Tingkatkan pengetahuan bagi meningkatkan pendapatan dari blog

by sabree hussin on September 18, 2018

in Blogging

Waktu baru mula nak menjalankan projek blogging, kita mungkin mempunyai pengetahuan dan ilmu yang agak terbatas berhubung sesuatu topik yang bakal dibincangkan.

 

Ilmu yang kita ada, pada waktu tersebut, mungkin hanya boleh bantu kita untuk hasilkan sekitar 10 – 20 buah artikel sahaja. Walaubagaimanapun, sekiranya kita memilih untuk menulis sesuatu topik yang dah banyak orang tulis, ini bermakna kita akan mempunyai banyak sumber rujukan yang boleh kita gunakan.

 

Sumber rujukan ini, kita boleh perolehi sama ada dengan meminjam buku di perpustakaan, ataupun beli buku yang berkaitan dengan topik yang ingin kita tulis di kedai-kedai buku yang berhampiran. Antara dua pilihan ini, saya lebih suka pinjam sahaja buku di perpustakaan.

panduan-buat-duit-blogging

Sebelum ini, saya suka beli buku. Tapi lama kelamaan, apabila makin banyak buku ada dalam simpanan saya, jadi satu masalah nak simpan buku-buku tersebut.

 

Ilmu dan pengetahuan berkembang seiring dengan berkembangnya blog kita

Salah satu perkara yang saya suka dengan bidang penulisan blog ini ialah, ia memaksa kita untuk menjadi seorang pembaca buku tegar.

 

Saya masih ingat lagi, satu masa dulu, saya agak obses dengan topik insurans dan takaful. Pada waktu itu, setiap kali saya jumpa buku yang berkaitan dengan topik ini, saya mesti akan pinjam buku tersebut ataupun kalau kena beli sekalipun, saya tak kisah dan akan beli buku tu.

 

Macam-macam buku tentang insurans yang saya sempat baca, seperti buku tentang kerjaya dalam bidang insurans, cara menjual insurans dan selok belok tentang perniagaan insurans di Malaysia.

 

Kesannya? Sedikit sebanyak, saya faham tentang industri insurans di negara kita. Walaupun saya tak sampai tahap pakar, setidak-tidaknya apabila bercakap pasal insurans, saya ada sedikit ilmu tentangnya.

 

Kadang-kadang, bila kita dah selalu sangat menulis tentang sesuatu topik, akan ada pembaca dan pelawat blog kita yang mula menganggap kita ini adalah orang yang pakar dalam topik tersebut. Kita sedar yang kita bukannya pakar, tapi bagi pembaca, apabila mereka membaca karya kita dan mereka mula menilai hujah yang kita kemukakan dalam topik yang kita bincangkan, akan ada yang melihat kita sebagai salah seorang pakar dan boleh dijadikan rujukan.

 

Itu sebabnya, bila kita nak pilih sesuatu topik sebagai konten blog kita, kalau boleh kita pastikan topik tersebut boleh dikembangkan dan ada banyak perkara yang boleh diceritakan yang berkaitan dengan topik pilihan kita tu nanti.

 

Ilmu bertambah pendapatan juga bertambah

Dua keuntungan yang bakal kita perolehi, apabila serius dalam bidang penulisan blog. Pertama, kita dapat tambahkan ilmu. In Shaa Allah dengan bertambahnya ilmu, kita juga akan jadi insan yang lebih cerdik.

 

Keuntungan kedua, adalah dalam bentuk wang ringgit. Sudah tentu, kalau nak diperhalusi, memang ada banyak lagi keuntungan yang boleh kita perolehi. Misalnya dari segi kenalan, networking, pengikut, pengaruh dan banyak lagi. (Ha… secara tak sengaja, bila saya sentuh bab ini, timbul pula idea baru… untuk saya tulis artikel seterusnya dalam siri projek buat duit dengan blogging ini)

 

Semua itu akan kita perolehi, dengan syarat kita masih tetap konsisten dan terus menulis.

 

Proses belakang tabir dalam menghasilkan sebuah artikel

Bagi menulis sebuah artikel yang baik, dan berkualiti, ada banyak juga perkara yang perlu dilakukan. Kalau sesuatu topik itu memang kita betul-betul mahir dan dekat dengan diri kita, kita mungkin boleh tulis berdasarkan kepada pengalaman kita sendiri.

 

Sebaliknya, untuk artikel yang kita tak berapa mahir, kita mungkin perlu merujuk kepada beberapa sumber.

Ada buku yang perlu kita baca.

Jurnal yang perlu kita baca.

Artikel dari penulis sebelum ini yang perlu kita baca.

 

Saya ambil contoh, jika anda ingin menulis subjek tentang pelaburan hartanah. Jika anda tidak mempunyai banyak pengalaman tentang topik ini, anda mungkin perlu banyakkan membaca buku-buku yang berkaitan.

 

Cuba cari masa untuk pergi ke perpustakaan dan juga kedai buku. Pergi ke bahagian pelaburan, dan anda mungkin akan dapati, ada banyak buku-buku yang ditulis berkaitan dengan topik ini. Buku-buku tersebut pula mungkin ditulis dalam bahasa yang berbeza.

 

Katakanlah, ada tak kurang dari 100 buah buku dari pelbagai bahasa. Seterusnya, cuba bayangkan kalau anda dapat baca semua sekali buku-buku tu. Saya kira, satu masa nanti, secara tak langsung anda juga akan jadi salah seorang yang pakar dalam topik tersebut.

 

Memandangkan kepakaran yang kita bakal perolehi itu nanti, adalah dari cara pembacaan sahaja, saya harap anda tak self claim diri anda sebagai seorang yang pakar dalam bidang tersebut dan memberi nasihat sesuka hati. Saya pernah jumpa, beberapa kali, ada individu yang menggelarkan diri sebagai pakar, tak kiralah sama ada pakar blogging ke, pakar internet marketing, pakar emel marketing, sifu dan segala macam gelaran.

 

Persoalannya, siapa yang beri pengiktirafan gelaran pakar tersebut? Siapa yang berikan gelaran sifu, master, legend dan sebagainya tu? Mungkin sendiri yang bagi gelaran sebab nak jual produk, ebook, kursus, seminar dan sebagainya…

 

Saya amat menggalakkan, anda mendapatkan gelaran pakar melalui saluran yang betul. Masuk universiti, dapat degree, master, PhD dan sebagainya. Masa ini, anda lebih layak untuk digelar pakar, berbanding memberi gelaran pakar kepada diri sendiri.

Memang betul, terdapat banyak lagi cara untuk dapatkan artikel dan juga konten untuk projek blog kita. Kita boleh beli artikel dari penulis lain, minta orang lain yang tulis dan sebagainya. Itu juga satu strategi yang baik.

 

Walaupun begitu, saya kurang gemar menggunakan teknik sedemikian dan saya akan ceritakan apa sebabnya dalam ruangan yang bersesuaian. Baiklah, saya akan sambung dalam artikel yang seterusnya.

 

 

Be Sociable, Share!

{ 2 comments… read them below or add one }

faizal September 18, 2018 at 11:10 am

saya suka artikel ini.

memang tidak rugi membaca.

selain tambah pengetahuan, membaca juga menenangkan.

Reply

Zul September 19, 2018 at 2:25 pm

Betul, untuk menghasilkan satu-satu artikel yang baik perlu banyak membaca dan buat rujukan. Melainkan dalam kepakaran kita atau pengalaman kita.

Reply

Leave a Comment

Previous post:

Next post: