Blog Sabree Hussin

Tips untuk membantu anda yang ingin mula bekerja dari rumah

“Adakah anda ingin menjadikan rumah anda sebagai ofis kedua dan mula bekerja dari rumah? Atau anda berhasrat untuk bekerja dari rumah sepenuh masa?”

 

Saya harap anda dah pun fikirkan tindakan anda tu masak-masak. Anda mungkin akan menyesali tindakan anda itu nanti, lebih-lebih lagi jika anda buat keputusan terburu-buru tanpa ada perancangan yang rapi.

 

Untuk mereka yang dah nekad nak buat keputusan untuk bekerja dari rumah dalam masa terdekat, saya ingin kongsikan kepada anda beberapa tips yang mungkin boleh anda jadikan panduan. Tips-tips ini mungkin tak akan menjadikan anda seorang jutawan, tetapi setidak-tidaknya dengan membaca tips ini, ia dapat membantu anda untuk buat keputusan yang lebih wajar berhubung tindakan anda seterusnya.

 

Jom kita lihat, apa dia tips untuk bantu anda bekerja dari rumah.

 

(1) Wujudkan ruangan ataupun persekitaran khas untuk anda bekerja tanpa sebarang gangguan

Jika anda tinggal bersendirian di rumah, mungkin tak ada masalah untuk anda bekerja dari rumah. Walaubagaimanapun, jika anda tinggal di rumah yang mempunyai ahli keluarga lain, ia mungkin akan menggangu fokus anda untuk buat kerja.

 

Dalam situasi ini, anda perlu mempunyai satu sudut atau ruang khas untuk anda buat kerja tanpa ada sebarang gangguan.

 

Pastikan ahli keluarga anda tahu yang anda sedang bekerja.

 

Kalau anda ada haiwan peliharaan, pastikan ia tidak menggangu anda ketika sedang bekerja.

 

Begitu juga jika anda adalah seorang ibu atau bapa yang mempunyai anak kecil. Anda mungkin patut pertimbangkan untuk menghantar anak kecil anda tu ke nursery untuk beberapa jam sahaja. Contohnya, untuk 5 jam sahaja.

 

Gunakan masa ini untuk anda fokus betul-betul dengan kerja yang perlu anda siapkan. Ataupun, jika anda memilih untuk jimatkan kos dan jaga anak kecil anda, bermakna anda perlu siap sedia untuk bekerja sambil menjaga anak kecil anda tu.

 

… dan ya, sudah tentu fokus dan perhatian anda akan terganggu dan anda akan memerlukan masa yang lebih panjang untuk menyiapkan walaupun hanya satu pekerjaan yang mudah.

 

(2) Disiplin dan komitmen terhadap kerja

Orang yang tak ada disiplin memang agak sukar nak berjaya. Kalau kerja dengan orang, orang yang kurang atau tak ada disiplin memang susah nak naik pangkat atau nak naik gaji. Tetapi kalau bekerja sendiri dari rumah… lagilah bahaya.

 

Orang yang kurang disiplinnya, memang agak sukar nak berjaya jika bekerja dari rumah. Bekerja dari rumah tanpa sebarang pengawasan dan pemantauan adakalanya sangat mudah untuk buatkan kita hilang fokus.

 

Dalam aspek disiplin ini juga, ada beberapa perkara yang anda perlu berikan penekanan yang lebih lagi. Antaranya

 

Mindset seorang yang berjaya

Anda boleh berjaya! Dengan syarat anda percaya dan yakin terhadap keupayaan dan skil diri anda. Anda yakin, apa yang anda buat sekarang ni memang benar-benar memberi manfaat dan dapat beri impak kepada pasaran yang anda sedang berikan khidmat anda.

 

Kuasa fokus

Buat kerja sampai siap, dan buat kerja sampai dapat hasilnya. Fokus pada satu-satu pekerjaan yang sedang anda lakukan, dan sebaik-baiknya, jauhkan diri anda daripada sebarang gangguan yang tak perlu yang dapat mengganggu fokus anda.

 

Tingkatkan ILMU

Setiap hari, pasti akan ada ilmu-ilmu dan pengetahuan-pengetahuan baru ditemui. Ianya dapat memudahkan sesuatu pekerjaan dan pada masa yang sama, ia juga dapat bantu anda untuk meningkatkan pendapatan sedia ada.

Jangan takut untuk melabur untuk memandaikan diri sendiri. Jangan terlalu berkira, dan jangan terlalu kedekut untuk upgrade skill dan tambahkan ilmu.

 

Bertindaklah SEGERA!

Setiap ilmu baru yang kita perolehi, terus praktikkan. Menangguh-nangguh untuk bertindak hanya akan melambatkan anda untuk mencapai hasil yang anda inginkan dan harap-harapkan.

 

(3) Siap sedia dengan plan

“Bagaimana kalau perancangan asal anda tidak berjaya?”

 

Apabila bekerja dari rumah, anda bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejayaan dan kegagalan projek ataupun perniagaan yang sedang anda uruskan. Anda mungkin bekerja untuk klien anda, ataupun mungkin anda bekerja dengan menjadi pengurus bagi perniagaan anda sendiri.

 

Satu perkara yang perlu anda ambil kira ialah tentang “kejayaan dan kegagalan apa yang anda sedang usahakan.”

 

Apa nak buat kalau apa yang anda uruskan berjaya. Mungkin saat itu, anda perlu mula menyusun strategi untuk mendapatkan pembantu yang dapat bantu anda menghasilkan result yang lebih baik, atau akan mula membina ahli kumpulan untuk sama-sama usahakan projek yang lebih besar.

 

Akan tetapi, bagaimana jika anda GAGAL? Anda ada back up plan? Bagaimana anda bakal jana pendapatan jika projek utama anda gagal dengan teruk?

Sekiranya anda ada HUTANG ataupun komitmen lain, adakah anda mempunyai perancangan bagaimana nak teruskan membayar komitmen-komitmen tersebut?

 

(4) Cipta rutin harian dan ikuti rutin tersebut dengan konsisten

Seperti mana bila anda bekerja dengan majikan, apabila anda bekerja seorang diri dari rumah, anda juga perlu mempunyai rutin harian.

 

Perkara mengenai rutin harian ini saya pernah kongsikan dalam catatan saya yang berjudul

Baca: Jadual dan rutin harian seorang Internet Marketer Malaysia

 

Atas ni ialah perkongsian saya sekiranya anda ingin menjadi seorang Internet Marketer. Tak kiralah apa bidang yang anda ingin ceburi, sama ada bekerja sendiri, bekerja dari rumah sebagai seorang freelancer dan sebagainya, anda tetap perlukan satu jadual ataupun rutin harian yang perlu anda lakukan.

 

Bezanya ialah, mungkin anda hanya perlu peruntukkan kira-kira dua atau tiga jam sahaja masa untuk fokus pada kerja, dan tak perlu nak habiskan sehingga 8 – 10 jam untuk bekerja.

 

Kalau anda bekerja dalam bidang pemasaran, maka rutin harian anda adalah seperti menulis iklan, menyediakan artikel advertorial, buat iklan berbayar dan sebagainya.

 

(5) Kekalkan motivasi anda untuk teruskan bekerja

Apalah gunanya jika kita hanya berkobar-kobar untuk bekerja dari rumah cuma di peringkat permulaan sahaja. Selepas setahun atau dua tahun, kita mula hilang motivasi dan mula kembali kepada bekerja dengan orang lain, sedangkan sebelum ini, kita jugak yang beriya-iya kata dah tak nak bekerja untuk orang lain lagi.

 

Tetapi, baru setahun dua bekerja sendiri dari rumah, terus nak kembali kepada kehidupan yang kita sendiri pernah rasa benci satu masa dulu.

 

Untuk individu macam ni, anda sebenarnya ada isu dengan motivasi. Penyelesaiannya? Anda kena buat sesuatu yang dapat mengembalikan atau sekurang-kurangnya memastikan anda kekal bermotivasi untuk teruskan bekerja dari rumah.

 

Kalau saya sendiri, saya akan baca seberapa banyak buku-buku yang related dengan bekerja sendiri, buat bisnes sendiri ataupun kisah-kisah kejayaan individu yang bekerja sendiri atau melakukan bisnes sendiri.

 

Tak suka baca buku?

 

Tak ada masalah. Masih ada opsyen lain, seperti tonton video di Youtube, atau dengar rakaman audio dan sekiranya anda ada bajet, boleh sertai mana-mana kursus, seminar dan sebagainya. Semua ini In Shaa Allah dapat bantu anda kekalkan momentum dan semangat anda untuk teruskan bekerja dari rumah.

 

Saya doakan, semoga keputusan anda untuk bekerja dari rumah adalah keputusan yang TEPAT.

 

Yang penting jangan terburu-buru buat keputusan, dan percayalah, rezeki itu datangnya dari Allah SWT! Buat yang terbaik, dan In Shaa Allah anda juga berhak untuk berjaya.

 

 

Exit mobile version