman dan pembiayaan

(14) Kelemahan dalam aspek pengurusan diri

 

Baik, seterusnya saya akan terangkan setiap poin dengan lebih terperinci.

 

(1) Kurang peluang untuk mendapatkan pendidikan

Bagaimana kalau peluang untuk menyambung pelajaran keperingkat yang lebih tinggi, hanya diberi keutamaan kepada pelajar cemerlang, dan pelajar yang mampu untuk mendapat keputusan yang paling baik sahaja?

 

Adakah ini merupakan tindakan yang tepat?

 

Saya rasa perkara tersebut tak salah. Memang lazimnya begitu. Keutamaan diberikan kepada pelajar yang benar-benar cemerlang, barulah tak sia-sia untuk melanjutkan pelajaran, berbanding pelajar yang tercicir dan banyak gagal dalam matapelajaran.

 

Tapi nanti dulu.

 

Pelajar cemerlang, lazimnya

1. Datang dari keluarga yang berkemampuan

2. Menghadiri tuisyen dan kelas tambahan

3. Sebahagiannya ada personal tutor

4. Ada kelengkapan yang selesa untuk belajar

5. Makan makanan yang berkhasiat dan sedap-sedap

6. Cukup nutrisi dan mengambil makanan tambahan (supplement)

 

Bagaimana pula dengan pelajar yang kurang cemerlang?

1. Datang dari keluarga yang susah dan tak berkemampuan

2. Hanya bergantung kepada sesi pembelajaran disekolah

3. Tiada siapa-siapa yang boleh dijadikan rujukan untuk bertanya

4. Makan sekadar untuk mengisi perut

5. Kurang nutrisi

6. Tidak memiliki kelengkapan yang cukup untuk belajar

7. Boleh jadi menghadapi kesukaran untuk ke sekolah terutama sekali jika cuaca kurang baik

8. Mungkin kerap jatuh sakit kerana tak cukup nutrisi

 

Malahan ada kes-kes yang biasa saya dengari, ada golongan pelajar dari keluarga yang miskin turut membantu ibu bapa dalam urusan mencari pendapatan. Sebagai contoh, ibu buat kuih muih manakala anak-anak bantu dalam kerja-kerja menjual ditempat yang ramai orang.

 

Kanak-kanak ini akan bawa bakul dan akan menyapa setiap orang yang lalu-lalang untuk membeli barangan yang dijual. Kalau pada hari tersebut barangan yang dibawa habis awal, maka dia boleh balik awal. Tapi lazimnya selagi barangan yang dijual belum habis terjual, selagi itulah dia akan terus mencari pelanggan.

 

Kalau anak-anak tak membantu dalam urusan menjual, mereka mungkin perlu main peranan dalam membantu menjaga adik-adik yang masih kecil lagi.

 

Kalau begini keadaannya setiap hari, bagaimana mereka nak fokus dengan pelajaran?

 

Bagaimana pelajar yang serba kekurangan nak bersaing dengan pelajar yang berkemampuan?

Memang susah.

 

Situasi seperti ini, jika dibiarkan tanpa intervensi dari pihak yang mempunyai kuasa, sampai bila-bilalah mereka akan terus hidup dalam kemiskinan.

 

Perlu ada inisiatif untuk menempatkan anak-anak dari keluarga yang miskin tetapi minat untuk belajar bagi masuk ke sekolah berasrama.

Biasanya jika belajar disekolah yang menyediakan kemudahan asrama, pelajar akan diberikan makanan yang berkhasiat, ada jadual makan yang teraur, ada masa untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran.

 

Anak-anak yang masih belajar, sepatutnya hanya perlu fokus untuk belajar sahaja, manakala hal-hal lain yang tak ada kaitan dengan pembelajaran, tidak perlu difikirkan.

 

Manakala keluarga yang susah dirumah boleh dibantu dengan cara lain, tanpa perlu melibatkan tenaga kerja dari anak-anak yang masih bersekolah.

 

Mudah-mudahan anak-anak yang mendapat bantuan untuk belajar ini, satu hari nanti dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang tinggi, dan akhirnya mendapat keputusan yang cemerlang dan mudah mendapat pekerjaan yang baik juga.

 

(2) Kurang peluang pekerjaan

Masalah kekurangan peluang pekerjaan disesuatu daerah, kawasan atau wilayah juga menjadi faktor yang menyumbang kepada kemiskinan.

 

Penduduk yang berada dikawasan tersebut perlu berhijrah ketempat lain bagi tujuan mendapatkan kerja. Manakala untuk penduduk yang ada halangan untuk berhijrah, atas pelbagai faktor seperti kesihatan, perlu bertahan ditempat tersebut dan hidup dalam kemiskinan.

 

Bagaimana cara seseorang itu boleh menjana atau menghasilkan pendapatan?

Lazimnya, cara yang biasa digunakan adalah sama ada bekerja dengan majikan, bekerja sendiri, menjalankan perniagaan ataupun membuat pelaburan.

 

Menjalankan perniagaan sendiri dan membuat pelaburan biasanya memerlukan pengetahuan dan ilmu yang tinggi. Justeru, mereka yang dalam kategori miskin ini jarang yang ada pengetahuan dan skill yang mencukupi untuk terlibat dalam kegiatan seumpama ini.

 

Maka, mereka yang dalam kategori miskin ini lebih cenderung untuk bekerja dengan majikan ataupun bekerja sendiri.

 

Jika disesuatu tempat itu mempunyai kegiatan ekonomi yang rancak, ada banyak restoran, shopping mall, kawasan perindustrian dan sebagainya, lazimnya peluang pekerjaan yang tersedia juga ada banyak dikawasan tersebut.

 

Tapi jika dikawasan tersebut tiada atau kurang aktiviti ekonomi, maka peluang pekerjaan juga selalunya sangat terhad. Maka penduduk akan cuba menghasilkan pendapatan dengan cara bekerja sendiri.

 

Bekerja sendiri ini, disesetengah tempat turut dipanggil sebagai buat kerja-kerja kampung. Itu situasinya jika dikawasan kampung. Lazimnya aktiviti atau kegiatan yang akan dilakukan adalah seperti memotong rumput, mengecat rumah, kerja-kerja pembersihan dan sebagainya.

 

Jika ada penduduk setempat yang memerlukan khidmat maka adalah kerja. Jika tidak ada siapa yang perlukan khidmat tersebut, maka tiadalah pekerjaan.

 

Ketika tiada sebarang kerja yang boleh dilakukan bagi tujuan mendapatkan upah, mereka ini akan menghabiskan masa yang ada untuk memancing ikan bagi dijadikan makanan.

Jadi kita boleh katakan, apabila peluang pekerjaan disesebuah kawasan itu sangat terhad, atau tiada langsung, maka penduduk disitu cenderung untuk hidup dalam keadaan serba kekurangan.

 

(3) Kekurangan dari segi fasiliti kesihatan

Fasiliti penjagaan kesihatan ini adalah seperti klinik dan hospital.

 

Seseorang yang menghidap penyakit tertentu, atau yang mempunyai masalah kesihatan, memang akan menghadapi kesukaran untuk melakukan kerja dan mencari pendapatan. Situasi ini akan jadi bertambah buruk apabila dikawasan tersebut tak mempunyai fasiliti penjagaan kesihatan yang baik.

 

Boleh jadi klinik dan hospital terlalu jauh, dan individu tersebut pula tak mempunyai kenderaan untuk mendapatkan rawatan.

 

Sebenarnya dalam konteks fasiliti penjagaan kesihatan ini, kita bukan sekadar melihat dari aspek jarak, iaitu jauh ataupun dekat lokasi klinik dengan tempat tinggal penduduk. Sebaliknya, kita perlu lihat juga dari segi kualiti perkhidmatan dan juga kos untuk mendapatkan rawatan.

 

Jika bilangan penduduk yang memerlukan rawatan terlalu ramai, manakala bilangan kakitangan perubatan terhad, ini akan menyebabkan masa untuk mendapatkan layanan menjadi lebih panjang.

 

Siapa yang sanggup menunggu dalam keadaan terseksa menahan sakit, kalau untuk berjumpa doktor perlu menunggu berjam-jam lamanya?

 

Pesakit datang pada jam 9.00 pagi dan hanya dapat bertemu doktor pada jam 3.00 petang. Sanggupkah menunggu sehingga 6 jam sambil menahan sakit dalam suasana dan keadaan yang kurang selesa?

 

Kalau saya jadi pesakit, saya lebih rela berehat dan berbaring di rumah sahaja daripada bertemu doktor.

 

Sudah tentu, kalau individu yang berkemampuan, mereka ini boleh pergi ke mana-mana klinik swasta bagi mendapatkan layanan yang lebih cepat. Mereka yang berkemampuan ini juga, sama ada mempunyai perlindungan insurans yang disediakan oleh syarikat tempat mereka bekerja, ataupun mereka sendiri yang melanggan kad perubatan.

 

Jadi tak ada masalah untuk mereka pergi ke mana-mana klinik swasta atau hospital yang menjadi panel.

 

Kelebihan seumpama ini tak dapat dinikmati oleh mereka yang berada dalam kategori miskin. Suka atau pun tidak, mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan di klinik kerajaan.

 

Adakah fasiliti perubatan milik kerajaan tak mampu menyediakan perkhidmatan yang pantas seperti mana yang disediakan oleh klinik swasta?

Pada pendapat saya, klinik kerajaan juga mampu dan boleh menyediakan perkhidmatan yang pantas.

 

Sudah tentu, perlu ada inisiatif dari kerajaan itu sendiri untuk menaiktaraf kualiti khidmat tersebut.

Tambah bilangan doktor, tambah staf perubatan dan sebagainya.

 

Ini memerlukan suntikan dana yang tinggi kepada kementerian kesihatan, dan yang menjadi persoalannya, adakah kerajaan bersedia untuk memperuntukkan dana yang tinggi bagi tujuan ini?

 

Atau kerajaan lebih berminat untuk mengutamakan pembangunan projek-projek mega, yang dipercayai mampu untuk menarik pelabur luar dan seterusnya meningkatkan dan merancakkan kegiatan ekonomi di negara ini?

 

Walaubagaimanapun, tak ada siapa yang mampu meramal masa depan dengan ramalan yang tepat. Projek mega yang kononnya mampu untuk memberi impak positif kepada kedudukan ekonomi negara juga akhirnya boleh bertukar menjadi projek gajah putih.

 

Ada banyak laporan media yang melapor hal seumpama ini.

Apabila membaca berita seperti ini, berkenaan projek-projek besar yang akhirnya terbengkalai ataupun projek yang telah siap lama tapi akhirnya tak digunakan lagi, ia memberi gambaran seolah-olah pemimpin yang memegang tampuk kuasa pada ketika itu tidak melakukan perancangan pembangunan dengan betul.

 

Mereka seperti menjalankan sesebuah projek bagi tujuan menunjukkan kepada dunia, bahawa ini adalah legasi pemerintahan yang ditinggalkan, sepanjang dia berkuasa dahulu. Tapi apabila sudah tak berkuasa lagi, lalu diganti dengan pemimpin lain, projek dari pimpinan terdahulu sudah tak lagi diberi perhatian dan dianggap sudah tak relevan.

 

Bukankah lebih baik, dana-dana yang diperuntukkan untuk menjayakan projek yang akhirnya menjadi projek gajah putih ini, disalurkan untuk menaik taraf kualiti dan fasiliti penjagaan kesihatan serta pendidikan dinegara kita.

 

(4) Bencana, konflik dan peperangan

Bukan semua orang yang hidup miskin memang lahir sebagai orang miskin. Boleh jadi mereka pernah menjadi orang yang kaya satu ketika dulu, tapi disebabkan berlaku kemalangan atau bencana, menyebabkan mereka ini hilang segala-galanya dan akhirnya jatuh miskin.

 

Bagi negara yang ditimpa bencana atau yang pernah dilanda wabak penyakit berjangkit seperti mana ketika pandemik covid-19 satu ketika dulu, kita perlukan masa untuk kembali mengukuhkan semula kedudukan kewangan.

 

Sesetengahnya perlukan bantuan dari segi kewangan, bagi memulakan semula perniagaan yang sebelum ini terpaksa ditutup akibat keputusan kerajaan untuk menjalankan Perintah Kawalan Pergerakkan sehingga menyebabkan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.

 

(5) Pecah amanah dan tiada tata kelola yang baik

Hal ini sebenarnya berkait rapat dengan pemimpin sesebuah negara. Kita sedia maklum, kebanyakkan negara yang mengamalkan sistem demokrasi, akan melalui proses pilihanraya yang seterusnya akan menentukan siapa yang akan menjadi pemimpin negara tersebut.

 

Sistem demokrasi ini tak sempurna. Adakalanya pemimpin yang memenangi sebuah pilihanraya bukanlah pemimpin yang meletakkan prioriti kepada rakyat, sebaliknya mereka lebih mengutamakan kepentingan peribadi.

 

Ahli politik menggunakan kedudukan, kuasa dan pangkat yang disandang bagi tujuan menjarah kekayaan sesebuah negara. Projek-projek besar melibatkan pembangunan negara diagihkan sesama sendiri, dan akhirnya hanya ahli keluarga, sahabat dan kroni sahaja yang akan mendapat manfaat.

 

Mereka yang sudah kaya bertambah-tambah kaya, kerana membolot kekayaan negara dengan cara yang tak adil.

 

Tatakelola yang baik ini juga sebenarnya bukanlah hanya perlu ada dalam kalangan pemimpin dan ahli politik semata-mata. Pada saya, semua orang wajib mempunyai tatakelola dan pengurusan diri yang baik.

 

Ini saya merujuk kepada aspek pengurusan diri dan juga pengurusan kewangan. Ketika ada wang, janganlah berbelanja dengan sangat boros seolah-olah wang yang kita miliki itu tak akan habis sampai bila-bila.

 

Kita membuat pinjaman dengan bank bagi membeli pelbagai barangan mewah, sama ada rumah, kereta, dan lain-lain lagi. Ketika semuanya berada dalam keadaan baik, ekonomi juga baik, kita memang tak ada masalah untuk membayar semua komitmen kewangan.

 

Tapi bagaimana kalau dengan tiba-tiba kita atau negara kita dilanda bencana? Bencana banjir, tanah runtuh atau mungkin penularan penyakit berjangkit seperti yang kita pernah lalui dulu.

 

Waktu itu, barulah kita akan terduduk dan mula menyesal diatas kerakusan dan kurangnya kesedaran untuk mengurus kewangan dengan baik satu masa dulu.

 

(6) Diskriminasi secara bersistematik

Ini boleh berlaku jika pemerintah dengan sengaja ingin memastikan sesuatu kelompok masyarakat dikawasan tertentu kekal hidup miskin.

 

Sebarang projek pembangunan tidak dijalankan dikawasan tersebut, bagi tujuan memastikan penduduk disitu terus bergantung harap kepada wakil rakyat yang bermurah hati sentiasa menjaga keperluan penduduk setempat.

 

Tujuannya adalah supaya setiap kali pilihanraya diadakan, wakil rakyat dari parti yang sama akan terus memenangi pertandingan tersebut. Apa tidaknya, penduduk disitu sudah termakan budi dengan keprihatinan wakil rakyat.

 

Sebenarnya wakil rakyat yang baik bukanlah mereka yang sentiasa beri duit kepada penduduk. Tetapi wakil rakyat yang baik, akan membawa suara rakyat dan membawa pembangunan kepada penduduk setempat.

 

Diwujudkan sekolah, kemudahan fasiliti penjagaan kesihatan, bekalan air bersih, sambungan internet, bekalan elektrik, peluang menjana pendapatan dan sebagainya.

 

Pada hari ini, dengan berkembangnya teknologi, kita sebenarnya boleh membuat kerja-kerja pejabat hanya dari rumah. Saya ambil contoh jika kerja yang melibatkan aktiviti pemasaran digital. Ia boleh dilakukan hanya dari rumah dengan bantuan komputer dan laptop.

 

Masalah tak ada peluang pekerjaan? Tak ada masalah. Sementara menunggu panggilan untuk temuduga, kenapa kita tak lakukan kegiatan pemasaran digital dan cuba mendapatkan pendapatan dalam bentuk komisen melalui jualan pelbagai jenis produk diinternet.

 

Tak pandai buat kerja-kerja pemasaran digital?

Beri latihan. Diluar sana, ada banyak individu yang ada kepakaran dalam bidang ini dan bersedia untuk bantu berikan latihan. Sekali lagi, ia perlukan kesanggupan pada pihak yang berkuasa untuk melabur bagi tujuan memberi latihan kepada penduduk setempat.

 

Sanggup ke?

 

(7) Ekonomi yang tak stabil

Dalam suasana dan keadaan ekonomi yang tak stabil, biasanya peluang pekerjaan juga akan menjadi semakin berkurang. Syarikat dan perniagaan akan mengecilkan operasi dan akan mula membuang pekerja.

 

Orang yang dah ada kerja pun belum tentu selamat, inikan pula mereka yang belum ada kerja dan sedang mencari kerja. Lazimnya cabaran bagi mereka untuk mendapatkan kerja adalah lebih besar.

 

Bagi syarikat yang cuba bertahan dalam suasana ekonomi yang kurang baik, mereka mungkin akan cuba berunding dengan pekerja sedia ada untuk menerima kadar gaji yang lebih rendah berbanding sediakala untuk sementara waktu. Setidak-tidaknya hinggalah keadaan ekonomi kembali pulih.

 

Ataupun jika tak setuju, mereka boleh memilih untuk berhenti kerja tanpa dikenakan sebarang denda atau perlu memberikan notis 3 bulan awal.

 

(8) Gaji yang rendah dan pembahagian gaji yang tak adil

Kemiskinan ini lazimnya dikaitkan dengan punca atau sumber pendapatan seseorang. Jika pendapatan yang dihasilkan oleh seseorang itu berada dibawah garis pendapatan tertentu, maka ia dikategorikan sebagai miskin.

 

Saya mengambil contoh di Pulau Pinang, seseorang itu dikategorikan sebagai miskin tegar apabila pendapatan bulanan isi rumah yang dihasilkan adalah kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan iaitu RM500 dan pendapatan perkapita RM100.

Gaji yang rendah akan menyukarkan individu tersebut untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan yang berkualiti dan berkhasiat, tempat tinggal yang selesa, penjagaan kesihatan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, dengan pendapatan yang kecil, nak memenuhi komitmen bulanan juga akan terasa sangat mencabar.

 

Dalam bercerita soal gaji, terdapat satu lagi isu berkaitan pemberian gaji iaitu pembahagian gaji yang tak adil.

 

Cuba anda bayangkan, ada dua orang pekerja dan kedua-dua pekerja ini melakukan kerja yang sama. Tetapi pekerja A dibayar gaji sebanyak RM2,000 manakala pekerja B menerima gaji sebanyak RM3,200.

Ada perbezaan sebanyak RM1,200.

 

Apakah rasionalnya terdapat perbezaan dari segi pembayaran gaji?

Majikan mungkin akan kata, perbezaan gaji ini disebabkan

i. Pekerja B boleh berbahasa Mandarin

ii. Pekerja B mahir bahasa isyarat

iii. Pekerja B ada pengalaman dalam syarikat lain

 

Dalam konteks ini, kita perlu lihat adakah hujah yang diberikan ini sebenarnya memang masuk akal, ataupun hanya sekadar alasan untuk membenarkan majikan berlaku tak adil dan membayar lebih kepada pekerja yang dia sukai sahaja.

 

Boleh berbahasa mandarin? Sepanjang waktu bekerja, berapa kerap bahasa ini digunakan? Bahasa rasmi negara kita adalah Bahasa Melayu dan menjadi tanggungjawab semua penduduk di negara kita untuk mahir dan boleh bertutur dalam bahasa ini.

 

Boleh berbahasa isyarat? Sama juga halnya dengan poin bahasa mandarin. Berapa kerap ianya diperlukan?

 

Ada pengalaman dari syarikat terdahulu? Berapa banyak pengalaman yang dibawa masuk ke syarikat yang sekarang? Sedangkan setiap perniagaan dan syarikat akan ada standard operating procedure (SOP) yang tersendiri.

 

Setiap pekerja yang dibayar gaji, bekerja untuk memastikan operasi perniagaan dapat berjalan dengan lancar. Sama ada secara langsung atau tak langsung, mereka ini menyumbang kepada keuntungan perniagaan yang dijalankan.

 

Jika kedua-dua pekerja lakukan kerja yang sama, dengan kualiti kerja yang sama, adalah tak adil apabila kadar upah dan bayaran yang diberikan terdapat perbezaan yang begitu ketara.

 

Berapa kos untuk membayar gaji kedua-dua orang pekerja ini?

Pekerja A (RM2,000) + Pekerja B (RM3,200) = RM5,200

 

Pembahagian yang lebih adil adalah

RM5,200 ÷ 2 = RM2,600 setiap orang

 

Walaubagaimanapun cara pembahagian secara sama rata ini juga boleh menimbulkan isu ketidakadilan, apabila kita mengambilkira faktor seperti pengalaman, kelulusan akademik, kualiti perkhidmatan, dan sebagainya.

 

Tapi itulah, boleh jadi sebab majikan tersebut lebih sayangkan pekerja B, maka dia buat keputusan untuk bayar pekerja B lebih tinggi berbanding pekerja A.

 

Kita tinggalkan sejenak mengenai pembahagian gaji sesama pekerja yang tak adil tu. Kita fokus pula kepada topik bayaran gaji yang rendah.

 

Sebelum ini, saya pernah menulis satu artikel bertajuk 10 sebab munasabah kenapa anda patut berhenti kerja sekarang. Salah satu sebab yang saya masukkan disitu adalah berkenaan dengan bayaran gaji yang rendah.

 

Jika anda berjaya menemui syarikat lain yang berupaya memberikan anda bayaran gaji yang lebih tinggi, maka ini merupakan satu langkah yang tepat untuk mendapatkan kenaikkan dari segi pendapatan.

 

Bagaimana keadaan apabila seseorang itu perlu bertahan dengan bayaran gaji yang rendah?

Tidakkah dia merasakan saban tahun cabaran hidup menjadi semakin bertambah?

 

Kalau yang sudah mendirikan rumah tangga, boleh jadi akan berlaku pertambahan ahli keluarga dan semua isi rumah perlu bergantung kepada satu sumber pendapatan yang tak begitu besar.

 

Sudah pasti dalam keadaan ini, kehidupan akan jadi sangat mencabar. Pendapatan tidak ada sebarang peningkatan, sebaliknya jumlah tanggungan pula makin bertambah.

 

Kalau kita perhatikan, mereka yang berpendapatan rendah akan mempunyai kekangan untuk memajukan diri mereka. Mereka agak sukar untuk berbelanja bagi tujuan mempelajari skill baru, mendapatkan ilmu baru, melanjutkan pelajaran dan sebagainya. Pendek kata, melabur bagi tujuan mendapatkan pendidikan.

 

Dengan ilmu dan pendidikan, seseorang itu berpotensi untuk menaiktaraf keadaan ekonomi diri dan mendapatkan kerja yang lebih baik. Namun begitu, kesan seperti ini bukanlah berlaku serta merta. Boleh jadi keadaan dimana seseorang yang sudah mempunyai kelulusan yang tinggi, masih belum berjaya dapatkan kerja yang sesuai dengan kelayakkan yang dimiliki.

 

(9) Populasi penduduk yang terlalu padat

Apabila populasi penduduk disesebuah kawasan terlalu padat, ini akan menyebabkan persaingan sesama penduduk untuk mendapatkan kemudahan seperti tempat tinggal dan juga peluang pekerjaan bakal menjadi sengit.

 

Ketika permintaan untuk mendapatkan tempat tinggal meningkat, sama ada melalui pembelian atau sewaan, ini akan menyebabkan berlakunya kenaikkan harga.

 

Harga rumah akan naik.

Harga untuk sewa juga akan jadi semakin mahal.

Semuanya disebabkan oleh faktor permintaan yang tinggi.

 

Apa akan berlaku kepada penduduk yang tak berjaya mendapat pekerjaan oleh kerana faktor kepadatan penduduk yang terlalu tinggi ini kelak?

Mereka ini sama ada suka ataupun tidak, perlu mencari jalan keluar dengan berhijrah ke tempat lain.

 

Sebenarnya kalau kita dapat perhatikan, dikawasan yang mempunyai populasi penduduk yang ramai dan padat, boleh dikatakan kos hidup ditempat tersebut juga agak tinggi.

 

(10) Kekurangan sumber asli dan pencemaran alam sekitar

Ada negara yang bergantung sepenuhnya kepada sumber asli dalam memacu kegiatan dan perkembangan ekonomi. Sebagai contoh, petroleum. Persoalannya, adakah sumber asli ini tidak akan habis buat selama-lamanya?

 

Sudah tentulah ia akan habis.

Cuma bila ia akan habis itulah yang kita tak tahu.

 

Biasanya sebelum satu telaga minyak hampir kering, aktiviti carigali akan dijalankan bagi mencari sumber minyak dikawasan yang lain pula.

 

Selain petroleum, ada juga negara yang bergantung kepada aktiviti pertanian, nelayan dan sebagainya sebagai kegiatan ekonomi utama.

 

Aktiviti pertanian ini biasanya turut melibatkan aktiviti penerokaan hutan. Hutan belantara jika diteroka tanpa kawalan, boleh mengakibat kesan yang negatif kepada alam sekitar. Sebagai contoh, kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh sering dikaitkan dengan kegiatan meneroka hutan bagi tujuan pertanian.

 

Pemimpin sesebuah negara perlu menjadi lebih kreatif supaya negara tidak bergantung sepenuhnya kepada kegiatan yang memerlukan kebergantungan kepada sumber alam. Perlahan-lahan, ekonomi negara perlu bergerak kepada kegiatan yang dipacu oleh perkhidmatan, industri dan sebagainya.

 

Terlalu bergantung kepada satu bentuk kegiatan adalah satu langkah yang kurang baik.

 

Negara kita juga dulunya pernah bergantung kepada kegiatan agrikultur sebelum bermulanya revolusi industri satu ketika dulu. Namun, dengan bermulanya revolusi industri ini, tak bermakna sudah tak ada penduduk dinegara kita yang sudah tak bergantung harap pada kegiatan pertanian bagi menjana pendapatan.

 

Sudah tentulah ada.

 

Kita boleh baca laporan media, bahawa golongan petani adalah antara kelompok yang sedang berperang dengan kemiskinan.

Mereka melakukan kerja yang sangat mulia, dan terlibat secara langsung dalam memastikan bekalan makanan rakyat negara ini sentiasa ada, namun pada masa yang sama, mereka terpaksa hidup dalam serba kekurangan.

 

Pendapatan dalam bidang pertanian ini, tidak tetap. Ada banyak perkara yang bakal mempengaruhi pendapatan mereka. Antaranya adalah seperti harga anak benih, baja, cuaca, serangan penyakit, serangga dan macam-macam lagi.

 

Paling penting, bukannya tanam hari ini, esok terus boleh dapat hasil. Sesetengah tanaman akan memakan masa beberapa bulan barulah dapat memberikan hasil.

 

Apabila tiba musim menuai pula, belum tentu semua hasil tanaman dalam keadaan elok dan boleh dijual.

 

Mungkin golongan petani seperti ini, perlu mempunyai dua sumber pendapatan. Satu sumber dari hasil pertanian dan satu lagi sumber adalah dari sumber yang boleh memberikan pendapatan yang lebih konsisten. Persoalannya, apakah sumber pendapatan tersebut?

 

Bagaimana kalau golongan petani ini mempunyai sumber pendapatan dari rumah sewa? Untuk pendapatan bulanan yang lebih konsisten, mereka boleh bergantung harap pada kutipan duit sewa rumah, dan selain itu mereka juga ada pendapatan dari hasil tani.

 

(11) Masalah kestabilan politik

Negara kita pernah melalui fasa dimana kedudukan politik yang tak stabil. Ketika itu, apakah fokus dan prioriti pemimpin negara? Adakah mereka memikirkan tentang rakyat?

 

Sudah tentu jawapannya adalah tidak.

First thing first, mereka perlu pastikan kedudukan dan pangkat yang mereka ada itu kukuh terlebih dahulu.

 

Maka setiap harilah diadakan mesyuarat dan perjumpaan bagi meraih sokongan dalam kalangan ahli parlimen.

Kalaulah kesungguhan seperti ini ditunjukkan dalam usaha untuk membantu rakyat dan mengatasi masalah kemiskinan, bukankah ia lebih elok?

 

Tapi realitinya tak begitu. Pemimpin politik lebih mengutamakan isu yang berkaitrapat dengan kuasa dan jawatan yang disandang berbanding isu-isu rakyat.

 

Sepatutnya kita semua sudah sedar, bahawa ahli politik ini sebenarnya hanya akan memberikan prioriti terhadap kuasa dulu, barulah akan fikir mengenai rakyat. Melainkan kalau ahli politik tersebut terbukti tidak berkelakuan sedemikian.

 

(12) Legasi bebanan hutang dari pemerintahan terdahulu

Poin ini sebenarnya berkait rapat dengan urus tadbir dan tatakelola yang baik dari pemimpin terdahulu. Jika pemimpin terdahulu banyak membuat hutang dalam tempoh pentadbirannya, maka hutang tersebut akan diwariskan kepada generasi akan datang.

 

Peruntukkan dari kewangan negara perlu disalurkan untuk membayar hutang dan juga bunga hutang tersebut. Jika projek tersebut adalah projek yang memang berguna kepada rakyat, maka kita boleh katakan hutang tersebut adalah memang perlu.

 

Tapi bagaimana pula kalau pinjaman hutang tersebut adalah untuk mendanai projek yang akhirnya menjadi projek gajah putih? Projek atau bangunan tersebut tidak digunakan, dan akhirnya ia rosak tanpa ada siapa yang peduli. Sedangkan kos pembinaannya bukannya murah.

 

Akhirnya generasi kemudian mewarisi beban hutang.

Pemimpin yang bertanggungjawab menyebabkan negara berhutang, hidup senang lenang dan mempunyai banyak harta.

 

(13) Akses kepada pinjaman dan pembiayaan kewangan

Bagi golongan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, mereka memerlukan bantuan kewangan bagi membayar yuran dan menampung kehidupan bagi tempoh pembelajaran. Dalam keadaan ini, mereka perlukan pembiayaan kewangan.

 

Bukan semua orang cukup cerdik dan bernasib baik untuk menerima biasiswa. Kebanyakkan dari kita perlu membuat pinjaman pendidikan.

 

Ini merupakan satu langkah yang baik, dengan andaian setelah kita habis belajar kelak, kita akan dapat memperolehi pekerjaan yang baik dengan bayaran gaji yang tinggi. Pada waktu itu, isu untuk membuat bayaran balik pinjaman bukanlah menjadi satu masalah lagi.

 

Bantuan pinjaman kewangan ini juga diperlukan bagi golongan yang berniaga secara kecil-kecilan. Bagi membesarkan lagi operasi perniagaan mereka memerlukan sejumlah wang. Jika tiada mana-mana pihak terutama sekali bank yang bersedia memberikan pinjaman kewangan, maka sampai bila-bilalah mereka terpaksa beroperasi dalam skala yang kecil.

 

Jika sudah berniaga sendiri pun masih lagi dalam kategori miskin, maka untuk membantu individu tersebut keluar daripada belenggu kemiskinan adalah dengan memberi bantuan kewangan untuk membesarkan operasi perniagaan. Jika hanya mengharapkan pada keuntungan yang tak seberapa, maka sampai bila-bilah perniagaan tersebut tak dapat dikembangkan.

 

Namun persoalannya, adakah akses kepada pinjaman dan pembiayaan kewangan ini, mudah untuk diperolehi?

 

(14) Kelemahan pada pengurusan diri

Hal ini saya merujuk kepada golongan yang dulunya pernah mempunyai pendapatan yang baik, namun kemudian terjebak dengan belenggu hutang sehingga dia tak mampu untuk membayar hutang-hutang tersebut.

 

Dalam konteks ini, kita juga perlu melihat apakah yang dia beli secara berhutang itu? Adakah barang-barang yang memang merupakan suatu keperluan dan melibatkan persoalan hidup dan mati, atau membeli barangan dalam kategori kemahuan?

 

Apabila seseorang itu berbelanja melebihi kemampuan sebenar, maka tunggulah saat datangnya ujian, maka akan tersingkaplah rahsia, bahawa selama ini dia memang tak mampu, tapi berbelanja secara berlebihan seolah-olah dia benar-benar berkemampuan.

 

Sebenarnya hidup ini tak mahal.

Yang mahal itu adalah gaya hidup.

 

Kita sendiri yang pilih, nak hidup dengan gaya yang bagaimana?

Apabila kita lupa untuk ukur baju dibadan sendiri, dan terlalu obses untuk membuatkan orang lain berasa takjub dengan kekayaan kita, maka tunggulah akibatnya nanti.

 

Penutup

Dewasa ini, saya mula melihat isu kemiskinan ini sebagai satu kitaran hidup. Kita biasa dengar istilah seperti miskin tegar, miskin, B40, M40 dan juga T20.

 

Pada hemat saya, setiap orang boleh bergerak keatas dan melalui kehidupan yang lebih baik, misalnya dari B40 bergerak ke M40 dan seterusnya berjaya mencapai pendapatan yang lebih tinggi bagi melayakkan dirinya berada dalam kelompok T20.

 

Pada masa yang sama, mereka yang berada di tangga T20 pula jangan terlalu seronok. Pada bila-bila masa, jika kena dengan situasinya, misalnya sewaktu pandemik covid-19 melanda negara dulu, mereka yang dulunya berstatus T20 juga boleh terjunam hingga ke kelompok B40.

 

Logik ke T20 jadi B40?

Saya merujuk kepada akhbar Harian Metro bertarikh 6 Disember 2022 berjudul B40 mungkin sudah jadi B70. Dalam laporan tersebut, golongan T20 ditakrifkan sebagai

“T20 pula merujuk golongan kaya yang mana gaji dan pendapatan isi rumah mereka melebihi RM10,971 sebulan.”

 

Individu yang dulunya berniaga mampu mencapai pendapatan yang sedemikian banyaknya. Tetapi setelah perniagaan mula jatuh, dipaksa tutup berbulan-bulan lamanya, individu yang sama boleh mengalami penyusutan dari segi pendapatan.

 

Kemiskinan ini sebenarnya berkait rapat dengan kemampuan seseorang individu itu untuk menghasilkan pendapatan.

Jika seseorang itu hanya mampu untuk menghasilkan pendapatan dibawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) maka individu tersebut dikategorikan sebagai miskin, dan begitulah seterusnya pengelasan yang dilakukan bagi menentukan sama ada seseorang itu berada dalam kategori B40, M40, atau T20.

 

Apakah sebenarnya yang menjadi faktor penghalang atau pengehad yang membuatkan seseorang itu hanya mampu untuk menghasilkan pendapatan setakat apa yang dia mampu hasilkan?

Ini satu persoalan, yang mungkin kita akan bincangkan dalam posting yang akan datang, In Shaa Allah.

 

By the way, satu masa dulu, saya pernah dengar dalam satu kuliah agama yang mana dalam kuliah tersebut ustaz ada menyebutkan bahawa orang miskin ini memang tak akan hilang atas muka bumi ini. Ia akan terus ada hingga ke hari kiamat.

 

Buktinya adalah melalui ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan soal kemiskinan. Kita maklum, ayat Al-Quran ini intipatinya relevan hingga ke hari akhirat.

 

Sebagai contoh terjemahan surah Al-Baqarah ayat ke 215 dibawah ini.

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

 

Orang miskin itu akan sentiasa ada.

Cuma individu tersebut mungkin berbeza-beza kerana saya percaya tak akan semua orang yang miskin itu akan selama-lamanya hidup miskin. Pasti akan muncul satu masa hidupnya berubah, dari miskin kepada lebih baik.

 

 

Exit mobile version