Blog Sabree Hussin

Kenapa nak join Bisnes Netwok Marketing?

Apa sebenarnya yang mendorong seseorang itu menyertai sesebuah syarikat yang menjalankan perniagaan mereka menerusi konsep pemasaran Network Marketing (atau Multi Level Marketing) sama ada sebagai ahli biasa ataupun sebagai ahli yang menyandang pangkat tertentu?

 

Adakah disebabkan oleh sifat tamak?

 

Memetik definisi tamak seperti yang diberikan oleh laman web Dewan Bahasa Dan Pustaka, tamak itu bermaksud …ingin memperoleh sesuatu dengan banyaknya.

 

Kalau dalam konteks bisnes network marketing atau bisnes Multi Level Marketing ni, apakah sebenarnya yang ingin diperolehi?

 

Kali ini saya nak membincangkan serba sedikit mengenai apakah matlamat sebenar apabila seseorang itu memilih untuk sertai bisnes ini? Kadang-kadang saya jadi agak bingung dengan sikap segelintir individu yang beriya-iya nak join bisnes ini, tapi selepas itu senyap dan menghilangkan diri.

 

Boleh tak kalau kita katakan individu seperti ini sebenarnya adalah mereka yang ada sifat tamak. Mereka nak join sebab mereka berpandangan bahawa mereka boleh memperolehi pendapatan yang sangat banyak melalui bisnes ini.

 

Tapi selepas itu, apabila mereka dapati bahawa untuk berjaya dalam bisnes ini, mereka perlu berusaha, perlu kembangkan rangkaian dan dapatkan downline, terus mereka ubah fikiran dan hilang minat.

 

Seolah-olah mereka ini adalah individu yang tidak mempunyai matlamat yang jelas.

Kalau orang tanya pada saya, apa matlamat saya join dan buat bisnes network marketing? Saya akan kata, saya join sebab saya nak jana pendapatan.

 

Tak kisahlah walau besar ataupun kecil pendapatan yang bakal dihasilkan. Sama ada cuma mampu untuk hasilkan RM100 setiap bulan mahupun RM10,000 setiap bulan sekalipun. Asalkan matlamat asal iaitu untuk jana pendapatan boleh tercapai.

 

Bila kita dah jelas dengan matlamat yang ingin kita capai, maka seterusnya kita perlulah buat apa yang perlu dilakukan untuk berjaya dalam bisnes ini.

 

Kebiasaannya dalam bisnes berkonsepkan network marketing, setiap orang perlu buat perkara-perkara berikut

(1) Join sebagai ahli

Selalunya cuma ahli sahaja yang boleh beli produk dari syarikat. Konsep dia sama macam kita beli barang di Shopee, Lazada dan sebagainya. Sebelum boleh beli barang, kita kena daftar akaun terlebih dahulu.

 

Bagi mereka yang masih belum daftar sebagai ahli, mereka tak boleh buat sebarang pembelian.

 

(2) Buat pembelian produk

Ini juga merupakan satu syarat yang biasa ada dalam mana-mana syarikat network marketing. Sebagai ahli, kita juga perlu beli produk syarikat. Jarang ada syarikat MLM yang tidak meletakkan syarat supaya ahli wajib buat pembelian.

 

Cuma yang membezakan antara satu syarikat network marketing dengan syarikat yang lainnya ialah, sama ada ahli perlu buat pembelian ulangan setiap bulan atau tidak.

 

(3) Bina rangkaian pengguna

Satu lagi perkara yang wajib buat jika nak jana pendapatan melalui bisnes networking. Anda kena bina rangkaian pengguna atau downline dibawah anda. Formulanya, lagi ramai downline lagi bagus, dan In Shaa Allah lagi besar potensi pendapatan yang boleh dihasilkan.

 

Bagaimana cara nak dapatkan downline? Jawapannya ialah, kena banyak berkongsi dan bercerita mengenai bisnes yang kita lakukan. Cerita dekat seberapa ramai yang boleh. Zaman sekarang ini, dimana kita telah berada di zaman teknologi dan media sosial, proses penceritaan dah jadi sangat mudah.

 

Gunakan kemudahan media sosial dengan sebaiknya. Gunalah facebook, twitter, instagram, tiktok, youtube, blog dan sebagainya untuk bercerita. Dalam 1,000 orang yang memberi perhatian terhadap cerita yang kita sampaikan, takkanlah tak ada seorang pun yang minat nak join dengan kita?

 

Pasti ada.

 

Hanya orang yang tak pernah bercerita sahaja yang biasanya tak akan berjaya dapat downline. Oh ada pengecualian. Andai kata anda sertai bisnes MLM yang menggunakan sistem binary, anda masih ada peluang untuk dapat downline, itupun hasil daripada kerja promosi yang dilakukan oleh upline anda.

 

Sepatutnya bila anda dapat downline, bukan daripada hasil usaha anda, anda berterima kasih dan hargai. Balas jasa upline anda dengan anda sendiri lakukan bisnes ini dengan sungguh-sungguh, bukannya sekadar duduk diam tak buat apa-apa dan masih lagi mengharap upline anda akan buat semua kerja untuk anda.

 

(4) Ajar downline untuk ulang benda yang sama

Saya berpandangan, adalah lebih baik jika kita hanya mempunyai 10 orang downline, dan setiap 10 orang downline yang kita perolehi itu mampu untuk belajar dari kita dan seterusnya mampu untuk buat perkara yang sama kita buat.

 

Kita mampu dapatkan 10 downline.

Kemudian kesemua 10 downline ini belajar dari kita dan mereka juga akhirnya mampu untuk bawa masuk 10 orang downline yang baru setiap satu.

Seterusnya setiap 10 orang yang kita ajak ini melatih pula 10 orang yang mereka bawa masuk.

 

Situasi diatas ini berganda lebih baik, berbanding dengan situasi dimana kita mampu dapatkan 100 orang downline, tapi setiap 100 orang downline itu tidak menunjukkan sebarang progres. Mereka daftar kemudian jadi ahli senyap. Mungkin sebab mereka dah kaya.

 

Matlamat join company network marketing adalah untuk jana pendapatan!

Ya, saya tahu yang saya dah sebut perkara ini. Tapi saya tetap nak ulang kenyataan yang sama.

 

Sebetul dan sepatutnya, the reason why kenapa kita join adalah untuk hasilkan extra income. Kalau tak ada langsung terniat atau terlintas dalam fikiran untuk buat duit tambahan, maka pada pendapat saya anda patut abaikan sahaja sebarang tawaran ataupun ajakkan mana-mana individu yang ingin menjemput anda untuk join company MLM.

 

Ianya hanya membuang masa anda, dan membuang masa rakan atau kenalan yang ajak anda join tu.

 

Saya sendiri pernah ada pengalaman, ajak kenalan untuk join bisnes network marketing. Dia join tanpa banyak soal, tapi selepas join dia senyap dan tak buat apa-apa.

 

Dia tak beli barang, dan dia juga tak mengembangkan rangkaian.

 

Sedangkan dia tahu, keahlian dia akan terluput setelah 6 bulan. Maka dari situ, saya faham, bahawa dia sebenarnya join sekadar untuk jaga hati saya sahaja.

 

Padahal bagi saya, dia patut terus terang dari awal dan kata sahaja yang dia tak nak dan tak minat nak join. Itu lebih baik daripada dia join tapi tak buat apa-apa.

 

Tahukah anda, kenapa saya katakan, kalau anda tak berniat nak buat duit, anda patut abaikan sahaja offer dari syarikat seumpama ini?

Sebenarnya kalau kita perhatikan, syarikat yang menjalankan bisnes network marketing ini mengeluarkan produk-produk yang biasa kita gunakan saban hari.

 

Produk mereka biasa sahaja, dan dengan mudah kita boleh dapatkan alternatif bagi produk mereka dipasaran. Saya akan bawakan beberapa contoh syarikat yang pada saya agak popular dan diketahui umum.

 

Amway merupakan syarikat network marketing yang mengungguli carta 100 syarikat direct selling paling popular dengan kutipan hasil jualan sebanyak USD8.4 bilion pada tahun 2019.

 

Syarikat yang berasal dari Amerika dan beribu pejabat di Ada, Michigan ini mula ditubuhkan pada tahun 1959.

 

Apakah produk-produk yang dikeluarkan oleh Amway?

Mereka mengeluarkan produk peralatan rumah, kosmetik, makanan dan minuman, produk penjagaan rumah, perhiasan rumah, barangan dapur, produk penjagaan diri, dan produk kesihatan.

 

Pada kedudukan yang kedua adalah syarikat Herbalife Nutrition dengan kutipan jualan sebanyak USD4.9 bilion pada tahun 2019. Syarikat ini berpengkalan di Los Angeles, California dan mempunyai matlamat untuk menjadikan masyarakat dunia lebih sihat dan gembira. Herbalife mula diperkenalkan pada tahun 1980.

 

Produk keluaran Herbalife adalah seperti kosmetik, makanan dan minuman, produk penjagaan kebersihan diri dan juga produk kesihatan.

 

Manakala kedudukan ketiga adalah Avon Products Inc dengan kutipan jualan sebanyak USD4.76 bilion. Syarikat Avon mula diasaskan pada tahun 1886.

 

Ibu pejabat Avon terletak di Northamptonshire, England dan mereka mengeluarkan rangkaian produk dalam kategori penjagaan diri dan juga kosmetik.

 

Adakah sebelum terwujudnya syarikat network marketing dan direct selling ini, tidak wujud rangkaian produk dalam kategori penjagaan diri, kosmetik, makanan dan minuman tambahan, produk kesihatan dan sebagainya?

 

Sudah tentulah jawapannya sudah ada.

 

Cuma yang membezakan antara produk keluaran syarikat seumpama ini adalah ianya memberi peluang kepada penggunanya untuk jana pendapatan tambahan dengan menjadi sebahagian daripada pasukan pemasaran, manakala produk dari jenama dan keluaran syarikat lain, dijual melalui shopping mall, pasaraya, farmasi dan sebagainya.

 

Sebab tu saya kata, kalau anda tak ada keperluan atau tak minat nak jana pendapatan, maka tak perlulah buang masa dengan melibatkan diri dengan syarikat MLM.

 

Baik beli sahaja produk yang anda perlukan itu tadi, sama ada di shopping mall, pasaraya, farmasi, atau di laman e-commerce popular seperti di Lazada mahupun di Shopee.

 

Bila kita sebut mengenai syarikat network marketing ini, kita perlu tahu yang dekat luar sana, ada dua jenis syarikat. Pertama, yang memang betul-betul boleh dipercayai dan menjalankan bisnes mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

 

Syarikat yang berada dalam kategori ini biasanya mengeluarkan produk yang biasa-biasa, produk keperluan dan kegunaan harian yang kita boleh dapati dipasaraya. Cuma yang membezakan biasanya dari segi kualiti, research & design yang dijalankan, dan bahan tambahan yang dicampurkan.

 

Satu lagi syarikat adalah yang jenis penipu. Mereka masuk pasaran seolah-olah mereka menjalankan bisnes MLM yang sah. Namun, dari segi operasi hinggalah kepada produk, ada terlalu banyak perkara yang agak meragukan. Produk mereka sangat ajaib, dan jika ianya produk kesihatan, ianya dipromosikan seolah-olah ianya sejenis ubat yang mampu merawat 1,001 penyakit.

 

Mereka juga akan memperkenalkan pakej-pakej harga yang agak keras, dan matlamat utama adalah untuk menjadikan peserta atau ahlinya kaya raya dalam masa singkat. Ini sebenarnya adalah sebuah syarikat yang amalkan sistem piramid. Justeru, anda kena tahu bezakan mana satu yang sistem piramid dan mana satu yang betul-betul boleh dipercayai.

 

Anehnya, terdapat segelintir individu yang langsung tak teragak-agak untuk sertai syarikat yang amalkan sistem piramid dan yang perlu mengeluarkan modal yang sangat besar, tetapi bila kita ajak sertai syarikat yang real dan genuine, terlalu banyak soalan dan alasan diberikan, walhal pendaftaran adalah percuma.

 

Saya tidak akan sesekali menggalakkan atau mengesyorkan anda untuk sertai skim piramid dan bukan itu tujuannya saya menulis dalam blog ini. Sebolehnya, saya akan menulis dan berkongsi tentang peluang buat duit yang betul-betul boleh dipercayai dan tidak melanggar undang-undang negara kita sahaja.

 

Ciri-ciri bonus yang terdapat pada bisnes berkonsepkan MLM

Adakah wujud satu pelan bisnes MLM yang TERBAIK?

Pada saya, tiada istilah syarikat MLM dan pelan pemasaran terbaik.

 

Jika kita perhalusi, pasti akan ada satu atau dua perkara yang kita kurang setuju atau kurang berminat. Tapi, kalau nak tunggu ada satu syarikat yang mampu membuatkan kita rasa puas hati 100%, itu mungkin mustahil.

 

Lebih baik anda bina sendiri syarikat dan perniagaan berkonsepkan MLM anda sendiri dan selepas itu anda rekalah pelan pemasaran yang betul-betul membuatkan anda rasa puas hati. Saya rasa cara ini lebih cepat berbanding anda mengharap ada syarikat lain yang boleh membuatkan anda rasa puas hati.

 

Sebaliknya, jika anda tidak merancang untuk bina perniagaan anda sendiri, apa yang boleh disarankan adalah, anda pilih salah satu daripada syarikat yang ada diluar sana, yang mana dalam ciri-ciri pelan pemasaran yang ada pada mereka, ada banyak yang anda dan orang seperti anda akan suka, berbanding syarikat yang lain.

 

(1) Produk yang bagus dan berkualiti

Sebenarnya ini adalah perkara paling asas. Produk yang dikeluarkan mestilah produk yang bagus dan berkualiti tinggi. Lagipun inilah sebab kenapa pelanggan membeli sesuatu produk.

 

(2) Produk yang anda boleh gunakan

Selain faktor produk yang berkualiti, kita perlu lihat juga sama ada produk-produk syarikat tu nanti ada atau tidak yang kita sendiri boleh gunakan.

 

Avon banyak mengeluarkan produk-produk untuk wanita, jadi kalau yang lelaki tu macam kurang sesuai untuk join. Kalau join sekalipun, tak banyak produk yang sesuai untuk dia sendiri gunakan.

 

(3) Harga yang mampu milik

Harga tak semestinya murah. Syarikat MLM jarang mengeluarkan produk yang murah, dan mereka bukan meletakkan matlamat untuk jadi pengeluar produk murah.

 

(4) Tiada paksaan untuk membuat pembelian

Paksaan dekat sini bukanlah bermaksud akan ada seseorang yang datang kepada anda, atau call anda untuk suruh anda buat pembelian. Tak.. bukan macam tu. Paksaan yang saya maksudkan adalah dari segi terma dan syarat. Boleh jadi syarikat meletakkan syarat, bahawa anda kena buat pembelian pada hari yang sama anda join, jika tidak keahlian anda tidak akan diterima.

 

(5) Tiada paksaan untuk mengekalkan belian (maintain purchase)

Ini juga merupakan satu ciri yang perlu anda perhatikan. Ada banyak juga syarikat MLM yang meletakkan syarat seumpama ini, yang mana ahli perlu buat pembelian setiap bulan jika ingin mengekalkan bonus peribadi, mata ganjaran dan sebagainya.

 

(6) Tidak memerlukan yuran yang tinggi atau sebaik-baiknya tak perlu sebarang yuran

Ini merupakan bayaran permulaan yang dikeluarkan apabila nak daftar sebagai ahli. Kebiasaannya syarikat MLM memang akan menetapkan bayaran untuk join sebagai ahli, namun ada juga syarikat seperti Atomy yang tidak meletakkan sebarang bayaran untuk penyertaan.

 

(7) Sistem yang digunakan dalam pelan pemasaran

Sistem atau pelan pemasaran ini ada macam-macam jenis. Ada sistem binari, matrix, hybrid, unilevel dan sebagainya. Dalam banyak-banyak sistem ini, mana satu yang terbaik?

 

Sama juga seperti sebelum ini, tiada istilah terbaik. Semuanya bergantung kepada citarasa anda. Macam saya, saya rasa sistem binari itu bagus sebab ia menggalakkan elemen kerjasama antara ahli dalam mengembangkan rangkaian. Namun, ada juga keadaan yang mana, ada ahli tu bila dia melihat rangkaian dia berkembang tanpa dia buat sebarang usaha, dia jadi pemalas dan tak buat apa-apa.

 

Kesimpulan

Akhir kata, buat mereka yang ingin menjadikan bisnes MLM sebagai alat untuk jana pendapatan, anggap dan layanlah peluang ini sebagai peluang bisnes yang sebenar.

 

Bukan sekadar hobi ataupun anggap ia sebagai satu perjudian dan jalan pintas untuk jana kekayaan. Bukan seperti itu.

 

Bila kita sebut istilah bisnes MLM, atau bisnes network marketing, maknanya ia memang sebuah perniagaan yang mana kita sebagai ahli perlu mengusahakannya hingga ada kejayaan.

 

Suatu perniagaan, untuk berjaya, anda sekurang-kurangnya perlukan

(1) Pelan perniagaan

(2) Strategi pemasaran

(3) Teknik menjual

(4) Kemahiran berkomunikasi

 

Tak ada masalah kalau anda tidak mempunyai kesemua skil ini pada peringkat awal anda sertai mana-mana bisnes networking. Kenapa saya kata macam tu? Semua ini adalah satu kemahiran dan ianya boleh dipelajari.

 

Apabila ianya boleh dipelajari, maka ianya juga boleh dikuasai apabila anda selalu praktis dan praktik.

 

Dalam apa juga bisnes, kita tak akan mampu untuk memuaskan hati semua orang. Walau sehebat mana dan sebagus mana produk mahupun servis yang kita tawarkan. Apabila orang kata NO, kita fokus kepada NEXT.

 

Sampai satu masa, kita pasti akan temui individu yang tepat dan yang suka dengan apa yang kita tawarkan. In Shaa Allah.

 

 

 

Exit mobile version