Apa nak buat sementara menunggu keputusan SPM diumumkan?
Sebenarnya ada banyak aktiviti yang anda boleh lakukan.
Sekiranya anda pilih untuk bekerja sementara menunggu result SPM, artikel ini saya tulis khusus untuk anda.
Kalau boleh jangan terus cari kerja, sebelum anda baca posting yang saya tulis ini.
Saya masih ingat lagi, satu ketika dulu sekitar tahun 2006. Sebaik sahaja habis menduduki peperiksaan SPM, saya terus cari kerja. Saya sempat duduk berehat-rehat dan rileks dekat rumah untuk 2 atau 3 hari. Tapi selepas itu, saya mula rasa bosan dan tak tahu nak buat apa.
Kawan-kawan sekelas, masa ini kebanyakkannya dah mula bawa haluan masing-masing.
Ada yang dah mula berpindah rumah, ada yang dah mula ikuti kelas komputer, ada yang dah mula cari kerja, dan ada juga yang saya dah mula loss contact.
Saya rasa, saya pun perlu buat sesuatu. Tak kan nak duduk rumah dan tak buat apa-apa. Saya ada lebih kurang 5 ke 6 bulan untuk keputusan SPM diumumkan, dan keputusan sama ada diterima masuk ke universiti diketahui.
Obviously, saya perlu cari kerja.
Mula-mula saya cuba dapatkan kerja berdekatan dengan tempat tinggal saya dulu di sekitar Klang.
Kalau dekat bandar Klang, ada beberapa shopping mall yang agak popular pada masa itu. Kita ada Center Point Klang, Klang Parade, dan Mydin.
Kawasan perindustrian dan kilang juga ada banyak berdekatan dengan tempat tinggal saya.
Walaubagaimanapun, saya tak berapa minat dengan kerja kilang. Pada pandangan saya, saya bukanlah seorang yang boleh buat kerja yang sama secara rutin setiap hari. Saya akan cepat bosan dengan kerja seperti itu.
Jadi saya memang tak cari kerja di kilang. Saya rasa persekitaran kerja di kilang macam tak berapa sesuai dengan saya.
Dari satu shopping mall ke satu shopping mall saya pergi. Mana-mana kedai atau outlet yang memaparkan iklan peluang kerja kosong, saya akan masuk dan bertanya.
Rupa-rupanya memang susah nak dapatkan kerja. Bakal majikan pun tak berapa yakin nak ambil pekerja yang baru habis peperiksaan SPM.
Mungkin sebab bagi mereka, kita ni tak ada pengalaman kerja. Mereka terpaksa bersusah-payah untuk melatih lepasan SPM cara-cara untuk buat kerja dengan betul.
Lagi satu, mereka pun tahu, yang budak-budak SPM ni selalunya tak akan kerja lama di satu-satu tempat. Bila dah dapat keputusan SPM, masing-masing akan mula atur langkah untuk sambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Semasa cari kerja di Klang, saya ada jumpa beberapa outlet yang menawarkan peluang kerja. Cuma bila difikirkan semula, ianya agak susah untuk saya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.
Masalah utama adalah dari segi pengangkutan.
Masa tu, sekitar tahun 2006, konsep bekerja dari rumah masih lagi agak asing. Istilah social media influencer pun tak ada siapa yang pernah dengar lagi pada waktu tersebut.
Akhirnya, saya ambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Kat sini, jaringan pengangkutan lebih teratur kalau nak bandingkan dengan keadaan tempat asal saya iaitu di Klang pada waktu itu.
Kalau di Klang, untuk bergerak ke mana-mana, saya bergantung kepada perkhidmatan bas awam. Masalahnya, bas cuma ada sampai pukul 9 sahaja. Pukul 9 (mungkin lebih sikit) adalah bas terakhir dari Bandar Klang ke tempat saya.
Kebanyakkan kerja di shopping mall, adalah sehingga jam 10 malam. Tak kan saya perlu beli sebuah motosikal semata-mata untuk memudahkan saya pergi dan balik kerja? Manalah ada duit…
Alhamdulillah, akhirnya saya dapat kerja di KL. Saya rasa dekat sini ada banyak peluang kerja. Jadi tak hairanlah kalau ramai orang kampung seperti saya, berhijrah ke KL untuk cari kerja.
Kat KL ni pengangkutan tak susah. Nak kemana-mana boleh naik LRT. Lagipun LRT terakhir adalah pada jam 12 malam. Sekarang ini dah ada perkhidmatan MRT, Monorel dan sebagainya.
Saya rasa, itulah dia cabaran pertama yang perlu saya hadapi selepas habis sekolah tingkatan 5. Nak kerja lepas SPM? Boleh? Persoalannya
1. Nak kerja apa?
2. Nak kerja kat mana?
3. Macam mana cara nak pergi dan balik kerja? Nak naik apa?
4. Nak duduk rumah mak ayah atau nak pindah rumah?
5. Kalau pindah rumah, duduk rumah saudara atau menyewa?
6. Nak sewa rumah atau cuma nak sewa bilik?
7. Nak sewa rumah kat mana?
8. Berapa anggaran sewa rumah setiap bulan yang mampu dan sanggup bayar?
Sepanjang saya kerja dulu, tak ada pula saya perlu jawab persoalan-persoalan berkaitan dengan Add Math, Biologi, Fizik, Sejarah mahupun soalan Kimia.
Bila dah habis sekolah, sedikit demi sedikit, kita mula diperkenalkan dengan persoalan-persoalan tentang realiti kehidupan seperti ini.
Kita bincangkan lebih details mengenai persoalan-persoalan diatas.
(1) Apa matlamat dari segi kewangan yang anda nak capai dari kerja tersebut?
Kita bekerja ini dah tentu sebab nak cari duit.
Tapi sebab duit itu, hanyalah sebab yang kita kata sebagai sebab permukaan sahaja.
Apa yang kita nak tahu ialah, apa yang anda nak buat dengan duit gaji yang bakal anda perolehi nanti?
Untuk lepasan SPM ini, mungkin kita boleh kata tujuan bekerja adalah untuk cari duit bagi kegunaan masa nak sambung belajar nanti. Bila dah masuk kolej atau universiti, memang akan perlu duit yang banyak.
Mungkin anda tertanya-tanya, perlu banyak duit untuk tujuan apa, kan? Ini antaranya…
a. Perlu beli pakaian baru
Besar kemungkinan, pakaian yang anda ada semasa zaman sekolah dulu, tak sesuai untuk dipakai ketika masuk universiti nanti. Kalau ada yang sesuai sekalipun, mungkin hanya beberapa pasang sahaja.
Sesetengah kolej atau universiti, ada yang mewajibkan para pelajarnya untuk berpakaian formal. Kalau yang lelaki, perlu pakai kemeja lengan panjang, seluar slack dan juga bertali leher.
Tak mungkin anda nak pakai uniform sekolah.
Walaupun tak salah, tapi ianya tak berapa sesuai.
b. Beg untuk ke kelas dan dewan kuliah
Sudah tentu anda perlukan beg. Beg yang anda gunakan masa zaman sekolah menengah dulu mungkin dah tak berapa sesuai untuk digunakan dan perlu diganti dengan beg yang baru.
Anda dah jadi student universiti, tak kan masih nak kekalkan penampilan budak sekolah lagi?
Sekali lagi, bukannya tak boleh, cuma kurang sesuai.
Tapi kalau beg anda masih elok lagi, tak salah pun kalau nak gunakan beg tersebut.
c. Penginapan
Kalau anda tak dapat kemudahan asrama, anda perlu mencari rumah sewa. Ada universiti yang memberikan kemudahan asrama hanya untuk pelajar tahun pertama, atau semester pertama sahaja.
Selepas itu, para pelajar perlu keluar dan cari tempat kediaman sendiri.
Justeru, jika perkara ini berlaku pada anda, maka anda kena bersedia untuk bayar duit sewa setiap bulan.
d. Pengangkutan
Anda juga perlu fikirkan, apakah pengangkutan yang ada dari tempat kediaman, sama ada asrama atau rumah sewa, untuk ke dewan kuliah.
Kalau boleh berjalan kaki, tak ada masalah.
Kalau perlu pengangkutan, maka anda kena bersedia, sama ada kenderaan sendiri atau pengangkutan awam.
e. Kelengkapan alat tulis
Biasanya bila masuk universiti atau kolej ini, kita akan perlukan alat tulis yang baru. Masuk tempat baru dengan semangat baru. Lebih bersemangat kalau semuanya serba baru.
f. Buku rujukan dan buku teks
Dekat universiti ini tak skim pinjaman buku teks. Kalau anda perlukan rujukan tambahan, anda perlu pinjam di perpustakaan, ataupun beli yang baru.
Biasanya buku rujukan yang ada di perpustakaan ini, jumlahnya agak terhad dan kalau masih ada sekalipun, buku teks tersebut adalah versi yang lama.
g. Laptop
Untuk memudahkan anda menyiapkan assignment, laptop ini adalah salah satu peranti yang anda perlu ada. Bermula hari ini, anda boleh survey harga laptop dekat laman web seperti Shopee ataupun Lazada.
f. Lain-lain kelengkapan
Bergantung kepada jurusan yang anda ambil. Kalau anda dalam jurusan fotografi, anda mungkin perlu beli kamera dslr, atau kalau dalam jurusan muzik, mungkin ada beberapa alat muzik yang anda perlu beli.
Bila dapat gaji tu, kenalah beringat dan berjimat cermat. Jangan terlalu seronok berbelanja, sebab nanti anda akan perlukan duit yang banyak.
(2) Pada waktu mana anda boleh bekerja?
Kalau anda memang tak ada sebarang aktiviti, sepanjang menunggu keputusan SPM dan keputusan kemasukkan ke universiti di umumkan, maka anda bolehlah bekerja seperti orang lain yang bekerja secara sepenuh masa.
Namun kalau anda ada aktiviti lain, misalnya anda ada ikut kelas atau kursus tertentu, mungkin boleh pilih untuk bekerja pada sebelah petang sahaja, atau ikut jadual kerja yang lebih fleksibel mengikut kesesuaian anda.
(3) Apa jadual kerja yang sesuai dengan anda?
Waktu kerja bagi setiap orang adalah berbeza-beza.
Ada yang kerja mengikut waktu pejabat.
Biasanya 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Ada yang kerja mengikut waktu urusan perniagaan.
Sebagai contoh 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Biasanya waktu kerja seperti ini adalah di shopping mall dan pasaraya.
Ada yang bekerja mengikut syif.
Ada syif pagi, petang dan juga malam.
(4) Pengalaman kerja yang anda ingin dapatkan?
Satu hari nanti, selepas tamat pengajian di universiti, anda akan mula keluar mencari kerja tetap. Pada waktu itu, anda akan mula menulis resume bagi tujuan mencari kerja.
Kalau selepas SPM anda pernah ada pengalaman kerja, ianya boleh memberi nilai tambah kepada diri anda.
Ini juga merupakan salah satu soalan yang kerap ditanyakan oleh bakal majikan kelak.
(5) Industri atau bidang yang anda berminat untuk sertai?
Bercakap pasal industri ni pula, sebenarnya dekat luar sana ada beberapa industri yang anda perlu tahu. Kita akan sentuh beberapa bidang yang biasa kita boleh lihat diluar sana.
a. Retail atau bidang peruncitan
Konsep bagi bidang peruncitan ini merujuk kepada sebuah perniagaan yang menjual pelbagai jenis barangan secara sedikit demi sedikit kepada pelanggan mereka.
Contoh pekerjaan dalam bidang ini adalah seperti kerja di kedai menjual pakaian, kedai peralatan elektrik, kedai alat tulis, kedai buku, pasaraya dan sebagainya.
b. Food and beverages
Biasa orang sebut dengan nama singkatan FNB atau F&B. Bidang ini melibatkan kerja-kerja pengeluaran, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran produk makanan dan minuman.
Peluang kerja adalah di tempat seperti restoran, kafe, kantin, gerai, pasar, syarikat katering dan sebagainya.
Bidang tugas adalah sama ada sebagai chef, tukang masak, tukang buat air, tukang ambil order, cashier, pekerja pembersihan, penjual dan sebagainya.
c. Perkilangan
Kerja-kerja pembuatan dan penghasilan produk melalui penggunaan peralatan dan mesin dalam jumlah yang besar.
Dalam sektor perkilangan ini biasanya anda akan buat perkara yang sama setiap hari memandang cara kerja disitu sudah mempunyai standard order procedure (SOP) yang telah ditetapkan.
d. Pertanian
Bidang pertanian ini melibatkan aktiviti penanaman hasil tanaman, menternak haiwan ternakan, dan menghasilkan sumber makanan.
Peluang kerja seperti ini boleh ada di ladang, dusun, sawah dan sebagainya.
e. Pengurusan
Bekerja dalam bidang pengurusan ini melibatkan kerja-kerja penyeliaan operasi, pekerja dan sumber dalam sesebuah organisasi. Kita perlu memastikan operasi perniagaan dapat berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah.
Kerja seperti ini banyak tertumpu dipejabat.
f. Perkhidmatan atau hospitaliti
Bidang ini fokus kepada industri perkhidmatan, seperti hotel, restoran dan kegiatan pelancongan.
Peluang kerja ada di hotel, resort, agensi pelancongan dan sebagainya.
g. Tutor
Dalam bidang ini anda akan terlibat sebagai tenaga pengajar untuk mengajar orang lain dalam bidang akademik atau untuk mendapatkan skil tertentu.
Kerja sebagai tutor ini, sama ada di pusat tusyen ataupun akan mengajar dalam kumpulan kecil dari rumah ke rumah.
h. Kurier
Kerja dalam bidang penghantaran ini melibatkan urusan pengangkutan dan penghantaran bungkusan, barangan dan penumpang.
Kerja-kerja penghantaran barang ini, sama ada bungkusan produk atau makanan boleh diperolehi melalui syarikat seperti Grab, Food Panda, Shopee dan sebagainya.
i. Hiburan
Melibatkan aktiviti menyediakan aktiviti riadah dan kegembiraan melalui pelbagai medium.
Hiburan datang dalam bentuk filem, muzik, permainan, seni persembahan dan media.
Kalau tempat kerja pula biasanya adalah di panggung wayang, taman rekreasi, taman tema dan sebagainya.
j. Jualan dan pemasaran
Ada juga kerja dalam bidang jualan yang mana peranan anda adalah untuk memperkenal, mempromosi dan membantu bakal pelanggan untuk membuat pembelian.
Kerja dalam bidang seperti ini, biasanya bayaran diberi dalam bentuk komisen, dan ada sesetengah syarikat yang menawarkan gaji asas, namun jumlahnya agak kecil.
Tapi kalau anda mampu untuk hasilkan jualan yang banyak, pendapatan yang boleh anda perolehi boleh jadi sangat lumayan.
Itu antara bidang atau industri yang anda boleh ceburi. Ia tak terhad pada satu-satu industri sahaja.
Jangan jadi seperti saya. Dulu saya cuma tahu bidang retail dan perkilangan sahaja. Sedangkan bidang kerja yang kita boleh ceburi ini sebenarnya ada sangat banyak.
(6) Sijil dan kelayakkan yang diperlukan untuk diterima bekerja?
Ada kerja atau jawatan tertentu yang memerlukan seseorang itu memiliki kelayakkan, sijil dan kemahiran tertentu. Tapi untuk lepasan SPM, sebenarnya ada banyak juga kerja yang tak perlukan sijil.
Kerja-kerja seperti ini adalah kerja yang melibatkan tenaga dan keupayaan fizikal. Ia boleh dilatih dan dipelajari dalam masa beberapa hari sahaja.
(7) Apa pengalaman kerja yang bakal diperolehi?
Pengalaman kerja ini adalah sesuatu yang penting, dan satu masa nanti, bila kita dah betul-betul bersedia nak masuk alam pekerjaan, bakal majikan akan bertanya tentang apa pengalaman kerja yang kita pernah lalui.
Pengalaman kerja ini mungkin dalam bidang customer service, pengurusan masa, pengurusan projek, pengalaman bekerja dalam satu pasukan dan sebagainya.
(8) Cara untuk ke tempat kerja?
Macam mana cara untuk anda ke tempat kerja juga perlu anda fikirkan. Kalau anda mempunyai kenderaan sendiri, ia sangat membantu. Jika tidak, anda perlu cari tempat kerja yang ada pengangkutan awam.
Sebaik-baiknya pilih tempat kerja yang masa perjalanannya tak melebihi 30 minit apabila menaiki pengangkutan awam.
Lagi jauh tempat kerja anda, lagi mahal bayaran tambang yang anda perlu bayar.
(9) Berapa kadar gaji atau upah yang ditawarkan?
Gaji adalah tujuan utama kenapa kita bekerja. Walaupun kita bekerja untuk separuh masa, namun kita juga perlu ambil tahu berapakah kadar gaji yang munasabah walaupun untuk kerja part time.
Gaji yang ditawarkan mestilah cukup munasabah dan kompetitif dengan tawaran semasa.
(10) Nak tinggal dimana sepanjang masa bekerja?
Kalau tempat kerja dengan rumah anda tak jauh, anda boleh tinggal sahaja dirumah. Dekat sini anda boleh jimat dari segi kos penginapan.
Sebaliknya, kalau dikawasan sekitar anda tiada peluang pekerjaan, anda mungkin terpaksa berhijrah.
(11) Sewa sebuah rumah atau sebuah bilik?
Sudah tentu, kalau sewa sebuah rumah kosnya lebih mahal berbanding sewa sebuah bilik. Kalau sewa sebuah rumah, anda boleh tinggal dirumah tersebut dengan selesa tanpa perlu hadap kerenah rakan serumah yang bermacam-macam ragam dan perangainya.
(12) Berapa anggaran sewa rumah yang sanggup anda bayar?
Jangan sampai duit gaji habis untuk bayar duit sewa rumah sahaja. Kita bimbang nanti, selepas 5 ke 6 bulan bekerja, anda tak ada langsung duit simpanan.
(13) Boleh ke kalau nak tumpang rumah saudara?
Kalau ada saudara mara yang berkemampuan dan tak kisah untuk tumpangkan anda untuk sementara waktu, mungkin boleh tinggal dengan mereka.
Mungkin ada saudara yang rumahnya agak besar, ada bilik kosong yang tak digunakan, dan boleh tumpangkan anda untuk sementara waktu. Cuma bila menumpang rumah orang ini, kenalah jaga perangai dan tingkah laku.
Jangan buat macam rumah sendiri, walaupun saudara anda tu kata “buatlah macam rumah sendiri”.
Biasakan buat perkara-perkara yang baik lagi terpuji.
1. Jaga solat.
2. Jaga kebersihan.
3. Bantu mengemas rumah.
4. Cuci pinggan selepas makan.
5. Bantu cuci bilik air.
6. Bantu buang sampah.
Saudara kita ini, kadang-kadang memang tak minta duit. Sama ada dia segan nak minta duit, ataupun dia memang berkemampuan. Jadi, selain beri duit, anda bantulah apa-apa yang patut sepanjang menumpang di rumah mereka.
(14) Adakah selepas berhenti kerja nanti, boleh diterima untuk kerja semula disitu?
Ini soalan yang saya sendiri pernah tanya kepada manager saya.
Secara bersahaja, saya pernah tanya, “Kak Fadila, lepas saya habis belajar nanti, kalau saya masih belum dapat kerja jugak, saya nak kerja kat sini lagi boleh tak?”
Jawapan yang bakal anda terima ini, sebenarnya bergantung kepada prestasi kerja anda juga. Kalau anda seorang yang rajin, tak beri masalah dan mempunyai hasil kerja yang baik, jawapan yang anda terima mungkin positif.
“Boleh… boleh. Awak datang cari akak kalau masih belum dapat kerja ya…”
Manager kita ini pun manusia juga. Bila kita selalu bantu dia, kita senangkan kerja dia, sedikit sebanyak dia akan rasa selesa bekerja dengan kita, dan tak mustahil kalau dia ada rasa terhutang budi pada kita.
Kesimpulan
Kehidupan selepas tamat peperiksaan SPM ini sebenarnya cukup mencabar. Pada masa ini, kita perlu mula belajar untuk berdikari dan berkenalan dengan alam kedewasaan.
Walau apa pun cabarannya, jangan buat keputusan sendiri. Jadikan perbincangan dengan mak ayah, dengan adik beradik sebagai satu tabiaat.
Lepasan SPM, cukup mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya ataupun kawan-kawan yang lebih berusia. Silap langkah, buruk padahnya.
Saya berpendapat, lepas SPM kalau nak kerja sebab nak dapatkan pengalaman, itu adalah sesuatu yang bagus. Tetapi, kalau nak kerja sebab nak terus kerja, itu saya tak berapa galakkan.
Masa muda, lebih baik digunakan untuk menuntut ilmu, berbanding untuk bekerja. Tapi kalau memang tak ada duit, dan nak kerja dulu sebab nak kumpul dana untuk belajar, itu lain cerita.
Walau apa pun jenis pekerjaan yang anda ingin pilih, saya nasihatkan anda agar tidak luang masa terlalu lama bekerja disitu. Ini akan memberi kesan kepada anda dan juga kepada cara anda berfikir kelak.
Anda perlu sematkan dalam hati, kerja lepas SPM ini hanyalah untuk sementara waktu sahaja.
Kerja untuk setahun atau dua tahun sahaja paling lama.
Lebih baik kerja hanya untuk sementara waktu, dan bila dah keluar keputusan sama ada layak untuk sambung pengajian ke peringkat seterusnya atau tidak, terus berhenti kerja dan sambunglah belajar.
Kerja memang seronok.
Paling seronok bila kita dapat gaji.
Tapi jangan sampai keseronokkan itu melunturkan semangat anda untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Saya kenal ramai orang, yang bila dia terlalu lama bekerja, dia mula ada pemikiran seperti
1. Buat apa sambung belajar, habiskan duit je
2. Lepas habis belajar belum tentu dapat kerja bagus, hutang kena bayar
3. Daripada buang masa belajar, baik kerja dan buat duit
Negara kita perlukan orang muda yang mempunyai ilmu, kepakaran dan kemahiran yang tinggi. Semua ini hanya dapat dicapai melalui jalan pengajian.
Hari ini mungkin anda seronok kerana boleh pegang duit yang banyak.
Tapi dalam masa lima ke sepuluh tahun akan datang, ketika rakan sebaya anda sudah tamat pengajian dan boleh masuk dalam mana-mana industri pilihan mereka, biasanya kadar gaji permulaan dan peningkatan gaji yang mereka boleh nikmati adalah berkali ganda lebih besar dari yang anda terima.
Sedangkan anda, masih lagi berada dalam tangga gaji yang sama, dan masih lagi dianggap sebagai pekerja bawahan.
Kalau anda nak cuba cari kerja part time secara online sahaja, boleh cuba dapatkan kerja kosong dari laman web ini. Ada banyak juga senarai kerja kosong khusus untuk mereka yang cari kerja part time, bukan permanent position.
Kerja part-time Customer Service Domino’s Pizza
Ini salah satu iklan yang menarik pada pandangan saya.
Apakah syarat untuk bekerja sebagai customer service ini?
- Good command of English and Bahasa Malaysia
- Students, fresh graduates and retirees are encouraged to apply
- Flexible working hours (min 2 days/week for part timer)
- Basic computer knowledge needed and two (2) weeks training- night session will be provided
- Applicants who are available immediately are encourage to apply
- 150 vacancies available
Tanggungjawab yang perlu dilakukan
- Handle inbound calls for Domino’s Pizza order taking
- Process customer’s order
- Tactfully and professionally attend to customer queries / concerns via phone
- Adhere to escalation procedures of handling customer concerns at all times
Kerja ni lebih kurang macam kerja dekat Call Center.
Kita akan jawab panggilan dari pelanggan. Cuma dalam contoh ini, pelanggan yang call adalah mereka yang nak pesan pizza atau mereka yang ada masalah dengan pesanan yang mereka lakukan.
Saya pun pernah kerja dekat call center sebelum ini.
Apa yang boleh saya katakan, kerja macam ni, sangat bagus untuk melatih kita bercakap dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan lebih fasih dan lancar.
Siapa yang memang suka bercakap, berbual dan bersembang tu, memang akan rasa kerja ni sangatlah senang. Apa pun, kalau anda berminat dengan kerja ni, bolehlah cuba mohon kerja ini disini.
Selepas kerja dalam bidang ini, anda pasti akan nampak perubahan dalam diri anda. Kalau ramai pelanggan yang call cakap bahasa Inggeris, In Shaa Allah penguasaan anda terhadap bahasa Inggeris akan jadi lagi baik.
encikhafiz.com says
kerja pertama saya adalah sebagai pembanci pekebun getah dan sawit. untung juga saya duduk di pinggir bandar
sabree hussin says
Asalkan bekerja, itu dah cukup baik 🙂 sekurang-kurangnya ada pengalaman bekerja dan cari duit sendiri
LLoyt says
tapi umur 17 bleh kerja kat domino ker?
sabree hussin says
Sila baca syarat-syarat yang ditetapkan oleh majikan sebelum mohon kerja