Blog Sabree Hussin

Tips kerjaya untuk pelajar lepasan SPM yang ingin bekerja selepas habis sekolah

Apa anda nak buat selepas habis SPM? Sambil tunggu keputusan SPM keluar tu, bagaimana anda isikan masa lapang agaknya ya?

 

Jika jawapan yang anda berikan ialah “Aku nak kerja sementara tunggu keputusan SPM”, perkongsian ini adalah untuk anda!

 

Kisah saya.

 

Saya bukannya datang dari keluarga yang senang ataupun keluarga yang kaya. Saya pernah terfikir, lepas habis SPM saya nak duduk rumah je. Saya nak habiskan masa yang ada untuk baca buku sahaja. Tak kiralah sama ada buku motivasi, buku perniagaan, buku tentang ilmu psikologi atau sebarang buku yang bermanfaat.

 

“Aku nak jadi seorang Cendekiawan!”

Nak jadi macam Son Gohan kononnya, iaitu salah satu watak dalam komik Dragon Ball. Realitinya, ini adalah perkara yang memang MUSTAHIL untuk berlaku. Sebabnya?

 

Saya dah plan nak sambung belajar lepas habis SPM. Sekurang-kurangnya mesti nak masuk universiti sampai ke peringkat ijazah sarjana muda atau degree. Nak sambung belajar… dah tentu akan perlukan duit yang banyak. Kos untuk belajar bukannya murah. Tambah lagi kos sara diri semasa zaman belajar, oh… saya akan perlukan sejumlah wang yang besar untuk hidup selesa!

 

Maka, perkara yang patut saya lakukan dah tentunya adalah BEKERJA SEMENTARA MENUNGGU RESULT SPM KELUAR.

 

Perkongsian ini adalah kesinambungan bagi perkongsian saya sebelum ini. Sila baca artikel saya sebelum ni berjudul

Klik: Tips mencari kerja Part Time untuk pelajar lepasan SPM

 

Dalam catatan kali ini, saya ingin kongsikan kepada anda serba sedikit tips yang bersangkutan dengan kerjaya dan kehidupan. Anggaplah perkongsian ini sebagai perkongsian dari seorang Abang kepada adiknya. Mana tau, satu hari nanti anda akan berterima kasih kerana pernah baca tips ni. Orang lain yang tak pernah baca tips ni… dia rugi. Itu je yang saya nak katakan.

 

Ok jom kita mulakan.

 

1. “Awak nak sambung belajar tak lepas ni?”

“Eh result awak baguslah. Awak tak nak sambung belajar ke lepas ni?”

 

Tanya Manager tempat saya minta kerja part time tu. Awal-awal lagi saya kata, saya ni pelajar lepasan SPM. Result pun tak keluar lagi. Jadi saya tunjukkan pada dia result percubaan, untuk tunjukkan pada dia yang saya ni bukannya bodoh sangat dalam kelas.

 

“Awak tak nak sambung belajar ke lepas ni?”

 

Entah kenapa. Kali pertama saya dengar soalan ni, naluri saya berkata ini adalah soalan perangkap! Jadi, saya kena jawab dengan penuh berhati-hati.

 

“Saya ada perancangan nak sambung belajar jugak. Tapi saya bukannya dari keluarga senang. Buat masa ni, saya plan nak kerja dalam 2 -3 tahun dulu. Kumpul duit. Bila duit dah cukup baru saya nak sambung belajar,” kata saya.

 

Walaupun pada hakikatnya, paling lama saya nak kerja cuma 5 – 6 bulan je. Dapat result SPM, saya apply sama ada diploma atau program asasi/ matrikulasi. (dan saya pilih program matrikulasi)

 

Kenapa saya kata “hanya akan sambung belajar dua atau tiga tahun lagi”?



 

Proses untuk menerima pekerja bukan proses yang simple. Pihak majikan perlu sediakan macam-macam untuk kita. Dari caruman KWSP, Socso, medical card dan macam-macam lagi kelebihan. Sesetengah permohonan ada yang ambil masa agak lama, sekitar 1 – 2 bulan. Cuba bayangkan, lepas kita dah dapat semua kelebihan tu, bulan seterusnya kita berhenti kerja. Majikan pulak kena cari pekerja lain untuk ganti tempat kita selepas susah payah sediakan macam-macam untuk kita.

 

Lebih baik dia tak payah ambik kita bekerja dan bagi peluang kerja tu kepada orang lain yang memang confirm nak kerja lama. Faham?

 

TETAPI… kalau awal-awal lagi kita dah kata yang kita nak kerja 2 – 3 bulan je, tak mustahil untuk kita langsung tak diterima bekerja pulak. Jadi, nak tak nak kita kenalah jawab dengan berhati-hati. Yang penting jangan menipu pulak ya.

 

2. Kerja pertama selalunya gajinya juga tidaklah sebesar mana 

Pada tahun 2005 – 2006, gaji paling tinggi pernah saya dapat ialah lebih kurang RM1, 100. Itupun sebab saya banyak buat kerja overtime.

 

Untuk setengah orang, jumlah ni tidaklah banyak mana. Namun untuk budak kampung macam saya, yang bekerja di KL, jumlah ni dah dikira besar. Kalau kat tempat asal saya, di Meru, Klang, memang agak mustahil nak dapat kerja yang bayar gaji sehingga RM1,000 untuk budak lepasan SPM. Ini situasi pada tahun 2006 ya.

 

3. Kerja pertama belum tentu akan bertahan lama

Jujur saya katakan, sepanjang tempoh saya bekerja tu, hampir setiap hari saya terfikir untuk BERHENTI KERJA dan cari je kerja lain. Tapi apakan daya, saya sedar diri. Bukan senang untuk budak lepasan SPM macam saya untuk dapat kerja lain.

 

Langsung tak ada sijil (sebab sijil SPM pun tak keluar lagi) tak ada diploma, degree apatah lagi. Jadi suka atau tidak, nak atau tak nak, kena juga ikhlaskan diri untuk bertahan ditempat kerja ni.

 

4. Kerja untuk pengalaman bukan sekadar mengejar pendapatan

Satu hari nanti, bila anda dah dewasa sedikit dan anda memohon untuk dapatkan kerja yang membayar gaji yang lebih lumayan, antara soalan yang akan ditanyakan oleh bakal majikan kepada anda ialah, apa pengalaman bekerja yang anda miliki.

 

Kalau nak cari orang yang ada sijil tak susah mana. Majoriti memang orang kita akan sambung belajar. Untuk cari bakal pekerja yang ada sijil, kelayakan tertentu dan pernah ada pengalaman bekerja, itu adalah suatu bonus dan nilai tambah yang bagus!

 

5. Sentiasa tingkatkan ilmu dan belajar sebanyak mungkin dari majikan

Seorang kenalan saya, kerja part time di Pizza Hut. Kalau nak cerita dari segi gaji, memang tak besar mana. Tapi kalau dari segi pengalaman dan pengetahuan tentang kerja, cukup banyak yang dia dapat.

 

Hinggakan sampai satu tahap, saya percaya, dia ni kalau diberi tanggungjawab untuk jaga satu outlet Pizza Hut, tak mustahil untuk tempat tu dapat kunjungan pelanggan yang ramai.

 

6. Simpan duit untuk kegunaan masa zaman belajar

Jangan terpengaruh dengan pujukan hawa nafsu. Ingat baik-baik, apa motif anda bekerja. Nak kumpul duit untuk belajar, kan? Zaman belajar nanti, anda akan perlukan duit yang banyak untuk tampung kos sara diri.

 

Lupakan dulu godaan nak beli smartphone baru, godaan nak makan sedap-sedap, nak dating dan lepak-lepak dan sebagainya!

 

7. Pertimbangkan untuk sambung pengajian ke IPTS

… jika anda tak ditawarkan untuk masuk ke mana-mana IPTA.

 

Pada hari ini, mungkin anda mampu tersenyum sebabnya anda mempunyai pendapatan RM700 – RM1,000 setiap bulan dari pekerjaan yang anda lakukan. Kalau nak bandingkan dengan rakan-rakan sebaya anda, mereka mungkin masih tak ada sebarang pendapatan sebabnya mereka memilih untuk sambung belajar.

 

Namun, apakah agaknya situasinya masih sama 10 tahun dari sekarang? Ketika itu, rakan-rakan sebaya anda telahpun habis belajar dan mungkin kebanyakkannya dah mula bekerja dan mempunyai pendapatan purata RM3,000 – RM6,000 setiap bulan.

 

Tak mustahil, setelah sekian lama berlalu, anda masih tersekat dalam tangga gaji RM900 – RM,1,400

 

Sangat jauh beza dengan keadaan rakan-rakan anda yang lain, kan.

 

8. Street smart VS college smart

Istilah street smart ini diberikan kepada mereka-mereka yang mempelajari dan menguasai sesuatu ilmu secara langsung atau dari pengalaman. Sesetengahnya ada yang menggelarkan mereka yang termasuk dalam kategori street smart ni, telah berada dalam “University of Hard Knocks”, sementara banyak rakan-rakan mereka telah masuk ke universiti dan kolej.

 

Belajar dari buku semata-mata memang tak akan pernah sama dengan belajar dari pengalaman! Selalunya sesuatu yang kita pelajari dari pengalaman adalah lebih bernilai daripada apa yang kita cuma pernah baca dalam buku.

 

9. Pelajari ilmu BISNES

Jika satu hari nanti, anda rasakan yang anda tak boleh pergi jauh atau tak mungkin akan pergi jauh dalam hidup jika hanya mengharapkan gaji bulanan semata-mata, maka pelajarilah ilmu bisnes.

 

In Shaa Allah, dengan bisnes, anda boleh keluar dari perangkap kemiskinan atau kekal berada dalam kelompok individu yang mempunyai pendapatan yang rendah. Berkenal-kenalanlah dengan buku-buku bisnes, ilmu-ilmu bisnes dan belajar-belajarlah buat bisnes.

 

Zaman sekarang ni ada terlalu banyak bisnes yang bagus-bagus yang anda boleh mulakan dengan modal yang cukup rendah. Anda kalau ada RM100 pun dah boleh mula buat bisnes simkad ini. Klik sini untuk info tentang bisnes simkad.

 

10. Bina hubungan baik atau networking dengan rakan sekerja

Budak-budak muda zaman sekarang, banyak yang saya jumpa, ada mempunyai masalah SIKAP. Mereka seolah-olah tak diajar tentang akhlak dan budaya menghormati orang lain yang lebih tua daripada dirinya.

 

Adik-adik yang membaca perkongsian ringkas saya ni. Binalah hubungan silaturahim yang baik dengan rakan sekerja. Mereka ni bukannya musuh adik-adik, sebaliknya satu hari nanti, rakan sekerja inilah yang akan banyak bantu kita (mengikut kapasiti) yang mereka mampu.

 

Baiklah, apa pun satu perkara yang saya nak ingatkan.

 

ILMU itu penting. Jangan sesekali berhenti belajar, walaupun anda tak rancang nak sambung belajar. Cari inisiatif untuk belajar dan terus belajar. Belajar kemahiran dan In Shaa Allah, satu masa nanti, kemahiran yang anda pelajari tu akan berbudi pada kehidupan anda!

 

Satu masa dulu, sambil saya bekerja, saya belajar kemahiran untuk menulis. Alhamdulillah, pada hari ini, kemahiran saya untuk menulis telah kembali berbudi kepada saya.

 

Saya doakan semoga anda kaya dan berjaya.

 

… dan semoga anda tidak tersalah pilih haluan hidup selepas tamat zaman persekolahan. Jangan sia-siakan hidup yang Allah beri kepada anda ya.

 

Terima kasih kerana membaca dan semoga bermanfaat!

 

 

Exit mobile version