Blog Sabree Hussin

Bagaimana mendapatkan Keuntungan Berganda melalui Sewaan Rumah?

Bagi mencapai tahap keuntungan berganda melalui sewaan rumah, pemilik harus memikirkan beberapa strategi menarik agar aliran tunai setiap bulan berjalan dengan lancar.

 

Sememangnya, pelaburan hartanah ini sangat menguntungkan lebih-lebih lagi jika ia terletak berdekatan dengan lokasi strategik seperti di kawasan bandar, institusi pendidikan dan lain-lain lagi.

 

Sudah tentu, sebagai pelabur, kita mahukan pulangan yang lumayan daripada pelaburan kita tu.

Dengan mengambil kira situasi kita di Malaysia, boleh dikatakan kebanyakkan rumah yang disewakan tu, pemiliknya masih belum habis bayar rumah tersebut dengan pihak bank. Salah satu sumber kewangan yang digunakan sebagai bayaran balik kepada bank adalah menerusi duit sewa yang dibayar oleh penyewa.

 

Jadi memang agak malang jika duit sewa yang dibayar oleh penyewa itu tidak cukup untuk cover bayaran loan rumah, ataupun hanya sekadar cukup-cukup makan. Dalam post kali ini saya ingin kongsikan beberapa idea yang mungkin anda boleh praktikkan bagi mendapatkan kadar sewa yang menguntungkan dari bakal penyewa anda.

 

(1) Menyediakan surat perjanjian sewa (Tenancy Agreement

Sebagai pemilik, kita semestinya tidak mahu bersusah payah mencari penyewa berulang kali dalam jangka masa yang singkat. Sekiranya tiada sebarang kontak perjanjian sewa, pemilik berisiko kehilangan penyewa dalam masa tertentu. Sebagai contoh, dalam masa setahun, penyewa berhasrat untuk pindah keluar daripada rumah tersebut.

 

Sebagai pemilik pula, kita terkial-kial mahu mencari pengganti penyewa di rumah berkenaan. Mungkin mudah atau sebaliknya. Sekiranya kita gagal mencari penyewa dalam masa sebulan, pemilik sendiri secara tidak langsung perlu menanggung kos pada bulan berkenaan.

Maka, dengan adanya kontrak perjanjian, penyewaan boleh dilanjutkan sehingga satu atau ke dua tahun sekali. Lagi satu, dengan mempunyai perjanjian, ia dapat mengelakkan risiko daripada berlakunya penyewa lari secara diam-diam.

 

Ia secara tidak langsung dapat membantu mencapai aliran tunai yang efektif.

 

(2) Menyuruh bakal-bakal penyewa datang pada hari yang sama

Tetapkan satu tarikh dan masa supaya bakal penyewa dapat datang untuk melihat rumah pada hari yang sama. Kaedah ini juga pernah disarankan oleh penasihat kewangan nombor satu di Malaysia iaitu Azizi Ali. Boleh baca buku beliau yang berjudul Bagaimana menjadi tuan rumah jutawan.

 

Dengan menjemput kesemua bakal penyewa untuk datang pada hari yang sama dapat mencetuskan urgency factor dalam kalangan bakal penyewa. Mereka perlu buat keputusan segera sama ada nak atau tidak rumah tersebut.

 

Selain itu, pada waktu yang sama, boleh juga wujudkan suasana bidaan yang mana akhirnya rumah tersebut akan disewakan kepada mereka yang sanggup menyewa pada harga tertinggi.

 

(3) Kenaikkan kadar harga sewa

Sebagai pemilik, sudah semestinya berasa berat hati untuk menaikkan kadar sewa kepada penyewa. Namun secara hakikatnya, nilai hartanah pada hari ini sentiasa meningkat beberapa peratus pada setiap tahun. Maka pemilik boleh memaklumkan pada penyewa tentang kadar kenaikan sewa dalam masa tertentu contohnya dalam masa 3 tahun.

 

Ia juga boleh dilakukan sekiranya sesebuah kontrak perjanjian itu telah tamat, maka pada tahun berikutnya pemilik boleh menaikkan kadar sewa dengan kadar berpatutan.

 

Apa pun, ia bergantung pada budi bicara pemilik rumah juga. Jika anda rasakan yang penyewa anda adalah seorang yang sangat bertanggungjawab dan sentiasa menjaga harta anda dengan sangat baik, maka tak perlu naikkan sewa rumah pun tak ada masalah.

 

Jika anda naikkan sewa rumah, dan penyewa anda terpaksa pindah keluar, belum ada jaminan pengganti penyewa tersebut dapat menjaga harta anda dengan baik.

 

(4) Iklankan rumah anda dengan harga yang lebih tinggi

Katakanlah anda bercadang untuk sewakan rumah anda dengan harga RM800 sebulan. Dalam iklan, anda nyatakan bahawa sewa yang dikenakan adalah RM900.

 

Apabila ada bakal penyewa yang memberi respon kepada iklan anda, dan dia minta dikurangkan sedikit kadar sewa, anda boleh kurangkan tanpa sebarang masalah. Jika anda kurangkan RM100 misalnya, anda masih lagi dapat capai target anda.

 

Ini juga merupakan salah satu cara untuk mendapatkan penyewa yang berkualiti.

 

(5) Kemahiran DIY (Do It Yourself)

Kerosakan fasiliti memang sering berlaku dalam rumah contohnya, paip tersumbat, paip pecah, servis aircond dan lain-lain lagi.

 

Sebagai pemilik, kita seharusnya bertanggungjawab dalam permasalahan ini. Bagi mencapai keuntungan maksima, pemilik digalakkan mempunyai kemahiran tertentu bagi menjimatkan kos tanpa perlu mengupah individu untuk membaikinya. Bayangkan jika kerosakan itu berlaku, pemilik hanya perlu menanggung kos barang kurang daripada 50 ke 70 peratus daripada harga sebenar. Jimat bukan?

 

Kalau anda tak pasti sama ada ianya menjimatkan atau tidak, boleh hubungi mana-mana tukang paip, untuk tanya sendiri berapa yang dia caj jika berlaku kerosakkan tertentu. Kemudian bandingkan dari segi kos jika anda baiki sendiri kerosakkan tersebut.

 

Pasti mempunyai perbezaan yang sangat ketara.

 

Kesimpulannya, strategi yang dikongsikan ini sememangnya mampu memberikan satu pulangan yang hebat terutama kepada pemilik. Dari segi kemahiran diri ia juga dianggap sangat penting. Bayangkan jika kita sering mengupah untuk tujuan pembaikan fasiliti dalam rumah, ia memakan kos yang sangat tinggi.

 

Namun begitu, sebagai pemilik kita janganlah terlalu mengejar keuntungan semata-mata sehingga membebankan penyewa. Biarpun kita mengenakan kadar sewa, secara tidak langsung kita juga dapat menyumbang dengan menyediakan ruang tempat tinggal kepada mereka.

 

 

Exit mobile version