Blog Sabree Hussin

Panduan dan tips bercuti ke Pulau Langkawi buat pengunjung kali pertama

Dekat negara kita ini ada banyak destinasi percutian yang menarik. Tak perlu nak keluar negara dan berhabis sampai belasan ribu ringgit kalau nak luangkan masa bersama keluarga mahupun insan yang tersayang.

 

Bercuti dalam negara juga mampu untuk memberikan pengalaman berharga dan kenangan manis buat famili tersayang. Masa yang diluangkan bagi melakukan aktiviti bersama pasti dapat dijadikan memori yang indah.

 

Bertuahnya kita di Malaysia ni, kita boleh pilih sama ada nak bercuti di tempat yang bagaimana? Kalau anda rasa nak bercuti dikawasan tanah tinggi dan menikmati suasana dingin angin yang bertiup dari kawasan pergunungan, kita ada Cameron Highland di Pahang atau boleh pergi bercuti ke Kundasang di Sabah.

 

Atau kalau nak cari tempat untuk makan-makan, boleh set destinasi percutian ke negeri seperti di Penang. Kalau sebut sahaja nama Pulau Pinang, memang popular dengan tempat makan-makan.

 

Kalau mencari tempat percutian yang ada semua benda, maksud saya ada kawasan tanah tinggi yang menarik untuk dikunjungi, ada pantai yang bersih dengan air laut yang jernih, atau anda inginkan tempat makan yang menyediakan pelbagai citarasa, Pulau Langkawi adalah salah satu destinasi percutian dalam negara yang anda patut pertimbangkan.

 

Ada beberapa cara untuk anda pergi ke Pulau Langkawi. Sama ada anda nak memandu sampai ke Jeti Kuala Perlis ataupun Jeti Kuala Kedah, dan lepas tu anda menaiki feri untuk ke Pulau Langkawi, ataupun cara yang lebih jimat masa adalah dengan menaiki pesawat penerbangan.

 

Kalau tak nak rasa penat sangat dan juga untuk jimat masa, lebih baik naik flight. Untuk ke airport, anda boleh menggunakan perkhidmatan tren KLIA Transit bagi menjimatkan masa. Ambil tren dari KL Sentral dan boleh terus sampai di airport.

Bagi pembelian tiket secara online, anda boleh terus book cheap KLIA Transit tickets melalui Traveloka. Anda tak perlu risau sebabnya tempahan melalui Traveloka cukup mudah dan straight forward.

 

Tapi incase anda  pergi berdua ke bertiga, dan malas nak drive, boleh terus book airport taxi yang ada kat web atau apps Traveloka. Simple dan cepat. Tekan-tekan terus siap.

 

Posting kali ini saya nak cerita serba sedikit tips bercuti ke Langkawi bagi memudahkan anda merancang perjalanan dan membuat jadual yang sesuai apabila anda ingin bercuti ke Pulau Langkawi. Saya juga akan kongsikan beberapa cadangan tempat menarik yang pada saya anda patut kunjungi sepanjang percutian tersebut.

 

Semoga dengan adanya tips bercuti di langkawi ini, anda dapat memanfaatkan masa anda dengan sebaik mungkin serta dapat merangka satu jadual perjalanan dan aktiviti yang sesuai.

 

[1] Tempahan tiket flight ke Pulau Langkawi

Ada beberapa syarikat yang menawarkan penerbangan ke Langkawi, antaranya adalah Air Asia, Malindo Air, dan juga Malaysia Airlines. Kebiasaannya saya akan memilih syarikat penerbangan tambang murah Air Asia. Kalau nak naik flight Air Asia, kena ambil flight dari KLIA 2.

 

Air Asia ni juga kerap buat promosi-promosi yang menarik seperti zero fare. Kalau tak berjaya dapatkan promosi zero fare pun tak apa. Kadangkala boleh dapat harga tiket flight ke Langkawi yang agak murah.

Bila ada promosi seperti itu, cepat-cepatlah dapatkan tiket dan jimat dengan lebih banyak. Ya saya tahu anda mungkin sangat sibuk dan akan ada kemungkinan terlepas pandang promosi-promosi yang dijalankan.

 

Justeru, apa kata anda ikuti tips ini.

i. Langgan newsletter dari Air Asia

Nanti setiap kali mereka buat promosi, anda akan dapat emel pemberitahuan beberapa hari lebih awal

 

ii. Gunakan laman web perbandingan harga tiket flight untuk dapatkan tawaran harga paling menarik

Salah satu laman web yang dapat saya syorkan adalah Airpaz. Website ini akan membandingkan harga tiket flight dari beberapa syarikat penerbangan yang berbeza.

 

[2] Tempahan tempat penginapan

Perbelanjaan untuk tempat penginapan adalah salah satu daripada belanja yang besar yang perlu kita keluarkan apabila pergi bercuti, selain belanja untuk tiket penerbangan.

 

Kos untuk tempat penginapan akan jadi makin bertambah apabila anda menginap lebih lama disesuatu tempat percutian. Kalau anda memilih untuk menginap di hotel yang terkenal, biasanya kosnya adalah agak tinggi.

 

Sebagai alternatif, bolehlah pertimbangkan untuk menginap di kediaman jenis guesthouse atau homestay. Sekarang ni tak susah untuk cari tempat penginapan jenis homestay, sebabnya anda boleh guna sahaja laman web Airbnb.

 

Saya sendiri sudah banyak kali gunakan Airbnb untuk cari tempat penginapan. Kalau sebelum ini anda tak pernah lagi guna Airbnb, anda boleh daftar sebagai ahli disini dan dapatkan travel credit bernilai RM250. Travel credit ni fungsinya sama macam voucher diskaun.

 

Apabila bercuti dalam kumpulan yang agak ramai, lebih jimat kalau menginap di homestay. Kalau masing-masing kongsi duit untuk bayar kos penginapan, akan jadi lebih jimat.

 

Kebiasaannya pengunjung yang datang bercuti di Langkawi ini akan habiskan lebih banyak masa diluar berbanding dalam bilik hotel sahaja. Ada terlalu banyak tempat tarikan pelancong untuk dikunjungi. Rugilah kalau datang bercuti di Pulau Langkawi, tapi masa dihabiskan duduk dalam bilik hotel semata-mata.

 

Kalau boleh berjimat untuk tempat penginapan, saya syorkan anda berjimatlah. Bila saya kata berjimat, tidaklah bermakna mesti kena ambil yang paling murah.

 

Buat tempahan melalui Airbnb boleh berjimat, sebab anda boleh gunakan Travel Credit. Dekat Airbnb pun ada banyak tempat penginapan yang cantik-cantik, just in case anda nak tangkap gambar banyak-banyak nanti.

 

Tips memilih hotel di Langkawi

Dekat Langkawi ada terlalu banyak pilihan tempat penginapan. Ada yang murah, ada yang mahal, ada yang cantik dan ada yang biasa-biasa. Kalau anda ada bajet lebih, bolehlah tempah hotel yang cantik dan mahal sikit harganya.

 

Saya nak kongsikan beberapa tips yang anda boleh gunakan apabila nak buat tempahan hotel di Langkawi.

 

(1) Cuba cari hotel yang selesa tapi murah

Anda mungkin akan habiskan lebih banyak masa diluar untuk buat aktiviti dan sightseeing. Kalau bayar mahal-mahal semata-mata untuk tidur beberapa jam sahaja, saya rasa lebih baik duit tersebut dijimatkan untuk buat benda lain.

 

Penjimatan tersebut boleh guna untuk bayar entrance fee, makan dekat tempat makan yang menarik di Pulau Langkawi, beli souvenirs, shopping dan lain-lain perkara yang perlu bayaran.

 

(2) Sebelum bayar periksa dulu lokasi sebenar hotel dimana

Jangan terus buat bayaran terutama sekali kalau anda tak familiar dengan nama hotel atau baru kali pertama datang bercuti di Langkawi.

 

Biar saya bagi contoh situasi bagi memudahkan saya menerangkan kepada anda apa sebabnya. Katakanlah, anda memilih untuk menginap di sekitar Chenang.

 

Dekat Chenang, pantai yang popular adalah Pantai Chenang. Ada dua istilah yang anda patut tahu, iaitu roadside dan juga beachside.

 

Kalau hotel anda terletak di roadside, bermaksud anda perlu jalan agak jauh untuk sampai ke pantai. Tetapi kalau beachside, hotel anda memang betul-betul dekat dengan pantai.

 

Sekiranya anda ada bajet lebih, boleh pilih hotel yang betul-betul mengadap laut. Buka pintu bilik, kemudian cuma perlu berjalan beberapa langkah dah boleh sampai ke pantai.

 

Salah ke kalau nak ambik hotel yang roadside, sebab harga lebih murah? Memanglah tak menjadi satu kesalahan. Cuma kalau anda kena jalan kaki almost 1 KM untuk ke pantai, anda rasa berbaloi ke tidak?

 

Jadi setidak-tidaknya anda tahu, kat mana lokasi sebenar dan berapa jauh dengan pantai.

 

(3) Pemilihan lokasi hotel untuk percutian di Langkawi

Lokasi hotel ini sebenarnya berkait rapat dengan apa aktiviti yang anda rancang untuk lakukan apabila telah sampai disana. Ada beberapa lokasi yang saya boleh syorkan.

 

Area Kuah

Kuah adalah kawasan bandar bagi Pulau Langkawi. Ada banyak tempat untuk makan-makan dan shopping complex.

 

Pekan Kuah juga berdekatan dengan jeti untuk anda ambil feri balik ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis. Kalau anda ada ambil pakej snorkeling di Pulau Payar, anda juga perlu naik feri dari jeti Kuah.

 

Saya tak risau bab nak pergi ke tempat-tempat tarikan pelancong, sebab biasanya kita akan sewa kereta.

 

Area Chenang

Chenang ni salah satu lokasi percutian yang sangat popular di Langkawi. Ada banyak hotel dan chalet dibina disekitar Chenang.

 

Tempat ini lebih meriah berbanding lain-lain tempat di pulau ini. Kalau anda sukakan aktiviti pantai, dekat sini ada banyak aktiviti water sports yang anda boleh cuba.

 

Kalau nak cari tempat makan pun senang. Sepanjang jalan di Chenang tu ada banyak pilihan restoran. Kedai duty free untuk anda shopping coklat, barang-barang dapur dan sebagainya juga ada disini.

 

Suasana malam di area Chenang juga meriah. Anda tak akan rasa bosan kalau memilih untuk menginap di Chenang.

 

Area Tanjung Rhu

Tanjung Rhu ini tempatnya agak tenang dan tak berapa crowded kalau nak bandingkan dengan Chenang. Pantai Tanjung Rhu juga cantik.

 

Kalau anda sukakan suasana yang tenang, tak berapa ramai orang, bolehlah check in satu atau dua malam disini.

 

Lagi satu nak tambah, kalau anda bercuti 3 atau 4 malam, saya cadangkan anda menginaplah di dua lokasi yang berbeza. Barulah dapat rasa pengalaman percutian yang berbeza di Pulau Langkawi nanti.

 

(4) Guna voucher diskaun untuk dapat hotel murah di Langkawi

Yang ini adalah optional. Kalau sebelum ini anda belum pernah daftar sebagai member Airbnb, bolehlah tebus voucher ini bagi mendapatkan lebih penjimatan.

 

[3] Barangan yang perlu dibawa semasa bercuti ke Pulau Langkawi

Apa yang menarik di Pulau Langkawi?

 

Umumnya, dekat Langkawi ni ada banyak pulau-pulau kecil yang kita boleh kunjungi, ada kawasan pantai yang bersih, ada tempat tanah tinggi, ada kawasan air terjun, ada ladang buah-buahan, zoo dan banyak lagi.

Apa yang anda perlu bawa semasa bercuti, semuanya berkait rapat dengan apa aktiviti yang anda bakal lakukan. Kalau anda akan buat banyak aktiviti air, misalnya seperti nak buat Island Hopping ke pulau-pulau kecil ataupun nak buat aktiviti snorkeling di Pulau Payar, kenalah bawa pakaian yang sesuai.

 

Saya syorkan anda bawa pakaian mandi yang ada perlindungan spf (sun protection factor). Selain itu kena ada sun screen atau sun block yang mencukupi, kalau tak nak kulit muka terbakar lepas balik bercuti nanti.

 

Setengah orang merasakan hal berkaitan perancangan untuk bawa barang di hal yang remeh, tapi kalau kita perhatikan betul-betul, bila kita pack terlalu banyak barang, dan barang-barang tersebut pula adalah barang yang tak perlu, ini akan meningkatkan kos kita dari segi pembelian bagasi (check in baggage).

 

Boleh rujuk senarai ini untuk barang-barang yang disyorkan untuk anda bawa.

1. Sun Block

Ini penting untuk elakkan kulit anda terbakar teruk

 

Pakaian mandi untuk mandi di swimming pool

Benda ini sepatutnya orang dah tahu, tapi masih ramai yang buat kesilapan ini. Mereka mandi di swimming pool dengan pakaian biasa. Akhirnya kena tegur dan diminta keluar dari pool.

 

2. Goggle

Untuk protect mata anda ketika mandi di pool ataupun mandi laut.

 

3. Dry bag

Sangat berguna apabila anda buat aktiviti Island Hopping, atau apa-apa aktiviti yang melibatkan air. Barang-barang anda yang sensitif dengan air dapat diselamatkan.

 

Smartphone, kamera, ipod dan sebagainya better simpan dalam dryback.

 

4. Cermin mata hitam

Langkawi ni agak panas. Kalau boleh bawa la cermin mata hitam siap-siap. Lebih baik daripada beli yang harga RM10 – RM20 yang jual dekat tepi-tepi jalan.

 

5. Tripod dengan fungsi remote control

Senang untuk ambil gambar berdua. Tak perlu susah payah nak minta orang lain tolong ambilkan gambar.

 

6. Kamera

Sama ada DSLR atau compact camera. Biasalah untuk abadikan kenangan melawat tempat-tempat menarik yang terdapat di Pulau Langkawi nanti.

 

Tapi sekarang ini, kamera smartphone pun dah banyak yang canggih dan cantik-cantik.

 

7. Kasut yang sesuai dan selesa untuk jalan-jalan

Anda akan banyak berjalan. Terutama sekali apabila anda berkunjung ke tempat-tempat seperti Gunung Matchincang (Langkawi Cable Car), HIG Complex, Galeria Perdana, Zoo dan banyak lagi.

 

8. Kasut untuk snorkeling

Kasut ini lebih kurang macam stoking. Fungsinya untuk protect kaki dan tapak kaki kita dari tercedera semasa buat aktiviti. Kasut ni murah je harganya, tapi besar jasanya.

 

Saya suggest beli dekat Decathlon, sebab harga murah dan ada macam-macam pilihan.

 

Serius boleh hilang mood nak snorkeling kalau kaki kita berdarah sebab terpijak kulit siput atau karang yang tajam.

 

[4] Pemilihan waktu yang sesuai untuk pergi bercuti ke Langkawi

Tempat percutian seperti di Langkawi ini juga ada Peak Season dan juga Low Season. Kalau anda pergi ke sini ketika peak season, macam biasa kebanyakkan harga akan jadi lebih mahal.

 

Cuba elakkan datang ke sini ketika musim cuti sekolah, musim cuti umum dan juga ketika diadakan acara besar seperti LIMA dan sebagainya. Waktu-waktu macam ni, kos untuk sewa kereta, makan dan penginapan di Langkawi akan jadi sedikit mahal.

 

Selain itu, kena alert juga dengan keadaan cuaca di Langkawi. Saya suka pergi sekitar bulan April ke September sebab pada waktu ini, cuaca biasanya baik. Tak terlalu panas, dan tidak juga hujan sepanjang hari.

 

Untuk ramalan cuaca, boleh cuba rujuk laman web

Kalau kebetulan anda bercuti di Langkawi semasa musim tengkujuh, maka terpaksalah lebihkan aktiviti indoor berbanding outdoor.

 

[5] Tempat-tempat menarik di Langkawi yang anda patut kunjungi

Bercerita tentang tempat menarik yang terdapat di Langkawi tu, memang ada sangat banyak. Apabila anda tiba di Airport Langkawi nanti, boleh pergi ke kaunter informasi untuk dapatkan pamplet yang mengandungi senarai tempat menarik yang anda boleh kunjungi disana.

 

Ini antara senarai tempat menarik yang anda boleh kunjungi sepanjang percutian tu nanti

  1. Langkawi Sky Bridge
  2. Skytrex Adventure
  3. Underwater World
  4. Langkawi Wildlife Park & Bird Paradise
  5. Pantai Tanjung Rhu
  6. Skytrail Jungle Trekking
  7. Crocodile Adventureland
  8. Langkawi Zipline Adventure
  9. Langkawi Cable Car
  10. Gunung Raya
  11. Langkawi Arts in Paradise 3D Museum
  12. Pantai Cenang
  13. Teluk Datai
  14. Pantai Kok
  15. Pulau Payar Marine Park
  16. Air terjun Telaga Tujuh
  17. Air Hangat Village
  18. Taman Lagenda Langkawi
  19. Kilim Karst Geoforest Park
  20. Air terjun Temurun
  21. Pantai Tengah
  22. Pantai Tengkorak
  23. Makam Mahsuri
  24. Laman Padi
  25. Galeria Perdana
  26. Pulau Beras Basah
  27. Pantai Pasir Hitam
  28. Cenang Mall
  29. Air terjun Durian Perangin
  30. Medan Selera Nelayan Bukit Malut
  31. HIG Kompleks
  32. MARDI Agrotechnology Park

 

Banyaknya tempat nak pergi? Sempat ke kalau nak pergi semua ni kalau cuma bercuti 3 hari 2 malam? Kalau ikut pengalaman saya sendiri, memang tak sempat kalau nak pergi semua tempat ini.

 

Jadi anda kena rancang betul-betul percutian anda, sebab ada beberapa tempat yang saya senaraikan dekat atas tu, kalau kita pergi memang akan makan masa lebih kurang separuh hari atau sepanjang hari baru boleh selesai.

 

Tapi dari senarai kat atas tu, saya syorkan anda cari masa untuk buat aktiviti Island Hopping, Snorkeling di Pulau Payar, makan buffet buah-buahan di MARDI Agrotechnology Park, dan menaiki cable car.

 

Snorkeling Pulau Payar

Dari Langkawi kita akan menaiki feri khas ke Pulau Payar. Perjalanan ke pulau ini ambil masa lebih kurang 45 minit ke satu jam. Kalau nak buat aktiviti snorkeling, kena pastikan satu hari tu anda dah set memang untuk buat aktiviti ini sahaja.

 

Kalau nak buat aktiviti lain, kena set waktu malam.

 

Makan jamuan buah-buah tempatan secara buffet ni MARDI Agrotechnology Park 

Ini satu lagi tempat menarik di Langkawi yang anda patut kunjungi. Dekat sini kita boleh makan buah-buahan tempatan sepuas-puasnya. Buah yang dihidangkan selalunya berbeza ikut musim kita datang.

 

[6] Pengangkutan sepanjang percutian

Kebanyakkan destinasi tumpuan pelancong di Langkawi ini terletak ditempat yang agak jauh, antara satu tempat dengan tempat yang lain. Sebaik-baiknya sewa kereta untuk memudahkan perjalanan anda.

 

Perkhidmatan kereta sewa di Langkawi sangat mudah untuk diperolehi. Kalau anda masuk Langkawi melalui Jeti di Kuah, dekat situ juga ada banyak kaunter pengendali kereta sewa.

 

Begitu juga di Airport Langkawi. Kalau anda nak buat tempahan kereta sewa sebelum berangkat ke Langkawi juga boleh. Buat carian secara online boleh jumpa banyak syarikat yang menawarkan khidmat sewa kereta di Langkawi.

 

Cuma saya nak ingatkan disini. Kalau perlu bayar deposit, pastikan anda bank in ke akaun syarikat, dan bukannya akaun atas nama personal.

 

[7] Tempat makan di Pulau Langkawi

Anda tak perlu risau tentang tempat makan apabila bercuti di Langkawi, sebabnya ada banyak sangat tempat yang anda boleh pilih.

 

Saya faham, anda mungkin mahukan tempat makan yang special atau lain sikit apabila datang bercuti di Langkawi. Jadi saya akan kongsikan beberapa cadangan tempat makan yang anda boleh pertimbangkan.

 

HBL Food Corner

Terletak di Pekan Kuah. Restoran ini menyediakan menu makan tengahari ala kampung dengan pelbagai pilihan lauk pauk dan sayur. Harganya sangat berpatutan, dan sesuai untuk mereka yang nak makan sedap, pilih macam-macam lauk, tapi bayar harga tak terlalu mahal.

 

Kak Yan nasi campur

Untuk mereka yang dah ada pengalaman datang bercuti di Pulau Langkawi, pasti sudah biasa dengan restoran ini. Restoran ini menyajikan hidangan makan tengah hari, dengan pelbagai menu seperti nasi campur, laksa, dan banyak lagi.

Restoran ini agak luas dan boleh memuatkan ramai orang pelanggan dalam satu masa. Harga juga berpatutan dan sesuai kalau nak berjimat.

 

Makan sedap, ambik macam-macam lauk, tapi bayar tak mahal sangat. Itu yang saya maksudkan dengan dapat jimat.

 

Bukannya kita sekadar ambil nasi kosong, telur mata dengan kuah gulai.

 

Restoran Seashells Laman Padi

Konsep restoran ini adalah makan di sawah padi.

Sambil nikmati juadah makan tengahari sambil pemandangan sawah padi yang indah. Kalau datang kena dengan waktunya, memang cantik pemandangan disini.

 

Restoran Pak Hj Ya Nasi Ayam

Menu utama restoran ini ialah nasi ayam.

Nasi ayam dekat sini lain dari yang lain sebab ayamnya dibalut dengan telur.

 

Medan Selera Nelayan Bukit Malut

Kalau dah nama pun restoran nelayan, sudah tentulah restoran ini popular dengan aneka pilihan makanan laut. Pengunjung boleh pilih sendiri, makanan laut yang ada dan kaedah masakan yang diinginkan.

Kalau ikan misalnya kita boleh pilih sama ada nak bakar sahaja, bakar dengan sambal, masak tiga rasa, masak stim dan sebagainya.

 

Dari segi harga, ia lebih murah berbanding kebanyakkan kedai-kedai makan yang menyediakan menu yang sama di sekitar Chenang. Kalau anda teringin nak makan seafood, baik anda datang kesini.

 

The Cliff Cenang

Dekat The Cliff ini sesuai untuk makan malam dengan suasana romantik sambil dihiburkan dengan muzik ringan dan juga bunyi alunan ombak.

Ada pelbagai menu yang kita boleh order, seperti tom yam, ikan siakap dan sebagainya.

 

[8] Pakej Aktiviti di Pulau Langkawi

Semua aktiviti seperti water sport boleh dibeli di Pulau Langkawi. Disekitar Chenang, ada banyak syarikat yang mengendalikan sukan dan aktiviti air.

 

Pakej Island Hopping, Mangrove Tour, snorkeling dan sebagainya boleh beli sebaik sahaja anda jejakkan kaki di Pulau Langkawi.

 

Oleh sebab anda boleh direct negotiation dengan pengendali program, bolehkah cuba tanya kalau boleh bagi pengurangan harga. Kadang boleh dapat harga lebih rendah berbanding harga yang dibuka.

 

Tapi kalau anda lebih suka beli lebih awal, boleh tempah secara online sahaja melalui laman web seperti…

 

Baca juga terma dan syarat, jika perlu lakukan pembatalan misalnya sebab kesihatan, tak jadi pergi bercuti ke Langkawi ataupun cuaca tidak mengizinkan.

 

Biasanya yang saya tahu, kalau beli terus di Langkawi ada opsyen refund kalau aktiviti tak dapat dijalankan disebabkan cuaca kurang sesuai.

 

[9] Tips shopping di Pulau Langkawi

Pulau Langkawi ibarat syurga bagi mereka yang suka membeli belah! Ya, shopping time.

 

Ini masanya untuk borong apa yang ada, sebelum balik ke rumah masing-masing.

 

Harga barang-barang di Langkawi boleh jadi lebih murah berbanding di tempat lain di semenanjung sebabnya pembelian anda tidak dikenakan cukai, atau duty free.

 

Antara barang-barang yang popular untuk dibeli ialah seperti coklat, pakaian berjenama, beg, perfume, peralatan dapur dan banyak lagi.

 

Pengecualian cukai ini adalah bersyarat dan ia tertakluk kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Jika anda membeli lebih dari had yang dibenarkan, anda akan dikenakan bayaran cukai.

 

Di pintu keluar pulau Langkawi, sama ada di jeti mahupun di airport, anda perlu melalui semakan kastam. Jika anda ditahan dan diminta untuk bayar cukai sebab terlebih had pembelian, sila beri kerjasama.

 

Anda perlu simpan salinan tiket flight atau feri, maklumat check in hotel bagi tujuan pengesahan, iaitu berapa lama anda sudah berada di Pulau Langkawi.

 

[10] Bertolak balik ke Kuala Lumpur

Kebiasaannya, orang yang pergi bercuti ke Langkawi ini, pasti akan bawa balik buah tangan. Di Langkawi ada banyak kedai-kedai duty free yang menawarkan pelbagai produk seperti coklat, set pinggan mangkuk, perfume dan sebagainya dengan harga yang berkali ganda lebih murah berbanding di luar.

 

Dekat Airport Langkawi, seperti telah menjadi satu prosedur, barang-barang yang kita shopping wajib dibalut dikaunter pembalut sebelum diterima untuk check in. Pada masa ini anda kena sediakan duit untuk kos membalut. Biasanya barang shopping ni, orang akan masukkan dalam beg plastik atau beg yang ada zip tu.

 

Untuk elakkan kerosakkan barang beg atau beg tersebut pecah, diletakkan syarat untuk balut. Walaubagaimanapun, kalau barang-barang yang anda bakal beli nanti boleh dimuatkan dalam beg bagasi, anda tak perlu balut lagi.

 

Baiklah, saya harap perkongsian saya ini dapat memberikan anda serba sedikit panduan, terutama sekali buat mereka yang baru first time nak menjejakkan kaki ke pulau ini. Saya ucapkan, selamat bercuti ke Pulau Langkawi.

 

 

 

Exit mobile version