Situasi dengan pegawai Bank
“Encik, pihak kami kini ingin tawarkan pinjaman dengan kadar yang paling rendah bla… bla… bla… bagus ni untuk langsaikan hutang-hutang sedia ada. Tawaran ni kita cuma ofer kepada pelanggan terpilih sahaja… kalau encik setuju, sekarang juga saya akan proses dan dalam masa 24 – 48 jam, duit akan dimasukkan terus ke dalam akaun encik. Boleh saya teruskan?”
Orang bank bila nak bagi kita loan, mulut memang sangat manis. Sweet gitu. Tapi bila kita terkantoi nak bayar balik… hambik ko… setiap hari diorang akan call. Tak cukup dengan tu, kalau boleh setiap masa dia akan hantar SMS dan setiap minggu akan hantar surat ke rumah kita untuk bayar balik hutang. Sampaikan kita jadi tak tenteram dan tak selesa nak bekerja untuk cari duit untuk bayar hutang tu!
Namun situasi kita berbeza pulak. Lebih-lebih lagi apabila kita terpaksa meminjam dari kenalan, sanak saudara mahupun ahli keluarga.
Bila kita nak mula meminjam duit, punyalah sweet dan berbudi bahasa sungguh. Tetapi… bila sampai masa nak kena bayar balik duit tu, automatik hilang terus sweet, budi bahasa dan sopan santun tu!
Yang bestnya pulak tu, ahli keluarga, saudara ataupun kenalan kita tu “tak berani” nak push kita untuk pulangkan balik duit dia yang kita pinjam tu. Kadang-kadang tu, sebenarnya bukannya tak berani, tapi lebih kepada TAK SAMPAI HATI.
Sebab tu ramai yang tak berapa gemar pinjamkan duit kepada kenalan. Mungkin sebab mereka tahu, potensi untuk dapat balik duit yang dipinjamkan tu nanti juga adalah sangat rendah. Kira macam akan burn macam tu je kalau pinjamkan.
Baiklah. Ini satu keadaan dan situasi yang TIDAK SIHAT. HUTANG ITU WAJIB DIBAYAR. Tak kiralah sama ada hutang itu dituntut mahupun tidak.
Ketika saya menulis artikel ini, saya juga masih lagi menanggung hutang berjumlah ribuan ringgit, yang adakalanya saya sendiri merasakan seolah-olah tak ada jalan keluar untuk saya selesaikan kesemua hutang-hutang ini. Hanya doa, usaha dan tawakal yang dapat saya panjatkan ke hadrat ilahi dan semoga satu masa nanti, akan dibukakan pintu rezeki yang seluas-luasnya untuk saya selesaikan hutang-hutang saya ni.
Apa pun, saya bersyukur kerana pemberi hutang tidaklah tergolong dalam kalangan mereka yang suka push untuk paksa saya bayar balik SEGERA. Baiklah, topik tu saya fikir saya akan tulis lain kali. Cuma dalam perkongsian kali ini, saya nak share mengenai tips apabila kita berhutang dengan orang lain.
Peliknya… kita hidup dalam suasana dan persekitaran yang serba tak cukup. Ada-ada je yang perlu dibayar dan ada-ada sahaja perbelanjaan tambahan yang perlu kita tanggung. Setiap bulan mesti akan ada kos yang meningkat. Kalau bukan kos bahan api untuk pengangkutan, akan ada je benda lain yang nak naik harga.
Jadi untuk kita semua yang TERPAKSA ambil jalan meminjam untuk keluarkan diri buat sementara waktu dari belenggu kewangan, ini ada beberapa tips yang mungkin berguna untuk anda.
Nyatakan tujuan dengan JELAS kenapa perlu pinjam duit
Cakap je terus terang kenapa anda perlu pinjam duit. Adakah sebab
1. Masalah kesihatan
2. Perlu repair kenderaan
3. Sebab nak join bisnes?
Paling pantang ialah MENIPU. Sebenarnya pinjam duit sebab nak join bisnes, tetapi bagi alasan sebab anak sakit dan tak ada duit nak biayai kos rawatan. Silap haribulan, anak tu betul-betul sakit baru tau. Time tu tak kan nak meminjam lagi sekali.
Kenapa mesti nak bagitahu secara JUJUR tujuan meminjam?
Begini. Mungkin anda “terpengaruh” dengan pujukan dan ajakan kenalan lain untuk melabur dalam skim dan perniagaan tertentu. Kalau anda memang seorang yang PAKAR dan memang yakin perniagaan tersebut memang betul-betul SAH dan ada potensi untuk maju, itu lain cerita.
Tetapi, kalau ia sekadar berlandaskan pada emosi dan sentimen nak cepat kaya semata-mata, bermakna anda dalam BAHAYA.
Secara tak langsung, bila anda ceritakan apa tujuan anda perlu duit ni, kenalan anda tu tadi mungkin dapat berikan sepatah dua kata nasihat untuk anda pertimbangkan.
Dari nasihat yang bakal diberikan tu, mungkin anda akan tahu pendapat kedua tentang bisnes tu, atau anda mungkin akan dapat info terbaru mengenai sumber-sumber lain yang anda boleh tuju untuk dapatkan bantuan kewangan.
Saya pun pernah hampir-hampir join skim cepat kaya. Apa yang menghalang saya join ketika tu ialah, saya tak ada duit. Niat di hati memang saya nak pinjam duit orang lain untuk join program ni, tapi lepas saya dengar nasihat orang yang saya nak pinjam duitnya tu, saya pertimbangkan dan mula berfikir dengan rasional. Akhirnya saya tak jadi pinjam dan saya selamat daripada terjoin skim cepat kaya tersebut.
Pinjam dalam jumlah yang kecil
Ini bermakna anda perlu pinjam daripada lebih dari seorang. Kalau anda perlukan RM3,000 misalnya, anda hanya pinjam RM200 – RM500 sahaja dari seorang kenalan. Itu dah cukup. Peluang untuk dapat duit pun lebih cerah berbanding kalau-kalau anda terus pinjam dalam kuantiti yang besar.
Tunjukkan BUKTI yang anda boleh bayar semula
“Dalam masa 7 hari dari sekarang, saya akan dapat komisyen dari syarikat ini. Bila duit komisyen tu masuk, awak adalah orang pertama yang akan saya hubungi untuk bayar hutang ni. Tetapi sekarang ni, saya memang betul-betul terdesak nak guna duit.”
Orang beri kita pinjam duit bila dia yakin yang dia akan dapat balik duit yang kita pinjam tu. Jadi, untuk yakinkan si pemberi pinjaman, kita kenalah buktikan yang memang kita ada kekuatan untuk bayar balik. Cuma sekarang ni kita memang terdesak nak pakai duit sebab duit masih belum masuk lagi.
Capai persetujuan untuk proses dan tempoh bayaran balik
“Saya bayar balik bulan depan ye…” atau “saya bayar balik lepas dapat gaji ye…”
Sebenarnya hanya berkata sedemikian masih tak cukup. Anda perlu nyatakan dengan jelas, bilakah tarikh sebenarnya yang anda akan bayar balik.
“Saya akan bayar balik pada 1 Januari 2020” ataupun jika bayar ansur-ansur,
“Saya akan bayar secara ansuran sebanyak RM250 setiap 30hb selama 12 bulan”
Pastikan ada hardcopy untuk dibaca oleh waris jika berlaku kematian
… dan pastikan ada black and white ataupun perjanjian tersebut ditulis atas kertas untuk tujuan rekod dan rujukan. Maklumlah, manusia ni sifatnya memang mudah sangat terlupa. Jadi untuk elakkan daripada berlaku sebarang perkara yang tak diingini, kan lebih baik ditulis atas kertas supaya semua orang boleh tengok.
Jika berlaku kematian sebelum keseluruhan hutang sempat dilunaskan, waris juga boleh tahu berapa baki hutang yang masih belum dijelaskan dan bila hutang tersebut perlu dibayar.
Bayar lebih awal berbanding tarikh yang dijanjikan
Walaupun anda janji nak bayar setiap 30hb, kalau anda ada duit lebih atau ada duit lebih awal dari tu, bayarlah lebih awal.
Orang yang beri pinjam duit tersebut pasti suka kalau anda dapat bayar lebih awal dan dapat settlekan hutang lebih cepat berbanding tarikh yang dipersetujui.
Bayar lebih atau beri hadiah pada tarikh akhir bayaran dibuat
Untuk mengelakkan terjadinya masalah riba, jangan janjikan sebarang imbuhan ataupun lebihan bayaran ketika anda minta bantuan untuk buat pinjaman.
Lebihan bayaran ataupun hadiah yang bakal anda berikan kepada pemberi pinjaman adalah sebagai tanda terima kasih kerana telah bantu anda. Bukannya dimasukkan sebagai syarat untuk diberi pinjaman. Kalau pemberi pinjaman tu hanya sanggup untuk beri pinjaman sebab anda janji nak bayar lebih atau sebab anda janji nak beri dia hadiah, lebihan tersebut adalah riba dan anda berdosa besar.
Kalau pinjaman untuk perniagaan, tawarkan perkongsian keuntungan
Anda mungkin dapat ubah daripada konsep pinjam kepada konsep perkongsian modal dan keuntungan. Dalam situasi ini, rakan anda sebagai pemberi modal manakala anda bertanggungjawab untuk menjalankan perniagaan tersebut.
Apabila ada untung, anda bahagikan mengikut nisbah yang dipersetujui, sama ada secara 50 – 50, 60 – 40 ataupun 70 – 30. Dalam konteks ini, saya syorkan anda dapatkan peratus keuntungan yang lebih tinggi sebabnya anda yang akan bertungkus lumus untuk jayakan perniagaan ini. Manakala rakan anda itu tadi hanya bertanggungjawab untuk sediakan modal.
Nanti dulu… jangan terlalu excited dengan untung semata-mata. Dalam mana-mana perniagaan, ada untung dan ada rugi. Jangan asyik fikir tentang untung semata-mata, fikirkan juga tentang risiko kerugian. Jika bisnes rugi, kena bahagikan juga kerugian supaya sama-sama dapat tanggung risiko yang sekata.
Siap sedia untuk balas budi
Kalau anda pernah pinjam duit orang, jadi anda patut tahu… yang seseorang tu tak akan dengan sebegitu mudah meminta untuk pinjam duit dari anda jika mereka tidak terdesak. Jadi, perkara yang sama yang anda perlu lakukan.
Mungkin bukan orang yang sama yang akan pinjam duit dari anda. Mungkin orang lain yang akan pinjam duit dari anda. Apa yang saya dapat katakan, cubalah bantu sedaya anda.
Kalau orang yang pernah beri bantuan kepada anda yang perlukan pertolongan, cubalah sedaya upaya untuk bantu. Dia dah bantu anda ketika anda berada dalam kesusahan, kini giliran anda pula untuk meringankan beban mereka. Balaslah budi mereka.
Baiklah, secara peribadi saya lihat hutang dengan kenalan, kawan rapat dan saudara mara ni bagusnya ialah tak ada interest, bunga ataupun riba. Walaupun kita lewat bayar, kita tak dikenakan dengan sebarang denda.
Berbeza dengan hutang dengan bank, kalau kita lewat bayar, kita akan dikenakan denda dan menjadikan jumlah hutang kita makin bertambah. Ini akan membebankan kita kembali dan natijahnya hutang kita akan jadi makin lambat untuk diselesaikan.
Walaubagaimanapun, jangan ambil kesempatan. Jangan sengaja lewat-lewatkan bayar.
Saya berpendapat, jika boleh elakkanlah daripada perlu berhutang dengan kawan-kawan, saudara dan ahli keluarga ni. Ini bagi mengelakkan berlakunya situasi yang tak diingini di masa akan datang.
Banyak dah terjadi, hubungan persaudaraan dan persahabatan jadi makin renggang dan jadi kekok disebabkan kegagalan untuk bayar hutang. Apa pun, sekali lagi saya ulang dan ingatkan kepada pembaca dan kepada diri saya sendiri (yang tetap tak terlepas dari masalah hutang)… hutang itu perlu dibayar, tidak kiralah sama ada ianya dituntut ataupun tidak.
Apa pun, saya doakan semoga anda dan saya dibukakan jalan untuk mudah bayar hutang. Amiin.
Leave a Reply