Bila saya baca buku-buku yang ditulis oleh Azizi Ali, ia buatkan saya tersedar satu perkara. Satu pembohongan terancang yang dengan jayanya telah berjaya menipu orang ramai.
Pembohongan yang saya maksudkan ialah tentang “konsep persaraan”. Rupa-rupanya konsep persaraan ini hanya mula dipopularkan bermula era industri. Sebelum bermulanya revolusi industri, kebanyakkan orang hidup pada zaman tersebut bekerja sama ada sebagai petani, penternak, nelayan, tukang besi, tukang masak, penenun kain, tukang emas dan sebagainya. Pada waktu itu, boleh dikatakan setiap individu menyara diri dan keluarga dengan cara sederhana atau bekerja sendiri.
Kemudian muncul era industri. Pada waktu tersebut mula dibina kilang-kilang besar untuk mengeluarkan produk secara besar-besaran. Sama ada untuk tujuan di eksport keluar negara, ataupun untuk kegunaan sendiri. Dalam satu siaran dokumentari yang saya pernah tonton sebelum ini, salah satu industri yang giat dibangunkan ialah industri pengetinan makanan. Tujuannya? Ia untuk dihantar kepada askar-askar yang sedang berjuang menjajah negara orang lain.
Untuk menggalakkan orang ramai supaya menjadi pekerja di kilang-kilang, maka diwujudkan konsep persaraan. Menurut skim persaraan ini, seseorang itu hanya perlu bekerja untuk satu tempoh masa sahaja. Kemudian, apabila telah melepasi tempoh tersebut, let say umur 55 tahun, maka orang tersebut tak perlu bekerja lagi sampai bila-bila dan boleh nikmati tempoh persaraan. Setiap bulan dia akan menerima duit pencen! [Pesara Jutawan]
Sebab tu persaraan digambarkan sebagai suatu yang sangat indah dan menarik. Selepas bersara, seseorang itu digambarkan dapat melancong ke serata dunia, boleh habiskan masa di pulau-pulau eksotik, hanya perlu duduk di rumah bersama keluarga. Mereka tak perlu fikirkan sangat soal duit, sebabnya duit pencen kan ada.
Generasi sekarang ni, pada pendapat saya patut lupakan sahaja konsep persaraan ini. Hanya mereka yang bertuah dan terpilih sahaja yang akan lalui kehidupan yang mewah apabila bersara. Selebihnya? Mungkin akan hidup serba kekurangan, dengan kos sara diri yang makin lama makin meningkat, harga barangan yang semakin naik dan begitu juga kos untuk perubatan.
Sebaliknya pada waktu ini, jika kita merancang untuk hidup senang di usia tua, kita perlu sama-sama fikir dan usaha lebih lagi untuk wujudkan seberapa banyak sumber pendapatan yang boleh dimanfaatkan kelak. Suka atau tidak, kita kena ada sumber pendapatan kedua.
Untuk sesetengah orang, pendapatan kedua adalah semata-mata untuk kegunaan di usia tua. Namun, untuk sebahagian yang lain pula, sumber pendapatan kedua adalah talian hayat untuk terus menyambung kehidupan dan mengekalkan cara hidup semasa. Maka tak hairanlah bila dewasa ni, rata-rata orang ada dua atau tiga kerja. Baiklah, jadi dalam catatan kali ni, saya share tentang tips kerja sambilan untuk mereka yang masih belajar ataupun untuk mereka yang sedang bekerja.
(1) Buat kerja yang anda minat!
Sesetengah orang, mereka agak kurang bernasib baik. Kenapa? Mereka bekerja dalam bidang yang berbeza dengan apa yang dipelajari semasa di universiti. Kemudian, mereka tak boleh pilih untuk bekerja dibawah ketua yang bagaimana. Kadang-kadang kita tak bernasib baik kerana terpaksa bekerja untuk bos yang bebal lagi menyusahkan. Oleh sebab dia bos, maka kita terpaksa ikut sahaja arahan yang diberikan.
Nak lawan? Boleh. Dipersilakan. Jangan terkejut kalau lepas tu, anda rasa seolah-olah anda kena sabotaj. Nak cuti susah (walaupun cuti adalah hak anda, namun majikan ada hak untuk menolak permohonan anda. Sila baca kontrak yang anda tandatangani semasa minta kerja). Buat salah sikit akan kena tindakan dan macam-macam lagi. Ini dilema yang bakal dilalui oleh kebanyakkan pekerja yang melawan bosnya, walaupun hakikatnya bos tersebut salah dan pekerja tersebut betul.
Oh bukan semua tempat begitu, namun kebanyakkannya begitu. Kalau tak percaya bolehlah cuba sendiri.
Jadi, jika anda nak buat kerja sambilan, pilihlah sesuatu yang anda betul-betul minat. Bukan sekadar pilih pekerjaan yang menawarkan bayaran upah yang lumayan semata-mata.
Bila bercerita tentang cari kerja sambilan ini, tak lengkap rasanya kalau saya tak cerita tentang peluang-peluang untuk bekerja dari rumah. Salah satu kerja dari rumah yang agak popular ialah bekerja dalam bidang data entry. Upah yang dibayar adalah sekitar USD10 – USD50 untuk satu tugasan yang berjaya disiapkan.
Kerja data entry memang mudah. Upahnya juga boleh tahan dan jika kita convert kepada matawang RM, ia akan beri kita upah yang agak lumayan. Namun persoalannya ialah, adakah anda minat buat kerja-kerja data entry? [Belajar data entry dari Panduan Jobdirumah]
(2) Tentukan berapakah pendapatan tambahan yang anda perlukan
Ini penting supaya anda tak perlu buat kerja sambilan tu sepanjang masa. Memang betul, lagi banyak anda kerja, lagi banyak duit yang anda boleh hasilkan. Namun, anda patut tahu yang pada waktu ini anda sebenarnya sudah mempunyai komitmen.
Anda mungkin adalah seorang pelajar. Atau mungkin anda sudah mempunyai kerja tetap. Anda perlukan pendapatan tambahan dan mula bekerja sambilan semata-mata sebab pendapatan yang anda perolehi sekarang ni tidak mencukupi.
Tanya pada diri anda, dengan mengambil kira perbelanjaan bulanan anda, berapa sebenarnya yang tak cukup tu? Adakah tak cukup RM300? Atau tak cukup RM500 sahaja?
Andaikan anda hanya perlukan pendapatan tambahan sebanyak RM800 sahaja.
(1) Jika anda boleh dapatkan kerja yang membayar anda upah sehari RM200, anda hanya perlu bekerja selama 4 hari sahaja.
(2) Jika anda boleh dapatkan kerja yang membayar anda upah sehari RM100, anda hanya perlu bekerja selama 8 hari sahaja dalam sebulan.
(3) Jika anda berjaya dapat RM800 dalam masa dua hari bekerja, bermakna pada bulan tu anda dah tak perlu bekerja lagi!
Kita hanya ada 24 jam sahaja dalam sehari. Tak kan semua masa tu kita nak gunakan untuk orang lain? Untuk bekerja dengan orang lain? Habis tu, macam mana dengan keluarga kita? Tak kan kita tak nak luangkan masa untuk mereka. Jadi kenalah pandai-pandai bahagikan masa ya.
(3) Pastikan kerja sambilan yang kita nak buat tu tak mengganggu tugasan hakiki kita
Biasanya, pada peringkat permulaan memang semuanya terkawal. Namun lama-kelamaan, situasi akan mula berubah. Awal-awal dulu, memang semuanya berjalan dengan lancar dan tak ada sebarang gangguan, namun bila khidmat kita mula mendapat perhatian, maka kat situ akan bermula cabaran.
Semua orang akan mula berebut-rebut nak dapatkan khidmat dari kita. Akan sampai satu masa, kita terpaksa ambil cuti semata-mata sebab ada kerja lain yang perlu dilakukan. Ini petanda yang anda bakal menghadapi bahaya.
(4) Sebaik-baiknya pilihlah kerja-kerja sambilan yang boleh dilakukan hanya dari rumah secara online
Sebagai contoh, anda buat kerja-kerja sambilan seperti mempromosikan produk-produk affiliate, buat bisnes dropship, ambil upah tulis kertas kerja dan rancangan perniagaan ataupun anda dapatkan tempahan untuk syarikat-syarikat ataupun usahawan dapatkan khidmat percetakkan dari anda.
Kesemua yang saya sebutkan ini, boleh dilakukan hanya dari rumah. Sebenarnya bukan ini sahaja, jika anda buat lebih banyak kajian dan pembacaan, anda akan dapati ada terlalu banyak peluang untuk buat duit tambahan secara sambilan, dan ia boleh dijalankan hanya dari rumah secara online.
(5) Anda dibayar dalam bentuk upah atau komisen?
Dalam kerja yang anda bakal pilih tu, adakah anda kena buat jualan? Ataupun upah anda dikira berdasarkan berapa lama atau berapa jam anda perlu bekerja.
Sebagai contoh, anda dibayar RM6 untuk satu jam bekerja. Ini bermakna, jika anda ingin dapatkan pendapatan sebanyak RM800 sebulan, anda perlu bekerja selama 133 jam dalam sebulan.
Sebaliknya, jika bayaran anda adalah dalam bentuk komisen, anda mungkin tak perlu bekerja sehingga 133 jam untuk dapatkan pendapatan sebanyak RM800 tu.
Ada orang lebih suka bekerja dalam bidang jualan. Ada orang memang langsung tak minat nak bekerja dalam bidang jualan dengan alasan tak pandai menjual. Saya rasa istilah “tak pandai menjual” tu cuma alasan sahaja. Benda ni boleh belajar, dan semua orang yang pandai menjual sekarang ni, semuanya bermula dengan tak pandai menjual.
Yang penting, anda nak belajar. In Shaa Allah, lama-kelamaan anda akan jadi pandai menjual jugak. Kalau dah hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun anda terus belajar dan praktikkan pula apa yang dipelajari, pasti satu masa nanti anda akan jadi mahir jugak.
Apa pun saya doakan semoga anda sukses dalam setiap bidang yang anda ceburi. Nak buat duit tambahan secara sambilan, ada macam-macam cara. Yang penting usaha, konsisten dan fokus. Semoga anda berjaya!
Jie Susanos says
btul tu tuan..dunia skrg baik lupakan boleh duk rilek selepas pencen..
tak boleh harap ke pencen..
Raihanah says
semoga berjaya semua adik2