Sesetengah orang memang susah nak dapat pekerjaan. Bukannya sebab dia tak berusaha, tetapi memang bukan rezeki dia untuk dapat syarikat yang sanggup untuk mengambil diri dia sebagai pekerja.
Saya juga pernah lalui pengalaman yang lebih kurang sama. Sewaktu selepas habis peperiksaan SPM, saya nekad untuk cari kerja. Banyak tempat yang saya pergi, semuanya kata benda yang sama, “maaf sini tak ada kerja kosong.”
Waktu tu saya mulai sedar, bukan senang sebenarnya nak cari kerja. Pada satu tahap, saya beranggapan yang sebenarnya kata-kata “kat sini tak ada kerja kosong” cumalah ayat yang lebih manis untuk mengatakan “saya tak nak ambik awak bekerja”.
Bagaimana kalau selama-lamanya ditakdirkan yang kita tak akan dapat tempat untuk bekerja? Saya percaya, ini pasti sangat membimbangkan. Tak kan sampai bila-bila kita terpaksa hidup bergantung dengan orang lain?
Satu masa nanti, orang yang begitu setia menanggung hidup kita, pasti akan pergi. Kalau kita bergantung harap pada ibu dan ayah kita misalnya, sampai satu masa, mereka mungkin akan pergi dijemput Ilahi. Kita je yang tak tau bila masanya. Jadi, nak atau tidak, kita memang kena usaha supaya dapat tempat dan dapat cari pekerjaan.
Kalau terpaksa buat kerja-kerja yang termasuk dalam kategori 3D pun apa salahnya. Dirty, Difficult and Dangerous. Asalkan pendapatan yang boleh diperolehi nanti adalah pendapatan yang halal. Tapi persoalannya, mahu ke kita sebagai rakyat Malaysia untuk terlibat dalam sektor pekerjaan yang terlibat dengan kerja-kerja yang disifatkan sebagai dirty, difficult and dangerous ni? Kalau dilihat pada keadaan semasa, kerja-kerja seperti ini hanya dipelopori oleh warga asing sahaja.