Blog Sabree Hussin

Sistem pembayaran Gaji TERBAIK untuk golongan pekerja?

Adakah anda seorang usahawan? Anda mempunyai pekerja? Bagaimana cara anda memberi ganjaran ataupun reward kepada para pekerja anda?

 

Baru-baru ni saya sempat ikuti rancangan Inspirasi HLive yang mana pada episod tersebut, tetamu undangan ialah Dato Aliff Syukri selaku pengasas produk jenama D’Herbs. Ada banyak juga perkara yang dikongsikan kepada para penonton, tapi dalam banyak-banyak tu, saya tertarik dengan kata-kata beliau.

… para pekerja dan staf saya inilah yang paling banyak berjasa untuk meletakkan diri saya pada tahap saya sekarang ni.

 

Ok… sebelum saya nak cerita panjang-panjang, izinkan saya buat penafian terlebih dahulu. Ayat yang keluar dari mulut Dato’ Aliff tidaklah sama sebijik macam yang saya tulis kat atas tu. Ianya adalah ayat saya sendiri yang saya olah, setelah menonton rancangan tersebut.

 

Saya manalah rakam rancangan tu. Jadi saya tak dapat nak ingat 100% dan tak dapat nak quote kata-kata beliau sama sebijik macam yang dikatakan. Sebaliknya, apa yang termampu untuk saya lakukan sekarang ni ialah untuk tulis semula (rephrase) kata-kata beliau supaya maksud dan mesej yang ingin disampaikan itu kena pada konteksnya.

Kedua, harap jangan salah faham. Entri ni bukannya nak cerita tentang syarikat D’Herbs Sdn Bhd, produk-produk D’Herbs mahupun nak cerita tentang individu bernama Dato’ Aliff Syukri. Namun apa yang berlaku ialah, selepas saya tonton rancangan inspirasi HLive ni, ia menjadi trigger untuk saya fikirkan tentang topik gaji kepada golongan pekerja.

 

Bisnes kalau nak berkembang, kena ambil pekerja. Tak boleh dan tak sesuai untuk gunakan konsep “one man show” untuk uruskan bisnes yang besar. Satu masa dulu, saya pernah bergaduh dengan bos saya sendiri sebab isu macam ni.

 

Saya pernah ada seorang bos yang (mungkin) hobinya menubuhkan syarikat. Ada syarikat event, syarikat cenderahati, syarikat latihan… dan only god knows, apa lagi syarikat yang dia tubuhkan. Saya rasa, syarikat jual ikan kat pasar pun dia ada. Bukan semua syarikat yang ditubuhkan ada business activity. Ada syarikat yang statusnya dormant dan memang tak ada sebarang transaksi.

 

Part ini, kena tanya orang-orang kaya, kenapa diorang suka buka company, biar company beroperasi walaupun tak ada sebarang bisnes dan tak ada income, tutup company, kemudian buka lagi yang baru. Mungkin ini STRATEGI perniagaan. Saya belum sampai tahap tu nak ulas strategi perniagaan yang melibatkan buka dan tutup syarikat.

 

Mungkin satu masa nanti, bila saya dapat info tu, saya akan tulis dalam blog ini.

 

Jadi sampai tahap ini, saya pasti anda juga sama seperti saya, yang mana kita sama-sama setuju bahawa untuk menjalankan sebuah perniagaan yang besar, yang berdaya saing dan aktif, kita perlukan bantuan daripada PEKERJA.

 

Bila kita sebutkan tentang pekerja ni, ada macam-macam jenis pekerja diluar sana, antaranya

(1) Part timer – Pekerja separuh masa

Mereka ni akan bekerja untuk perniagaan kita ikut masa dan kesesuaian mereka. Boleh jadi mereka ni sebenarnya adalah golongan pelajar ataupun pekerja dari syarikat lain, yang perlukan pendapatan lebih, jadi dia menyertai syarikat anda dan bekerja secara part time.

Saya masih ingat lagi, dulu selepas habis SPM saya pernah kerja part time di kedai baju Factory Outlet Store dengan upah RM4 sahaja untuk satu jam bekerja.

 

(2) Internship – Pelajar Praktikal 

Mereka ni adalah golongan pelajar yang masih belum menamatkan pengajian di Universiti atau Kolej. Kebiasaannya adalah pelajar di semester akhir. Mereka ni memang ada ilmu, dan belajar sesuatu bidang dengan mendalam, cuma dari segi pengalaman kerja, mereka tidak berpengalaman.

Semasa saya melalui proses internship program, elaun saya hanyalah RM450 sahaja untuk sebulan. Tanggungjawab yang saya perlu pikul walaupun tidaklah seberat pekerja sepenuh masa, namun dari segi kerja, banyak juga yang perlu dilakukan.

 

(3) Contract Worker- Pekerja Kontrak

Kontrak mereka perlu diperbaharui untuk satu tempoh masa yang dipersetujui. Sama ada perlu diperbaharui setiap tahun, atau setiap dua tahun. Kalau dah habis kontrak, pekerja ada pilihan sama ada tinggalkan syarikat tanpa perlu bayar apa-apa, tak perlu menulis surat berhenti kerja, ataupun boleh buat rundingan untuk sambung kontrak untuk tahun seterusnya.

Saya pernah kerja dalam company call center secara kontrak. No frills salary. Kalau dari penerangan yang dibuat oleh manager tempat saya kerja, no frills salary ni maksudnya sistem gaji tanpa benefit atau benefit yang sangat minima. Ada gaji pokok + benefit dalam bentuk medical. Itu sahaja.

Tiada kenaikkan gaji, tiada bonus. Kalau nak kerja, kerja! Tak nak kerja sila resign. Ada ramai lagi yang perlukan kerja ni. Macam tulah lebih kurang konsepnya.

 

(4) Full Timer – Pekerja Sepenuh Masa

Sesetengah orang kata, kerja sepenuh masa ini lebih terjamin. Banyak kelebihan dan sebagainya. Betul ke? Saya punya pandangan, ia bergantung kepada prestasi syarikat juga. Kalau syarikat OK dan tak ada masalah, mereka juga tak ada masalah untuk beri kenaikkan gaji, overtime claim, elaun, bonus dan macam-macam lagi.

Tetapi, kalau keadaan ekonomi agak teruk, syarikat yang besar pun boleh buang pekerjanya.

 

(5) Foreign Worker – Pekerja Asing 

Pekerja yang diambil dari negara lain. Biasanya dari segi gaji, ianya lebih murah berbanding membayar upah kepada pekerja tempatan. Mungkin kalau satu hari nanti ditakdirkan saya dapat kerja di New Zealand, waktu tu saya akan dikira sebagai foreign worker la.

 

(5) Agent – Ejen

Mewakili syarikat, biasanya dalam hal-hal berkaitan bidang jualan. Dari segi gaji atau upah, ia menggunakan sistem komisen yang mana komisen dibayar jika ejen berjaya hasilkan jualan.

Pada hari ini, saya masih lagi menjadi ejen untuk beberapa syarikat dan perniagaan. Jadi ejen ni mudah. Hanya bekerja jika kita rasa nak kerja. Kebanyakkan kerja adalah melibatkan jualan.

 

(6) Freelancer – Pekerja Bebas 

Satu lagi jenis pekerja yang anda boleh ambil untuk bantu perniagaan anda adalah pekerja bebas. Mereka akan bekerja untuk anda bagi menyiapkan satu tugasan atau projek yang biasanya untuk jangka masa pendek.

Contohnya anda perlukan seseorang untuk bina laman web perniagaan anda. Satu projek pembinaan laman boleh siap dalam masa 1 – 3 minggu sahaja. Bergantung kepada apa yang anda ingin masukkan dalam laman web syarikat anda.

Tak kan nak ambik pekerja part time, atau pekerja kontrak, atau pekerja full time untuk buat tugasan yang mudah seperti ini. Jadi, untuk menjimatkan banyak kos, maka opsyen yang anda boleh pilih ialah dapatkan khidmat dari freelancer.

Setiap projek yang anda ingin jalankan, pasti ada freelancer yang sesuai yang boleh bantu anda. Sebagai contoh, jika melibatkan proses untuk mempromosikan perniagaan anda, anda boleh dapatkan khidmat freelancer yang specialize dalam bidang penulisan artikel di internet. Boleh klik sini.

 

Apakah sistem UPAH yang terbaik yang boleh kita gunakan untuk tujuan membayar para pekerja yang berkhidmat untuk syarikat kita?

Dalam perkongsian ini, saya akan kongsikan lima jenis sistem upah yang mungkin biasa kita lihat dipraktikkan kat luar sana.

(1) Sistem Gaji

Ada kerja, ada gaji. Tak kerja, tak ada gaji. Kadang-kadang (atau mungkin selalu) saya mempunyai tanggapan yang agak negatif dengan sistem gaji seperti ini. Kerap kali saya merasakan, pekerja berada dalam kedudukan yang kurang menguntungkan untuk dirinya sendiri, apabila majikan beri beban kerja dan tanggungjawab yang besar, namun tiada sebarang imbuhan tambahan untuk kerja-kerja yang perlu dilakukan.

 

Even kenaikkan dari segi gaji juga tidaklah begitu besar, dan pekerja tersebut perlu tunggu setahun untuk gaji di review. Keadaan ini yang kita namakan sebagai underpaid but overwork. Kerja banyak sampai kena bawak balik ke rumah, tapi gaji tetap tak cukup.

 

Walaubagaimanapun, saya sedar ini adalah tidak adil untuk mengatakan mereka yang kerap bawa balik kerja ke rumah sebagai overwork, sebabnya ia juga boleh jadi berlaku disebabkan oleh skil pengurusan masa dan kerja yang kurang cekap.

 

Pada satu sisi, saya beranggapan sistem gaji seperti ini adalah baik, namun pernah juga terlintas difikiran saya setiap kali syarikat menerima durian runtuh hasil kerja keras para pekerjanya, kenapa tiada sebarang penghargaan dilakukan?

 

(2) Sistem Gaji + Elaun

Staf masuk kerja lewat, selalu ponteng kerja, hilang di tempat kerja dan macam-macam lagi isu dan masalah. Sesetengah masalah yang ditimbulkan berpunca daripada masalah yang memang genuine. Namun, disebalik tu ada juga masalah yang sengaja diada-adakan berpunca daripada sikap pekerja tu sendiri.

 

Syarikat tempat abang saya bekerja menggunakan sistem elaun. Siapa yang tak pernah masuk lewat, akan dapat elaun kedatangan sebanyak RM100. Siapa yang tak pernah MC pada bulan tersebut, akan dapat lagi elaun sebanyak RM200. Jumlah yang saya sebutkan ini adalah contoh sahaja.

 

Saya berpendapat, sebenarnya staf tersebut layak untuk dapat gaji sebanyak RM2,300 setiap bulan. Akan tetapi, memandangkan ada segolongan yang tak serius dengan kerja, jadi sistem seperti ini diwujudkan.

 

Daripada perlu bayar semua orang RM2,300 lebih baik bayar lebih kepada mereka yang serius nak jaga kualiti kerja. Maka dengan cara ini, staf yang layak dapat RM2,300 mungkin hanya akan dibayar RM2,000… RM2,100 dan RM2,200 sahaja.

 

(3) Sistem Gaji + Komisen

Saya ada ramai kawan-kawan yang dibayar upah dengan cara ini. Dari pemerhatian saya, ada dua jenis struktur gaji yang digunakan.

 

3.1 Gaji rendah tetapi komisen TINGGI

Situasi seperti diatas ini saya banyak lihat berlaku dalam kalangan kawan-kawan yang kerja sebagai salesman kereta ataupun salesman kad kredit. Mereka dibayar gaji, tetapi gaji tersebut tidaklah begitu tinggi dan hanya cukup-cukup untuk makan dan minum, pengangkutan ke tempat kerja. Kalau nak lebih banyak pendapatan, kena buat jualan.

Kalau bulan tersebut prestasi agak kurang, maka terpaksalah hidup dengan gaji asas yang tidak begitu tinggi.

 

3.2 Gaji kompetitif dan komisen rendah

Situasi ini pula berlaku bagi mereka yang kerja dalam bidang jualan. Namun, produk yang dijual itu tidaklah begitu mahal dan pembeli pula agak ramai.

Gaji yang ditawarkan just nice dan mengikut tahap kelayakkan individu tersebut. Bagi meningkatkan kualiti kerja dan motivasi, syarikat bermurah hati untuk menawarkan skim komisen bagi staf yang usaha lebih dan bantu syarikat dapatkan lebih banyak jualan.

Saya ambil contoh pekerja yang bekerja jual kain. Biasanya pelanggan yang datang ni, mereka memang nak beli kain. Dengan adanya sistem komisen ini, staf yang melayan pelanggan tersebut boleh cadangkan pelanggan untuk beli lebih banyak barang di kedai tersebut, sebabnya dengan berbuat demikian, staf itu tadi juga akan dapat komisen.

Kalau pelanggan datang nak beli kain, boleh cadangkan untuk beli tudung juga. Dapatlah sikit komisen daripada pembelian kain dan juga tudung.

 

(4) Sistem Komisen 100%

Biasanya adalah golongan yang menjadi ejen jualan bagi syarikat tertentu, TETAPI individu tersebut tidak mahu bekerja secara fulltime dan perlu beri komitmen seratus peratus pada syarikat tersebut.

 

Komisen adalah berdasarkan kepada berapa banyak jualan yang berjaya dihasilkan. Kalau banyak jualan, maka banyaklah komisen yang akan dibayar.

Sesetengah orang dia tak suka nak kerja full time dibawah syarikat yang sama, sebabnya dengan menjadi ejen sahaja, dia boleh kerja untuk macam-macam jenis syarikat pada masa yang sama.

 

Kalau kerja dengan hanya satu syarikat sahaja, mungkin pendapatan yang boleh dihasilkan adalah dari satu sumber sahaja. Sebaliknya, jika jadi ejen untuk dua atau tiga syarikat, boleh dapat lebih banyak sumber pendapatan.

 

Dipihak majikan pula, mereka hanya perlu bayar upah apabila ejen berjaya buat jualan. Bayaran upah atau komisen pula diambil daripada sebahagian keuntungan yang terhasil daripada jualan produk tersebut. Bagus juga kan konsep ejen ini untuk syarikat?

 

Saya juga adalah ejen jualan yang mempromosikan produk-produk dari Lazada Malaysia.

 

(5) Sistem Gaji + Perkongsian Untung

Untuk konsep kelima ini, saya hanya pernah dengar sahaja. Ada satu syarikat Food and Beverages yang amalkan sistem seperti ini. Betul ke tidak? Wallahua’lam. Namun pada saya, konsepnya agak menarik.

 

Staf akan dapat gaji macam biasa. Disamping itu, staf juga boleh beli unit saham untuk outlet tempat mereka bekerja. Adalah nisbah yang “selamat” untuk saham diterbitkan bagi dijual kepada staf.

 

Tujuannya lebih kepada untuk mewujudkan rasa “sense of belonging” dan rasa sayang staf tersebut terhadap perniagaan yang dijalankan oleh majikan. Selalu kan kita dengar orang kata

“ko ni asyik kerja je memanjang, ada saham ke kat company tu?”

 

Jadi dengan mengaplikasikan konsep atau sistem rewards seperti ini, staf tersebut akan lebih menghargai kerja yang dilakukan dan akan merasakan perniagaan tersebut adalah perniagaan milik dia juga. Kalau buat betul-betul, dapat naikkan sales, akan dapat dividen ikut pada berapa banyak saham yang dipegang.

 

Cerita bab gaji ni ia memang agak sensitif. Ada-ada je yang tak puas hati kalau cerita tentang gaji. Mungkin sebab sifat manusia tu sendiri yang tak akan pernah rasa cukup dengan apa yang ada dalam tangan. Patutlah bab gaji ni Private and Confidential.

 

Jika anda seorang usahawan, atau mungkin seseorang yang bercita-cita untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, saya percaya satu hari nanti pasti anda akan berada dalam satu situasi dimana anda tak mampu untuk buat semua sekali seorang diri. Anda perlukan bantuan pekerja.

 

Pada waktu tu, mungkin anda perlu fikir masak-masak sama ada nak ambil pekerja part time, pekerja kontrak atau nak mengupah seorang pekerja sepenuh masa. Tak kisahlah mana satu pilihan anda, yang penting anda dapat berlaku jujur dan bayarlah upah mengikut kadar yang sepatutnya. (Nasihat ini juga terpakai untuk diri saya)

 

Pilihlah pekerja yang memang betul-betul mampu untuk lakukan kerja-kerjanya dengan baik dan bayarlah upah yang sepadan dengan kemampuannya. Bukannya sekadar memilih seseorang itu berdasarkan berapa murah harga yang boleh ditawarkan.

 

Apa salahnya bayar lebih, jika pekerja tersebut mampu menyumbangkan pendapatan yang tinggi kepada perniagaan kita. Berbanding bayar murah, tetapi tak ada sebarang beza pun antara bayar mahal dengan bayar murah.

 

Hmm apa pendapat anda agaknya ya tentang sistem gaji dan upah ni? Sudi kongsikan dengan saya dibahagian komen? Mungkin anda ada pendapat lain yang saya sendiri tak terfikir semasa menulis artikel ini.

 

 

Exit mobile version