Mazhab Syafie merupakan mazhab yang dijadikan rujukan buat penganut agama Islam di Malaysia. Pengasas mazhab ini adalah Imam Syafie.
Apabila dikatakan bahawa kita semua adalah pengikut mazhab syafie, maka tak lengkaplah jika kita tak cuba mengenali dengan lebih dekat lagi, siapa sebenarnya Imam Syafie. Betul tak? Penulis buku novel sejarah Islam, Abdul Latip Talib ada menulis buku tentang Imam Syafie, yang diberi judul Imam Syafie Pejuang Kebenaran.
Buku berjudul Imam Syafie Pejuang Kebenaran ini adalah buku kedua tentang Imam Syafie yang pernah saya kongsikan dalam blog ini. Buku pertama yang pernah saya cerita dalam blog ini yang berkisarkan tentang Imam Syafie adalah berjudul 30 Wasiat Imam Syafie. Kalau belum pernah baca buku tu, saya syorkan anda baca buku tersebut.
Serba sedikit latar belakang mengenai Imam Syafie
Nama sebenar Imam Syafie adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Ulthman bin Syafie bin Saib bin Abdu Yazid bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Ayah beliau berasal dari keturunan Quraisy dari bani Mutalib.
Beliau dilahirkan di Kota Gaza, Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan, Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia. Beliau kemudiannya lebih dikenali sebagai Imam Syafie.
Bagaimana Imam Syafie mula dikenali dengan nama Syafie sedangkan nama sebenar beliau adalah Muhammad bin Idris?
Ibu Imam Syafie bernama Ummu Habibah al-Uzdiyyah. Beliau dan anaknya tinggal di sebuah perkampungan bernama Sya’ab al-Khaif yang terletak di bahagian utara kota Mekah. Pada suatu hari, mereka dikunjungi seorang saudara yang paling tua daripada keluarga Idris di Kota Mekah. Dia merenung lama ke wajah Muhamad.
“Anak kamu ini wajahnya seiras dengan moyang kita yang bernama Syafie. Moyang kita itu wajahnya seiras dengan wajah Nabi Muhammad SAW. Kamu perlu berbangga kerana wajah anak kamu ini mirip wajah baginda Nabi SAW,” kata orang tua itu.
Lalu Ummu Habibah al-Uzdiyyah menceritakan mengenai mimpi yang pernah dialaminya semasa mengandungkan Muhamad. Menurut Ummu Habibah al-Uzdiyyah, beliau bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit. Kemudian bintang itu pecah lalu bertaburan jatuh ke Bumi. Cahaya daripada bintang itu menjadikan muka Bumi ini terang benderang. Tiba-tiba dia terjaga dari tidurnya lalu memikirkan makna mimpi itu.
Orang tua tersebut kelihatan gembira mendengar perihal mimpi tersebut. Lalu beliau mencadangkan supaya nama anak itu, iaitu Muhamad bin Idris ditukar menjadi Syafie.
“Semoga apabila besar kelak anak kamu ini menjadi ulama terbilang. Berilah didikan ilmu agama kepadanya,” pesan orang tua itu.
Sejak hari itu, Muhamad dipanggil dengan nama Syafie sempena nama moyang mereka.
Buku Imam Syafie Pejuang Kebenaran ini mengandungi 23 bab kesemua sekali dan terdiri daripada 229 muka surat. Berikut pula adalah bab-bab yang dimuatkan dalam buku ini.
Bab 1 Lahirnya seorang Ulama
Bab 2 Imam Abu Hanifah
Bab 3 Kembali ke Mekah
Bab 4 Menuntut Ilmu Al-Quran
Bab 5 Seorang penyair
Bab 6 Menuntut ilmu hadis dan fikah
Bab 7 Belajar dan mengajar
Bab 8 Merantau ke Madinah
Bab 9 Bertemu Imam Malik
Bab 10 Berpindah ke Iraq
Bab 11 Dendang perantau
Bab 12 Bagai sirih pulang ke gagang
Bab 13 Kembali ke Mekah
Bab 14 Bertemu jodoh
Bab 15 Fitnah di Najran
Bab 16 Terlepas dari hukuman
Bab 17 Pulang ke Mekah
Bab 18 Berhijrah ke Mekah
Bab 19 Kaum Muktazilah
Bab 20 Antara kasih dan benci
Bab 21 Qaul Qadim dan Qaul Jadid
Bab 22 Perginya ulama terbilang
Bab 23 Pesan Imam Syafie
Bab 5 Seorang penyair. Imam Syafie pernah belajar untuk menjadi seorang penyair dan penulis puisi daripada seorang penyair terkenal bernama Mas’ab bin Zubair. Beliau belajar menjadi seorang penulis puisi dan penyair selama 3 bulan dan sepanjang tempoh masa tersebut, Imam Syafie telah berjaya menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail.
Apabila Imam Syafie menyuarakan hasrat hatinya untuk belajar menjadi seorang penulis puisi dan penyair kepada ibunya, Ummu Habibah al-Uzdiyyah, ibunya hanya berkata, “bukankah belajar Quran dan hadis itu lebih baik daripada mengarang puisi?”
Jawab Imam Syafie, “Zaid bin Thabit juga seorang penghafal Al-Quran. Tetapi dia juga pandai bersyair dan menjadi penyair kesayangan Rasulullah. Apabila seseorang itu pandai menulis syair, kata-katanya juga menyebabkan orang yang mendengarnya mudah faham,” kata Imam Syafie lalu memujuk ibunya supaya membenarkannya mempelajari ilmu menulis puisi.
Bab 9 Bertemu Imam Malik. Imam Malik merupakan salah seorang guru kepada Imam Syafie. Apa yang menarik yang dapat kita contohi mengenai sikap Imam Syafie ialah sebelum beliau berguru dengan Imam Malik, Imam Syafie telah pun membaca keseluruhan isi kitab al-Muwatta’ dan telahpun menghafalnya sebelum berguru dengan imam Malik.
Imam Syafie dianugerahkan dengan kelebihan hafalan yang sangat kuat. Sebab itu disebutkan juga dalam sejarah bahawa Imam Syafie telahpun menghafal al-Quran seawal usia 9 tahun. Selain itu beliau juga dapat menghafal syair-syair dari bani Huzail sebanyak 10 ribu rangkap syair semuanya dan mampu untuk menghafal kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik.
Baca juga: Imam Maliki Pengarang Kebenaran
Bab 15 Fitnah di Najran. Seperti yang dilalui oleh ulama sebelumnya, iaitu Imam Abu Hanifah dan juga Imam Malik, Imam Syafie juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa fitnah mereka yang memusuhi dan membencinya. Imam Syafie dituduh sebagai menyebarkan fahaman Syiah dan beliau hampir-hampir dijatuhkan hukuman bunuh.
Bab 19 Kaum Muktazilah. Dalam buku ini juga kita akan diperkenalkan dengan suatu kaum atau kelompok yang dikenali sebagai Kaum Muktazilah. Mereka ini adalah satu golongan yang lebih gemar menggunakan logik akal daripada berpandukan quran dan hadis. Jika mereka menggunakan quran dan hadis sekalipun, mereka akan mentafsirkannya mengikut pendapat sendiri.
Sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam isi kandungan buku ini, bolehlah dapatkan buku ini sama ada di pautan ini ataupun di laman web ini.
Ada banyak lagi kisah-kisah menarik yang turut dimuatkan dalam buku ini. Contohnya adalah seperti kisah pertembungan dan percanggahan pendapat yang berlaku antara Imam Syafie dengan para pengikut Imam Hanafi yang menggunakan mazhab Hanafi dan juga pengikut Imam Malik.
Buku Imam Syafie Pejuang Kebenaran ini diterbitkan pada tahun 2013 oleh PTS Publication. Selamat membaca dan semoga anda dapat pelajari sesuatu yang berguna daripada pembacaan sejarah ulama terkemuka ini.
In Shaa Allah dalam post yang akan datang saya akan kongsikan pula buku tulisan Abdul Latip Talib yang berjudul Imam Hanbali Penegak Kebenaran pula.