Pernah tak anda bercita-cita untuk memulakan perniagaan menjual buku?
Jika jawapan anda adalah ya, saya boleh katakan yang buku berjudul The Diary of a Bookseller ini adalah salah satu buku yang sesuai untuk anda baca bagi membantu merealisasikan cita-cita tersebut. Kali ini saya akan kongsikan beberapa perkara yang saya dapat pelajari dari pembacaan buku ini.
Buku ini merupakan suatu catatan harian seorang usahawan yang menjalankan bisnes buku terpakai atau buku second hand di negara Scotland.
Memang ada sebab kenapa buku ini diberi tajuk “the diary of a bookseller”. Rupa-rupanya ia memang merupakan sebuah catatan diari. Melalui catatan dalam buku ini, kita boleh dapatkan serba sedikit pengetahuan, apa sebenarnya yang berlaku dalam sebuah kedai yang menjalankan perniagaan buku. Dalam kisah ini, beliau menjual buku terpakai.
Buku terpakai, atau buku second hand, ada orang nak beli ke?
Saya pun pernah fikir perkara yang sama. Saya belum pernah lagi beli buku terpakai. Biasanya kalau nak beli buku, saya akan pastikan buku tersebut masih baru dan berada dalam keadaan yang masih elok.
Melainkan kalau saya beli buku secara online. Dalam keadaan ini, biasanya saya terpaksa terima seadanya. Harap-harap tak ada muka surat yang hilang, terlipat ataupun terkoyak. Kalau ada juga, memang saya akan rasa begitu kecewa. Saya rasa macam buku yang saya terima dalam keadaan yang tak sempurna.
Bagi sesetengah orang, sama ada buku baru atau buku lama, itu bukan isu yang penting. Asalkan isinya boleh dibaca dan konten buku tersebut memang diperlukan, ianya tetap bernilai.
Tahukah anda yang sebenarnya ada buku-buku lama yang mempunyai nilai yang tinggi.
Saya pun baru tahu bila saya baca buku ini. Ada buku-buku lama yang susah diperolehi, sebabnya ia sudah tak diterbitkan lagi manakala hak penerbitan dan hak cipta dimiliki atau dipegang oleh individu yang sudah tak berniat untuk menerbitkan buku itu semula.
Kalau buku yang mempunyai siri tertentu seperti novel misalnya yang ada volume 1, 2, 3 dan seterusnya juga mempunyai nilai tinggi, itupun dengan syarat jika boleh dijual secara pakej. Jika jual secara berasingan ia mungkin tak dapat dijual dengan harga yang agak tinggi.
Sebelum ini, saya tak pernah baca sebarang buku yang menceritakan mengenai pengalaman menjalankan perniagaan menjual buku terpakai. Kalau jual buku baru, saya rasa itu perkara yang biasa. Boleh dikatakan, buku berjudul The Diary of Bookseller ini merupakan buku pertama yang saya baca yang bercerita mengenai bisnes seumpama ini.
Siapa yang sesuai baca buku ni?
Ya saya tahu, bukan semua orang akan berminat nak baca buku seperti ini. Apa yang membuatkan saya tertarik untuk baca buku ini pun sebab saya pernah ada pengalaman terlibat dalam perniagaan buku.
Waktu tu, saya menjalankan perniagaan ini sebagai seorang ejen affiliate. Kalau ikut pada rekod terdahulu, saya pernah hasilkan jualan sebanyak 249 buah buku melalui kerja-kerja pemasaran online yang saya lakukan.
Tapi selepas saya baca buku ni, dari mula sampai habis, saya rasakan ada sekurang-kurangnya 3 golongan yang akan dapat manfaat apabila membaca buku ini.
(1) Mereka yang berada dalam industri buku
Bagi individu yang memang sudah berada dalam industri ini, saya kira anda boleh mendapat serba sedikit manfaat dengan membaca pengalaman individu lain yang menjalankan perniagaan yang sama dengan ada. Ya, mungkin anda akan dapati ada beberapa perkara yang dilakukan oleh pemilik bisnes ini sama dengan apa yang anda telah praktikkan selama ini.
Walaubagaimanapun, tak mustahil untuk anda belajar beberapa perkara baru melalui pengalaman penulis buku ini.
(2) Mereka yang baru merancang untuk menceburkan diri dalam perniagaan buku
Sebagai orang baru dalam bisnes buku, anda mungkin ada banyak benda yang anda tak tahu.
Kadang-kadang kita tak tahu, apa perkara yang kita tak tahu.
Kemudian selepas satu tahap, kita akan masuk pula ke satu fasa dimana kita mula tahu, apa perkara yang kita sebenarnya tak tahu! Bila kita tahu apa perkara yang kita tak tahu, saya berpendapat ianya lebih baik berbanding kita tak tahu apa yang kita tak tahu.
Sebagai contoh, kita tahu yang kita boleh meningkatkan jualan buku melalui platform dan pemasaran online. Walaubagaimanapun, kita tak tahu bagaimana cara untuk mula menjual secara online.
Adakah kita perlu bina laman web e-commerce kita sendiri?
Adakah lebih baik untuk kita gunakan sahaja perkhidmatan sedia ada menerusi Shopee, Lazada, PG Mall, Amazon dan sebagainya?
Setelah kita mengetahui persoalan-persoalan yang kita belum tahu jawapannya, maka langkah seterusnya adalah mencari jawapan bagi persoalan-persoalan tersebut.
(3) Mereka yang ingin mendapatkan idea potensi dari perniagaan menjual barangan terpakai
Kalau dalam buku The Diary of Bookseller ini, perniagaan yang dijalankan oleh penulis adalah buku-buku terpakai. Setelah anda membaca buku ini, mungkin anda ingin menerokai peluang untuk menjual barang-barang terpakai selain daripada menjual buku.
Memandangkan buku ini disusun mengikut peristiwa yang berlaku pada setiap hari penulis menjalankan perniagaan, jadi saya tak dapat nak kongsikan apakah bab yang terdapat dalam buku ini, seperti review buku yang saya lakukan sebelum ini.
Lihat: Review buku buat untung dengan rumah sewa
Walaubagaimanapun, sebagai pembaca saya merasakan buku ini bagus untuk dibaca memandangkan didalamnya terkandung beberapa perkara baru yang saya dapat pelajari.
(1) Jika anda ingin kedai buku terus beroperasi, anda perlu selalu support dan beli buku dari kedai tersebut
Satu perkara yang dapat memastikan sesebuah perniagaan dapat terus bertahan adalah melalui sokongan daripada pelanggannya. Tak cukup sekadar anda selalu mengunjungi kedai tersebut, memberikan review yang positif di media sosial, selagi mana anda tak beli sebarang produk dari kedai tersebut. Sebaiknya kita tunjukkan sokongan kita dengan berbelanja dikedai tersebut.
(2) Sesetengah orang ingin melupuskan buku-buku lama tapi tak tau cara terbaik
Apa cara terbaik untuk melupuskan buku-buku lama?
Kalau anda mempunyai timbunan buku-buku yang anda sudah tak mahu lagi, apa yang anda akan buat dengan buku-buku tersebut. Jika dibiarkan, ia hanya memakan ruang yang agak besar, sedangkan buku-buku tersebut sudah tak diperlukan dan tiada siapa yang baca.
Macam mana situasi ini boleh berlaku? Sebenarnya ada beberapa keadaan macam mana boleh wujud satu keadaan buku-buku lama sudah tak diperlukan.
Situasi pertama, sepasang suami isteri yang mempunyai hobi dan minat yang berlainan. Si suami suka membaca, membeli dan menyimpan koleksi buku. Manakala si isteri tak mempunyai minat yang sama. Satu hari si suami meninggal dunia lalu meninggalkan koleksi buku yang sangat banyak.
Oleh sebab si isteri tak suka membaca dan akan berasa sedih setiap kali melihat koleksi buku yang banyak yang ditinggalkan oleh arwah suami, maka dia perlu cari cara untuk lupuskan buku-buku tersebut.
Sekarang, apakah cara yang boleh dilakukan untuk melupuskan buku-buku peninggalan arwah suami beliau itu? Mungkin ada beberapa kaedah, antaranya
i. Jual
Katakanlah dia merancang untuk jual buku-buku tersebut, namun soalannya ialah dia nak jual pada siapa?
Kalau jual kepada peniaga barangan kitar semula, biasanya dia akan dapat bayaran mengikut berat buku. Kadang-kadang ada yang tak timbang pun buku tersebut. Dia setakat membuat anggaran sahaja.
Ataupun kalau dia nak dapatkan harga yang lebih baik, mungkin dia boleh jual sendiri buku-buku tersebut. Sama ada jual di Facebook, laman web e-commerce seperti Shopee ataupun Lazada. Proses untuk menjual kesemua buku-buku ini boleh jadi akan mengambil masa yang agak lama dan jika ada pembelian, dia perlu uruskan dari segi pembungkusan dan penghantaran.
Hal-hal ini mungkin akan mengganggu rutin harian dan jika dia ada masalah kesihatan, dia mungkin tak mampu nak uruskan semua ini.
ii. Sedekah pada orang lain
Boleh sedekahkan buku atau hadiahkan kepada sesiapa yang berminat. Cuma soalannya ialah, siapa yang nak buku-buku tersebut?
Cadangan saya, kalau anda nak buat cara ini, cuba anda sertai group FB komuniti tempat anda. Misalnya kalau anda tinggal di sekitar Cheras, boleh cari group seperti dibawah ini.
Apabila anda dah sertai group tersebut, cuba minta kebenaran dari admin untuk iklankan tentang buku-buku yang ada dalam simpanan anda. Siapa yang berminat boleh datang sendiri dan ambil seberapa banyak yang dimahukan.
iii. Lupuskan sendiri buku-buku tersebut.
Ini merupakan cara yang biasa dilakukan oleh mereka yang tak ada masa nak fikir apa kaedah terbaik untuk lupuskan buku-buku lama.
Mereka ini akan pilih sama ada buang di tempat pembuangan sampah ataupun bakar sahaja buku-buku tersebut. Serius, cara ini memang mudah tapi pada saya, ia merupakan satu pembaziran terhadap ilmu yang berharga. Bagi mereka yang sayangkan ilmu, biasanya tak sampai hati nak bakar buku-buku yang sebenarnya boleh berikan manfaat kepada orang lain.
iv. Apa kata kita pilih kaedah jual
Kita kembali kepada kaedah jual buku-buku lama yang kita dah tak perlukan.
Kalau anda tahu dimana ada kedai buku yang menjual buku terpakai seperti yang dilakukan oleh penulis, anda boleh cuba bertanya kepada pemilik kedai tersebut sama ada mereka minat atau tidak untuk membeli buku-buku anda. Biasanya anda boleh dapatkan harga yang lebih baik berbanding kalau anda jual buku-buku tersebut di tempat menjual barangan kitar semula.
(3) Bisnes kedai buku semakin banyak yang gulung tikar
Sama ada anda perasan ataupun tidak, diluar sana terdapat banyak kedai yang menjual buku yang mula menutup operasi perniagaan mereka.
Adakah sebab orang kita sudah tak membaca buku? Saya percaya itu bukan sebab utamanya. Kalau anda biasa pergi ke pesta buku, anda boleh perhatikan tempat-tempat seperti ini ada banyak pengunjungnya. Sampai satu tahap, kita rasa agak sukar untuk bergerak disebabkan terlalu banyak pengunjung.
Jadi apa kaitannya dengan bisnes kedai buku?
Apabila pencinta buku hanya akan membuat pembelian buku apabila ada pesta buku diadakan, manakala pada waktu lain, dia memilih untuk simpan duit dan tak membeli buku, ini akan memberi impak yang kurang baik kepada kedai buku tempatan. Untuk terus beroperasi, mereka perlu ada jualan.
Jika ditempat ada terdapat kedai buku yang anda biasa masuk, tapi anda tak pernah beli apa-apa buku disitu, ada kemungkinan beberapa tahun lagi kedai tersebut pasti akan tutup kerana tak cukup membuat jualan. Jadi, jika ada suka berkunjung ke kedai buku dan anda mahukan kedai tersebut terus beroperasi, maka anda perlulah menyokong perniagaan mereka dengan membeli buku.
(4) Strategi yang digunakan dalam menjalankan perniagaan buku terpakai
Dalam buku ini juga, penulis ada bercerita mengenai beberapa kaedah yang digunakan bagi tujuan mendapatkan jualan.
4.1. Laman web untuk kedai buku
Penulis ada membina laman web rasmi untuk perniagaan buku yang dijalankan. Saya ada buat carian Google dan berikut adalah laman web syarikat.
Alamat url – https://www.the-bookshop.com/
Kalau anda merupakan usahawan buku dan anda ingin membina laman web bagi tujuan menjual dan mempromosikan produk buku yang ada dalam inventori anda, anda boleh lihat bagaimana penulis buku ini membuat konten untuk laman web miliknya.
Pelawat yang melayari laman web tersebut boleh mendapatkan maklumat mengenai produk yang dijual, stok terkini, aktiviti terkini dan jika mereka mahu, boleh juga baca ruangan blog. Jadi bagi pembaca yang mungkin ada perancangan untuk membina laman web sendiri untuk perniagaan buku yang anda jalankan, bolehlah contohi apa yang dilakukan oleh pemilik bisnes ini.
4.2 Gunakan platform e-commerce
Selain menggunakan laman web yang dibangunkan sendiri, penulis turut menggunakan platform e-commerce yang popular untuk menjual buku. Antaranya adalah seperti
Abe Book
Amazon.com
Kalau kita di Malaysia dan ingin mensasarkan pembeli di negara kita sahaja, boleh gunakan pltform shopee ataupun lazada. Kalau anda ada perancangan untuk menjual ke seluruh dunia, boleh juga mula menjual melalui amazon.com
4.3 Wujudkan kelab buku
Ada satu kelab buku yang ditubuhkan oleh penulis. Kelab buku tersebut dinamakan sebagai Random Book Club. Anda boleh layari pautan https://www.randombookclub.co.uk/ untuk melihat laman web ini.
Penyertaan untuk menjadi ahli Random Book Club adalah terbuka kepada semua orang tak kira walau dimana mereka berada.
Sesiapa pun boleh sertai kelab buku ini dengan bayaran yang ditetapkan. Ahli akan menerima buku secara rawak (random) yang mana tajuk buku tersebut akan dipilih sendiri oleh pemilik kedai ini.
4.4 Laman media sosial untuk kedai buku
Pemasaran melalui media sosial juga turut dilakukan. Dibawah ini adalah FB Fanpage untuk kedai buku second hand yang kita bincangkan dalam artikel ini.
Kalau anda ada masa bolehlah ke laman facebook mereka untuk lihat bagaimana cara mereka menguruskan fanpage dan berinteraksi dengan pengikut mereka. Boleh jadi ada beberapa perkara yang anda boleh pelajari dan tiru.
4.5 Anjurkan pesta buku
Penulis ada sebutkan dalam buku ni, yang ditempat dia menjalankan bisnes buku ini, akan diadakan festival buku dan ia menjadi acara wajib pada setiap tahun.
Festival yang berlangsung ini biasanya akan menarik kunjungan dari kalangan pembaca, dan juga penulis. Mereka akan adakan program seperti bengkel, seminar, ceramah dan sebagainya. Saya kira keadaannya lebih kurang sama seperti pesta buku yang dianjurkan dinegara kita juga.
Pada asasnya apa yang dilakukan oleh penulis dalam mendapatkan jualan buku, bukanlah sesuatu yang pelik atau lain dari yang lain. Boleh jadi bagi orang yang memang dah lama dalam industri buku, memang ada menjalankan kaedah yang sama atau lebih kurang sama seperti yang dilakukan oleh penulis buku ini.
Anda dah lama bercita-cita nak buka kedai buku anda sendiri?
Menjalankan perniagaan sendiri memerlukan anda untuk mempunyai skill yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan. Andai kata anda tak mempunyai skil tersebut dan tak pernah ada pengalaman menguruskan perniagaan anda sendiri, ini bakal menjadi satu cabaran yang besar untuk anda.
Tapi ini bukanlah satu pengakhiran kepada cita-cita anda. Kalau anda tak ada pengalaman dan tak ada skil yang diperlukan untuk menguruskan sesebuah perniagaan, anda boleh belajar terlebih dahulu. Belajar ini pun ada beberapa cara.
Sama ada anda
i. Pergi ke kelas yang berkaitan
ii. Belajar di kolej atau universiti
iii. Belajar melalui pembacaan buku-buku yang berkaitan dengan perniagaan
iv. Belajar melalui Youtube
v. Belajar menerusi mentor yang ada pengalaman dalam perniagaan
Kalau tak ada masa nak belajar, dapatkan khidmat dari orang lain yang ada pengalaman. Maksud saya dapatkan pekerja yang mampu untuk bekerja untuk anda.
Biasanya orang yang ada cita-cita nak buka kedai buku sendiri ini sebab dia memang seorang yang sukakan buku. Dia merupakan seorang yang suka membaca dan pada masa yang sama, suka mengumpul buku. Bila dia dapat tahu akan ada pesta buku diadakan, dia antara orang yang paling semangat untuk pergi ke pesta buku tersebut.
Walaubagaimanapun, minat buku tak bermakna anda juga akan minat menjalankan bisnes buku. Pada ketika anda buat keputusan yang anda ingin menjalankan bisnes buku, ia sudah berbeza.
Apabila anda sudah mula ada tanggungjawab dan komitmen baru, persepsi dan pandangan anda terhadap buku mungkin akan berubah. Kali ini anda perlu fikirkan, macam mana nak jual stok buku-buku yang ada dalam simpanan anda. Sekiranya anda mempunyai kedai anda sendiri, anda perlu fikirkan macam mana nak bayar sewa, bil-bil dan sebagainya.
Seorang usahawan perlu menulis buku
Pada saya, buku ini merupakan salah satu contoh terbaik kenapa sebagai seorang usahawan, anda perlu cari masa untuk mula menulis buku anda sendiri. Saya nak kongsikan kepada anda beberapa kebaikkan atau manfaat apabila anda menulis buku.
(1) Buku tulisan anda boleh menjadi alat pemasaran (marketing tools)
Idea untuk menjadikan buku sebagai pengganti business card pernah saya baca dalam salah satu buku tulisan Robert T Kiyosaki. Kata beliau, memberi kad bisnes kepada potential partner atau pelabur adalah sesuatu yang terlalu biasa dan banyak orang lakukan hal yang sama. Kad bisnes ada kemungkinan tidak dihargai dan akhirnya dibuang. Kalau saya pula, kad bisnes selalunya saya akan jadikan ia sebagai penanda muka surat untuk buku-buku yang saya baca.
Sebaliknya, jika anda memberikan buku, ianya mempunyai nilai yang lebih besar berbanding satu kad bisnes. Penerima buku anda, akan berfikir dua atau tiga kali sebelum buat keputusan untuk buang sahaja buku tersebut.
Mari kita andaikan yang mereka tak membuang buku yang anda berikan, sebabnya mereka juga merupakan individu yang amat menghargai buku.
Apa agaknya yang dia akan lakukan dengan buku tersebut?
Hmm kalau isi dan cara penulisannya menarik, tak mustahil untuk dia baca buku anda! Cuba bayangkan berapa banyak yang individu tersebut akan tahu mengenai anda, perniagaan yang anda jalankan, pengalaman yang anda ada dan semua ini dia dapat dari pembacaan buku yang anda berikan.
Adakah dia akan dapat mengetahui semua ini melalui sekeping kad bisnes? Sudah tentu jawapannya adalah tidak. Tetapi tak mustahil jika anda berikan buku yang anda tulis.
Tapi saya tak pandai nak tulis buku…
Ya saya tahu, mungkin perkara ini yang akan bermain difikiran anda. Anda ada banyak sebab untuk tak menulis buku. Antaranya
i. Anda tak pandai menulis
ii. Anda tak ada idea nak tulis apa
iii. Anda terlalu sibuk dan langsung tak ada masa untuk menulis
Ahaa sebab itu saya rasa anda patut at least lihat, bagaimana cara penyampaian dalam buku The Diary of a Bookseller ini. Ianya adalah sebuah catatan harian! Its a diary.
Boleh jadi pada hari ini, tak ramai orang yang ada habit untuk membuat catatan dalam bentuk diari. Tapi kalau anda mempunyai akaun media sosial, mungkin anda dah terbiasa menulis di media sosial. Pernah tak anda lihat, buku yang diterbitkan yang dalamnya sebenarnya merupakan himpunan atau kompilasi status update yang pernah disiarkan di akaun media sosial milik penulisnya.
Apa kata anda juga lakukan hal yang sama.
By the way, selepas satu tempoh masa, buku anda akan mula dibeli dan dibaca oleh semakin ramai pembaca. Kita andaikan yang anda telah pun melakukan kerja pemasaran buku dengan sebaiknya. Dengan bertambahnya pembaca buku anda, maka lebih ramai orang akan jadi bakal pelanggan anda.
(2) Buku anda boleh dijadikan rujukan oleh generasi akan datang
“Tapi… kalau saya tulis tentang bisnes yang saya buat, nanti ada ramai orang tahu rahsia perniagaan saya dan lepas ini akan ada ramai pesaing nak buka perniagaan yang sama macam yang saya lakukan…”
Kalau bisnes tersebut memang boleh buat untung, apa salahnya kalau ada pesaing yang turut jalankan bisnes yang sama atau lebih kurang sama?
Sebelum saya baca buku tentang bisnes kedai buku ini, saya ada serba sedikit gambaran macam mana urusan sesuatu perniagaan menjual buku dijalankan. Dengan info yang agak terhad, saya ada sedikit salah faham dan merasakan yang bisnes ini sangat seronok untuk dilakukan dan pastinya boleh hasilkan jualan yang banyak.
Tapi saya mungkin silap.
Saya mempunyai andaian sedemikian sebab saya tak ambil kira banyak faktor seperti citarasa pelanggan, minat terhadap membaca buku, kuasa membeli buku dan sebagainya.
Jadi apa yang saya nak katakan sebenarnya ialah, tak semestinya apabila anda menulis tentang perniagaan yang anda jalankan, akan membuatkan orang ramai yang baca penulisan anda akan jadi tertarik untuk buat bisnes yang sama seperti mana yang anda sedang lakukan sekarang.
Boleh jadi juga, akan ada orang yang sebelum ini memang ada perancangan nak buat bisnes yang sama macam yang anda buat, namun setelah dia baca tentang pengalaman anda, cabaran yang anda pernah hadapi, akhirnya di ubah keputusan untuk tak meneruskan hasrat untuk buat bisnes tersebut.
Point saya yang menulis buku ini boleh dijadikan sebagai rujukan, boleh difahami dengan dua maksud.
Pertama, buku anda boleh jadi rujukan buat mereka yang nak buat bisnes yang sama seperti anda.
Kedua, buku anda boleh jadi rujukan bagi meyakinkan mereka untuk tak buat bisnes yang sama seperti yang anda buat.
(3) Menulis buku dapat membuka peluang baru
Oleh sebab buku anda ada kebarangkalian untuk berubah menjadi alat pemasaran selain medium penyampai ilmu, anda mungkin tak sangka siapa yang akan hubungi anda dimasa akan datang. Boleh jadi individu tersebut adalah bakal business partner anda, bakal pelanggan atau mungkin bakal pelabur yang berminat nak melabur dalam perniagaan yang anda lakukan.
Jadi, cubalah tulis buku jika anda ada kesempatan. Kalau tak nak tulis buku, setidak-tidaknya tulislah blog ataupun cuba selalu aktifkan diri di media sosial.
Baca juga: Adakah blogging masih relevan?
“Saya minat nak jalankan bisnes buku, tapi saya belum ada pengalaman, apa yang patut saya lakukan?”
Jika situasi anda adalah sama seperti soalan diatas, saya boleh kongsikan beberapa perkara.
Pertama, jika anda minat nak menjadi usahawan buku, anda tak semestinya perlu terus mula membuka kedai buku anda sendiri. Kajian yang mendalam perlu dilakukan, untuk mendapatkan maklumat yang mencukupi misalnya seperti
i. Berapa ramai kepadatan penduduk
ii. Adakah terdapat institusi pendidikan seperti sekolah, kolej, universiti dan sebagainya.
iii. Wujudkah perniagaan lain yang lebih kurang sama. Jika wujud bagaimana prestasi perniagaan mereka?
Tujuan kajian ini dilakukan adalah bagi mengetahui potensi yang ada bagi menjalankan perniagaan tersebut. Kita perlu pastikan di tempat tersebut betul-betul wujud permintaan supaya buku-buku yang bakal dipamerkan di rak jualan kelak akan ada pembelinya.
Kemudian anda juga perlu tahu berapakah kadar sewa yang perlu anda tanggung untuk membuka kedai anda sendiri. Selain kadar sewa, perlu juga ambil kira sebarang kos-kos lain, seperti bil-bil, apa-apa caj yang berkaitan dan sebagainya.
Seterusnya anda juga perlu tahu siapakah yang anda perlu hubungi bagi tujuan mendapatkan stok jualan buku.
Anda nak jual buku baru, atau buku terpakai? Seperti yang dilakukan oleh penulis buku ini, beliau menjual buku terpakai.
Kedua, pada peringkat permulaan apa kata anda bermula secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Ada satu program dropship yang dinamakan usahawan buku yang anda boleh sertai. Anda mungkin nak lihat terlebih dahulu apa tawaran mereka.
Menyertai program dropship seperti ini, risikonya adalah lebih rendah kalau nak bandingkan dengan anda terus membuka kedai buku. Jika anda merasakan bisnes buku ini tak berapa sesuai dengan anda, anda boleh berhenti buat bisnes ini tanpa perlu menanggung kerugian yang besar.
Untuk stok buku yang anda beli, anda boleh jual secara online sama ada anda bina laman web jualan anda sendiri, ataupun jual sahaja menggunakan platform seperti Shopee, Lazada ataupun PG Mall.
Anggap sahajalah sebarang pengalaman yang bakal anda lalui, sama ada pengalaman membuat pemasaran, pengalaman membuat jualan, pengalaman urus pelanggan ini semua adalah untuk tujuan pembelajaran, dan bukannya semata-mata untuk buat duit. Jika setelah menjalankan bisnes buku secara dropship dan anda masih tetap bersemangat untuk buka kedai buku anda sendiri, maka pada waktu itu barulah anda betul-betul merealisasikan impian tersebut. Setidak-tidaknya pada waktu itu anda telah pun ada banyak pengalaman berbanding kalau terus buka kedai.
Akhir kata, jika anda minat nak baca buku ini, ia boleh didapati secara online sama ada di laman web Shopee ataupun menerusi Lazada. Harga buku ini berbeza mengikut platform dan seller. Justeru, terpulanglah pada anda nak pilih penjual yang mana satu.
Dekat bawah ini saya ada sedikan link untuk memudahkan anda membuat tempahan.
i. Pembelian melalui Lazada boleh ke pautan ini
ii. Pembelian melalui Shopee boleh ke pautan ini
Kalau anda lebih suka pinjam buku daripada beli, boleh cuba cari di perpustakaan berhampiran anda. Sebenarnya saya juga pinjam buku ini dari perpustakaan.
Kalau anda nak baca buku ini dan anda tak merancang untuk beli, cubalah kunjungi perpustakaan berhampiran anda. Manalah tahu, dekat sana anda boleh pinjam buku ini.
Leave a Reply