Taktik menjual dengan meraih simpati

by sabree hussin on December 11, 2018

in Personal

Sewaktu saya dan isteri sedang makan di restoran KFC, tiba-tiba muncul seorang lelaki datang menghampiri meja kami. Saya tak berapa dengar apa benda yang diucapkan tapi saya perasan dia ada sebut sesuatu tentang minta maaf sebab mengganggu.

 

Kemudian dia meninggalkan sekeping kad yang mengandungi tulisan di dalamnya.

 

Oleh sebab ini bukan pengalaman kali pertama saya berhadapan dengan situasi seperti ini, jadi saya buat keputusan untuk tidak mahu mengambil tahu apa yang di tulis pada kad tersebut.

 

Kali pertama saya berhadapan dengan situasi seperti ini adalah ketika saya berada di Tesco. Waktu itu saya sedang makan tengahari dan semasa sedang asyik menjamu selera muncul seorang wanita menghampiri meja kami lalu meninggalkan sekeping nota.

 

Pada nota tersebut ditulis ayat-ayat seperti

Saya sedang mengumpul dana bagi membantu membayar yuran persekolahan adik saya, harap dapat bantu saya dengan membeli barang yang saya jual.

bisnes-muffin-dari-rumah

Barang yang dijual adalah berupa kek, muffin dan beberapa produk bakeri.

Sila ke halaman ini untuk panduan bisnes bakeri

 

Saya agak terharu dengan tindakan mulia seorang kakak yang sanggup bersusah payah mencari duit untuk memberi pendidikan yang baik buat adiknya. Jadi saya pun beli satu kotak kek yang dijual dengan harga RM10.

 

Kemudian tak berapa lama lepas tu saya ada terbaca di Facebook yang aktiviti seumpama ini sebenarnya bohong sahaja. Ada ramai penjual yang menggunakan modus operandi seperti ini dan setiap orang dengan “cerita sedih” yang berbeza-beza.

 

Macam sebelum ni saya jumpa seorang kakak yang nak cari duit sebab nak bayar yuran adiknya.

Pengalaman orang lain pula ada yang jumpa seorang kakak yang sedang mengumpul duit sebab adik dia sedang bertarung nyawa disebabkan oleh penyakit kanser

 

Bila baca komen-komen  yang ditulis oleh pengguna lain yang mempunyai pengalaman yang lebih kurang sama, barulah saya nampak yang benda ni sebenarnya hanyalah satu teknik berniaga sahaja.

 

Mereka ini memanipulasi sifat simpati yang ada pada diri orang kita, atau masyarakat Malaysia umumnya untuk melariskan barangan yang dijual. Mereka sanggup menipu asalkan barang yang mereka jual laku.

 

Orang yang berniaga itu pula belum tentu lagi orang Malaysia. Cuba dengarkan bagaimana cara mereka berkomunikasi dengan anda. Loghat Bahasa Melayu yang mereka gunakan juga kedengaran agak pelik.

 

Saya agak mereka mungkin datang dari negara luar sama ada dari Filipina, atau mungkin dari Thailand.

 

Mereka ini mungkin masuk ke negara kita untuk belajar. Kemudian bagi mencari pendapatan tambahan, mereka buat kerja sambilan menggunakan cara ini.

 

Saya tidaklah mengatakan yang semua orang yang menggunakan cara ini adalah penipu, cuma bila saya perhatikan, nampak macam ada yang tak kena.

 

Kita ingatkan dia betul-betul serius nak cari dana sebab nak bantu seseorang yang dekat dengan dirinya rupa-rupanya ada kes yang mana benda tu semua tipu belaka. Apa benda yang mereka lakukan hanyalah taktik menjual semata-mata.

 

Menolong orang yang dalam kesusahan adalah satu perkara yang mulia disisi agama kita. Tapi kalau kita ragu-ragu dengan status orang tersebut saya berpendapat adalah lebih baik kita tidak membantunya. Tolak sahaja secara baik, dan dia pun tak akan paksa kita untuk bantu.

 

Saya masih ingat lagi barang yang dijual adalah muffin dan juga kek. Dengan harga RM10 yang diminta saya boleh katakan barang tersebut dijual dengan mahal.

 

Pada masa tu saya rasa benda ni bukan satu masalah sebab tujuan asalnya adalah untuk mengumpul dana bagi satu tujuan yang mulia. Tapi setelah saya mengetahui ada kebarangkalian yang benda ini semua tipu semata-mata, saya mula merasakan barang yang dijual itu over price.

 

Kebiasaannya apabila kita nak beli makanan di mana-mana kedai, kita sedaya upaya akan beli dari kedai yang memiliki Sijil Halal atau kedai yang diyakini status halalnya. Kalau nak makan dekat restoran seperti Restoran Jepun, atau Korea, kita pilih restoran yang memang kita yakin ada pengesahan halal dari JAKIM.

 

Tapi berbalik kepada penjual yang menggunakan taktik meraih simpati seperti ini, mereka menjual kek dan muffin yang kita sendiri tak tahu sama ada ianya dibuat sendiri atau beli daripada kedai lain. Kalau sumber bekalan dia ambik dari kedai yang tak ada sijil halal bagaimana?

 

Kadang-kadang saya rasa geram dengan peniaga yang nak berniaga tapi tak nak ambil risiko. Memang betul itu hak dia untuk tak nak ambil sebarang risiko, dan mungkin dia merasakan itu tindakan yang bijak, namun tindakan dia telah mengganggu orang lain.

 

Cubalah contohi perniagaan yang ada di sekitar kita macam perniagaan restoran misalnya. Pemilik restoran sanggup membayar sewa yang mahal untuk menjual produk makanan yang dijual.

 

Kemudian tiba-tiba datang seseorang yang tak nak bayar sewa, berniaga pula dalam premis perniagaan yang sama.

 

Mereka ni bukan setakat mengganggu bisnes pemilik restoran tersebut malah dia mengganggu pelanggan. Kita datang ke restoran tersebut sebab nak makan apa yang ada pada menu restoran tu bukannya nak layan orang-orang yang menipu yang meraih simpati semata-mata untuk melariskan jualan produk mereka sendiri.

 

Kalau nak meniaga, meniaga elok-elok. Kalau tak mampu nak sewa sebuah premis perniagaan, sewalah kiosk yang kecil dan pilihlah lokasi yang dekat dengan kawasan tumpuan.

 

Kalau saya rasa saya berminat dengan produk yang dijual saya akan beli. Pada waktu itu saya akan beli produk itu sebab saya perlukan produk tu atau sebab saya mahukan produk tersebut.

 

Keuntungan yang dia dapat hasil daripada menjual produk tu gunalah untuk apa-apa tujuan sekalipun. Saya takkan ambil kisah. Sama ada nak guna untuk bayar yuran sekolah adik atau untuk tujuan merawat penyakit barah, Itu semua terpulang pada diri dia.

 

Tapi apabila dia jual dengan taktik menipu seperti ini, kesannya saya dah tak percaya dengan orang lain yang menjual dengan teknik yang sama, walaupun mungkin orang yang guna teknik tu betul-betul ada masalah.

Kerana nila setitik rosak susu sebelanga,

 

Kerana ada individu yang tidak jujur menggunakan teknik seumpama ini,  akhirnya orang lain yang betul-betul ada masalah yang mendapat kesannya.

 

Ini cuma pendapat peribadi saya sahaja. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan tindakan saya.

 

Posting ini bukanlah bertujuan untuk mengajak anda untuk memboikot atau menyokong perniagaan yang menggunakan taktik seumpama ini. Gunakanlah pemikiran yang rasional untuk bertindak sekiranya anda berhadapan dengan situasi yang sama.

 

Jika anda rasakan penjual tersebut adalah seorang yang jujur dan wajar dibantu, bantulah. Tapi sekiranya anda tidak yakin dengan individu tersebut, tolaklah dengan cara yang paling baik.

 

 

Be Sociable, Share!

Leave a Comment

Previous post:

Next post: