Blog Sabree Hussin

Bekerja Sendiri lagi susah berbanding Makan Gaji?

Apa pendapat anda? Anda rasa bekerja sendiri lagi susah atau kerja makan gaji lebih susah? Andai kata kerja sendiri tu lebih susah, adakah bermakna kerja makan gaji tu lebih senang?

 

Tak semestinya… Setuju?

 

Kalau dulu saya ingatkan kerja dengan orang adalah kerja yang paling susah. Sikit-sikit nak kena report dekat boss dan paling tak best ialah kita tak ada kebebasan.

Kita tak bebas nak buat kerja dengan cara dan masa yang kita suka.

Kita tak bebas nak bercuti  atau nak bekerja pada bila-bila masa yang kita suka.

 

Maka suatu hari tu, disebabkan saya dah bosan dengan kehidupan saya sebagai seorang eksekutif yang kerja makan gaji, maka saya mulalah buat perancangan untuk berhenti kerja. Ya, saya dah nekad untuk mula bekerja sendiri. Pada saya, hidup ini terlalu singkat untuk kita habiskan masa buat kerja-kerja yang kita tak suka.

 

Saya membesar dengan buku-buku tulisan Robert Kiyosaki. Salah satu buku tulisan beliau yang saya asyik baca ulang-ulang kali ialah buku berjudul . Jujur saya katakan, buku ni memang “BAHAYA”. Dia punya tahap bahaya tu sampai saya sendiri tak pasti sama ada saya nak ajak anda baca buku ni ataupun tidak.

 

Saya bimbang. Selepas anda baca buku-buku tulisan beliau, pandangan anda terhadap hidup dan aspek pengurusan kewangan anda akan berubah 360 darjah. Pada saya Robert adalah seorang penulis yang bukan calang-calang. Dia BERJAYA jadikan topik kewangan dan pengurusan kewangan yang pada saya sangatlah bosan dan terlalu matematik jadi sesuatu yang menyeronokkan dan buat orang rasa nak tau dengan lebih mendalam.

 

Saya nak kongsikan salah satu yang pembaca buku tersebut akan pelajari. Lihat pada rajah dibawah.

Konsep EBSI dalam kehidupan

Setiap orang akan melalui fasa kehidupan yang berbeza sepanjang hidupnya. Perubahan tersebut pasti akan berlaku, sama ada secara sukarela atau terpaksa.  EBSI merujuk kepada Employed (kerja makan gaji), Self Employed (bekerja sendiri), Big Business (mempunyai perniagaan yang besar dan ada ramai staff) dan Investor (pelabur).

 

Saya pernah kerja dengan orang.

 

… dan sekarang saya ambil keputusan untuk move on dan bekerja sendiri. Saya rasa ini adalah keputusan paling gila dan paling berani yang saya pernah buat dalam hidup saya. Apa taknya, kebanyakkan kawan-kawan sebaya saya, dan kawan-kawan yang pernah sama-sama belajar sama ada di uiversiti, kolej atau masa sekolah dulu sedang sibuk berlumba-lumba mendaki tangga kejayaan di syarikat korporat, saya pula menongkah aruh dan berhenti kerja!

 

Kan gila tu! Tiada lagi gaji ribu-ribu ringgit setiap bulan dan selepas ini saya perlu bergantung sepenuhnya pada Allah SWT dan atas daya usaha sendiri untuk cari duit bagi meneruskan kehidupan.

 

Macam yang saya kata sebelum ni, saya berpendapat hidup ni terlalu singkat untuk kita kekal statik di takuk yang sama. Masalah saya ialah, saya tak suka dengan kerja yang saya buat. Saya juga tak suka dengan bos saya. Saya rasa, setiap pagi adalah satu penyeksaan untuk saya bangun dan pergi kerja. Apalah gunanya saya habiskan masa bertahun-tahun untuk sesuatu yang saya tak suka?

 

Saya rasa, lebih baik saya berhenti kerja dan cari pengalaman baru. Matlamat saya ialah, saya nak dapatkan seberapa banyak pengalaman yang boleh atas dunia ini sebelum saya pejamkan mata buat selama-lamanya. Ok… sentimental mode activated pulak.

 

Waktu saya buat keputusan untuk berhenti kerja dan bekerja sendiri ni, ada beberapa faktor yang menjadi pendesak.

Pertama, saya tak suka dengan kerja saya.

Kedua, saya tak suka dengan bos saya.

Ketiga, saya dah tak sabar-sabar nak mulakan bisnes saya sendiri.

Keempat, saya rasa saya tak akan hidup lama untuk tunggu segalanya sempurna untuk berhenti kerja. Konon-kononnya saya tak nak ada sebarang penyesalan sebelum hembuskan nafas yang terakhir ha ha.

 

Memandangkan situasi kita mungkin sangat jauh berbeza, jadi saya ingin nasihatkan pada diri anda, supaya fikirlah dengan masak-masak sebelum nak berhenti kerja sekarang dan buat keputusan untuk bekerja sendiri.

 

Pada waktu catatan ini saya buat, saya sekarang ni memang sedang bekerja sendiri. Sampai bila? Saya tak tahu. Adakah saya akan kembali kerja makan gaji satu hari nanti? Saya tak tolak kemungkinan itu. Jika itu lebih baik untuk saya, saya tak ada masalah untuk kembali kerja makan gaji.

 

Walaubagaimanapun, apa yang terdaya untuk saya lakukan sekarang ni ialah untuk buat yang terbaik dan uruskan bisnes-bisnes saya dengan sebaik-baiknya. Saya nak buat duit banyak-banyak, supaya bila ada masalah nanti, (harap semua berjalan dengan lancar) saya tak perlu buat keputusan untuk patah balik kepada kerja makan gaji.

 

Bekerja sendiri tidaklah lebih mudah berbanding kerja makan gaji atau sebaliknya. Ia cuma satu cara hidup dan cara kerja yang berbeza.

Seronok tu memang seronok, cuma bila sekarang ni dah kurang pengawasan dari orang atasan, cabaran dia lain sikit.

Ingat senang ke nak buat kerja tanpa pengawasan ni?

 

Bila datang MALAS tu, hmm satu apa pun tak jadi. Yang peliknya… MALAS tu lama pulak tu ho ho. Alang-alang tengah cerita tentang kerja sendiri, saya ingat saya nak kongsikan beberapa perkara yang mungkin anda tak pernah tahu pun sebelumni tentang kerja sendiri. Manalah tau ada beberapa perkara yang saya cerita dalam ni berguna untuk anda kelak.

 

Masalah lazim yang perlu dihadapi apabila bekerja sendiri?

Kerja sendiri tak menjanjikan anda kehidupan yang seronok sepanjang masa. Ada ketika anda berada di atas, dan ada ketika anda berada di tahap paling bawah. Kadang-kadang anda akan rasa down juga. Tak kiralah sama ada kerja makan gaji atau kerja sendiri, anda tetap kena kuat! Kuatkan diri dan kuatkan hati untuk hadapi cabaran.

 

Kalau nak cerita dari segi masalah, sebenarnya memang banyak masalah. Tapi ia mungkin berbeza antara setiap orang, jadi saya akan cerita beberapa masalah lazim yang mungkin anda akan temui…

 

(1) Anda perlu tahu dan mahirkan diri dalam bidang jualan

Kalau tak tau apa-apa pasal buat sales… kena pergi belajar. Kalau rasa tak nak belajar, pergi upah orang yang tahu buat sales dan minta dia kerja untuk anda. Bidang jualan dan kerja sendiri tidak dapat dipisahkan. Orang yang tak minat atau benci menjual, kena mula belajar dan biasakan diri.

 

(2) Tak ada kerja? Kena cari kerja

Ini beza yang paling ketara berbanding semasa kerja makan gaji dulu. Dulu masa kerja makan gaji, masuk-masuk ofis dah bertimbun kerja kena siapkan untuk hari tu. Tapi berbeza dengan kerja sendiri. Kadang-kadang kita langsung tak ada kerja. Ha… adakah patut kita buat rileks dan tunggu kerja? No… No… No… Tak ada kerja kena cari kerja.

 

Sini salah satu tempat untuk anda cari kerja. Waktu saya tak ada job, saya juga akan rujuk laman web tu untuk cari kerja kosong.

 

(3) Semua benda kena buat sendiri kalau nak jimatkan kos

Bukan kedekut. Kena berjimat. Dulu semua benda kita akan mintak bos yang bayar. Kalau kena guna duit sendiri, kita akan claim pada bos. No wonder bos sangat cerewet dan perengus. Rupanya staf dia suka perabih duit dia. Tapi bila kerja sendiri ni, kena banyak berjimat.

 

Kalau nak print sesuatu pun kena fikir dulu masak-masak. Perlu ke nak print benda ni? Kalau tak print tak boleh ke? Ha… sampai macam tu sekalilah.

Nasihat saya buat pembaca yang merancang untuk berhenti kerja dan seterusnya bekerja sendiri…

Ada banyak sebenarnya nasihat yang saya nak kongsikan. Tapi saya rasa kalau nak cerita semua sekali, nanti jadi panjang pulak. Jadi saya nak kongsikan satu je nasihat yang mungkin berguna untuk anda.

 

Fahamkan konsep Pendapatan PASIF dan juga Pendapatan AKTIF

Ringkasnya

Pendapatan Aktif – Anda dibayar apabila anda bekerja. Anda tak bekerja maka tiada pendapatan.

Pendapat Pasif – Anda hanya perlu buat kerja sekali sahaja. Selepas itu pendapatan anda akan terus berjalan dan anda akan menerima pendapatan tersebut mengikut sela masa tertentu. Sama ada sebulan sekali, dua bulan sekali, setahun sekali dan sebagainya.

 

Kalau masa kerja dengan orang dulu, mungkin sesekali kita boleh main-main. Kalau rasa malas nak kerja, boleh ambik cuti sama ada emergency leave ataupun MC. Cukup bulan, kita masih lagi akan dapat jumlah gaji yang SAMA. Dah macam konsep pendapatan pasif sikit pun ada. Masa kerja makan gaji, kita dibayar sebab pekerjaan kita bukannya sebab kerja yang kita buat.

 

Sebaliknya, apabila kita kerja sendiri, benda yang sama kita tak boleh nak amalkan. Kalau tak kerja, tak ada job, maka tak ada gaji. Tak ada pendapatan. Ha… mereput la bulan tu tak ada income ha ha ha.

 

Itu sebabnya kena sentiasa ada back up plan. Fokus untuk buat kerja-kerja yang boleh sumbangkan pendapatan aktif. Pada masa yang sama, kena juga cari atau buat kerja-kerja yang boleh berikan pendapatan pasif. Jika jadi apa-apa yang tak elok pada bulan-bulan tertentu, setidak-tidaknya kita tidak akan terputus pendapatan begitu sahaja.

 

Sekurang-kurangnya masih ada pendapatan dari kerja-kerja terdahulu yang menyumbang kepada pendapatan pasif. Saya harap anda dapat belajar sesuatu dari perkongsian saya ni. Apa yang baik, jadikan ia sebagai pedoman, dan mana yang buruk jadikan sebagai sempadan.

 

 

Exit mobile version