Ini adalah artikel kedua bagi siri Panduan Bekerja Dari Rumah. Jika anda masih belum baca siri yang pertama, sila klik sini untuk baca.
Di luar negara dan negara-negara maju, konsep bekerja dari rumah bukanlah satu konsep yang baru. Konsep bekerja dari rumah ini dikenali sebagai telecommuting. Ada sesetengah syarikat yang akan menggalakkan para pekerjanya untuk bekerja hanya dari rumah sahaja.
Mereka memanfaatkan sepenuhnya kemudahan-kemudahan yang ada seperti sambungan internet, emel, skype, telefon, mesin fax dan sebagainya. Dengan cara ini, syarikat dapat menjimatkan ruang pejabat dan kos sewaan. Manakala bagi pekerja, mereka dapat jimat dari segi kos untuk keluar ke tempat kerja.
Tak perlu lagi bayar kos untuk pengangkutan, makan di luar, pakaian untuk ke pejabat dan sebagainya. Dengan berkembangan konsep telecommuting ini juga, kerjaya sebagai seorang freelancer juga semakin bertambah popular.
Kini, bukan syarikat-syarikat besar sahaja yang boleh mengambil pekerja, malahan orang perseorangan yang mempunyai bajet yang kecil juga boleh mengupah seseorang untuk menjadi pekerja sambilan (freelancer) bagi menjalankan tugasan tertentu bagi pihaknya.
Bagaimana pula situasinya jika di Malaysia? Pada hari ini, konsep bekerja dari rumah masih belum betul-betul popular. Peluang bekerja dari rumah tu memang ada, cuma ia masih belum betul-betul meluas. Kalau melihatkan pada situasi semasa, kelihatan seperti majikan masih lagi takut-takut untuk mengambil pekerja sambilan yang beroperasi secara atas talian dari rumah.
Bagi pihak pekerja juga begitu. Masih ada lagi rasa was-was untuk menceburkan diri dalam bidang pekerjaan atas talian.
Apapun, ini semua bukannya salah mereka. Bukan salah majikan dan bukan juga salah pekerja bebas (freelancer). Pasaran kerja kita di Malaysia, apabila bercerita tentang peluang bekerja dari rumah, ia masih lagi dipengaruhi oleh unsur-unsur scam dan penipuan.