Orang yang tak pernah berniaga, yang tak pernah ada pengalaman berniaga, dan yang tak pernah terfikir pun nak jadi seorang peniaga, bila tiba-tiba kita nak ajak dia berniaga, memang agak susah untuk dia bermula. Dalam kepala, ada macam-macam persoalan yang akan bermain di fikiran.
Semua benda terasa begitu asing. Apa yang sepatutnya mudah, serta common sense, terasa begitu susah sekali. Rasa takut, bimbang, tak yakin pada diri sendiri, dan macam-macam lagi emosi akan datang silih berganti. Ada ketika kita akan rasa begitu bersemangat dan berkobar-kobar untuk bermula, dan ada ketikanya kita akan terasa keliru seperti tak tau nak buat apa-apa langsung.
Baiklah. Saya nak cerita serba sedikit tentang pembekal. Sebenarnya, sejak saya mula bercerita tentang bisnes kedai runcit dalam blog ni, kerap jugak saya menerima emel yang bertanya tentang kat mana nak dapatkan senarai pembekal untuk bisnes kedai runcit?
Mana yang lebih ekstrem, mereka terus mintak senarai nama siap dengan alamat, nombor telefon dan jugak emel para pembekal yang saya sendiri gunakan untuk buka perniagaan kedai runcit saya.
Saya garu kepala yang tak gatal. Kemudian saya terfikir… Kalau saya bagi senarai nama pembekal yang saya gunakan kat orang yang bertanya tu… ada guna ke? Kedai saya di Meru, Klang. Si penanya tu pulak berada di lokasi yang beratus-ratus kilometer jauhnya dari saya. Relevan ke maklumat tersebut untuk dia? Itu yang jadi tanda tanya.
Jadi beginilah. Kalau anda bercadang untuk memulakan bisnes kedai runcit anda sendiri, dan anda bercadang untuk mendapatkan maklumat tentang senarai pembekal untuk bisnes kedai runcit, apa kata anda berhenti sejenak dan baca perkongsian saya ini. Siapa tahu, ada beberapa perkongsian yang saya nak ceritakan ni ada yang berguna untuk anda.