Tips menghadapi persaingan dalam perniagaan berkonsepkan dropship

by sabree hussin on June 8, 2016

in Bisnes Dropship

Mempunyai pesaing dalam perniagaan adalah suatu lumrah. Situasi yang lebih kurang sama juga terdapat dalam persekitaran bisnes offline. Pasti anda akan jumpa, dalam sesebuah kawasan yang ada menjalankan perniagaan barangan runcit, pasti ada juga perniagaan lain yang hampir sama turut beroperasi di kawasan tersebut.

 

Di tempat saya tinggal, ada kedai runcit, ada kedai serbaneka 7-Eleven, KK Mart, dan ada juga 99 Speedmart. Semua perniagaan ni terletak dikawasan yang berhampiran.

 

Sebenarnya jika di fikirkan semula, mempunyai persaingan dalam perniagaan bukanlah satu perkara yang buruk. Ada kebaikkannya. Ini boleh dijadikan sebagai indikator yang dapat memberikan gambaran bahawa produk yang diniagakan itu sebenarnya memang mempunyai permintaan. Disebabkan wujudnya permintaan (demand) maka akan muncul para peniaga yang akan cuba membuat penawaran.

masalah-bisnes-dropship

 

Dalam situasi saya pula, saya ni boleh dikatakan aktif mempromosi dan memperkenalkan panduan bekerja dari rumah oleh kliks solution. Jika dalam Malaysia ni cuma saya seorang yang mempromosikan panduan ini, belum tentu penerimaan masyarakat terhadap produk panduan ini akan jadi sebegini hebat. Disebabkan adanya persaingan, maka kami semua yang bersaing untuk dapatkan sales, akan menghasilkan kempen marketing yang unik yang berupaya untuk memikat pelanggan untuk mendapatkan panduan tersebut.

 

Setiap entiti perniagaan yang bersaing untuk mendapatkan pelanggan, akan menggunakan segala kemahiran dan kelebihan yang dimiliki untuk menjadi yang terbaik dalam bidangnya. Bayangkan jika tiada persaingan? Tiada tekanan dari orang lain untuk menjadi yang terbaik, boleh jadi saya sendiri akan buat pemasaran secara ala kadar sahaja.

 

Bagaimana nak hadapi persaingan dan seterusnya memenangi persaingan tersebut? Suka ataupun tidak, dalam perniagaan kita memang perlu bersaing. Pihak yang menang akan dapat jualan, manakala pihak yang kalah, terpaksa terima kenyataan yang dia tak berjaya dapat sebarang jualan. Tiada jualan maka tiada pendapatan. Tiada pendapatan… bagaimana anda ingin terus berada dalam bidang ini?

 

Dalam kesempatan yang terbatas ini, saya ingin kongsikan kepada anda beberapa tips yang mungkin dapat bantu anda menghadapi persaingan dalam perniagaan anda. Mana tahu, ada salah satu daripada tips ini yang dapat beri manfaat kepada anda. Jom kita lihat.

 

(1) Target pasaran yang SPESIFIK

“Jika anda cuba untuk menjual kepada setiap orang, anda sebenarnya tidak akan berjaya menjual walaupun kepada seorang pun.”

 

Setiap produk yang dihasilkan mempunyai pasaran yang spesifik. Ini bermakna anda perlu kenal produk yang anda ingin jual. Kenapa agaknya sesuatu produk itu dihasilkan? Pasti ia bertujuan untuk menyelesaikan suatu masalah yang spesifik dan juga untuk digunakan oleh individu yang spesifik juga.

 

(2) Target pasaran yang masih belum diterokai

Produk yang sama sebenarnya boleh dijual di pasaran yang berbeza. Dengan syarat, kita benar-benar tahu, apa sebenarnya yang dimahukan oleh kelompok pasaran sasaran yang kita mahukan. Setiap orang pasti mempunyai keinginan tertentu. Contohnya, seorang suri rumah mungkin inginkan supaya dia dapat mencari pendapatan tambahan bagi membantu suami tercinta membina ekonomi keluarga. Seorang pelajar mungkin perlukan pendapatan tambahan bagi membeli buku dan bahan rujukan. Seorang yang banyak hutangnya perlukan pendapatan tambahan bagi melangsaikan hutang-hutangnya dengan lebih cepat.

 

Semua orang ada keperluan untuk memiliki pendapatan tambahan. Namun, keperluan setiap orang adalah berbeza. Dalam contoh ini, setiap orang mahukan pendapatan tambahan, tetapi untuk tujuan yang berbeza.

 

Sangatlah tidak kena, jika kita mempromosikan sesuatu yang boleh memberi pendapatan tambahan kepada seorang suri rumah, dan kita katakan pendapatan itu nanti boleh digunakan untuk beli buku.

 

Begitu juga halnya jika anda melakukan perniagaan dropship dan menjual produk seperti krim pemutih dan anti jerawat. Walaupun boleh dikatakan semua wanita ingin memiliki paras wajah yang menarik, namun bukan semua orang sanggup untuk bertindak bagi mendapatkan tahap kecantikkan yang diingini.

 

Selalunya, wanita yang bekerja dengan orang ramai, seperti seorang guru, seorang jururawat, seorang usahawan adalah calon pembeli yang baik untuk membeli produk kecantikkan yang kita jual.

 

(3) Jadi terkenal umpama selebriti

Hidup anda akan jadi lebih mudah apabila anda menjadi seorang selebriti. Anda akan mempunyai barisan peminat anda sendiri. Setiap apa yang anda lakukan, akan ada yang tiru. Setiap apa yang anda perkatakan, akan ada yang ikuti. Bayangkan, jika pada waktu tu anda menjadi seorang peniaga. Pasti ia akan jadi lebih mudah untuk mempromosikan dan menjual barangan yang anda miliki.

 

Pada satu part, jadi selebriti ini memang bagus.

 

Namun bukan semua orang sanggup untuk jalani kehidupan sebagai seorang selebriti. Anda akan tahu betapa tak seronoknya jadi selebriti apabila semua mata asyik tertumpu pada anda dan memerhatikan setiap gerak geri dan langkah anda.

 

Namun, for the sake of argument, menjadi seorang selebriti akan beri anda kelebihan untuk memenangi hati pelanggan dan meninggalkan jauh para pesaing anda.

 

(4) Jadi seorang yang PAKAR

Pada pandangan saya, untuk jadi seorang pakar tidaklah sesukar jika dibandingkan dengan menjadi seorang selebriti. Walaubagaimanapun, saya tidaklah ingin mengatakan bahawa menjadi seorang pakar itu mudah. Tidak. Bukan itu maksud saya. Namun jika dibandingkan dengan menjadi seorang selebriti, saya sendiri akan memilih untuk menjadi seorang pakar.

 

Apa langkah untuk jadi seorang pakar? Kita bermula dengan MEMBACA. Cuba dapatkan seberapa banyak bahan bacaan tentang topik yang kita mahu jadikan ia sebagai kepakaran kita.

 

Sebagai contoh, anda ingin menjadi pakar dalam bidang jualan. Ada terlalu banyak buku yang ditulis dalam bidang jualan yang setiap satunya mengajar anda cara dan pendekatan yang berbeza untuk menjadi seorang jurujual yang hebat. Bacalah setiap buku yang anda temui itu. Jika anda berjaya temui 200 buah buku dengan judul yang berbeza dan ditulis dalam bahasa yang berbeza juga, bacalah kesemuanya. Saya percaya, setelah anda membaca sebegitu banyak buku, pasti anda akan kuasai kemahiran tersebut.

 

Anda juga bakal berkata-kata seperti seorang yang memang pakar dalam bidang tersebut. Itu kesan secara tak langsung yang bakal diperolehi hasil daripada pembacaan yang dibuat.

 

(5) Tulis artikel yang bermanfaat secara berkala

Kata kuncinya ialah artikel yang bermanfaat kepada golongan sasaran. Sama ada artikel tersebut bertujuan untuk menerangkan tentang sesuatu perkara, bercerita tentang kebaikkan sesuatu produk mahupun untuk menyelesaikan masalah tertentu yang spesifik.

 

Artikel adalah cara untuk anda melakukannya.

 

Sekiranya artikel yang anda hasilkan adalah bermanfaat dan dapat memenuhi kehendak pembaca, maka In Shaa Allah akan ada dalam kalangan pembaca itu tadi yang akan bertukar menjadi pelanggan anda.

 

(6) Hasilkan tawaran yang unik yang lain daripada yang lain

Apa kata anda kaji balik setiap pesaing anda. Cuba lihat apa yang mereka tawarkan kepada pembeli sekiranya pembeli membeli dari mereka.

 

Adakah pesaing anda menawarkan

  1. Hadiah percuma?
  2. Penghantaran percuma?
  3. Diskaun?
  4. Rebate?
  5. Keahlian terhadap kelab tertentu?

 

Mungkin anda akan dapati, kebanyakkan pesaing anda tidak menawarkan sesuatu yang unik. Kalau mereka jual powerbank, maka hanya itu sahajalah yang ditawarkan. Tiada free gift, tiada diskaun, tiada free delivery. Maka dalam situasi ini, adalah lebih mudah untuk anda hasilkan tawaran yang berbeza.

Berikan potongan harga walaupun hanya RM1. Kadang-kadang, pelanggan ni cukup suka dengan potongan harga, walaupun sebenarnya potongan harga yang diberikan itu tidaklah tinggi mana. Sebab tu anda boleh lihat, ada sesetengah perniagaan yang akan naikkan harga terlebih dahulu sebelum berikan potongan harga. Tujuannya adalah supaya ia kelihatan seperti peniaga memberi banyak diskaun. Sebenarnya tak juga.

 

Baiklah, saya harap dengan apa yang saya kongsikan dalam artikel ini, ada sesuatu yang anda dapat pelajari. Moga-moga ada manfaat!

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: